Categories
AGENDA NASIONAL

Polis sedang kesan dua lelaki samun kedai emas

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Polis sedang mengesan dua suspek lelaki yang disyaki terlibat menyamun barangan kemas di sebuah kedai emas di Seri Kembangan, di sini, Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata rompakan itu dipercayai berlaku kira-kira 2.31 petang.

Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai melarikan sejumlah barang kemas yang nilainya masih lagi dalam siasatan dengan memecahkan cermin kedai emas dengan objek tumpul.

“Selain itu, suspek dipercayai telah melarikan diri menggunakan dua buah motosikal,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Mohd Rosdi berkata pihaknya sedang mengenal pasti kerakyatan dan umur suspek yang terlibat dalam rompakan berkenaan.

Beliau berkata kes samun itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh tampil ke mana -mana balai polis bagi membantu siasatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua lelaki ditahan baling mercun di sekatan jalan raya

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Dua lelaki ditahan selepas bertindak membaling mercun ke arah anggota polis yang sedang bertugas di sekatan jalan raya di Jalan Lebuh Raya Karak, dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe dalam kenyataan berkata sebelum kejadian pada kira-kira 10.30 malam itu, anggota polis ternampak kedua-dua suspek berusia 16 hingga 20 tahun itu menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan dan berhenti di tepi jalan berhampiran sekatan jalan raya, yang diadakan sebelum Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong, Pahang.

“Tiba-tiba seorang daripada mereka bertindak membakar serta membaling mercun bola ke arah anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya dan terus melarikan diri.

“Polis kemudian mengejar dan menangkap kedua-dua suspek tidak jauh dari sekatan jalan raya. Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui satu paket plastik lut sinar yang mengandungi 14 biji mercun bola bersama satu pemetik api,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya selain 14 biji mercun bola dan pemetik api, pihaknya turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dan dua topi keledar.

Kedua-dua suspek didapati negatif ujian saringan air kencing dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Arifai berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan dibenarkan tahan reman tiga hari hari mulai hari ini hingga 21 Mei (Jumaat) untuk siasatan lanjut,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan lelaki tendang pintu pagar masjid hingga tercabut

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Akibat marah kerana tidak diberi kebenaran bersolat di sebuah masjid di Batu Caves, di sini, seorang lelaki bertindak menendang pintu pagar masjid berkenaan sehingga tercabut, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata susulan satu laporan, polis menahan suspek lelaki berumur 35 tahun itu, yang perbuatannya dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan.

Beliau berkata rakaman CCTV itu menunjukkan seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Nissan Navara bertindak menendang pintu pagar masjid sehingga tercabut lalu terjatuh.

“Polis telah menahan suspek selepas dia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak berhubung kes itu semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat harta benda, dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membencana atau mencemarkan tempat ibadat.

Arifai berkata masjid berkenaan sememangnya ditutup, dan notis penutupannya ada ditampal di pintu pagar masjid itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keluarga anggota polis beraya di sekatan jalan, tidak langgar SOP PKP

PUTRAJAYA, 15 MEI: Hasil siasatan polis mendapati gambar tular di media sosial melibatkan keluarga yang didakwa tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan isteri membawa anak-anak melawat suami bertugas di sekatan jalan raya (SJR) adalah anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya yang bertugas dan tinggal di daerah ini bersama keluarga dan anak.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata gambar tular itu disahkan berlaku pada 13 Mei, kira-kira 1 tengah hari di SJR Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil, melibatkan anggota IPD Putrajaya yang bertugas dan tinggal di daerah Putrajaya bersama keluarga dan tiga orang anak berumur 11 tahun, 10 tahun dan 5 tahun.

“Kehadiran isteri dan anak anggota pada hari tersebut adalah bagi memberi sokongan moral kepada anggota berkenaan kerana bertugas di pagi raya di samping menyerahkan juadah hari raya. Selesai bersalaman, keluarga anggota tersebut telah beredar pulang ke rumah. Pemeriksaan mendapati tiada pelanggaran SOP PKP dilakukan oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata imej polis tercalar ekoran gambar yang tular semalam pada 11 pagi yang menunjukkan keluarga anggota tersebut tidak patuh SOP PKP dengan melawat suami yang bertugas di SJR Putrajaya.

Mohd Fadzil menegaskan pihak IPD Putrajaya tidak akan berkompromi sekiranya wujudnya pelanggaran SOP PKP dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat di atas maklumat yang disalurkan kepada polis bagi memastikan pematuhan SOP dipatuhi.

Beliau turut menasihati orang awam sentiasa merujuk kepada sumber sahih sebelum membuat perkongsian di media sosial.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Anggota polis, bekas pegawai kanan Bukit Aman disiasat langgar SOP raya

SHAH ALAM, 15 MEI: Polis menyiasat enam anggota serta seorang bekas pegawai kanannya berhubung pelanggaran tatacara operasi piawaian (SOP) sambutan Aidilfitri kelmarin.

Ketua polis Shah Alam berkata siasatan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 (Melanggar SOP PKP) dan sabit kesalahan boleh dikompaun antara RM2,000 hingga RM10,000.

“Kertas siasatan ini akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya dalam kadar segera,” kata Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib menerusi kenyataan hari ini.

 

Terdahulu gambar anggota polis berkumpul menikmati juadah di sebuah rumah ketika pemantauan Ops Covid-19 tular di media sosial hingga mendapat kecaman warga maya.

Menurut Baharudin siasatan mendapati gambar terbabit dimuat naik di Facebook milik bekas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Kamarudin Mat Desa yang bersara pada 2007.

“Menerusi gambar itu, enam anggota Balai Polis Seksyen 6 sedang menikmati juadah ketika menjalankan pantauan di rumah Kamaruddin selepas terdapat enam kereta di rumah berkenaan,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis Selangor keluar 122 kompaun, dua babit aktiviti raya

SHAH ALAM, 15 MEI: Sebanyak 122 kompaun mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan semalam, pada hari kedua sambutan Aidilfitri.

Ketua polis Selangor berkata daripada jumlah itu 21 merupakan kesalahan rentas daerah dan negeri.

“Kita turut mengeluarkan dua kompaun iaitu satu daripadanya membabitkan kesalahan aktiviti ziarah raya di Ampang melibatkan warga tempatan.

“Manakala satu lagi dikenakan kepada warga Myamar yang menganjurkan jamuan di Kajang dan penganjur telah ditangkap,” kata Dato’ Arjunaidi Mohamed kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau menggesa masyarakat kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan berusaha mengekang penularan Covid-19.

Arjunaidi turut meminta orang ramai mempunyai maklumat berhubung pelanggaran SOP Aidilfitri sama ada ziarah jamuan raya atau tanah perkuburan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua tahun terajui polis, Abdul Hamid tamat kontrak perkhidmatan 4 Mei

KUALA LUMPUR, 2 MEI: “Saya tak berhasrat untuk kekal lebih lama dalam jawatan ini…setiap yang bermula itu pasti akan berakhir,” kata Tan Sri Abdul Hamid Bador yang akan menyerahkan jawatan Ketua Polis Negara kepada timbalan beliau Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada Isnin.

Dua tahun menerajui pasukan Sang Saka Biru, dan sepanjang tempoh itu ada sesuatu yang beliau terkilan kerana tidak dapat dilaksanakan iaitu melawat Sabah dan Sarawak bagi menyelesaikan masalah-masalah pasukan di dua negeri itu.

“Tiada apa yang hendak saya sesali tapi hasrat saya adalah untuk ke sana (Sabah dan Sarawak) kerana di sana begitu banyak isu yang tidak dapat diselesaikan antaranya kes perjudian dan persempadanan negara.

“Saya tidak dapat pergi ke Sabah dan Sarawak sebab Covid-19 ini, banyak isu di Sarawak tapi saya mohon maaflah sebab sekiranya saya pergi (perlu) dengan kuarantin dan macam-macam…,” katanya.

Beliau berkata sesuatu yang drastik perlu dilakukan di Sarawak dan berharap pucuk pimpinan polis selepas ini dapat memberi perhatian terhadap isu integriti, penyeludupan, perjudian dalam talian dan maksiat yang dikatakan banyak berlaku di sana.

Memegang jawatan tertinggi pasukan keselamatan negara pada 4 Mei 2019, Abdul Hamid akan menamatkan kontrak perkhidmatan beliau pada 3 Mei 2021.

Sebagai Ketua Polis Negara ke-12, Abdul Hamid dilihat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya untuk membersihkan maruah pasukan itu dengan memerangi habis-habisan rasuah dalam pasukan polis.

Tidak kira anggota, pegawai, pegawai kanan mahupun pegawai kanan tinggi dalam pasukan pasti tidak akan terlepas daripada diambil tindakan baik secara dalaman atau dihadapkan ke muka pengadilan jika didapati terbabit dalam rasuah, salah laku dan bersekongkol dengan pesalah jenayah.

“Pedih rasa dalam hati saya apabila melihat seorang demi seorang anak buah saya dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Abdul Hamid juga dikenali sebagai Ketua Polis Negara yang lantang bersuara menegur warga polis dengan mendedahkan kes-kes anggota dan pegawai yang terlibat masalah integriti, salah guna kuasa dan salah laku serta lain-lain kes jenayah lagi.

Kelantangan dalam mendedahkan pelbagai kartel dalam pasukan bagaimanapun mendapat kritikan dan kecaman daripada pelbagai pihak termasuk warga polis sendiri dan ahli politik yang kurang senang dengan tindakannya dan menyifatkannya sebagai membuka pekung di dada.

Antara kejayaan besar polis di bawah kepimpinan Abdul Hamid ialah mematahkan cubaan penyeludupan dan pengedaran dadah di Pulau Pinang dengan nilai rampasan terbesar RM2.4 bilion, menggempur sindiket Macau Scam dan judi dalam talian yang turut membongkar penglibatan anggota dan pegawai polis sendiri.

Berikutan itu, seramai 31 warga polis yang dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian itu diambil tindakan, antaranya akan dibuang kerja, penurunan pangkat atau memindahkan mereka ke jawatan tidak sensitif dan lain-lain lagi yang difikirkan adil dan setimpal oleh Suruhanjaya Pasukan Polis.

Apa pun bak kata Abdul Hamid, setiap yang bermula pasti akan berakhir dan mulai Selasa 4 Mei ini, tugas, amanah serta tanggungjawab itu akan digalas oleh Acryl Sani sebagai Ketua Polis Negara ke-13 untuk terus meningkatkan integriti dan maruah pasukan Sang Saka Biru.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Astro Awani jamin kerjasama penuh kepada polis

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Astro Awani memberi jaminan pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam membantu siasatan berhubung dakwaan penyampaian berita yang menimbulkan kontroversi menerusi program ‘AWANI 745’ baru-baru ini.

Ketua Pengarangnya Ashwad Ismail berkata saluran berita dan ehwal semasa 24 jam itu sentiasa berpandangan bahawa institusi kepolisian negara yang menjamin keharmonian, keselamatan dan kesejahteraan orang ramai perlu dihormati dan dipelihara sepanjang masa.

“Astro Awani kekal komited untuk mengukuhkan kerjasama rapat yang wujud antara komuniti dan polis menerusi laporan yang beretika, seimbang dan berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani berkata polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kes seorang penyampai berita yang dikatakan membuat kenyataan berbaur fitnah di televisyen.

Acryl dipetik oleh media berkenaan sebagai berkata tindakan pembaca berita itu menimbulkan fitnah dan kebencian masyarakat terhadap pihak penguat kuasa, terutama polis.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

12 pegawai penguat kuasa disyaki terlibat Geng Nicky ditahan

JOHOR BAHRU, 27 APRIL: Seramai 12 pegawai penguat kuasa disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah terancang yang didalangi ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee ditahan di beberapa negeri setakat hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 10 pegawai polis dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berusia lingkungan 35 hingga 49 tahun.

Beliau berkata mereka ditahan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, pada 21 April hingga hari ini menerusi Ops Pelican 3.0 Fasa 2.

“Tangkapan melibatkan dua pegawai berpangkat Superintendan (Supt) yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Inspektor di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Tiga lagi bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, masing-masing berpangkat Deputi Superintendan (DSP) di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Asisten Superintendan (ASP) (Cawangan Khas) dan Inspektor di JSJ IPK manakala seorang bertugas sebagai Inspektor di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata tangkapan turut melibatkan seorang pegawai berpangkat DSP yang bertugas di JSJ, IPD Melaka Tengah manakala di IPK Kuala Lumpur pula melibatkan dua pegawai berpangkat ASP masing-masing bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di IPD Sentul.

Menurutnya, tangkapan di IPK Negeri Sembilan pula melibatkan pegawai berpangkat Inspektor bertugas di Pulapol Air Hitam sementara tangkapan di SPRM pula melibatkan dua pegawai berpangkat Penolong Pesuruhjaya dan Penguasa SPRM di Putrajaya.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan selama 28 hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 130V hingga Seksyen 130ZB Kanun Keseksaan Bab VI B Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 SOSMA.

Tangkapan terbaru itu menjadikan seramai 64 individu sudah ditahan disyaki terlibat dengan kumpulan Geng Nicky, tambahnya.

“Polis Johor akan terus menjalankan siasatan susulan, untuk mengenal pasti saki-baki individu yang terlibat, kami percaya akan ada lagi dari agensi penguatkuasaan yang akan ditangkap,” katanya.

Pada 30 Mac lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Hamid Bador mendedahkan terdapat 34 pegawai dan anggota agensi penguatkuasaan disyaki bersekongkol dengan kumpulan Geng Nicky.

Dalam sidang akhbar sama, Abdul Hamid turut dilaporkan sebagai berkata seramai 68 ahli kumpulan jenayah terbabit diberkas termasuk lapan orang kenamaan bergelar Datuk Seri dan Datuk.

– BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Samun bersenjata: Polis tahan empat lelaki

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Polis menahan empat lelaki di sekitar Gombak dan Sentul yang disyaki terlibat dalam satu kes samun bersenjata di sebuah kedai runcit di Bandar Baru Selayang, Batu Caves, di sini, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata dalam kejadian samun pada kira-kira pukul 3.00 pagi itu, seorang lelaki berumur 58 tahun yang baru membuka kedainya didatangi dua suspek bersenjatakan sebilah parang, yang terus menariknya ke dalam kedai lalu mengikat kakinya di belakang kedai.

Beliau berkata selepas menyelongkar, suspek mengambil pelbagai jenis rokok serta wang tunai bernilai RM2,000 sebelum turut melarikan cincin emas yang dipakai anak perempuan lelaki berkenaan; dan dua beranak itu tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya mengalami kerugian dianggarkan RM5,000.

Dalam satu kenyataan hari ini Arifai berkata berikutan penahanan suspek yang berumur antara 23 dan 35 tahun itu semalam, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya sebuah kereta jenis Toyota Vios, tiga telefon bimbit, sebilah parang, dan satu unit kamera litar tertutup.

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah serta dadah, dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

“Kesemua suspek kini direman selama enam hari untuk siasatan lanjut dan polis masih mengesan saki-baki rakan mereka yang terlibat dalam kes ini, yang masih bebas,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

10 individu ditahan terlibat judi dalam talian

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Mampu mengaut keuntungan mencecah antara RM2,000 hingga RM5,000 sehari, itulah kegiatan 10 individu yang disyaki terlibat sindiket perjudian dalam talian.

Selain mempromosi dan menawarkan kegiatan berkenaan, sindiket berkenaan dikesan aktif beroperasi sejak lapan bulan lepas di dua buah kondominium di Subang Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata dalam operasi petang semalam, pihaknya menahan lapan lelaki dan dua wanita warga tempatan, berusia lingkungan 18 hingga 33 tahun di kedua-dua premis itu.

Beliau bekata, sindiket berkenaan beroperasi selama 24 jam dan mereka dibayar sekitar RM1,500 dan RM3,000 sebulan, bagi menjalankan kegiatan haram itu.

“Kami telah merampas tiga set komputer, empat buah komputer riba, 20 unit telefon bimibit, dua buah modem, satu unit router, empat keping kad BigPay dan satu pemacu pena di kedua-dua premis berkenaan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(a), 41(g) dan 41(c) Akta Judi Terbuka 1953 kerana disyaki terlibat dalam penganjuran judi dalam talian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Abd Khalid berkata, permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat hari ini di Mahkamah Shah Alam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak 3 tahun positif dadah, dipercayai perbuatan bapa tiri

NILAI, 21 APRIL: Polis sedang mengesan bapa tiri yang dipercayai menyebabkan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun didapati positif dadah jenis Amfetamina dan Methapetamina.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata laporan itu diterima daripada doktor yang bertugas di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur (Wad Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur) berkaitan ujian air kencing yang dijalankan terhadap kanak-kanak tersebut pada tiga hari lepas.

Mohd Fazley berkata siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dijaga oleh bapa tirinya di Nilai pada 14 April lepas.

“Keesokan harinya, ibu kepada kanak-kanak itu telah membawa anaknya ke hospital untuk mendapat rawatan kerana melihat anaknya berkelakuan aneh dan tidak seperti kebiasaanya.

“Rawatan yang dilakukan di hospital berkenaan mendapati kanak-kanak itu positif dadah jenis Amfetamina dan Methapetamina,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata alamat terakhir lelaki yang bekerja sebagai tukang jahit pakaian bernama Mohd Faresh Khalid berusia 38 tahun di C-13-7 Apartment Mawar Sari Setiawangsa, Kuala Lumpur dan PT 8413 Jalan 5/4B, Taman Desa Jasmin, Nilai.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 14(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi ASP Md Nurazam Md Ghazali di talian 013-800 5225 dan Pegawai Penyiasat Inspektor Rozainita Aida Mohamed Bakri di talian 011-3333 0025/ Inspektor Normi Hashim (013-694 9623) atau balai polis berhampiran.

– BERNAMA