Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Penggambaran filem, drama dibenar dalam studio, pawagam tutup

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Aktiviti penggambaran filem, drama, dokumentari, animasi, produksi muzik dan seumpamanya bagi rakaman dalaman (studio), dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 7 Jun.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memaklumkan aktiviti itu dibenarkan dengan jumlah kru yang minimum tanpa penonton, selain perlu membuat permohonan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) dan tertakluk kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Industri Kreatif yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, operasi pawagam tersenarai sebagai aktiviti yang tidak dibenarkan dalam tempoh pelaksanaan PKP.

“Aktiviti pawagam pandu masuk dibenarkan dengan syarat, perlu mematuhi SOP yang ditetapkan MKN serta semua garis panduan meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan pekerja serta tindak balas kecemasan,”kata Finas dalam kenyataan hari ini.

Perincian lanjut mengenai SOP dan garis panduan tersebut boleh didapati menerusi laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my

Pada Isnin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara sebagai langkah tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 berikutan trend kenaikan kes secara mendadak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKMM, Finas pantau pematuhan SOP pawagam, kekang Covid-19

PUTRAJAYA, 25 DIS: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memantau pelaksanaan dan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang Covid-19 di pawagam seluruh negara.

Dalam kenyataannya hari ini, Finas berkata satu Program Lawatan Santai ke Pawagam telah diadakan di Golden Screen Cinemas (GSC) di Alamanda di sini semalam, bertujuan memantau pelaksanaaan dan pematuhan SOP di pawagam itu.

Program itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek dan turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) KKMM Tan Chuan Ou serta Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Mohammad turut melawat Bilik Projektor GSC bagi memantau operasi dan proses penayangan filem di pawagam.

Menurut Finas, sesi lawatan santai itu berupaya mengukuhkan hubungan strategik antara KKMM, Finas dan pemain industri pawagam dalam mendepani cabaran pemulihan ekonomi impak penularan Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Aktiviti pawagam pandu masuk dibenarkan, tertakluk SOP

SHAH ALAM, 9 JULAI: Kerajaan membenarkan pawagam memperkenalkan konsep baru tayangan dengan menontonnya dari dalam kenderaan di lokasi terbuka.

Menteri kanan (keselamatan) berkata jualan makanan juga perlu dibuat dalam talian dan pengunjung mengambilnya secara pandu lalu, tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP).

“Petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga perlu ditempatkan untuk mengawal pergerakan pengunjung,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memperincikan SOP  bagi rujukan semua operator.

Konsep tayangan itu popular di luar negara dan kerajaan mahu memperkenalkannya berikutan wabak Covid-19.

Categories
PENDAPAT RENCANA

PKPP: Taman tema, pawagam berhati-hati, kekalkan kebersihan

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Pembukaan semula operasi taman tema bermula Rabu ini bukan sahaja membuka ruang ekonomi penggiat industri tetapi turut memberi peluang kepada orang ramai untuk beriadah dan bersantai bersama keluarga.

Semasa mengumumkan kebenaran untuk subsektor itu beroperasi semula, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak 54 buah taman tema termasuk taman tema air dibenarkan beroperasi bermula 1 Julai ini, melibatkan lebih 10,000 tenaga kerja di seluruh negara, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Antara SOP utama ialah memastikan jarak sosial dipatuhi pada setiap masa, saringan suhu badan pengunjung di pintu masuk utama dan memastikan had jumlah pengunjung mengikut kapasiti ruang serta saiz kawasan taman tema.

Pengarah Eksekutif Taman Tema Sunway Calvin Ho berkata pengumuman kerajaan itu tiba tepat pada masanya memandangkan keadaan jangkitan Covid-19 dilihat semakin terkawal dan orang ramai berpeluang melakukan pelbagai aktiviti yang sebelum ini dilarang seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“Bagaimanapun, masih tetap perlu berhati-hati dan ikuti semua SOP. Kami di Sunway Lagoon, Selangor dan Lost World of Tambun di Perak akan pastikan pengunjung patuhi jarakan sosial ketika beriadah selain menyediakan cecair pembasmi kuman,” katanya ketika menjadi tetamu dalam talian rancangan Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV, semalam.

Kapasiti Pengunjung Dibenarkan

Mengenai kapasiti pengunjung ke taman tema berkenaan, Ho berkata hanya 30 peratus atau kira-kira 15,000 pengunjung akan dibenarkan memasuki taman tema itu setiap hari.

“Jika sebelum berlaku Covid-19 dulu, pengunjung di Sunway Lagoon seramai 50,000 sehari,” katanya.

Selain itu Ho memaklumkan kolam-kolam mandi yang terdapat di taman tema berkenaan akan diperiksa secara lebih kerap termasuk diuji oleh kontraktor kawalan kualiti yang bebas.

“Kami sentiasa berhubung dengan Kementerian Kesihatan mengikut keperluan dan memastikan maklumat tepat disalurkan kepada orang awam secara konsisten,” katanya.

Pematuhan SOP Pawagam

Sementara itu, syarikat MBO Cinemas memberi jaminan akan memastikan protokol kebersihan diamalkan sepanjang masa, antaranya melaksanakan pembersihan dan pembasmian kuman di ruang legar pawagam, laluan pejalan kaki, kaunter pelanggan dan seluruh kawasan panggung sebelum dan selepas operasi.

Ketua Pegawai Operasinya Cheah Chun Wai berkata syarikat berkenaan akan memastikan semua SOP dipatuhi termasuk menyediakan kaunter pemeriksaan suhu badan dan menanda jarak sosial di kaunter tiket, kiosk makanan dan kaunter pemeriksaan tiket.

Berkenaan harga tiket untuk setiap tayangan, beliau berkata perkara itu akan diputuskan selepas mengambil kira keseluruhan proses persiapan yang dibuat bagi pembukaan semula operasi pawagam.

Menyentuh jumlah penonton yang akan dibenarkan berada di dalam sebuah panggung, Cheah berkata SOP membenarkan maksimum 250 penonton bagi setiap sesi bergantung pada keluasan panggung berkenaan.

Antara judul-judul filem yang bakal ditayangkan di MBO pada Julai ini ialah filem aksi Jepun, ‘Kaiji: Final Game’; filem komedi seram dari Thailand ‘Low Season’; dan filem seram Korea, ‘Train to Busan 2: Peninsula.’

-BERNAMA