Categories
NASIONAL

Mukhriz: Tidak mustahil tanam padi waktu malam

YAN, 4 MEI: Cadangan supaya petani menjalankan aktiviti tanaman padi pada waktu malam dalam usaha membantu mempermudah dan meringankan kerja mereka tidak mustahil kerana amalan itu pernah dilakukan, pada masa dahulu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, bagi sesetengah rakyat mungkin ada yang merasakan bahawa cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebagai luar biasa dan tidak masuk akal, namun ia sebenarnya bukanlah perkara baharu.

“Saya masih ingat lagi zaman kecil dulu di Tokai, Pendang ada orang pasang lampu gasolin untuk buat kerja pada sebelah malam. Dia (Tun Dr Mahathir) orang lama jadi dia masih ingat benda itu.

“Bagi saya, cadangan itu bukan pelik dan mungkin ia boleh dipertimbangkan kalau ada kebaikan dan beri manfaat kepada golongan terlibat. Lagi-lagi bila hendak elak cuaca panas macam sekarang ini,” katanya selepas merasmikan Program Jom Turun Bendang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini, hari ini.

Beliau, yang juga Pengerusi MADA berkata, walaupun kos tanaman padi mungkin bertambah kerana perlu memasang lampu, namun ada kelebihan lain yang boleh diperoleh dan cadangan itu boleh dipertimbangkan.

“Kalau nak kira dari segi kos, dulu pun makan kos tapi hasil okay sahaja, jadi kalau semua dipertimbangkan ia dapat diseimbangkan balik. Bagi MADA kita akan tengok keadaan semasa dahulu macam mana dan kalau hendak buat pun belum tentu dalam skala yang besar,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya Mukhriz berkata Kerajaan Negeri memberi jaminan akan terus mempertahankan status Kedah sebagai ‘Negeri Pertanian’ walaupun pada masa ini terdapat perebutan tanah bagi tujuan pembangunan industri, perumahan, kawasan tadahan dan hutan simpan.

“Kedah adalah pengeluar padi terbesar di Malaysia dan hasil dari kawasan MADA seluas 100,685 hektar yang diusahakan oleh 57,635 petani ini mampu menyumbang kepada 40 peratus dari pengeluaran padi negara.

“Kita sedang merangka pelan-pelan khusus untuk melonjak pertumbuhan sektor pertanian supaya ia terus berkembang seiring dengan perubahan teknologi dan sains masa kini.

“Kita akan menggalakkan penggunaan teknologi terkini dalam penanaman padi bagi meningkatkan hasil padi pada kos yang menguntungkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Sistem saliran bendang Sabak Bernam perlu perhatian serius

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SABAK BERNAM, 5 NOV: Masalah sistem saliran bendang yang membelenggu pengusaha padi sejak sekian lama diharap mendapat perhatian serius agensi kerajaan dan pihak berwajib, di daerah itu.

Pegawai Daerahnya, Nasir Mamat berkata, usul itu antara yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah supaya dapat memanjangkan masalah berkenaan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Katanya, sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap masalah yang timbul, khususnya kepada petani di kawasan terbabit.

“Sistem saliran air di terusan utama tidak dapat disalurkan ke seluruh kawasan bendang dan ia memberi kesan kepada sesetengah petani yang tidak dapat menanam padi seperti dijadualkan.

“Keadaan bertambah sukar apabila pengusaha padi terpaksa mengepam saliran air sendiri daripada parit lebih besar untuk disalurkan ke sawah mereka.

“Perkara itu turut membebankan mereka untuk menanggung kos pam yang begitu besar,” katanya kepada SelangorKini, baru-baru ini.

Pada masa sama, katanya, mekanisme baharu yang lebih komprehensif perlu dilaksanakan segera oleh JPS termasuk agensi Integrated Agriculture Development Authority (IADA).

“Kemungkinan mereka masih menghadapi kekurangan daripada segi teknikal, perincian tanah, pam air dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kita berharap masalah ini akan dapat diselesaikan bersama JPS nanti,” katanya.

Katanya, isu lain yang juga perlu diberi perhatian khusus adalah kemudahan infrastruktur seperti masalah jalan raya yang berlubang sehingga menjejaskan keselamatan pengguna.

Categories
SELANGOR

Hasil pusat belian padi PPK Pasir Panjang catat RM2.29 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 26 SEPT: Hasil pusat belian padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pasir Panjang mencecah RM2.29 juta bagi musim pertama tahun ini.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Hamzah Bahari berkata, susulan kejayaan itu, sebuah lagi pusat belian padi dibina dalam kawasan sama.

Katanya, sebelum ini terdapat dua pusat belian di PPK Pasir Panjang iaitu di Tali Air 10, Pasir Panjang yang dibina, pada 1994 dan keduanya di Parit Cangkat yang dibina, pada 1995.

“Terbaru, pusat belian padi ketiga dibina di Sungai Leman, pada 2017 dan mula beroperasi sepenuhnya awal tahun ini.

“Ia sekali gus membolehkan penampungan kapasiti padi sebanyak 200 tan sehari, antara kawasan yang terbabit ialah Parit 7 Tengah, Parit 7 Baroh, Sungai Leman, Timur Parit 8 dan Tali Air 8,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pusat Belian Padi PPK Pasir Panjang, di sini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayub dan Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

Hamzah berkata, PPK Pasir Panjang mempunyai 4,851 ahli didaftarkan dengan keluasan kawasan padi yang dikendalikan seluas 7,083.4 hektar.

Katanya, hasil belian padi musim pertama, pada 2018 di Sungai Leman itu berjumlah RM1,600,200 dengan berat 1,575 tan metrik.

“Untuk pemasaran belian padi biasa, PPK akan memasarkan hasil pusat belian padi ke kilang antaranya Kilang Bernas Sekinchan, Kilang Dataran Pusaka Hayat Maju dan Kilang Firmarina.

“Sementara PPK Pasir Panjang memasarkan hasil pusat belian padi ke PPK Lahar Bubu dan Felcra. LPP kini mempunyai 42 pusat belian padi di seluruh Malaysia,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemutihan subsidi pesawah dilaksana pastikan bantuan telus

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 25 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melaksanakan proses pemutihan subsidi pesawah bagi membolehkan bantuan tersebut sampai kepada penerimanya dengan lebih telus.

Menterinya, Dato’ Salahuddin Ayub berkata, ketirisan dalam pemberian subsidi tersebut menyebabkan ada petani yang tidak menerima bantuan sewajarnya.

Katanya, ia sekaligus menggagalkan usaha kerajaan untuk memantapkan sektor padi negara.

“Proses pemutihan subsidi ini perlu dibuat memandangkan kita lihat ada penerima bantuan yang mana umurnya semakin meningkat dan sebagainya.

“Saya berharap supaya masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Belian Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pasir Panjang, hari ini.

Salahudin bagaimanapun memberitahu, insentif buat pesawah masih lagi kekal dan tiada rancangan bagi meningkatkan jumlah bantuan terbabit.

“Kerajaan hanya akan meningkatkan hasil pesawah ini melalui pemberian baja yang lebih bermutu, itulah tindakan yang akan dilakukan kementerian bagi membolehkan peningkatan hasil padi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Sekinchan antara pengeluar padi terbaik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 25 SEPT: Sekinchan adalah antara lokasi pengeluar padi terbaik di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayub.

Katanya, sehingga kini pesawah Sekinchan berjaya menghasilkan lapan hingga sembilan tan metrik hasil padi untuk sehektar.

“Berbanding dengan tempat lain, mereka hanya memperoleh antara empat hingga lima tan metrik hasil padi sahaja,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pusat Belian Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pasir Panjang, di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, disebabkan itu beliau turut mengkaji faktor perbezaan yang berlaku agak ketara, sekali gus meletakkan Sekinchan di tempat yang terbaik.

“Antara faktornya ialah disiplin pesawah dan teknologi yang digunapakai. Oleh itu, saya menyeru supaya semua pesawah di negeri ini mengubah sikap supaya lebih berdaya saing.

“Tidak kira Melayu, Cina atau Banjar. Jika ada disiplin, semua akan berjaya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, Sekinchan juga bakal menjadi perintis projek penanaman padi wangi yang pertama di negara ini ekoran kesuburan tanah dan sistem saliran yang serba lengkap serta moden.

Ia ekoran pesawah di Sekinchan juga memiliki teknik penanaman padi terbaik, sekali gus mampu menjayakan projek yang dijangka menambah pendapatan pesawah, di situ.

“Walaupun terdapat banyak kekangan dan risiko dalam proses menanam padi wangi tetapi kita harus berani mengorak langkah untuk mencipta kejayaan serta yakin kerana sebelum ini Sekinchan terkenal sebagai hasil tuaian padi tertinggi juga berkualiti,” katanya.

 

 

 

Categories
NASIONAL

PADI Rescue gesa Putrajaya tubuh Lembaga Padi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 OKT: Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (PADI Rescue) menggesa Kerajaan Persekutuan mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN).

Koordinator PADI Rescue, Nur Fitri Amir berkata, penubuhannya bagi memastikan hak pengusaha tani terjamin dengan beberapa aspek pembaikan.

Beliau berkata, penambahbaikan itu termasuk LPN mempunyai kuasa penuh, pada setiap peringkat bermula dari pemilihan benih padi sehingga ke pemasaran beras, lapor BH Online.

“Hanya badan yang bebas dari kepentingan komersial atau keuntungan sahaja layak menjaga industri padi dan beras negara, bukan syarikat persendirian seperti BERNAS (Syarikat Padi dan Beras Nasional Berhad) yang ditadbir berdasarkan kepentingan komersialnya.

“Tidak dinafikan BERNAS berjaya dalam memastikan kelangsungan syarikat dengan mengaut keuntungan berjuta ringgit, namun syarikat terbabit gagal menjalankan tanggungjawab sosialnya untuk terus memperkasakan kilang beras milik Bumiputera.

“Kini, hanya 20 kilang Bumiputera yang menyertai skim di bawah BERNAS berbanding lebih 200 kilang sebelum ini. Kami hairan mengapa jumlah kilang berkenaan boleh merosot sedangkan keperluan beras di negara ini tidak pernah berkurang,” katanya.

Terdahulu, gabungan itu hadir menyerahkan memorandum 14 tuntutan di Bangunan Perdana Putra bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Ahmad Yazid dan Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Musonnef Md Radzi.

Antara 14 tuntutan itu termasuk kawalan tetap dikenakan terhadap kemasukan beras import sama ada secara sah atau tidak.

Selain itu, keperluan supaya kerajaan dapat memberi hak pemborong dan peruncit beras kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Malah, kajian semula penstruktruan kaedah pemberian subsidi harga padi perlu dijalankan bagi semua hasil sama ada dijual terus, digunakan sendiri untuk benih atau dikisar menjadi beras.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor pandu jentera penuai, rasai pengalaman pesawah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEKINCHAN, 22 MEI: Walaupun berstatus diraja, ia tidak menghalang Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli untuk merasai pengalaman menuai padi menggunakan jentera penuai, di Ban 2 Sawah Padi, di sini.

Diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama jurupandu jentera, baginda dilihat tidak kekok memandu jentera penuai pada jarak sepanjang 50 meter mengelilingi kawasan tapak padi.

Sebelum ini, aktiviti tuaian padi menggunakan jentera penuai adalah penggunaan teknologi terkini yang giat dilaksanakan pesawah seluruh negeri bagi meningkatkan hasil tani.

SULTAN SEKINCHAN (11)Malah, di peringkat Kerajaan Negeri, Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib sebelum ini menyarankan penggunaan teknologi moden dimaksimakan bagi meningkatkan lebihan pengeluaran kini.

Terdahulu, baginda berkenan mencemar duli menyantuni masyarakat Sekinchan sempena lawatan rasmi baginda di daerah itu.

Turut mengiringi baginda pada siri lawatan rasmi itu adalah Tengku Permaisuri, Tengku Norashikin dan delegasi pimpinan Kerajaan Negeri.

Sementara itu, kawasan yang dilawati baginda antaranya di Kilang KHIND, Kilang Beras Rakyat Sekinchan, Galeri Padi, Wisma Masri dan Restoran Hao Xiang Chi Seafood.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor tinjau proses padi negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEKINCHAN, 22 MEI: Komited memastikan pengeluaran beras tani berasaskan penghasilan padi negeri berada dalam keadaan terbaik, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli meninjau proses penghasilan beras, di Kilang Operasi Beras, PLS Marketing (M) Sdn Bhd, di sini.

Diiringi Tengku Permaisuri, Tengku Norashikin bersama Dato’ Menteri Besar, Dato Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin bersama delegasi pimpinan Kerajaan Negeri, baginda turut berkenan mendengar taklimat penghasilan beras tani dilaksanakan di kilang berkenaan.

Sesi taklimat disampaikan, Pengarah Urusan PLS Marketing (M) Sdn Bhd, Lim Mau Soo sebelum diperkenan baginda untuk dibawa ke beberapa bahagian pemprosesan beras mengikut jenis dan piawaian hasil tani.

SULTAN SEKINCHAN (1)Terdahulu, baginda tiba di daerah itu sempena lawatan rasmi baginda ke Sekinchan untuk mendekati masyarakat setempat khususnya di kawasan pinggir bandar.

Untuk rekod, Sekinchan antara kawasan pertanian di Selangor yang menghasilkan produk padi tertinggi di negeri itu.

Sekinchan juga kawasan di bawah Parlimen Sabak Bernam yang mempunyai keluasan 14,099 hektar kawasan penanaman padi bersamaan 71 peratus daripada keseluruhan tanaman padi di negeri itu.

Sebelum ini, Selangor mencapai perolehan pengeluaran padi terbesar negara dengan penghasilan 6500 kilogram tan setahun, bagi tempoh 2011 hingga 2015.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Optimis Selangor kekal pengeluar padi terbesar negara

KUALA SELANGOR, 21 APR: Selangor mencapai perolehan pengeluaran padi terbesar negara dengan penghasilan 6500 kilogram tan setahun, untuk tempoh 2011 hingga 2015.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, beliau optimis kejayaan itu mampu dikekalkan walaupun perolehan untuk tahun 2016 masih belum dikeluarkan.

“Komitmen berterusan di pihak pentadbiran negeri dan usaha gigih golongan petani Selangor meletakkan kita sebagai pengeluar produk tani tertinggi negara,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tempoh 2016 dan 2017 menyaksikan kesukaran produk pertanian ekoran serangan Bakteri Hawar Daun (BLB), namun kebajikan petani serta pengusaha masih menjadi teras utama pentadbiran negeri.

LANTIKAN KETUA BLOK (3)“Kesungguhan ini dinyatakan sendiri Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengumumkan bantuan RM8.7 juta bagi membantu pengusaha tani yang terkesan.

“Bantuan disalurkan mengikut keutamaan kadar kerosakan dan mengenepikan sentimen sokongan parti politik seperti didakwa individu tertentu sebelum ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Lantikan Ketua Blok di Hotel Apps di sini, hari ini.

Tidak terhenti setakat itu, Zaidy berkata, Kerajaan Negeri turut menyalurkan keperluan bantuan baja organik dan racun rumpai kepada pengusaha tani terbabit dengan jumlah peruntukan RM943,300.

“Peringkat awalnya di bawah portfolio saya, kita salurkan bantuan dalam bentuk baja mikro sebanyak 2000 botol membabitkan 2000 lot dan racun rumpai 2600 lot.

“Bantuan Kerajaan Negeri ini tentunya sedikit sebanyak melegakan pengusaha tani kerana difahamkan di peringkat Persekutuan khabarnya ada janji untuk diberikan bantuan. Tetapi sampai sekarang belum lagi,” katanya.

Terdahulu, seramai 169 petani bagi kawasan Barat Selangor dipilih sebagai ketua blok baru bagi tempoh lanjutan dua penggal bermula tahun ini.

Categories
SELANGOR

Serangan BLB: Pesawah berputih mata

OLEH AFIX REDZUAN

SEKINCHAN, 5 DIS: Pesawah di Sekinchan mengharungi detik sukar selepas serangan Hawar Daun Bakteria (BLB) pada musim kedua tahun ini.

Lim Mau Soon, 43 yang sudah mengusahakan tanaman pada sejak sekian lama berkata, tiupan angin kuat pada hari ke-46 mengakibatkan tanaman padinya di tujuh lot musnah.

Menurutnya, kesan serangan angin itu menyebabkan padi layu dan tidak dapat mengeluarkan hasil seperti biasa.

img_20161205_113841_720“Tiupan angin kuat semasa kita meletakkan baja urea mengakibatkan daun pada yang lembut bergesel sesama sendiri dan luka. Bakteria akan terus merebak,” katanya.

Beliau berkata, serangan BLB mengakibatkan kerugian sekitar RM7,000 untuk satu lot.

Mau Soon berkata, petani di Sekinchan khususnya mengharapkan kerajaan dapat menghulurkan membantu dan sumbangan bagi meringankan beban mereka memulakan musim tanaman baru tahun hadapan.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor pantau langkah kawalan kualiti benih padi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri giat melakukan pemantauan kawalan kualiti benih padi di peringkat bawahan walaupun tugas mengenainya tertakluk di bawah bidang kuasa agensi Persekutuan.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata agensi Kerajaan Negeri giat memberikan pendedahan kepada petani bagi menjana pertumbuhan hasil pertanian negeri.

“Kita memang kekurangan pegawai untuk pemantauan benih padi, untuk pengetahuan dewan, tugas (pemantauan) adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

img_5551-800x533“Namun kita akan turun bersama agensi negeri untuk berikan maklumat kepada pesawah khususnya tentang langkah kawalan untuk menghasilkan petani yang lebih berkualiti,” katanya.

Sebelumnya, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Sallehen Mukyi membangkitkan isu kualiti dan pemantauan berterusan oleh agensi Kerajaan Negeri berhubung isu kawalan benih padi di seluruh negeri.

Terdahulu, proses penswastaan loji benih padi diselaraskan di bawah tangungjawab sepenuhnya Kerajaan Persekutuan menerusi pengusaha yang dilantik untuk membekalkan benih padi oleh Kerajaan Pusat yang diketahui umum mempunyai hubungan baik dengan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Noh Omar.

Dalam perkembangan lain, Zaidy yang juga ADN Taman Templer mendedahkan inisiatif yang giat dilaksanakan di peringkat negeri secara holistik membantu masalah kekurangan air oleh petani di Selangor.

“Langkah yang dirangka oleh Jabatan Pertanian adalah menggunakan pam bagi mengempar air dari parit dan merangka penjadualan semula penanaman padi jika masalah air berlaku dengan kritikal.

“Selain itu, pembinaan parit tengah juga dibuat bagi menjamin bekalan air dalam petak sawah,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pusat proses padi manfaat penduduk Sungai Besar

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 15 MEI : Kerajaan Negeri mempertimbang untuk menyediakan sebuah pusat memproses padi di daerah Sabak Bernam sebagai galakan dan sokongan kepada penghasilan beras seluruh negeri.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata cadangan pembinaan pusat tersebut sedang diteliti meliputi pelbagai aspek demi manfaat jangka panjang kepada golongan petani.

Padi“Jika perancangan Kerajaan Negeri menjadi kenyataan, berkemungkinan kita akan mewujudkan sebuah pusat memproses padi khusus untuk hasil program natural farming.

“Namun begitu, ia masih lagi diperingkat perancangan dan kita sama-sama berdoa agar perancagan tersebut dapat dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Peningkatan Hasil Padi bagi daerah Sabak Bernam (DUN Sungai Panjang) di Dewan Binjai Jaya, Sungai Panjang di sini, pagi tadi.

Dua daerah di Selangor yang menjadi kawasan pengeluaran padi terbesar di negeri ini adalah di Sabak Bernam khususnya di Sungai Panjang dan daerah Kuala Selangor.

Sementara itu, Zaidy berkata keseluruhan kawasan padi bertanam di Selangor berjumlah 19,856 hektar dengan jumlah petani seramai 9057.

Katanya daerah Sabak Bernam sahaja mempunyai keluasan kawasan tanaman padi sekuas 14,099 hektar manakala Kuala Selangor mempunyai keluasan kawasan tanaman padi seluas 5,757 hektar.

“Jika dibandingkan dengan keluasan kawasan tanaman padi negeri lain, Sleangor bukanlah sebuah negeri pengeluar padi terbesar atau mempunyai keluasan tanaman luas.

“Namun, Selangor merupakan sebuah negeri yang mempunyai pengeluaran hasil padi tertinggi di Malaysia sebanyak 6.15 tan metrik semusim,” katanya.

Perolehan itu diharap mampu melonjakkan lagi kedudukan ekonomi Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia.

EZY