Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rentas negeri tujuan kerja, perubatan dan pendidikan dibenar Isnin hingga Khamis

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Pergerakan rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata pergerakan rentas negeri melibatkan ketiga-tiga kategori tidak dibenarkan pada hari Jumaat hingga Ahad.

“Polis mengambil serius peningkatan kes baharu Covid-19 sejak empat hari lepas. Usaha untuk mengekang penularan wabak itu telah diperketatkan polis.

“Ini tidak termasuk bagi urusan melibatkan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Acryl Sani berkata untuk rentas negeri bagi tujuan kecemasan dan kematian yang dibenarkan hanya melibatkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak serta adik-beradik.

Beliau berkata pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis dan jamuan lain adalah dilarang.

“Aturan ini akan berterusan sehingga selepas Aidilfitri dan mana-mana pihak yang ingkar akan diambil tindakan tegas,” katanya.

Mengulas ketidakpatuhan tatacara operasi piawai (SOP) oleh pengunjung bazar Ramadan dan pasar malam, Acryl Sani berkata semua Ketua Polis Daerah dan pasukan pemantau SOP akan digerakkan ke semua lokasi untuk membuat pemantauan.

“Sekiranya SOP tidak dipatuhi, polis akan mengemukakan saranan kepada Pihak Berkuasa Tempatan agar aktiviti perniagaan di kawasan terlibat dihentikan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis guna CCTV, dron perkukuh kawalan sempadan negara

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Polis memperkukuh kawalan sempadan negara menerusi penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) selain dron di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar berkata pemasangan CCTV ketika ini sudah dilakukan namun ia terhad seperti di kawasan Padang Besar, Perlis yang jaraknya kira-kira enam kilometer sahaja.

Beliau berkata pihaknya sedang mempertimbangkan bagi meletakkan CCTV di kawasan-kawasan tertentu atau hotspot yang telah dikenal pasti memandangkan kos untuk meletakkan CCTV di sepanjang kawasan sempadan adalah tinggi.

“Sebenarnya ada (kawasan) yang telah dipasangkan CCTV yang hasilnya kita akan dapat sepertimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (beberapa tahun lepas) menunjukkan gambar terdapat anggota keselamatan yang terlibat membantu penyeludup,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Abdul Rahim berkata dengan teknologi dron pula, pihaknya dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga manusia sebanyak satu batalion iaitu kira-kira 500 anggota dan tidak memerlukan sejumlah anggota yang ramai bagi menjaga serta mengawal sempadan negara.

“Dron akan terbang 24 jam dengan membuat kawalan keselamatan. Jadi, setiap apa yang berlaku, ia akan salurkan sebarang informasi kepada pusat gerakan untuk diambil tindakan,” katanya.

Tambahnya, selain penggunaan dron dan CCTV, teknologi seperti penggunaan radar akan digunakan khusus di kawasan perairan sempadan Sabah bagi meningkatkan kawalan.

Selain itu, Abdul Rahim berkata pihaknya akan menambah jumlah keanggotaan bagi kawalan sempadan di Sabah dan Sarawak berikutan langkah kerajaan Indonesia ingin menjadikan Borneo sebagai ibu negara baharu negara itu bagi menggantikan Jakarta selain bertujuan mengatasi kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan.

“PDRM akan tambah satu briged di Sabah dan menempatkan satu batalion di Keningau, Kudat dan Kunak. Kita (polis) juga ada buat tambahan batalion di Sarawak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hasilkan dadah daripada cendawan pada najis lembu

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Polis mengesan kegiatan menghasilkan dadah dengan cara kotor dan jijik seperti daripada cendawan yang tumbuh pada najis lembu untuk digunakan bagi tujuan hiburan.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Deputi Komisioner Zainudin Ahmad berkata dadah jenis tersebut kebanyakan dalam bentuk cecair sering digunakan dengan dicampurkan ke dalam minuman sewaktu penganjuran parti liar dan di pusat hiburan.

“Najis lembu akan mengeluarkan cendawan dan akan diproses…dadah jenis ini akan membuat mereka yang mengambilnya berhalusinasi.

“Mereka yang mengambil dadah jenis ini akan positif ujian air kencing,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini, malam tadi.

Zainudin berkata walaupun penggunaan dadah tersebut masih sedikit dan kurang popular di pasaran tempatan namun pihaknya sentiasa berwaspada dengan permintaan dadah masa kini.

Jelasnya lagi, permintaan terhadap dadah jenis ganja, syabu dan heroin masih mendapat permintaan tinggi.

Sementara itu, mengulas mengenai trend baharu pengedaran dadah ketika negara dilanda pandemik Covid-19, Zainudin berkata sindiket kini semakin aktif menggunakan perkhidmatan e-panggilan, kurier dan e-dagang untuk meneruskan aktiviti mereka.

Menurutnya, sejak 18 Mac tahun lepas sehingga semalam, pihaknya telah membuat 156 tangkapan yang melibatkan penghantar dan penerima iaitu e-panggilan (40 tangkapan), kurier (100) dan e-dagang (16).

“Kita bekerjasama dengan syarikat perkhidmatan kurier dan mereka akan melaporkan jika terdapat maklumat pada barangan yang mencurigakan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ: Hobi ubai suai kenderaan undang padah jalan raya

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Hanya kerana hobi dan minat, segelintir pemilik kenderaan sanggup tidak mengendahkan undang-undang dan melakukan pengubahsuaian kenderaan secara haram sehingga mengundang bahaya dan kemalangan jalan raya.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata setiap peraturan jalan raya ditetapkan bukan semata-mata untuk mengutip kompaun, malah demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

“Sebagai contoh penggunaan lampu High Intensity Discharged (HID) yang dipasang dengan kuasa melebihi standard ditetapkan, boleh mengganggu penglihatan pengguna jalan raya lain dan menyebabkan kemalangan,” katanya pada selepas mengetuai operasi bersepadu di Jalan Cheras berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, di sini malam tadi.

Operasi selama empat jam berakhir 12 tengah malam itu melibatkan seramai 133 pegawai dan anggota daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Mohd Zaki berkata tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah langkah terakhir dalam memastikan semua pengguna jalan raya berada dalam keadaan selamat dengan mematuhi peraturan ditetapkan.

Dalam operasi itu, sebanyak 1,750 kenderaan diperiksa dengan 197 dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, sebanyak 365 notis dikeluarkan dengan kesalahan tertinggi iaitu 170 notis kerana tiada lesen memandu, menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’ (76 notis) dan tiada lesen kenderaan motor (67 notis) dan 52 lain-lain kesalahan.

Sementara itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur memeriksa 245 kenderaan dengan 47 notis dikeluarkan, manakala JAS memeriksa 53 kenderaan dengan 11 daripadanya dikenakan tindakan.

Seramai 28 individu juga diarah menjalani ujian saringan air kencing dengan 10 daripadanya didapati positif dadah jenis methaphetamine dan ganja.

Dua lelaki warga Myanmar ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

27,000 pegawai, anggota polis terima vaksin Covid-19 fasa pertama

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyenaraikan seramai 27,000 nama pegawai dan anggota di lima kontinjen polis negeri untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata PDRM menyasarkan lebih 50 peratus pegawai dan anggotanya untuk diberi suntikan vaksin Covid-19 secara berperingkat.

Beliau berkata bagaimanapun, sembilan kontinjen polis negeri masih lagi menunggu senarai nama.

“Saya tiada jumlah tepat senarai nama penerima vaksin Covid-19 tetapi ribuan pegawai dan anggota polis akan diberi vaksin pada fasa pertama ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur di sini.

Turut menerima suntikan itu ialah Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Mazlan Lazim serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim.

Sementara itu, menceritakan pengalaman beliau disuntik vaksin tersebut, Abdul Hamid berkata ia tidak menyakitkan dan memberi jaminan bahawa vaksin berkenaan adalah selamat.

“Saya baru sahaja menerima vaksin pertama pada hari ini dan Alhamdulillah, prosesnya begitu mudah malah suntikan itu tidak menimbulkan sebarang rasa sakit kepada badan saya.

“Selepas 45 minit disuntik, saya tidak merasakan sebarang perbezaan kepada diri saya dan proses suntikan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) cukup teratur,” katanya.

Mengulas mengenai segelintir warga PDRM yang was-was terhadap suntikan vaksin itu, Abdul Hamid menyeru pegawai dan anggotanya agar menghentikan perbuatan mendengar dan membaca maklumat tidak sahih berhubung vaksin tersebut.

“Saya perlu menunjukkan satu contoh kepada anak buah saya (warga PDRM) bahawa saya telah menerima vaksin ini dengan selamat dan saya dengar sekumpulan (pegawai dan anggota polis) lagi masih ragu-ragu akan proses suntikan vaksin ini.

“Saya sebagai ketua pasukan dalam PDRM, memberi jaminan tiada apa yang hendak diragukan atau luar biasa berhubung vaksin berkenaan,” katanya.

Abdul Hamid berkata maklumat yang tidak benar mengenai vaksin ini seharusnya dihentikan serta-merta dan mereka perlu mendengar pandangan KKM serta pakar kesihatan.

“Oleh itu, mana-mana individu yang menghasut atau menghebahkan berita palsu kepada masyarakat supaya tidak ambil vaksin Covid-19 boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan,” katanya.

Ditanya sama ada PDRM menerima laporan berhubung golongan antivaksin yang menghasut dan menghebahkan berita tidak tepat berhubung isu vaksin, beliau berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis setakat ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

KPN: Pastikan ‘Tan Sri’, ‘Datuk Seri’ dalang sindiket dadah diheret ke muka pengadilan

JELI, 27 FEB: Polis mengenal pasti beberapa dalang utama sindiket penyeludupan dadah di negara ini yang berselindung di sebalik status ‘Tan Sri’, ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata Jabatan Narkotik di Bukit Aman kini dalam proses untuk mengambil tindakan terhadap tauke dadah terbabit, yang juga didapati hidup mewah dengan berselindung di sebalik perniagaan yang sah menyebabkan polis sukar untuk mendapatkan maklumat yang boleh mengaitkan mereka dengan kegiatan pengedaran dadah.

“Tetapi saya akan pastikan mereka ini akan masuk (penjara), walaupun saya tahu statusnya tinggi bergelar Datuk, Datuk Seri atau Tan Sri… saya akan berusaha bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab mereka ini akan terungkai dan mereka akan didakwa.

“Paling tidak pun saya akan ambil tindakan di bawah POCA (Akta Pencegahan Jenayah 1959),” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Abdul Hamid berkata telah tiba masanya kegiatan golongan itu didedahkan dan mereka dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan yang merosakkan ribuan masyarakat akibat terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.

“Beribu masyarakat rosak disebabkan perbuatan mereka hendak mendapatkan keuntungan secara haram ini dan sudah berapa ramai yang masuk penjara, berapa ramai warga polis terhukum disebabkan menerima rasuah untuk beri perlindungan menutup kegiatan tauke-tauke dadah ini.

“Jangan ingat mereka boleh berselindung di sebalik title yang mereka ada itu untuk menjalankan aktiviti perniagaan yang kononnya sah tetapi sebaliknya melakukan kegiatan jenayah seperti pengedaran dadah,” katanya.

Abdul Hamid turut memberi jaminan polis di setiap peringkat daerah dan negeri akan menjalankan siasatan secara telus dan terperinci berhubung sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah itu bagi memastikan setiap rangkaian sindiket dari atas hingga ke bawah ditumpaskan.

Mengulas laporan berhubung kejadian seorang pegawai dan lima anggota polis ditahan dalam serbuan parti liar di sebuah pangsapuri di Ipoh, Perak, semalam, Abdul Hamid berkata: “Saya ingatkan kepada warga PDRM bahawa tiada maaf lagi untuk kesalahan sebegini kerana perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab.

“Saya sudah arahkan siasatan lanjut dilakukan supaya mereka tidak terlepas dan akan pastikan mereka dihukum.”

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis sedia pasukan pengiring pastikan keselamatan vaksin

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyediakan pasukan pengiring untuk jaminan keselamatan bagi setiap pergerakan vaksin Covid-19 yang tiba di negara ini, kata Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad.

Beliau berkata bagi ketibaan kumpulan pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech hari ini, 150 anggota PDRM terlibat dalam mengiringi 312,390 dos vaksin itu, selain penglibatan aset-aset PDRM seperti motosikal berkuasa tinggi, kereta peronda polis dan balai polis bergerak.

Menurutnya sebaik tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kumpulan pertama vaksin itu akan dihantar ke tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) milik syarikat logistik DHL iaitu di Subang, Selangor; Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Senai, Johor.

“Pergerakan vaksin berkenaan untuk penghantaran ke 16 PSV milik Kementerian Kesihatan (KKM) di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor pula akan dimulakan esok.

“PDRM telah mengenal pasti laluan selamat bagi vaksin berkenaan dan anggota dari pelbagai jabatan termasuk trafik dan cawangan khas akan terlibat dalam penugasan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Azri berkata selain terlibat dalam penugasan mengiringi kesemua pergerakan vaksin berkenaan, PDRM juga bertanggungjawab mengawal PSV milik syarikat logistik dan KKM, dengan menyediakan anggota statik dan juga balai polis bergerak.

Beliau berkata PDRM juga akan sentiasa membuat penilaian mengenai kemungkinan terdapat ancaman ketika pergerakan dan penyimpanan vaksin itu.

“Kami menganggap ini adalah tugasan yang sangat penting, kerana negara sudah menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin berkenaan dan ia amat penting bagi membendung penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata tiada keperluan untuk jalan-jalan di Selangor ditutup bagi memberikan kawalan keselamatan terhadap pergerakan vaksin.

“Persediaan adalah baik untuk kami tentukan keselamatan vaksin berkenaan dan polis akan mengawal ketat, serta tiada keperluan juga untuk melakukan penutupan jalan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Waspada gadai barang berharga, elak jadi mangsa tipu

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Polis meminta masyarakat berwaspada jika menggadaikan barangan berharga di pajak gadai bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata ini kerana kemungkinan wujudnya kegiatan pajak gadai tidak berlesen atau penipuan pajak gadai yang mengambil kesempatan ke atas mangsa terdesak untuk mendapatkan wang.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac tahun lepas sedikit sebanyak memberikan impak dari segi ekonomi dan pendapatan golongan tertentu. Demi kelangsungan hidup, sesetengah daripada mereka terpaksa menggadaikan barangan berharga di pajak gadai.

“Sekiranya masyarakat ingin menggadaikan barangan berharga, sila pastikan berurusan dengan syarikat pajak gadai yang dilesenkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya jangan sesekali berurusan melalui medium secara dalam talian kerana kegiatan pajak gadai hendaklah dijalankan secara fizikal di premis perniagaan berdaftar.

Beliau berkata walaupun polis tidak menerima sebarang laporan kes berkenaan, kebarangkalian untuk kes-kes sebegini berlaku adalah tidak mustahil.

Zainuddin berkata masyarakat perlu sentiasa berjaga-jaga dan mengambil tahu prosedur serta undang-undang yang berkaitan bagi mengelak diri daripada menjadi mangsa penipuan.

“Usaha dan peranan polis serta masyarakat adalah amat penting bagi memastikan negara ini terhindar daripada perlakuan jenayah komersial. Antara lain, masyarakat juga diingatkan untuk sentiasa mengamalkan sikap berjimat-cermat dan mengutamakan keperluan,” katanya.

Beliau berkata hidup secara bermewah-mewah bukan lagi suatu pilihan kerana yang lebih penting adalah memastikan kelangsungan hidup itu sendiri.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Gangguan seks: Anggota polis disyaki tidak dibenar jaga sekatan jalan

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Seorang anggota polis yang disyaki terlibat dengan dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wanita semasa sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Duta, di sini, dikeluarkan daripada penugasan SJR.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata anggota polis berkenaan sedang diambil tindakan lanjut.

“Tindakan awal yang diambil adalah mengeluarkan anggota polis terlibat kes ini daripada penugasan SJR dan tidak digantung tugas,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata suspek ketika ini sedang melakukan penugasan di bahagian pentadbiran sementara siasatan kes ini berjalan.

Semalam, tular di media sosial seorang wanita dalam ciapan Twitternya mendakwa dia mengalami gangguan seksual ketika melalui sekatan di Jalan Duta.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kegiatan bom diletupkan di Sabah – polis

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Susulan bunyi letupan dan gegaran yang dirasai penduduk di beberapa tempat di Sabah dan Labuan pagi tadi, polis menjelaskan tiada sebarang kegiatan meletupkan bom yang dilakukan pihak berkuasa di kawasan terbabit hari ini.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi Bernama.

“Saya telah semak dengan Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Hazani Ghazali) dan tiada sebarang letupan dibuat. Kemungkinan letupan yang didengari itu berpunca daripada aktiviti melibatkan petroleum. Boleh semak dengan Petronas,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, polis tidak menerima laporan daripada penduduk berhubung insiden itu dan pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengesan punca letupan serta gegaran tersebut.

Penduduk di sekitar daerah Sipitang dan Beaufort di Sabah serta Labuan panik seketika apabila digemparkan dengan bunyi letupan dan gegaran pada kira-kira 11 pagi.

Mereka mendakwa letupan dan gegaran itu dirasai selama kira-kira 10 saat.

Sementara itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memaklumkan bunyi letupan dan gegaran itu tiada kaitan dengan Latihan Perang Borneo 1/21 pasukan keselamatan tersebut.

Jurucakap TLDM berkata latihan perang itu yang bertujuan mempersiapsiagakan aset Armada Timur di sini hanya dilaksanakan pada Khamis lepas.

“Negatif, bukan daripada TLDM memandangkan Latihan Perang Borneo berlaku pada 28 Jan sahaja,” menurutnya dalam mesej menerusi aplikasi WhatsApp.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abdul Razak menafikan dakwaan pengguna media sosial bahawa kerja-kerja memusnahkan bom lama yang ditemui di Labuan baru-baru ini menjadi punca gegaran serta letupan itu kerana operasi memusnahkan bom dilakukan semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

20 individu termasuk warga asing ditahan disyaki terlibat judi dalam talian

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Dua puluh individu termasuk sembilan warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan judi dalam talian di enam premis di Taman Perindustrian Puchong Utama, Bukit Puchong, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata kesemua suspek berusia 48 hingga 62 tahun itu terdiri daripada 11 warga tempatan serta sembilan warga Myanmar dan Bangladesh.

Beliau berkata, dalam operasi yang dijalankan jam 5.30 petang, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM5,060, 11 telefon, 50 keping kertas bercetak, sekeping kertas bertulis, 10 pencetak mudah alih dan dua batang pencil.

“Hasil siasatan awal mendapati premis kedai tersebut telah beroperasi sejak tiga hingga empat bulan lalu.

Premis tersebut telah menjalankan perjudian loteri awam tanpa lesen. Seorang daripada suspek iaitu seorang wanita pernah ditahan sebanyak tiga kali termasuk semalam kerana kes yang sama,” katanya di lokasi serbuan di Taman Perindustrian Puchong Utama.

Abd Khalid berkata kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 4A(a) dan Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk siasatan lanjut.

“Mereka juga ditahan di bawah Seksyen 22(B) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP),” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ancaman laman web digodam, agensi kerajaan diberi notis amaran – MKN

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

MKN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tindakan serius itu diambil berikutan ancaman untuk menggodam laman web kerajaan menerusi penularan satu video di media sosial dikeluarkan ‘ Anonymous Malaysia’ di platform media sosial baru-baru ini.

Menurut MKN, NACSA juga sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengkoordinasi dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kerajaan amat mengambil berat dan memberi keutamaan terhadap keselamatan infrastruktur teknologi maklumat kerajaan serta sistem kritikal negara dengan menggariskan tindakan pengukuhan sistem teknologi maklumat, termasuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai berkaitan,“ menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut tindakan itu jelas digariskan menerusi Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang dilancarkan pada Oktober 2020.

Antara dakwaan ‘Anonymous Malaysia’ dalam video berdurasi 55 saat itu ialah sistem sekuriti Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan para penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam sehingga hari ini.

Sementara itu, CyberSecurity Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dalam satu kenyataan, memaklumkan pautan https://www.mycert.org.my/portal/advisory?id=MA-798.122020 boleh dirujuk bagi mengetahui amalan terbaik mengelak daripada menjadi mangsa pencerobohan dan penggodaman.

Antara cadangan menerusi pautan itu termasuk memastikan perisian antivirus sentiasa dikemas kini dan kerap melakukan salinan sandar terhadap semua maklumat kritikal.

Semua organisasi juga dicadang untuk sentiasa membuat penilaian kelemahan dan ujian penembusan terhadap sistem masing-masing, selain melaporkan insiden sekuriti kepada pihak berwajib supaya tindakan pemulihan dapat dilakukan secepat mungkin.

Selain itu, orang ramai juga boleh melaporkan insiden keselamatan siber ke Cyber999 menerusi saluran e-mel kepada [email protected]; hubungi Cyber999 di talian 1-300-88-2999 (waktu pejabat) atau +60 19 2665850; faks kepada +603 8008 7000 (waktu pejabat); atau melapor aduan melalui pesanan ringkas (SMS) ke 15888.

– BERNAMA