Petani Sekinchan Tidak Puas Hati BERNAS Turunkan Harga Padi

demo petani BERNAS ng sallehin 01

TANJONG KARANG 5 JUN: Petani di kawasan Sungai Burong dan Sekinchan berasa tidak puas hati dan kecewa terhadap penurunan harga pembelian padi yang ditawarkan oleh Padiberas Nasional (Bernas) di kawasan mereka.

Rata-rata petani mendakwa Bernas kini membeli padi daripada mereka dengan harga RM 1,150 bagi satu tan metrik. Iaitu kurang RM 130 daripada harga 1,280 satu tan yang ditawarkan kepada petani di Tanjong Karang.

Mereka mendakwa pengurangan kira-kira RM 130 satu tan melibatkan kerugian yang besar kepada para petani yang hanya bercucuk tanam dan menjual padi sebanyak dua kali setahun.

Seorang petani, Samsuddin Hussain, 62, mendakwa golongan petani dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kerana menurunkan harga sewenang-wenangnya setelah petani bekerja keras menanam padi.

demo petani BERNAS ng sallehin 02“Petani ini macam tidak diambil berat, macam dipermain-mainkan, seolah-olah petani tak ada nilai diri sedangkan mereka adalah pengeluar makanan negara.

“Ini yang kami tak puas hati, dengan masalah harga padi yang diturunkan ini, kalau turunkan sama saja di semua kawasan, kita tak terasa sangat,” katanya.

Samsuddin ditemui bersama hampir 200 orang petani yang mengadakan demonstrasi aman di hadapan Kilang Bernas Sekinchan di sini semalam.

Dianggarkan kawasan Sungai Burong, Sekinchan dan Sabak Bernam mempunyai seramai 5,000 petani yang terjejas dengan penurunan harga Bernas itu.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehin Mukhyi dan Adun Sekinchan, Ng Swee Lim.

Sementara itu, Sallehin yang juga Adun Sabak berkata, penurunan sebanyak RM 100 bagi setiap tan metrik adalah sangat membebankan kerana menanam padi merupakan perniagaan utama bagi penduduk di Sekinchan sehingga ke Sabak Bernam.

“Penurunan RM100 itu kecil, tapi kalau 10 tan metrik? Mereka (petani) sudah hilang RM 1,000, dan RM 1,000 ini terlalu banyak yang boleh digunakan kepada petani.

“Bahkan RM 1,000 ini telah melepasi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM 500 pada tahun lalu,” ujarnya.

Katanya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengambil pendekatan segera bagi menyelesaikan masalah ini sebelum musim menuai berakhir.

Dalam pada itu, seorang lagi petani, Samudin Abdullah , 47, melahirkan perasaan kecewa kerana setelah mengeluarkan kos yang besar bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi tetapi harga pula diturunkan.

“Beza petani di negeri-negeri lain, kami petani di Selangor memang banyak mengeluarkan belanja untuk pertanian. Contoh kadar sewa yang tinggi, kadar racun yang mahal, jadi apabila harga padi menurun, jadi kami sangat merasa kerugian,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Petani Selangor Bantah Harga Padi BERNAS – BULETIN 13

BULETIN 13 Untuk 04062013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Polis akan membenarkan perhimpunan Black 505 di Kuala Lumpur untuk diteruskan jika diadakan mengikut syarat-syarat dalam Akta Perhimpunan Aman, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

2. Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya jam 9 pagi esok untuk didakwa di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

3. Saiful Asraf Idris pegawai kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali disoal siasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selama dua jam hari ini.

4. Sekurang-kurangnya 200 orang petani sekitar Sungai Burong dan Sekinchan menunjuk perasaan secara aman di hadapan Kilang Bernas Sekinchan hari ini bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap perubahan harga belian hasil padi.

Demonstrasi itu dilakukan sebagai reaksi terhadap tindakan Padiberas Nasional (Bernas) yang menurunkan harga pembelian padi di kawasan mereka.