Categories
AGENDA NASIONAL

70 kemalangan libat pemandu mabuk, 29 maut

SHAH ALAM, 4 JUN: Sebanyak 70 kemalangan membabitkan pemandu mabuk direkodkan seluruh negara sepanjang 2018 hingga Mei lalu, kata pengarah jabatan siasatan dan penguatkuasaan trafik Bukit Aman.

Datuk Azisman Alias berkata dalam tempoh sama, 29 individu dilaporkan maut manakala 41 mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

“Seramai 50 individu sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala 20 kes lagi masih dalam siasatan,” katanya dilaporkan Harian Metro.

Azisman berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 278 Ops Mabuk sudah dilakukan dengan 1,213 pemandu disaring.

“Operasi akan diteruskan termasuk pantauan berhampiran premis menyedikan minuman keras bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan dan tiada kemalangan berpunca akibat mabuk,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Memandu di bawah pengaruh alkohol, lelaki direman empat hari

SEREMBAN, 4 JUN: Seorang penganggur direman empat hari bermula hari ini bagi melengkapkan siasatan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian 10.40 malam semalam di Taman PD Utama, lelaki berusia 45 tahun itu telah diarahkan berhenti oleh anggota polis bagi tujuan pemeriksaan selepas dia didapati memandu dalam keadaan mencurigakan.

“Setelah diarahkan berhenti, pemeriksaan yang dijalankan tidak menemukan sebarang barang salah. Seterusnya pemandu diarahkan menjalani ujian saringan penafasan bagi mengesan alkohol.

“Hasil ujian berkenaan, bacaan menunjukkan terdapat lebihan alkohol dalam darah. Pemandu berkenaan telah ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis tahan 11 lelaki memandu ketika mabuk

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Sebelas lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah di empat lokasi sekitar ibu negara malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, semua suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi di Jalan Klang Lama, Hartamas, Kepong dan Jalan Hang Tuah.

Menurutnya, dalam operasi yang bermula dari 9 malam sehingga 12 tengah malam ini, kira-kira 150 kenderaan diperiksa.

“Operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan mereka yang mengambil minuman beralkohol tidak memandu.

Mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya yang dilaksanakan pada operasi mengesan pemandu mabuk di Jalan Hang Tuah di sini malam tadi.

Katanya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai beberapa pub dan bar yang dibuka sekitar ibu negara, Mazlan berkata ada antara premis berkenaan mempunyai lesen untuk menjalankan perniagaan restoran makanan.

Bagaimanapun, Mazlan berkata 150 pasukan telah ditubuhkan bagi memantau premis terbabit dan kawasan menjadi tumpuan orang ramai supaya tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi seperti yang termaktub dalam Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Ada antara pub ini mempunyai lesen restoran yang juga menjual minuman arak tetapi kita pastikan mereka mematuhi penjarakan sosial serta menutup operasi pada 10 malam.

Sebanyak 463 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dari 19 Mei hingga semalam,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN gesa kerajaan ketat undang-undang hukum pemandu mabuk

SHAH ALAM, 3 JUN: KEADILAN menggesa kerajaan segera mengambil tindakan tegas terhadap pemandu mabuk yang menyumbang peningkatan kes kemalangan maut kebelakangan ini.

Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata undang-undang sedia ada perlu diperketatkan susulan isu tersebut mengundang kemarahan dan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

“Daripada segi hukum memang ada akta (Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) tetapi penguatkuasaan terbatas kerana hukum harus diperketatkan, justeru saya minta hal ini disegerakan.

“Tidak ada satu kelonggaran pelaksanaan hukum bagi pemandu mabuk yang akan memudaratkan nyawa manusia. Apabila mabuk, (pemandu) hilang akal dan menyebabkan kemalangan parah yang sudah tentu menimbulkan kemarahan rakyat,” katanya pada siaran langsung di Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata KEADILAN menyokong sekiranya kerajaan menjalankan ujian pengesanan alkohol terhadap pemandu bagi mengelakkan kemalangan dan jenayah terhadap orang lain.

Mengambil contoh negara barat, Anwar berkata tiada sesiapa dibenarkan memandu jika mengambil minuman beralkohol walaupun tidak mabuk untuk mengelakkan pemanduan secara merbahaya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah korban naik angkara pemandu mabuk, polis gesa hukuman berat

SHAH ALAM, 2 JUN: Sebanyak sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk direkodkan dalam tempoh lima bulan tahun ini, berbanding jumlah sama pada Januari hingga Disember tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata trend itu membimbangkan susulan angka korban meningkat ketara, lapor Harian Metro.

“Semua rakyat pasti masih ingat insiden Koperal Safwan Muhammad Ismail terkorban di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dan terbaharu penunggang motosikal maut selepas dilanggar pemandu mabuk.

“Diviralkan pula video pemandu mabuk itu mengheret motosikal sejauh dua kilometer. Kita sudah buat ujian (kandungan alkohol) dan bacaannya melebihi apa yang dibenarkan,” katanya pada program temu bual di sebuah stesen televisyen malam tadi.

Azisman berkata pihaknya mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk meminda dan menggubal Akta Pengangkutan Jalan terutama bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Beliau berkata seksyen sedia ada menetapkan kadar bacaan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 80mg/100ml masih tinggi berbanding piawaian Pertubuhan Kesihatan Dunia iaitu 50mg/100ml.

“Undang-undang sedia ada dilihat tidak setimpal atas kesalahan dilakukan pemandu mabuk sehingga mengorbankan nyawa pengguna jalan raya lain dan tidak memberi pengajaran kepada mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pemuda rempuh penjaja pasar malam Bukit Sentosa didakwa

KUALA KUBU BHARU, 29 MEI: Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan penjaja pasar malam di pekan Bukit Sentosa, dua hari sebelum Aidilfitri, minggu lalu.

Tertuduh, Kang Ming Han, 32, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan cubaan membunuh dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis.

“Tidak mengaku salah,” kata lelaki memakai baju-T berkolar warna merah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Tertuduh didakwa melakukan cubaan membunuh terhadap penjaja iaitu Norisham Abdul Rashid ,42, Mahadin Senan ,41, dan Baharum Ab Manaf ,61, dengan cara melanggar mangsa menggunakan kenderaan jenis pikap Toyota Hilux.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan, di tapak Pasar Malam Pekan Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada jam 6.35 petang, 22 Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang anggota polis iaitu Shahidan Abdul Khalil ,32, di Balai Polis Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duannya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Muhamad Amin menawarkan jaminan RM30,000 bagi semua pertuduhan kerana kes itu tular serta melibatkan rempuhan menyebabkan tiga mangsa cedera.

“Kejadian ini berlaku sebelum hari raya dan mangsa yang dirempuh cedera namun atas budi bicara mahkamah untuk menetapkan jumlah jaminan.

“Tertuduh juga sedang disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan masih dalam siasatan polis,”katanya.

Peguam Muhammad Adhwa Azfar, yang mewakili tertuduh, memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Saya memohon jaminan dikurangkan iaitu RM3,000 terhadap semua pertuduhan,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 1 Julai untuk sebutan kes dan serahan dokumen.

Sebelum ini, tular di laman sosial yang memaparkan video berdurasi seminit lapan saat dan satu lagi video sama berdurasi 44 saat menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar gerai penjaja serta orang awam di tapak penjaja Pekan Bukit Sentosa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada peluang kedua, pemandu mabuk perlu hukuman lebih berat

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Insiden kemalangan maut yang semakin menjadi-jadi melibatkan pengguna jalan raya tidak bersalah akibat sikap pemandu mabuk perlu dipandang serius dan sudah tiba masanya kerajaan memperketatkan dan menambah hukuman sedia ada terhadap pelaku terbabit.

Pada masa ini, kemalangan jiwa berpunca daripada individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Berikutan itu, ramai pihak menuntut ‘hutang nyawa seharusnya dibayar dengan nyawa’ khususnya kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.

Pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata peningkatan kes kemalangan maut disebabkan sikap pemandu mabuk sejak akhir-akhir ini memerlukan kerajaan melakukan tindakan drastik dengan menggubal undang-undang yang lebih tegas untuk menghukum pesalah tersebut.

Beliau berkata undang-undang sedia ada bagi menghukum pesalah terbabit dilihat terlalu ringan menyebabkan ramai pemandu memandang enteng kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Ada pemandu yang tidak mematuhi peraturan sehinggakan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun masih melakukan kesalahan itu. Jangan beri peluang kedua kepada pelaku.

“Penalti atau hukuman di bawah akta sedia ada dilihat tidak memberi kesan kerana terdapat segelintir pemandu yang tidak serik untuk memandu selepas mengambil minuman yang mengandungi alkohol,” katanya kepada Bernama.

Justeru, Shahul Hamid berkata beliau menyambut baik cadangan kerajaan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan berhubung kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol namun menggesa agar pelaksanaannya disegerakan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Noor Azlan Mohd Noor menyarankan agar satu tindakan secara ad hoc diambil terhadap pesalah sementara menunggu hukuman dan akta sedia ada dipinda kepada yang lebih tegas.

“Mungkin lebih ramai akan menjadi mangsa pemandu mabuk ini, maka sebelum akta yang lebih keras dikenakan, tindakan boleh diambil terlebih dahulu oleh pihak berkuasa memandangkan pindaan akta belum dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, Noor Azlan menyarankan agar hukuman mandatori setimpal dikenakan bagi memberi kesedaran kepada individu yang memandu dalam keadaan mabuk bagi mengelak kemalangan yang mungkin boleh membawa kematian atau kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Menurutnya, selain hukuman berat menanti pelaku terbabit, bakal pemandu juga perlu diberi kesedaran dan pendidikan terlebih dahulu pada peringkat permulaan iaitu sebelum mendapat lesen memandu.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sepanjang tempoh 2014 hingga 2018, sebanyak 637 kematian berpunca daripada kemalangan melibatkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Semalam, media melaporkan satu sesi taklimat di Kementerian Pengangkutan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan akan diadakan pada 1 Jun ini bagi meneliti dan menyemak semua cadangan berkaitan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada 3 Mei, seorang anggota polis bertugas di sekatan jalan raya Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dekat Kajang, maut selepas dilanggar pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki mabuk.

Pada 23 Mei, seorang lelaki yang menaiki kenderaan pacuan empat roda didakwa merempuh gerai penjaja serta orang awam di tapak penjaja Pekan dan siasatan awal polis mendapati suspek dalam keadaan mabuk semasa kejadian.

Semalam, seorang lelaki maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus, dipercayai akibat pengaruh alkohol, di Jalan Pintasan Kuantan, Pahang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Pemandu sebabkan kematian kerana mabuk direman

KUANTAN, 26 MEI: Seorang peraih ikan yang dipercayai memandu menentang arus di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja syarikat pembersihan di Jalan Pintasan Kuantan di sini, malam tadi, direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 42 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Najwa Hashim selepas suspek yang memakai baju-T berwarna putih dan berseluar pendek hitam dibawa untuk proses reman di Mahkamah Majistret, hari ini.

Suspek yang tinggal di Tanah Putih di sini, direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian 9.20 malam tadi, mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41, yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Gebeng di sini, maut selepas kereta Toyota Yaris dipandunya dirempuh kereta Toyota C-HR yang dipandu menentang arus dan secara berbahaya.

Mangsa yang beralamat di Sungai Isap Perdana di sini, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan dada.

Siasatan awal mendapati kereta Toyota C-HR itu dipandu menentang arus sejauh lebih lima kilometer bermula dari susur masuk Jalan Pintasan Kuantan di Semambu menyebabkan beberapa kenderaan terpaksa mengelak daripada bertembung.

Suspek lelaki itu dipercayai telah mengambil minuman keras di rumah rakannya di sebuah taman perumahan di Semambu, sebelum kejadian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Reman pemandu mabuk rempuh polis disambung lagi

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Reman terhadap lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh seorang anggota polis menyebabkannya maut dalam Sekatan Jalan Raya Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di Kajang disambung hingga Rabu ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat dalam kenyataan ringkas memaklumkan permohonan untuk menyambung reman lelaki itu dilakukan di mahkamah pagi ini dan dibenarkan disambung reman tiga hari lagi sehingga 13 Mei.

Pemandu Toyota Hilux itu ditahan pada 3 Mei lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 8 Mei.

Bagaimanapun lelaki itu ditahan semula dan direman tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Dalam insiden pada 2.11 pagi, 3 Mei lepas, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala setelah dirempuh kenderaan jenis Hilux yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

919 pemandu mabuk ditahan tahun lalu

MELAKA, 21 FEB: Seramai 919 individu ditahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk pada tahun lepas, meningkat seramai 57 orang berbanding 862 orang pada tahun 2018.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata kerajaan akan meneruskan usaha meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk agar kemalangan jalan raya khususnya yang mengakibatkan kecederaan dan kematian dapat dikurangkan.

Beliau berkata pindaan yang melibatkan kajian pelbagai aspek antaranya hukuman lebih berat dan had kandungan alkohol dalam darah pemandu dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun atau Julai depan.

“Di peringkat kementerian dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta semua yang terlibat dalam urusan meminda undang-undang ini telahpun digerakkan dan terdapat beberapa perkara yang kita kena perincikan.

“Memandu di bawah pengaruh alkohol telah diperketatkan di beberapa negara serta peringkat antarabangsa dan kita berhasrat mengikut standard antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taska JPJ Melaka di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Zamakhshari Hanipah dan Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff.

Sementara itu, Kamarudin berkata sebanyak 795 notis advokasi telah dikeluarkan kepada pemandu kenderaan persendirian yang membawa kanak-kanak tanpa menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam tempoh 1 Januari hingga hari ini.

Beliau berkata notis tersebut akan terus dikeluarkan dalam tempoh enam bulan pertama selepas penggunaannya diwajiblan pada 1 Januari lepas bertujuan memberi nasihat, teguran atau amaran kepada ibu bapa agar menitikberatkan penggunaan CRS dalam kenderaan demi keselamatan anak mereka.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 23 Oktober tahun lepas mengumumkan CRS wajib digunakan dalam kereta persendirian bermula 1 Januari lepas.

Kanak-kanak yang mempunyai ketinggian 135 sentimeter ke bawah diwajibkan menggunakan CRS mengikut tahap ketinggian dan berat berdasarkan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu R44 dan R129.

Langkah itu susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga 2017.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Risiko kemalangan 13 kali ganda, bahana nahas pemabuk

KEMALANGAN maut akibat pemandu mabuk semakin mendapat perhatian ramai setelah berita kematian kian kerap muncul di dada akhbar. Mereka mula mendesak kerajaan menangani masalah tersebut yang dianggap makin sering berlaku.

Masalah itu pernah dilalui kebanyakan negara Barat termasuk United Kingdom, apatah lagi pengambilan minuman keras sebahagian budaya negara-negara berkenaan.

Namun, keupayaan pihak berkuasa negara tersebut yang berjaya mengecilkan kadar kematian boleh kita jadikan teladan. Secara ringkas, tindakan di ambil melalui saluran perundangan dan kempen kesedaran secara berperingkat-peringkat.

Misalnya, seramai 1,640 orang terbunuh, 8,300 mengalami cedera parah, manakala 21,490 lagi cedera akibat nahas yang melibatkan pemandu dalam pengaruh alkohol pada 1979 di UK.

Namun, lebih kurang sedekad kemudian, jumlah itu berkurangan. Pada 1990, hanya berlaku 760 kematian, 4,090 mangsa parah dan 15,550 lagi cedera. Aliran penurunan berterusan pada 2016 yang mencatatkan 230 kematian, 1,250 parah dan 7,550 lagi cedera.

Mulai 1981, ujian pernafasan untuk menentukan kandungan alkohol dalam tubuh mula diperkenal di UK, diikuti hukuman penjara melibatkan kes kematian sepuluh tahun kemudian.

Paras alkohol tinggi

Malah, doktor juga dibenarkan mengambil sampel darah ketika suspek pemandu mabuk tidak sedarkan diri pada 2002. Mulai 2004, hukuman penjara yang hanya lima tahun pada 2001 ditambah tempohnya kepada 14 tahun bagi kes kemalangan maut.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Pada masa sama, kempen kesedaran tentang keburukan memandu dalam pengaruh alkohol digiatkan, termasuk melalui media massa.

Sebaliknya di Malaysia, sekalipun masalah pemandu mabuk tidak seburuk di UK, tetapi aspek perundangan masih lemah terutama dari segi hukuman penjara.

Pada masa ini, Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan terhadap pemandu mabuk.

Bagi kes melibatkan kematian pula, Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 cuma memperuntukkan denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Hukuman di negara kita ini jauh berbeza dengan UK yang memperuntuk penjara antara lima hingga 14 tahun bagi kes seumpama itu antara 1991 hingga 2004.

Takrif pemandu mabuk di Malaysia berdasarkan kandungan alkohol di dalam darah juga lebih tinggi daripada yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Negara kita menetapkan 80mg dalam 100ml darah tetapi badan dunia itu menyarankan 50mg dalam 100ml darah.

Paras kandungan alkohol ini mengakibatkan sebahagian kaki botol yang sepatutnya dianggap mabuk dalam takrifan WHO terlepas ketika ujian pernafasan dibuat di negara kita.

Pinda undang-undang

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menunjukkan kemungkinan nahas berlaku membabitkan pemandu mabuk 13 kali ganda lebih tinggi.

Antara 2010 hingga April 2015, sebanyak 1,035 nahas melibatkan pemandu mabuk mengakibatkan 618 kematian. Kemalangan itu juga membabitkan pihak ketiga termasuk pejalan kaki.

Justeru, kabinet bulan lalu bersetuju untuk meminda undang-undang berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, pengaruh dadah serta memandu secara bahaya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata akta akan dipinda untuk memberi hukuman lebih berat dan setimpal kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kajian itu akan mengambil masa beberapa bulan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada seisi kedua pada Jun atau Julai,” katanya seperti dilaporkan 29 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Selangor juga percaya pindaan hukuman sedia ada ke tahap lebih berat mampu mengurangkan nahas jalan raya akibat memandu dalam pengaruh alkohol.

“Pemanduan di bawah pengaruh alkohol boleh dikategorikan sebagai sikap pemandu yang tidak prihatin terhadap keselamatan diri dan orang lain walaupun kesalahan berkenaan termaktub dalam undang-undang iaitu Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata S Sasikumar kepada SelangorKini.

Beliau juga menyarankan pihak berkuasa khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis supaya bersikap lebih tegas dan mereka tidak menjalankan operasi hanya semasa musim perayaan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pemandu mabuk langgar kereta peronda polis

SHAH ALAM, 16 FEB: Sebuah kereta yang dipercayai dipandu individu mabuk melanggar kereta peronda polis di Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata insiden awal pagi berlaku selepas anggotanya menerima laporan kemalangan di lokasi berkenaan, lapor Harian Metro.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah kereta yang berada di tengah jalan dalam keadaan rosak teruk dan tidak boleh bergerak.

“Anggota berpangkat koperal kemudian meletakkan kereta peronda polis dipandunya di belakang kenderaan kemalangan (tengah jalan) dan memasang lampu biru serta lampu kecemasan selain membantu kawalan lalu lintas.

“Bagaimanapun, sebuah kereta Nissan tiba-tiba datang dari arah belakang lalu merempuh kereta peronda polis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zani berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kemalangan tersebut.

“Pemandu kereta Nissan berkenaan dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya.