Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Idris : Pembangunan desa perlu rangkum tiga aspek utama

Ijok DNS

SHAH ALAM, 3 JULAI : Kerajaan Negeri disarankan supaya mengaplikasikan tiga aspek utama dalam usaha memastikan pembangunan di desa adalah seimbang dengan pembangunan di kawasan bandar.

Tiga aspek yang dimaksudkan ialah kesejahteraan, selamat dan sihat, kata Adun Ijok, Dr Idris Ahmad.

Jelasnya, untuk mencapai masyarakat yang sejahtera, mutu pendidikan anak-anak di desa seharusnya  ditingkatkan dengan menambah lebih banyak pusat tuisyen yang mengkhusukan tiga subjek utama iaitu bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Di bawah aspek sama katanya, Kerajaan Negeri juga perlu menggalakkan pelaburan ke desa yang berasaskan pertanian bagi meningkatkan pendapatan dan memberi peluang pekerjaan kepada warga desa tanpa perlu berhijrah ke bandar.

“Untuk sektor pendidikan, saya syorkan exco pendidikan mengambil perhatian dengan menubuhkan lebih banyak pusat tuisyen untuk semua peringkat (darjah satu hingga tingkatan lima) supaya mereka mendapat persediaan awal sebelum menghadapi peperiksaan.

“Kerajaan Negeri juga sepatutnya menggalakkan pelaburan ke desa iaitu pelaburan industri yang berasaskan pertanian kerana banyak tanah terbiar di desa yang tidak digunakan,” katanya semasa membahaskan titah DYMM Sultan Selangor dalam sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Sementara itu, di bawah aspek kesihatan jelasnya, Kerajaan Negeri perlu mempertimbangkan untuk membina hospital di kawasan desa bagi memastikan pesakit tidak perlu bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan.

Meskipun pembinaan hospital tertakluk di bawah perancangan Kerajaan Pusat, namun tegasnya, Kerajaan Negeri perlu mengambil inisiatif awal untuk membina hospital yang boleh memberi rawatan kepada pesakit.

“Terdapat ramai pesakit kronik di kawasan desa yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital berikutan lokasi hospital itu terlalu jauh dari kediaman mereka.

“Sebagai contoh di Kuala Selangor, pesakit perlu merujuk ke Hospital Sungai Buloh atau Tanjung Karang untuk mendapatkan rawatan sedangkan kondisi mereka sangat kritikal pada waktu itu.

“Kerajaan Negeri tidak perlu membina hospital canggih, cuma bina yang asas sahaja untuk memberi rawatan kepada pesakit,” katanya lagi.

Tambahnya, aspek ketiga iaitu selamat adalah merujuk kepada pemasangan lampu jalan di sepanjang laluan masuk kawasan kampung untuk mengurangkan masalah jenayah.