Categories
AGENSI SELANGOR

Jais bantu 400 Orang Asli terkesan PKP Bersyarat

SHAH ALAM, 11 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyumbang bekalan makanan asas kepada 400 Orang Asli di daerah Petaling yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Agensi agama negeri itu memaklumkan program serahan melalui Badan Dakwah Daerah Petaling diserahkan di empat kawasan iaitu di Desa Temuan, Bukit Lanjan dan Damansara Perdana semalam serta di Kampung Rasau Hulu, Batu 14, Puchong diikuti Bukit Bandaraya, Shah Alam esok.

“Sumbangan ini bagi membantu meringankan beban Orang Asli terutama ketika tempoh PKPB yang menyukarkan mereka untuk bergerak selain merapatkan ukhwah antara Jais dan masyarakat berkaitan di daerah ini,” kata kenyataan itu.

 

Majlis serahan itu disempurnakan Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Petaling, Hashim Muhamad yang turut dihadiri Pengerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Penggerak Masyarakat Orang Asli.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lantikan JKMPKA 2020-2021 beri ruang kepada masyarakat Orang Asli

PUTRAJAYA, 18 OKT: Wakil Orang Asli akan dilantik dalam Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) bagi sesi 2020-2021, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy.

Waytha Moorthy yang memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, berkata kerajaan akan memperuntukkan satu atau dua tempat untuk masyarakat Orang Asli pada lantikan JKMPKA tahun depan.

“Adalah wajar untuk Kerajaan Malaysia Baru memberi satu pengiktirafan kepada penganut yang amal kepercayaan animisme,” katanya pada majlis penghargaan “Jasamu Dikenang” JKMPKA, di sini semalam.

JKMPKA sesi 2018-2019 terdiri daripada 32 orang mewakili agama Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Taoist, Sikh dan Baha’i serta ahli akademik, belia dan wakil Sabah dan Sarawak.

Waytha Moorthy berkata pihaknya akan membuat permohonan khas untuk bajet JKMPKA kepada Kementerian Kewangan bagi membolehkan JKMPKA mengambil peranan lebih aktif dalam menangani isu berkaitan.

Beliau berkata Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi Nasional yang akan ditubuhkan kelak memainkan peranan penting dalam negara dalam menangani isu melibatkan perkauman dan konflik antara agama.

“Saya jangka satu akta bagi menubuhkan suruhanjaya tersebut dapat disediakan pada awal tahun depan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong minta kerajaan perhalusi kaedah bantuan Orang Asli

CAMERON HIGHLANDS, 8 SEPT: Sifat berjiwa rakyat dan penyayang Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terserlah hari ini apabila berkenan mencemar duli melawat perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di sini.

Ketibaan Seri Paduka, yang begitu dekat di hati penduduk Sungai Ruil, tepat 11 pagi disambut kira-kira 500 orang dengan penuh kegembiraan dan keterujaan kerana buat julung kalinya dapat bertemu Al-Sultan Abdullah selepas ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Dalam titah bersahaja tetapi penuh pesanan dan nasihat, Seri Paduka menzahirkan harapan supaya kerajaan dapat memperhalusi serta memperkemas kaedah membantu masyarakat Orang Asli serta golongan miskin supaya dapat memperbaiki kehidupan dalam jangka masa panjang.

“Kalau saya perhatikan dahulu kerajaan ada konsep Felda yang banyak memberi manfaat dan menolong orang susah. Saya harap konsep ini dapat diperkemas, diperhalusi dan diperbesarkan kepada kaum Orang Asli serta masyarakat miskin supaya diadakan sumber jangka panjang untuk anak cucu mereka.

“Saya harap ini dapat dipertimbangkan dan dibincangkan untuk kaji semula kerana saya minta setiap rakyat dibela dan diberi peluang tambah pendapatan dan kekayaan,” titah Al-Sultan Abdullah.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong menyeru masyarakat Orang Asli supaya memaklumkan kepada kerajaan sebarang keperluan mereka supaya penyediaan serta penyaluran bantuan yang ada dapat dikemas.

“Bukan kerajaan tak sediakan, tetapi ada Orang Asli sendiri yang tidak mahu berhijrah, mereka lebih suka dan selesa tinggal bersama dengan kaum dia, di tempat dia,” titah Seri Paduka.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan penduduk Sungai Ruil, yang kini mendiami rumah baharu dan moden, supaya sentiasa menjaga kebersihan bagi mengelak sebarang jangkitan penyakit terutama membabitkan kanak-kanak.

“Macam mana keadaan rumah Bagus Semua keluarga jaga rumah dengan elok, rumah batu, jangan pula ditambah kayu,” titah Al-Sultan Abdullah secara bersahaja kepada penduduk yang hadir.

Projek penempatan semula masyarakat Orang Asli Sungai Ruil mempunyai 152 unit rumah yang dibina susulan tanah runtuh pada 7 Ogos 2011 dan mula diduduki pada Mei 2016.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Seorang lagi pesakit Orang Asli dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu

KUALA TERENGGANU, 28 Jun : Seorang lagi pesakit Orang Asli dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu di Kuala Berang hari ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh.

Beliau berkata, wanita berusia 50 tahun yang berasal dari Kampung Sungai Berua itu ditahan wad setelah datang ke hospital itu untuk membuat pemeriksaan kerana demam, batuk, selesema dan kurang selera makan.

“Pesakit ini mempunyai sejarah kontak dengan dua lagi pesakit Orang Asli yang telah disahkan positif campak (Measles) sebelum ini. Keadaannya dilaporkan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika ini, terdapat tiga pesakit Orang Asli yang masih berada di hospital itu iaitu dua pesakit perempuan dan seorang lelaki.

Sejak 12 Jun, Hospital Hulu Terengganu telah menerima kemasukan 15 pesakit Orang Asli yang berkaitan demam campak namun 12 pesakit telah dibenarkan pulang secara berperingkat mulai Jun lepas.

Daripada 15 pesakit itu, 12 pesakit disahkan positif dijangkiti wabak itu, dua lagi negatif jangkitan dan seorang lagi pesakit masih menunggu keputusan makmal.

Selain itu, beliau berkata aktiviti survelan dan pengesanan kes secara aktif di perkampungan Orang Asli di Hulu Terengganu telah menemui 11 lagi penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Berua sekali gus menjadikan jumlah saringan 493 orang sehingga kini.

“Bagaimanapun, hasil pengesanan yang dilakukan tidak menemui mana-mana Orang Asli yang mempunyai tanda dan gejala sakit,” katanya.

Terengganu mempunyai empat perkampungan Orang Asli di tiga daerah iaitu dua di Hulu Terengganu manakala yang lainnya di Besut dan Kemaman -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis bawa keluar satu lagi mayat Orang Asli

GUA MUSANG, 15 JUN: Polis hari ini membawa keluar satu lagi mayat Orang Asli suku Batek yang ditanda pada Rabu lepas untuk menjalani bedah siasat di Hospital Gua Musang, kira-kira 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Mohd Taufik Maidin berkata mayat tersebut dikenali sebagai Mek Nab a/p Tebu, 63, dan didakwa meninggal pada 2 Mei lalu.

“Pada hari ini, tiga pasukan yang ditugaskan untuk mengeluarkan mayat yang telah ditanda pada Rabu lepas namun hanya satu pasukan berjaya dalam misi mereka kerana kita mengalami kesukaran berikutan hujan pada malam tadi, menyebabkan bot dua kumpulan pencari tidak dapat diturunkan ke sungai,” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Aring 10 di sini, hari ini.

Ditanya mengenai operasi mengesan empat mayat yang disemadikan di Hulu Sungai Lebir, Mohd Taufik berkata dua pasukan yang ditugaskan telah berjaya mengenal pasti kawasan terbabit.

“Jarak dua mayat pertama terletak kira-kira dua jam perjalanan menaiki bot dan satu jam berjalan kaki manakala dua lagi mayat disemadikan kira-kira dua jam 15 minit menaiki bot dan satu jam berjalan kaki.

“Keempat-empat mayat dipercayai dikenali sebagai Puspa a/p Li, 5; Amir a/l Li, setahun; Haikal a/l Rahim, 22, dan Farah a/p Rahim, 20,” katanya.

Beliau berkata kesemua mayat akan dikeluarkan secara berperingkat-peringkat namun turut mengambil kira pelbagai faktor semasa.

Masyarakat Orang Asli suku Batek yang tinggal di Kampung Kuala Koh di sini, mula menjadi perhatian selepas 14 daripada mereka dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan penyakit yang tidak diketahui puncanya.

Namun hasil bedah siasat terhadap dua mayat sebelum ini mendapati mangsa meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru (pneumonia).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Panik, tertekan, takut punca Orang Asli tidak lapor kematian

 

KUALA LUMPUR, 10 Jun : ​​​Panik, tertekan dan takut akan penyakit yang merebak, menyebabkan Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan bertindak mengebumikan mayat anggota suku kaum itu mengikut adat dengan segera dan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Prof Dr Juli Edo berkata ia ditambah pula dengan ketiadaan medium komunikasi berikutan kedudukan mereka yang jauh di dalam hutan tebal berhampiran Taman Negara di sempadan Kelantan-Pahang sewaktu mereka berhijrah.

“Apa yang berlaku di Kuala Koh ini ada satu hari dua kematian, jadi kedudukan pula jauh, lepas itu mereka panik dan takut dengan penyakit jadi mereka percaya lagi lama mayat disimpan penyakit itu akan merebak. Itu menyebabkan mereka cepat-cepat kebumi.

“Kebiasaannya, Orang Asli bila saudara mara mereka meninggal dunia, mereka akan kebumikan begitu sahaja, namun peraturan kita sekarang memerlukan mereka melaporkan kepada pihak berkuasa dan kalau kita kebumi tanpa melaporkannya ia dianggap satu kesalahan, itu undang-undang kita,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dr Juli berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai kejadian menimpa Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, baru-baru ini, yang didakwa dilanda penyakit misteri sehingga mengakibatkan sebilangan kematian.

Mengikut suku kaum itu berlaku 14 kematian dengan mangsa dikebumikan secara adat oleh penduduk kampung, tetapi polis memaklumkan hanya menerima dua laporan berkaitan kematian terbabit.

Mengulas mengenai cara hidup mereka, Juli yang pernah berkhidmat di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya berkata masyarakat Orang Asli suku kaum Batek masih mengamalkan kehidupan secara berpindah randah secara turun-temurun tetapi tidak sepenuhnya sekarang ini (separa nomad).

Suku yang tergolong di bawah kumpulan Negrito itu banyak terdapat di Pahang, Kelantan dan Terengganu, kata Dr Juli daripada suku kaum Semai.

Beliau berkata terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan suku ini berpindah-randah iaitu faktor makanan, penyakit dan berkunjung ke rumah saudara mara misalnya untuk menghadiri kenduri yang memerlukan mereka untuk tinggal lama di sesuatu kawasan.

“Kadang-kadang mereka berpindah sebab musim buah-buahan atau lari daripada penyakit yang mempunyai kaitan dengan kepercayaan mereka serta berkunjung ke rumah saudara mara sekiranya ada keramaian. Ini memang cara hidup mereka,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan pandang serius kematian Orang Asli di Kuala Koh

KUALA LUMPUR, 9 Jun : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan memandang serius isu kematian dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

Beliau berkata, dakwaan bahawa kematian melibatkan suku kaum Batek itu disebabkan pencemaran kolam sumber air akan disiasat dengan teliti.

Pihak berkuasa, katanya, akan melihat kegiatan perlombongan dan pembalakan di sekitar kawasan itu untuk memastikan segala prosedur berkaitan alam sekitar dipatuhi.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat jika mendapati kematian disebabkan oleh pencemaran sumber air Orang Asli,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Wan Azizah seterusnya berkata kerajaan juga akan mengkaji dasar-dasar alam sekitar berhubung aktiviti pembalakan dan perlombongan terutama berkaitan masalah yang dihadapi Orang Asli.

“Penguatkuasaan lebih ketat dan dasar pencegahan adalah antara beberapa langkah yang akan diambil perhatian,” kata Timbalan Perdana Menteri, yang sedih mendengar mengenai kematian itu.

“Saya akan sentiasa mendoakan keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang sedang menjalani rawatan,” kata Dr Wan Azizah. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jangkitan kuman terhadap orang asli sejak awal Mei

 

GUA MUSANG, 9 Jun : Masalah jangkitan kuman yang melanda masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Koh di sini telah dimaklumkan kepada banyak pihak sejak awal bulan lepas namun tiada tindakan diambil sehinggalah keadaan menjadi semakin serius.

“Mungkin jika perkara itu diambil tindakan awal keadaan akan menjadi lebih terkawal dan tidak seramai itu yang menjadi mangsa kerana kampung ini jauh dari bandar,” kata guru agama Islam Orang Asli, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Mohd Fazdzli Mahmok.

Beliau berkata penduduk Orang Asli yang dijangkiti kuman itu mula dibawa keluar seminggu lalu selepas keadaan semakin kritikal, tetapi ramai yang diberikan rawatan sebagai pesakit luar.

Sementara itu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta semua pihak agar tidak mempolitikkan musibah yang melanda masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Koh.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Kelantan Darul Naim (Suara Kelantan) Che Isham Sharudin Che Hamat berkata isu itu membabitkan nyawa dan keselamatan masyarakat Orang Asli berkenaan dan langkah segera perlu diambil bagi menanganinya untuk mengelakkan keadaan lebih buruk.

“Kita semua bersimpati dengan musibah yang menimpa masyarakat Orang Asli di sana dan kita tidak mahu perkara yang dialami itu memberi ruang kepada mana-mana pihak menuding jari menyalahkan antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama hari ini.

Che Isham berkata dalam situasi ini tindakan segera perlu diambil oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat menerusi jabatan yang berkeaan. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Elak jangkitan baharu, hadkan hubungan orang luar

KOTA BHARU, 9 Jun : Jabatan Kesihatan Kelantan mahu supaya hubungan penduduk Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang dengan orang luar dihadkan.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, langkah itu adalah bagi memastikan tiada jangkitan kerana penyakit radang paru-paru boleh menular melalui pernafasan.

Beliau berkata sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan mereka boleh terus berhubung dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) supaya keadaan lebih terjamin.

“Sebenarnya tiada keperluan untuk mengasingkan penduduk di kampung berkenaan daripada orang ramai namun jabatan akan memantau perkembangan di kampung itu setiap dua hari.

“Daripada 186 penduduk di situ 83 orang daripadanya sudah dan sedang dirawat. Selebihnya kita dapati mereka sihat dan kita tiada cadangan untuk mengawal pergerakan mereka,” katanya.

Sementara itu, mengulas samada penyakit ini ada kaitan dengan penyakit kulit bersisik yang didakwa dialami oleh penduduk Orang Asli sebelum ini, Dr Zaini berkata perkara itu tidak mungkin berlaku kerana tempoh antara dua kes itu sudah terlalu lama.

Jelasnya kes hari ini lebih kepada radang paru-paru dan tiada kaitan dengan penyakit kulit sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zaini berkata, semalam pasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah telah diarah untuk melakukan carian kes secara aktif di Kuala Koh dan menemui 24 kes lagi yang mempunyai gejala demam dan batuk.

Katanya kes-kes ini telah dibawa Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk rawatan lanjut.

“Buat masa ini, aktiviti kawalan telah dilakukan di lapangan melalui Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang di kawasan berkaitan dengan mengadakan pendidikan kesihatan seperti ceramah dan edaran risalah berkaitan penyakit berjangkit dan kebersihan diri serta persekitaran.

“Selain itu, carian kes secara aktif ke atas semua penduduk kampung Orang Asli Kuala Koh dan pengesanan kontak di kawasan terlibat turut dilakukan,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tindakan segera perlu diambil selamatkan Orang Asli Kuala Koh

KOTA BHARU, 8 Jun : Tindakan segera perlu diambil bagi menyelamatkan masyarakat Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh yang berdepan ancaman kesihatan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Senator Datuk Husam Musa.

Husam berkata siasatan perlu dilakukan jika kematian penduduk berpunca daripada sisa buangan lombong besi yang mencemari kawasan tadahan air penduduk.

“Langkah segera membekalkan air bersih hendaklah diambil dan kesan amalan perlombongan berkenaan hendaklah disiasat dan diatasi.

“Adalah satu peristiwa malang, Orang Asli yang telah sedia ketinggalan dan kesempitan dalam semua segi, disukarkan lagi kehidupan mereka sehingga mengorbankan bilangan yang besar keluarga mereka, termasuk kanak-kanak.

“Lebih penting ialah anggota masyarakat mereka yang masih hidup tidak terus menjadi mangsa dan dapat diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut menyeru semua agensi terbabit tampil menyiasat kedudukan sebenar isu berkenaan seterusnya mengambil langkah proaktif menyelamatkan mangsa dan memaklumkan kedudukan sebenar kepada keluaga dan masyarakat Orang Asli yang terlibat dan rakyat secara keseluruhannya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Taufik Maidin hari ini dilapor menafikan dua penduduk Orang Asli yang meninggal dunia di Kampung Kuala Koh pada 29 Mei lepas dan semalam berpunca sakit misteri.

Taufik turut dipetik menafikan dakwaan penduduk Orang Asli di perkampungan itu yang menyatakan 13 orang sudah meninggal dunia akibat penyakit itu memandangkan pihaknya hanya menerima laporan kematian dua orang sahaja setakat ini. -BERNAMA

 

Kredit Foto : Facebook Husam Musa

Categories
NASIONAL

Orang Asli fail semakan kehakiman selesai isu pampasan tanah

JOHOR BAHRU, 3 Jun : Seramai 51 Orang Asli Seletar dari Kampung Orang Asli Kuala Masai, hari ini memfailkan permohonan semakan kehakiman mandamus di Mahkamah Tinggi, di sini, bagi menyelesaikan isu pampasan tanah di Stulang Laut, di sini, yang masih tertangguh sejak sembilan tahun lepas.

Kesemua mereka yang dipindahkan dari perkampungan asal di Stulang Laut ke Kampung Orang Asli Kuala Masai itu diwakili peguam Tan Poh Lai.

Diketuai Kelah Lah, 38, dan Khalip Bachik, 57, kesemua Orang Asli tersebut sebelum ini berjaya dalam saman pemula yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi, di sini, terhadap tiga defendan pada 2008 iaitu Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Ketua Pengarah Hal Ehwal Orang Asli.

Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Sept 2010, semua Orang Asli itu perlu dibayar pampasan mengikut Akta Pengambilan Balik Tanah 1960, berhubung pengambilan balik yang salah di sisi undang-undang dan pampasan itu perlu ditaksir oleh Pentadbir Tanah Johor Bahru.

Tan yang ditemui pemberita selepas memfailkan permohonan berkenaan pada 9 pagi tadi berkata permohonan semakan kehakiman mandamus difailkan bagi mengarahkan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor selaku responden pertama melaksanakan penaksiran tanah itu selaras dengan akta dan perintah terbabit.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Tinggi, See Mee Chun, hari ini, membenarkan permohonan kesemua Orang Asli tersebut untuk membuat semakan kehakiman berkenaan, namun, satu tarikh akan ditetapkan kemudian bagi perbicaraannya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, yang turut hadir di mahkamah berharap Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal mengambil tindakan segera menyelesaikan isu bayaran pampasan terbabit termasuk mengharapkan satu tindakan penyelesaian luar mahkamah dapat dibuat sebelum perbicaraan.

“Perintah sudah dikeluarkan pada 2010, tetapi kerajaan yang lama gagal mematuhi perintah mahkamah ini. Oleh itu, kerajaan baharu perlu bersikap positif dan hormati undang-undang.

“Saya menyeru, kalau boleh, kes ini dapat diselesaikan segera sebelum pengurusan kes ini diadakan. Tidak perlu tunggu perbicaraan,” katanya. -BERNAMA

47 keluarga orang asli terlibat ribut terima bantuan

Kerajaan Negeri sedia baik pulih 47 rumah mangsa ribut dan setiap keluarga menerima bantuan awal RM500 dan barangan keperluan.