Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Keluarga Islam Orang Asli Pulau Ketam terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 31 MAC: Seramai 20 ketua isi rumah Orang Asli beragama Islam di Sungai Dua, Pulau Ketam, Klang menerima bantuan makanan asas bernilai RM100 sebagai persediaan menyambut Ramadan.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sumbangan seperti beras, bihun, susu, gula, milo dan minyak masak diagih sempena program ziarah kasih semalam.

“Bantuan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban penduduk yang terjejas sepanjang pandemik Covid-19. Kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan,” katanya.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni (kanan) menyerahkan bantuan makanan asas kepada salah seorang ketua isi rumah Orang Asli ketika program ziarah mahabbah di Sungai Dua, Pulau Ketam, Klang pada 30 Mac 2021. Foto Facebook Mohd Zawawi

Terdahulu, rombongan wakil rakyat Sungai Kandis itu disambut Tok batin Intan Pendek serta beberapa wakil penduduk.

Zawawi memaklumkan selain memberi sumbangan, kesempatan itu juga diambil untuk mendengar permasalahan masyarakat Islam di penempatan terbabit.

“Saya juga menekankan kepada mereka pentingnya ilmu untuk anak-anak supaya tidak tercicir dalam arus kehidupan moden,” katanya.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Imam dari sekolah tahfiz pimpin tarawih Orang Asli

SUNGAI BULOH, 25 MAC: Pejabat agama Islam di setiap daerah akan menjemput imam dari pusat tahfiz untuk memimpin solat tarawih masyarakat Orang Asli.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata permintaan daripada komuniti terbabit sebahagian usaha menyemarakkan sambutan Ramadan tahun ini.

“Kita akan bantu terutama keperluan imam dan bilal dalam kalangan pelajar tahfiz yang layak untuk membimbing mereka,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau yang ditemui pada program Jelajah Dakwah Rentas Rimba di sini menambah terdapat 46 surau di perkampungan Orang Asli seluruh negeri dan ada yang memerlukan penambahbaikan.

Mohd Zawawi sebelum ini mengingatkan pengurusan masjid dan surau supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat ketika menganjurkan solat terawih.

Beliau berkata pentadbir perlu mendaftar aplikasi Selangkah atau MySejahtera, menyukat suhu dan meminta jemaah membawa sejadah sendiri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Selangor jamin tidak abai komuniti Orang Asli

KUALA LANGAT, 22 MAC: Kerajaan Selangor memberi jaminan tidak akan mengabaikan komuniti Orang Asli di negeri ini .

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amiruddin berkata semua kaum akan mendapat layanan dan dibantu sebaik mungkin.

Katanya, Kerajaan Selangor mahu melihat komuniti Orang Asli di negeri ini dapat menikmati kehidupan dengan selesa.

“Sebab itu kita siapkan lokaliti dan kawasan yang khusus tanpa ada gangguan dan kacau-bilau oleh mana-mana pihak,” katanya pada Penyampaian Bakul Makanan Asas di Kampung Asli Sungai Bumbun semalam.

Beliau berkata komitmen Kerajaan Negeri tidak lain tidak bukan mahu memastikan kebudayaan dan kehidupan semua kaum berjalan dengan lancar.

“Orang Melayu, Cina, India, Orang Asli, Mah Meri, Temuan… kita harap dapat hidup dengan baik dan selesa serta saling memahami,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor warta 41 kampung, pelihara hak Orang Asli

DENGKIL, 21 MAC: Sebanyak 41 daripada 74 perkampungan Orang Asli di seluruh negeri sudah diwarta bagi memastikan hak golongan itu terpelihara.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata pewartaan bagi 33 kampung lagi dijangka selesai dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun.

Beliau menjelaskan Kampung Orang Asli Bukit Tadom di Kuala Langat antara yang terbaharu digazetkan dan proses seterusnya tertumpu di Dengkil serta Hulu Selangor.

“Kerajaan Selangor akan buat satu persatu kerana kita mahu Orang Asli juga mempunyai hak tanah di negeri ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Selangor dan Wilayah Persekutuan Zainul Adnan Zainal Abidin menyambut baik usaha Kerajaan Negeri mewartakan tanah golongan berkenaan.

“Kita sedar tanah di Selangor mahal, justeru apabila diwarta penduduk rasa lebih selamat. Terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri,” katanya.

Kerajaan Selangor memperuntuk RM1 juta tahun ini bagi mewarta perkampungan Orang Asli dan menaik taraf infrastruktur sekitar penempatan mereka.

Categories
BUDAYA RENCANA

Semai rasa kepunyaan, jangan pinggir etnik minoriti

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Apabila memperkatakan mengenai rasa kepunyaan ia akan menjadikan sesiapa sahaja bertindak balas sekiranya barang atau hak mereka diganggu-gugat oleh orang lain.

Namun begitu, bagaimana pula dengan rasa kepunyaan rakyat terhadap negara ini?

Adakah setiap anggota masyarakat yang terdiri daripada latar belakang etnik, budaya dan agama yang pelbagai ini mempunyai rasa kepunyaan yang sama?

Nilai kebersamaan

Rasa kepunyaan akan lahir apabila setiap anggota masyarakat berasa ‘layanan’ yang sama, kewujudan mereka dihargai serta tidak disisih atau pun dipinggirkan.

Tidak kiralah kaum majoriti atau minoriti di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak, jika wujud rasa kepunyaan dalam diri setiap rakyat, maka masing-masing akan saling menjaga, melindungi, memelihara dan mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman.

Profesor Politik dan Kerajaan Fakulti Ekologi Manusia, yang juga Penyandang Pertama Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Jayum Anak Jawan berkata, untuk merealisasikan perkara itu, setiap wakil etnik perlu dilibatkan dalam pelbagai bidang baik di peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat tertinggi.

“Peluang dan pengagihan kuasa perlu dilakukan sewajarnya termasuklah mempertimbangkan jawatan tertentu yang sesuai bagi suku etnik dari Sabah dan Sarawak untuk terlibat sama dalam urusan pentadbiran negara.

“Ini bukanlah bermakna etnik minoriti menuntut jumlah kerusi yang sama di Parlimen atau mereka semua mahu diangkat sebagai pemimpin, namun sekurang-kurangnya ada wakil dan ‘suara’ daripada suku kaum masing-masing agar mereka dapat merasa nilai kebersamaan itu wujud.

“Janganlah dinafikan hak mereka kerana mereka juga tidak terkecuali menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara. Menidakkan peluang kepada mereka boleh dianggap sebagai tindakan mendiskriminasi dan hanya akan membantutkan usaha memupuk perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini,” katanya kepada Bernama.

Dukung prinsip Rukun Negara

Mengaitkan penghayatan rakyat terhadap prinsip Rukun Negara mampu menyumbang terhadap rasa kepunyaan, Jayum yang berasal dari kaum Dayak Iban di rumah panjang di Sungai Assan, Sibu, Sarawak berkata, kelima-lima prinsip iaitu Kepercayaan kepada tuhan; Kesetiaan kepada raja dan negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan undang-undang serta Kesopanan dan kesusilaan harus diangkat sebagai rujukan dalam kehidupan seharian rakyat.

Selepas 50 tahun mendukung prinsip yang dibentuk pada 31 Ogos 1970 susulan tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, rakyat, katanya, perlu menjadi lebih matang, semakin serasi antara satu sama lain serta berupaya mengangkat nilai perbezaan yang wujud sebagai kekuatan kepada negara.

“Prinsip Rukun Negara perlu dibudayakan. Dalam hal ini rakyat perlu sentiasa diingatkan dan ‘disuntik’ melalui pengisian berkaitan Rukun Negara dari semasa ke semasa agar ia terus menjadi amalan.

“Setiap kumpulan etnik perlu dilibatkan dalam ruang fizikal yang sama agar boleh saling kenal-mengenali, bertukar pandangan antara satu sama lain sekaligus memupuk nilai perkongsian dan seterusnya membawa kepada pengukuhan semangat patriotisme secara holistik,” katanya sambil menambah rakyat juga perlu bijak menggunakan saluran yang betul bagi menyuarakan pandangan dan hasrat hati mereka.

Pola politik sejak 2018 menunjukkan ‘angin’ perubahan apabila populariti kumpulan parti politik berasaskan kaum semakin kurang menjadi pilihan rakyat.

“Politik baharu hari ini menyaksikan mana-mana kumpulan parti politik perlu mendapatkan sokongan daripada pelbagai kaum. Tindakan itu bukan sahaja membuktikan keseimbangan yang ada pada parti bahkan turut menyumbang kepada keyakinan rakyat sebagai pengundi,” katanya.

Hapus generalisasi kaum

Berkongsi pandangan, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) (Biro Belia) Suney Leo Ertza Neo a/l Sulaiman dari Kampung Orang Asli Sungai Kiol, Jerantut, berkata, stereotaip dan generalisasi kaum perlu dihapuskan selain mengelak penggunaan perkataan tertentu yang melabel dan dianggap menghina mana-mana etnik di negara ini.

Berasal dari suku kaum Che Wong, beliau berkata, sikap saling hormat menghormati cara kehidupan, adat, budaya serta bahasa antara satu sama lain perlu menjadi amalan dalam memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

“Masih terdapat segelintir masyarakat yang gemar mengaitkan Orang Asli apabila melibatkan isu paras rupa, tidak mahir atau ketinggalan dalam sesuatu perkara. Walaupun ia dianggap gurauan dan sesuatu yang normal bagi mereka, namun tindakan itu sama sekali tidak wajar berlaku sekiranya semua etnik mempunyai rasa hormat yang tinggi antara satu sama lain,” katanya.

Turut berpendapat golongan minoriti tidak boleh terkecuali daripada menikmati hasil kemakmuran negara, beliau berkata kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya berturap, sumber air bersih, elektrik serta rangkaian komunikasi perhubungan seperti telefon seharusnya tidak lagi menjadi ‘isu pokok’ yang diperjuangkan golongan itu.

“Perkara-perkara itu kini sepatutnya menjadi satu keperluan hidup, bukan lagi kehendak. Jika ia masih berlaku pada hari ini maka kerajaan dan pihak berkenaan perlu lebih kerap ‘turun padang’, menyelami corak kehidupan suku kaum minoriti terutama yang tinggal di pedalaman.

“Masih ramai kanak-kanak dan remaja yang ketinggalan dalam bidang pendidikan yang perlu dibantu untuk keluar dari ‘kepompong’ kemiskinan sekaligus memperbaiki taraf hidup mereka.

“Tidak dinafikan terdapat pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan namun ia perlu ditambah baik dari semasa ke semasa dan tidak bersifat ‘bermusim’ terutama apabila adanya kempen pilihan raya yang cuba menjanjikan ‘bulan dan bintang’ kepada rakyat,” katanya sambil menambah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan mana-mana pihak terlibat perlu mencari mekanisme yang lebih sesuai bagi ‘memujuk’ kaum Orang Asli untuk keluar dari ‘zon selesa’ mereka.

Prihatin ‘suara’, kebajikan

Menyifatkan kaum minoriti Orang Asli juga tidak terkecuali mempunyai semangat patriotisme yang tinggi termasuk menghormati prinsip Rukun Negara, beliau berkata cara penzahirannya mungkin berbeza dan sukar dinilai oleh masyarakat umum.

Bagi mengukuhkan lagi semangat itu dalam kalangan etnik minoriti, ‘suara’ dan keluhan mereka perlulah diambil kira terutama yang melibatkan kebajikan etnik.

“Antaranya mengiktiraf hari perayaan Orang Asli sebagai cuti umum sama seperti sambutan perayaan kaum lain yang ada di Malaysia. Kami juga berharap agar kerajaan dapat mengiktiraf lebih banyak tanah rizab Orang Asli dan kawasan rayau termasuk di Sabah dan Sarawak sepertimana kerajaan mengiktiraf tanah rizab Melayu.

“Pastikan juga lebih banyak penglibatan wakil Orang Asli serta Orang Asal Sabah dan Sarawak dalam agenda yang mempromosikan perpaduan masyarakat Malaysia supaya ia benar-benar mencerminkan ‘warna-warni’ etnik yang ada di Malaysia selain mengelakkan ada pihak yang merasa kaum mereka terpinggir,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Kerajaan cadang lantik Orang Asli jadi guru takmir

CAMERON HIGHLANDS, 6 SEPT: Kerajaan bercadang mewujudkan program khas bagi melantik guru takmir dalam kalangan masyarakat Orang Asli sebagai antara usaha meningkatkan syiar Islam dalam kalangan golongan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata cadangan itu juga bertujuan memastikan setiap kawasan petempatan masyarakat Orang Asli mempunyai guru takmir.

“Pelantikan guru takmir memang di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam negeri yang mengatur tempat pembelajaran.

“Tetapi kita nak kalau boleh ada perubahan yang lebih bersifat menyeluruh dari segi penyampaian dan tugasan supaya semua tempat ada guru takmir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kembara Kasih Mualaf 2020 di Kampung Kuala Boh, di sini hari ini.

Zulkifli berkata cadangan itu sedang diperincikan oleh pihaknya dan Jakim, serta berharap dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Bilangan mereka yang dianggap sedikit ketinggalan mengenai agama dalam kalangan masyarakat Orang Asli perlu beri perhatian sewajarnya,” katanya.

Mengenai majlis hari ini, Zulkifli berkata Kembara Kasih Mualaf akan diteruskan dari semasa ke semasa di kawasan lain untuk memastikan hubungan bersama saudara baru lebih akrab.

Katanya melalui program tersebut, pelbagai modul pembelajaran perkara asas seperti cara solat, mangambil wudud, mandi wajib dan mandi jenazah dapat diajar sebaiknya.

Pada majlis itu, Zulkifli melawat beberapa buah rumah dan turut meluangkan masa beramah mesra dengan mualaf selain menyampaikan sumbangan barangan keperluan.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Kehadiran murid Orang Asli ke sekolah merosot selepas PKP

SEPANG, 27 OGOS: Kehadiran pelajar Orang Asli terutama di sekolah rendah merosot selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

EXCO hal ehwal orang asli berkata perkara itu dilapor Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang bimbang pelajar kaum minoriti itu keciciran.

“Sebelum PKP mereka tidak ada masalah ke sekolah. Mungkin sudah selesa duduk lama di rumah menyebabkan mereka enggan ke sekolah semula.

“Jadi saya harap ibu bapa memainkan peranan penting dengan pastikan anak masing-masing hadir ke sekolah setiap hari,” kata Hee Loy Sian ketika merasmikan Majlis Pemasangan Lampu Solar di Kampung Orang Asli Jambu di sini semalam.

Menurutnya, Kerajaan Negeri amat menitikberat pendidikan Orang Asli malah Jakoa membekalkan RM2 untuk seorang pelajar setiap hari bagi menggalak mereka ke sekolah.

“Kita mahu anak Orang Asli mendapat pendidikan sempurna seperti kaum lain. Kita tidak mahu mereka tercicir dalam pelajaran,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Fokus selesai penempatan, kemudahan Orang Asli

KUANG, 23 OGOS: Isu penempatan di 74 perkampungan Orang Asli diberi tumpuan tahun hadapan bagi memastikan kawasan didiami mendapat status pemilikan.

EXCO hal ehwal Orang Asli berkata beberapa penempatan kaum minoriti tersebut bertindih dengan tanah kerajaan dan hutan simpan.

“Hendak selesai bukan senang sebab isu lama. Jadi saya akan bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Galian Selangor supaya kampung Orang Asli dapat diwarta,” kata Hee Loy Sian pada Majlis Sarapan Merdeka di Kampung Orang Asli Ulu Kuang hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan membangunkan projek lampu solar di kampung yang masih menggunakan generator bagi mendapat bekalan elektrik.

“Banyak (kampung) sudah ada elektrik tetapi lampu jalan dan padang mereka gelap, justeru kita buat berperingkat tahun hadapan. Isu jalan rosak juga akan diselesaikan,” katanya berharap peruntukan untuk Orang Asli ditambah dalam Belanjawan 2021.

Belanjawan 2020 memperuntukkan RM500,000 bagi pembangunan modal insan dan kebajikan Orang Asli seperti baik pulih rumah, pembangunan infrastruktur, peningkatan kesihatan dan ekonomi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Usia 22 tahun sudah miliki kebun sayur, gaji enam pekerja

RAUB, 25 JULAI: Usianya baru 22 tahun, namun Azmani Nurdin yang merupakan Orang Asli suku Temuan boleh berbangga kerana berkeupayaan menggaji enam pekerja di kebun sayur miliknya di RPS Sungai Bilut di sini, yang diusahakan sejak tiga tahun lepas.

Azmani berkata kebun yang dilakukan dengan kaedah sistem fertigasi itu melibatkan timun, cili, terung dan petola yang ditanam secara giliran bagi memastikan kesuburan tanah terus kekal, sekali gus menjamin kualiti hasil tanaman.

Kebun seluas lebih 0.4 hektar itu mula diusahakannya seawal usia 19 tahun dan imbas Azmani, beliau terpaksa menebalkan muka memohon bantuan daripada pelbagai agensi selain meminjam daripada keluarga dan rakan untuk dijadikan modal permulaan.

“Ramai yang ragu-ragu dengan niat, kebolehan dan kesungguhan saya untuk memulakan projek ini. Usia yang muda mungkin menyebabkan ramai tidak percaya saya boleh pergi jauh…tambahan pula, saya tidak ada pengalaman.

“Saya hanya menoreh getah selepas tamat tingkatan lima dengan upah RM70 seminggu. Selepas itu, saya ke Pulau Pinang untuk belajar dalam bidang kemahiran. Jadi, tidak dinafikan saya kosong dalam pertanian,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di kebunnya hari ini.

Bercerita lanjut, anak kedua daripada lima beradik itu mengakui bersyukur dengan sokongan ibu bapanya, Nurdin Ayob, 54, dan Rohani Jo, 45, yang membenarkan dia membuka tanah milik ibunya, selepas mereka berulang kali bertanya jika beliau benar-benar yakin boleh melakukannya.

“Tanah masih semak semasa saya baru membukanya. Semasa itu, saya terpaksa memekakkan telinga apabila ada yang bergurau menunjuk ke arah semak dan bertanya jika itu adalah sayur yang saya tanam.

“Selepas hasil pertama masih ada yang tidak yakin saya boleh meneruskan kerjaya sebagai petani. Tapi, alhamdulillah berkat usaha dan sokongan semua, mereka kini sudah nampak bidang pertanian boleh mendatangkan pendapatan,” katanya.

Seperti petani lain, Azmani berkata dirinya juga pernah diuji apabila tanaman cili yang diusahakan pada hujung tahun 2017 diserang penyakit sehingga mengalami kerugian hampir RM40,000 menyebabkan beliau ‘terduduk’ kerana bimbang bagaimana hendak membayar gaji pekerja.

Enggan mengalah, Azmani mengumpul pekerjanya untuk menerangkan situasi sebenar dan atas semangat berpasukan, mereka bangkit semula dengan menanam tanaman baharu bagi mendapatkan semula modal pusingan.

Buat masa ini, kebun itu diusahakan dengan tanaman timun dan jangkaan tuaian sebanyak 20 tan yang akan dipasarkan ke Pasar Borong Selayang, Selangor dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kiraan pulangan sebanyak RM20,000.

“Saya bersyukur kerana hasil tanaman boleh memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada keluarga. Jika dahulu ada masanya kami terpaksa makan ubi kayu, namun kini setiap hari kami boleh menjamah nasi.

“Saya sering mengingatkan diri supaya tidak lupa dengan kesusahan dahulu. Ada masa kami menjamu keluarga pekerja dan rakan-rakan selain turut bersedekah hasil sayur kepada mereka yang memerlukan sebagai berkongsi rezeki,” katanya.

Azmani berkata bagi menambah ilmu dalam bidang pertanian, beliau mula menyambung pelajaran di Institut Pertanian Lipis, dekat sini pada awal tahun ini dan berulang-alik dengan menaiki bas pada setiap hujung minggu untuk ke kebun sebelum pengajian ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.

Sepanjang ‘peninggalannya’, kebun itu diselia abangnya Shukran, 23, selain turut dibantu bapa mereka bagi memastikan kerja harian seperti menyiram, membaja dan menuai jika sudah tiba musimnya dilakukan mengikut jadual.

“Saya harap masyarakat Orang Asli dapat mengambil peluang yang disediakan kerajaan untuk berjaya sama seperti kaum lain. Kita seharusnya mengubah nasib sendiri. Jika diberikan seribu bantuan sekalipun, ia tidak akan ke mana jika bukan kita yang berusaha.

“Kita juga tidak boleh mempunyai sikap senang berpuas hati. Walaupun kebun boleh dikatakan dapat memberi gaji, saya sudah merancang mahu menyewa tanah pak cik yang bersebelahan untuk diusahakan pada bulan hadapan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Agihan bantuan makanan kepada Orang Asli selesai

HULU LANGAT, 8 JULAI: Bantuan makanan asas selesai diagihkan kepada 6,000 ketua isi rumah Orang Asli di negeri ini yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata agihan kepada 74 buah kampung meliputi beras, tepung, gula, susu dan minyak masak bernilai RM50.

“Kita memperuntukkan hampir RM300,000 untuk membantu Orang Asli yang pendapatannya terjejas susulan PKP, justeru kita harap sumbangan ini meringankan beban mereka,” katanya selepas menyerahkan kerusi dan meja kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di sini semalam.

Dalam program sama, Loy Sian turut menyerahkan bakul makanan kepada 50 warga emas Orang Asli.

Kira-kira 22,992 masyarakat Orang Asli menerima manfaat langsung bantuan Kerajaan Negeri yang disalurkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah dengan kerjasama pejabat Dewan Undangan Negeri atau penyelaras, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor sasar warta 74 kampung Orang Asli pada 2023

HULU LANGAT, 7 JULAI: Selangor menyasarkan kesemua 74 perkampungan Orang Asli di negeri ini diwartakan dalam tempoh tiga tahun.

EXCO hal ehwal orang asal berkata sehingga hari ini sebahagian daripadanya berjaya diwartakan manakala baki sedang dilaksanakan secara berperingkat.

“Kita bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) kerana kita sasarkan selewat-lewatnya 2023 semua kampung Orang Asli digazetkan supaya mereka memiliki tanah sendiri.

“Mereka tidak perlu risau sekiranya dihalau (daripada penempatan) kalau terdapat sebarang aktiviti pembangunan di kawasan mereka,” kata Hee Loy Sian pada Majlis Penyerahan Kerusi dan Meja kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung-Kampung Orang Asli Hulu Langat di Balai Raya KOA Kuala Pangsun di sini hari ini.

Loy Sian berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta kepada JAKOA untuk menjalankan kerja pengukuran tanah di seluruh kawasan dan penempatan orang asal di Selangor.

“Kita tekad membantu mereka (mendapatkan tanah), jadi kita akan beri wang kepada Jakoa untuk buat kerja ukur tanah bagi memudahkan proses menggazetkan kampung terbabit,” katanya .

Difahamkan sebanyak 22 kampung orang asli terletak di Kuala Langat, Hulu Selangor (16); Sepang (15); Gombak dan Petaling (12) serta sembilan lagi di Hulu Langat.

Categories
EXCO SELANGOR

RM300,000 bantu Orang Asli terkesan Covid-19

TANJONG SEPAT, 16 MEI: Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM300,000 bagi membantu masyarakat Orang Asli di Selangor yang terkesan susulan penularan wabak Covid-19, kata EXCO hal ehwal pengguna.

Hee Loy Sian berkata sumbangan dalam bentuk barangan keperluan asas bernilai RM50 setiap satu itu diagihkan demi meringankan bebanan ditanggung mereka.

“Setakat ini bantuan diserahkan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli,” katanya selepas penyampaian sumbangan Covid-19 di DUN Tanjung Sepat di sini hari ini.

Dalam majlis itu Loy Sian dan Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah menyerahkan bantuan kepada hampir 600 keluarga dari Kampung Orang Asli Tanjung Sepat dan Kampung Orang Asli Bukit Bangkong.

Beliau berkata selain barang makanan penduduk yang terjejas turut menerima sumbangan susu dan lampin pakai buang.

Kedua-dua kampung di DUN Tanjong Sepat itu merupakan antara penempatan Orang Asli terbesar di Selangor dari suku kaum Mahmeri.