Categories
SELANGOR

Bantuan baja mikrob tingkat hasil padi

OLEH : HAFIZAN TAIB

TANJONG KARANG, 22 MAC: Kalangan petani di sini berharap bantuan baja mikrob diterima dapat membantu meningkatkan hasil penanaman padi diusahakan mereka.

Dengan peningkatan itu memberikan lebihan hasil pendapatan diraih mereka selama ini.

Petani muda, Mohd Nor Hafiz Mohd Sani, 29, dari Blok E2, Sawah Sempadan, berkata usaha Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan itu adalah langkah wajar membantu kalangan petani di situ.

“Bantuan baja mikrob ini diharap boleh meningkatkan hasil padi dan akan datang mungkin akan ada lagi bantuan lain.

“Memang dari segi pendapatan ada bertambah tetapi tidak banyak antara satu ke dua tan metrik iaitu anggaran lebih kurang RM1,000,” katanya kepada SelangorKini.

PADIHafiz adalah antara 800 petani yang mendapat bantuan baja mikrob disampaikan Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib dalam majlis Program Peningkatan Hasil Padi dan Penyerahan Bantuan Baja Mikrob di sini, pada 20 Mac lalu.

Beliau yang mengusahakan kerja itu daripada bapanya tahun lalu menjelaskan antara masalah dihadapi dalam mengusahakan penanaman padi ialah masalah kekurangan air, serangan siput kundang dan padi angin.

Petani veteran, Juri Tumijan, 74, dari Blok Q2, Sawah Sempadan menyifatkan bantuan itu sebagai usaha membantu mereka meningkatkan hasil penanaman padi dengan mendapatkan pendapatan lebih baik.

Katanya, ini disebabkan kebanyakan petani menghadapi masalah dari segi penyakit seperti reput tangkai, busuk akar dan sebagainya.

“Kebiasaan saya mendapat hasil antara enam hingga tujuh tan metrik semusim tetapi bila ada masalah ia turun mendadak dan banyak, yang mana faktor ini akan menjejaskan pendapatan,” katanya yang berpengalaman lebih 50 tahun dalam pertanian.

Begitu juga Ibrahim Dahalan, 56, dari Sungai Besar, menjelaskan padi angin antara faktor yang boleh menjejaskan hasil pendapatan petani.

“Padi angin boleh dikatakan sering berlaku dan ia akan mengurangkan hasil petani.

“Bantuan baja mikrob dengan teknologi dimiliki mungkin dapat membantu dalam mengatasi masalah dihadapi petani,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Keberkesanan penanaman padi lima kali dua tahun dikaji

OLEH : HAFIZAN TAIB

TANJONG KARANG, 21 MAC: Projek penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun di Selangor sudah dimulakan dengan kajian susulan dijalankan bagi menilai keberkesanannya.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata masih terlalu awal membuat rumusan bagi usaha itu dan ia hanya menampakkan kesan apabila mencapai musim kelima.

PADI“Sekarang masih pada peringkat ketiga iaitu sudah masuk tahap kedua dan kita nak menanam untuk musim ketiga.

“Kita tidak mahu terlalu awal memberikan rumusan, biar habis tempoh lima musim baru boleh dibuat konklusi apa sepatutnya dilakukan untuk akan datang,” katanya kepada media di sini, semalam.

Projek penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun adalah antara usaha dijalankan bagi menampung permintaan tinggi pasaran dan meningkatkan pendapatan pesawah.

Berhubung perkara itu, beliau berkata, secara purata pengeluaran hasil padi di Selangor mencatat purata 6.15 tan metrik berbanding purata di peringkat nasional 4.5 tan metrik.

“Kita jauh ke hadapan malah ada di kalangan pesawah di negeri ini yang mencapai 10 tan metrik maka fokus kita ketika ini kepada golongan pesawah yang mendapat hasil kurang daripada itu.

“Kerana itu kita latih dan galakkan mereka menggunakan baja ‘natural farming’ untuk jangka masa panjang supaya mampu meningkatkan hasil,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Putrajaya patut serius selesai isu insentif padi

OLEH: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 2 JAN : Kerajaan Persekutuan diingatkan supaya tidak memandang enteng isu Insentif Peningkatan Hasil Padi (IPH) yang menimpa petani di Selangor.

Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata ia bagi mengelakkan petani daripada terus terbeban mengusahakan sawah yang menelan kos tinggi.

PADI“Diharap Kerajaan Persekutuan tidak memandang ringan hak sepatutnya diterima petani kerana mereka memerlukan bantuan sebegini.

“Apatah lagi kini banyak agensi kerajaan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan isu pertanian yang sepatutnya lebih efisyen,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, setakat ini hanya petani di Sekinchan dimaklumkan menghadapi perkara itu, sementara kawasan lain sedang dalam semakan.

Sebelum ini, Selangor Kini melaporkan petani di Sekinchan berhadapan isu IPH yang memerlukan penyelesaian segera bagi membela golongan berkenaan.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata isu itu dihadapi mereka agak lama dan dikatakan sudah tertangguh sejak tiga tahun lalu.

Pada 10 Disember lalu, Suee Lim bersama kira-kira 100 petani dari Sekinchan mengadakan himpunan di hadapan kilang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di sana, supaya masalah pembayaran subsidi dan IPH diselesaikan segera.

Suee Lim juga tidak menolak kemungkinan petani mengadakan himpunan beramai-ramai di Putrajaya sekiranya tiada jalan penyelesaian.

EZY

Categories
SELANGOR

Penanaman padi 5 musim 2 tahun lancar

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 JUL: Walaupun percubaan projek penanaman padi lima musim untuk dua tahun berjalan lancar tetapi keputusan sebenar hanya diketahui selepas berakhirnya satu pusingan selama lima musim.

Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata beberapa perkara dianalisis teliti terlebih dahulu bagi menentukan sama ada projek ini boleh diteruskan pada masa akan datang.

“Kita dah buat di Kampung Sawah Sempadan tetapi keputusan akhirnya kita boleh ketahui selepas tamat satu pusingan untuk lima musim penanaman selama dua tahun apabila kita kena lihat kesan kepada hasil, penyakit, juga kesuburan tanah dan sebagainya.

padi_sabak_01“Kalau projek ini tak menjadi di peringkat awal, kita boleh dapat tahu di mula-mula lagi tetapi keputusan paling baik kita boleh perolehi selepas habis tempoh lima musim itu untuk kita pastikan keadaan sebenarnya,” kata Zaidy ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Jelasnya, kajian dilakukan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebelum ini menunjukkan projek ini boleh dijalankan sebelum mencuba di petak sawah sebenar di Kampung Sawah Sempadan.

“Kemudahan infrastruktur bekalan air, kawalan serangga perosak, kawalan penyakit dan sebagainya kita kena sesuaikan semula untuk projek lima musim dua tahun ini.

“Walaupun sekiranya kita mendapati hasilnya bagus nanti tetapi kita juga perlu melihat kesan terhadap kesuburan tanah dan lain-lain,” kata Zaidy lagi.

EZY

Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: Maklumat Tanaman Padi Luar Jadual

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 APR: Bagi musim pertama, Sawah Sempadan dijadual air mula masuk pada 1 Januari manakala tempoh menuai pula selama 120 hari bersamaan empat bulan.

Bagi musim kedua pula, Sawah Sempadan mula menerima air pada 1 Julai dengan tempoh menuai juga empat bulan.

Bagi Sungai Burong, air masuk pada 1 Februari bagi musim pertama dan 1 Ogos bagi musim kedua.

padi_sabak_01Bagi Sungai Besar, air masuk pada 1 Mac bagi musim pertama manakala musim kedua 1 September.

Sungai Besar mula masuk air pada 1 April bagi musim pertama dan musim kedua bermula 1 Oktober.

Penuaian padi sepatutnya dalam tempoh 120 hari dari tarikh menanam dan antara tempoh menuai dan jadual air masuk, lazimnya mengambil masa kira-kira dua bulan.

Tanaman luar jadual boleh menyebabkan kelewatan untuk musim kedua, contohnya tanaman sepatut bermula pada Julai terpaksa ditunda hingga Ogos.

Ini menyebabkan ketidakseragaman dalam tempoh pengawalan air masuk.

Risiko serangan serangga dan perosak juga lebih tinggi akibat kawasan lain belum bertanam lagi.

Hasil padi pada tanaman luar jadual selalunya berada pada tahap 2.5 tan berbanding hasil dalam jadual iaitu 6.14 tan semusim.

Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: Penanaman padi 5 kali setahun, kesuburan tanah jadi pertikaian

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 APR: Penanaman padi lima kali dua tahun diyakini meningkatkan pengeluaran padi Selangor, seterusnya mengukuhkan ekonomi pesawah.

Lebih 40 tahun bergelumang di bendang, Fadzlin Taslimin, 67, mengingatkan pihak berkaitan untuk menyediakan prasarana lengkap.

“Kita tidak mahu gagal sebab prasarana tidak mencukupi, yang memberi kesan langsung kepada pengeluaran padi.

“Dengan tunjuk ajar dan cara betul, pasti matlamat meningkatkan pengeluaran padi dan pendapatan pesawah berjaya,” kata bapa kepada lima anak itu.

benih_padi_KSelangor_hires-WEB BARUMohd Maksum Ramli, 52, dari Sungai Besar pula berkata tanaman dua kali setahun tidak lagi produktif.

“Daripada biar tanah berehat lama, lebih baik dikerjakan. Hasil pun dapat kepada negeri, juga pesawah atau penyewa petak.

“Kalau biar lama pun, tikus berleluasa seterusnya penjagaan di sawah juga kurang, tanah terbiar,” kata Ketua Kumpulan Petani Barat Laut Selangor itu.

Zulkifli Ibrahim, 40, berpendapat tanaman lima kali dua tahun langkah terbaik membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan.

“Contohnya, jika ibu tunggal yang sewakan petak sawah, sebelum ini mungkin dua tahun empat kali, tetapi lepas ini dapatlah wang sewa untuk lima kali dalam tempoh sama.

“Begitu juga dengan penduduk kampung, mungkin ada lebih peluang untuk mengerjakan sawah,” katanya.

Bagaimanapun, Abu Bakar Yahaya, 51, dari Sungai Burong berkata beliau mahu tanaman dua kali setahun diteruskan.

“Pengeluaran padi lebih berkualiti dengan keadaan tanah cukup rehat dan cukup masa dikerjakan pesawah.

“Kalau masa rehat pendek, kita pun tidak sempat kemas kini tanah, hasil juga dikhuatiri tidak memuaskan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor perlu tumpu 3 teras utama tingkat hasil padi

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 17 FEB: Hasrat Selangor menjadi negeri pertama melaksanakan penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun mampu direalisasikan dengan menumpukan tiga teras utama merangkumi bekalan air, kejenteraan yang mencukupi dan pelaksanaan projek perintis.

Mantan Penasihat Pertanian Perbadanan Menteri Besar (MBI), Noorazimah Taharim berkata, projek perintis diperlukan dalam usaha seumpama itu bagi memastikan keberkesanan kejuruteraan dan kemampuan modal insan.

padi_sabak_01“Pelaksanaan projek perintis itu perlu dilakukan dalam skala yang besar sekurang-kurangnya semua lot sawah sepanjang satu tali air.

“Mustahil untuk laksanakan projek perintis pada skala kecil kerana keperluan padi di setiap tali air itu berbeza.

“Maklum balas projek perintis dapat membantu perancang untuk pelaksanaan seterusnya,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau yang juga mantan Pengarah Jabatan Pertanian Selangor itu berkata, Kerajaan Negeri dan pihak terlibat akan menerima maklum balas berhubung kemampuan bekalan air menerusi projek perintis berkenaan.

buku sri padi organik 02Katanya, ia juga memberi pendedahan dan kesempatan kepada perancang untuk meneroka kaedah penanaman yang berbeza dalam situasi kecukupan pengairan berbeza.

Selain itu, masalah serangan perosak, kesuburan tanah, kemampuan penghasilan padi dan komitmen pesawah boleh ditangani di peringkat awal sebelum dilaksana secara menyeluruh.

“Selangor mempunyai kelebihan dari sudut kejenteraan dan sistem pengurusan padi yang lebih baik berbanding negeri lain.

“Namun, Selangor perlu memastikan bekalan air sampai ke semua petak sawah pada masa yang diperlukan untuk laksana usaha besar ini.

benih_padi_KSelangor_hires-WEB BARU“Kejuruteraan juga perlu ditingkatan iaitu mesin penyediaan tanah dan tuai hasil mesti ada pada masa yang diperlukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Noorazimah berkata, usaha besar meningkatkan hasil padi itu juga perlu disertai dengan kesungguhan dan kerjasama agensi kerajaan, swasta dan pesawah.

“Pesawah Selangor juga terdedah dengan beberapa teknik penanaman padi dan saya yakin mereka mampu menukar kaedah penanaman apabila keperluan timbul,” katanya.

-NFN-