Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Kerajaan Negeri, kilang teliti kaedah ambil vaksin pekerja industri

SABAK BERNAM, 27 MAC: Kerajaan Selangor dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FFM) meneliti kaedah serta format sesuai pengambilan vaksin Covid-19 oleh pekerja industri.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu membantu pekerja menerima suntikan lebih awal bagi membolehkan sektor itu beroperasi sepenuhnya dan kembali merancakkan ekonomi.

“Pihak kilang tidak ada masalah dan mereka memang mahu pekerja mendapat imunisasi. Jadi kita sedang uruskan perkara ini dengan pemilik (kilang).

“Sebenarnya memang Kerajaan Negeri rancang pembelian (vaksin) tumpu kelompok industri kerana kita mahu sektor ini kembali berjalan dengan kapasiti penuh. Sekarang operasi hanya libatkan antara 30 hingga 40 peratus pekerja sahaja,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perpustakaan Awam Selangor di Dataran Sabak, Sabak Bernam semalam.

Pada Khamis, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memaklumkan jemaah menteri mengarahkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diutamakan kepada Selangor memandangkan negeri ini merupakan pemacu ekonomi negara selain memiliki kawasan industri yang besar.

Susulan itu kerajaan akan jalin kerjasama dengan sektor perindustrian bagi melaksanakan proses suntikan di kilang atau asrama pekerja.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan bersasar pekerja industri diteruskan, kawal penularan di kilang

SABAK BERNAM, 26 FEB: Saringan bersasar melibatkan pekerja industri negeri ini bakal diteruskan bagi membendung penularan Covid-19 di tempat kerja.

Bermula di Sabak Bernam, pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor berkata kaedah sama akan dilaksana di Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Menurut Dr Mohammad Farhan Rusli, inisiatif secara percuma itu akan kekal menggabungkan sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS).

“Matlamat kami apabila pekerja industri jalani ujian, ahli keluarga juga ikut serta untuk mendapat gambaran sebenar siapa positif atau tidak,” katanya ketika ditemui pada program saringan semalam.

Beliau menjelaskan program tersebut dibuat secara berfasa meliputi syarikat industri besar yang memiliki ramai pekerja selain perusahaan kecil dan sederhana.

Pada 6 Januari, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor melancarkan POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi.

Jawatankuasa terbabit perlu merangka pelan tindakan kecemasan, mengurangkan kontak luar dan memastikan semua tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) pula merekodkan pergerakan keluar masuk pekerja dan memantau komponen POIS serta menganalisis risiko pekerja bagi menyelaraskan kekerapan saringan.

 

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA Edar 370 Topi Keledar Percuma

MBSA Topi 01

SHAH ALAM, 3 OGOS : Dalam usaha mendidik masyarakat terutamanya penunggang motosikal supaya berhati-hati dan mementingkan keselamatan khususnya menjelang Aidilfitri, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil inisiatif dengan mengedarkan 370 topi keledar secara percuma.

Pengedaran topi keledar itu adalah bersempena Kempen Selamat Pulang ke Kampung anjuran MBSA dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalanraya Selangor (JKJR), Sirim QAS International Sdn Bhd dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, kempen kali ketiga itu bertujuan memupuk kesedaran kepada penunggang motosikal supaya menggunakan topi keledar yang disahkan selamat mengikut piawaian yang ditetapkan.

Menurutnya, kempen ini mensasarkan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, pekerja industri dan orang perseorangan.

“Melalui kempen ini, topi keledar akan diedarkan kepada orang ramai dengan menggunakan konsep pertukaran topi keledar lama yang tidak lagi menepati spesifikasi keselamatan kepada yang baru.

MBSA Topi 02

“Kempen ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada orang ramai dan diharapkan orang ramai sentiasa berhati-hati semasa berada di jalan raya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen itu di perhentian bas Jalan Persiaran Kayangan, Seksyen 7, di sini.

Katanya, kempen ini akan terus diperkasakan di masa akan datang melalui kerjasama dengan agensi dan badan bukan kerajaan (NGO).

Selain pengedaran topi keledar, Mohd Jaafar turut menyerahkan 500 pek bubur lambuk kepada penunggang motosikal dan orang ramai.