Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Tambah lagi, suntikan tiga peratus KDNK terlalu kecil

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kerajaan diminta menambah peruntukan sebanyak RM45 bilion bagi memantap pertumbuhan ekonomi berikutan suntikan fiskal tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terlalu kecil.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertambahan itu harus disegerakan selain perlu mengelak penyalahgunaan kuasa dan pembaziran dalam menyalurkan dana tersebut.

“Jika ditelusuri cadangan kami kemukakan, antara program yang memerlukan penambahan besar adalah seperti program subsidi upah, inisiatif pengekalan pekerjaan dan pengambilan pekerja serta bantuan latihan yang perlu ditambah kepada RM33.6 bilion.

“Manakala, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan peruntukan Kementerian Kesihatan bagi perbelanjaan berkaitan Covid-19 masing-masing memerlukan amaun sebanyak RM22.4 bilion dan RM2 bilion.

“Maka, saya menggesa Menteri Kewangan untuk mempertimbang membawa pindaan dalam peringkat jawatankuasa ke atas Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020 dengan menambah sebanyak RM45 bilion lagi, menjadikan suntikan fiskal berjumlah RM90 bilion secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Port Dickson juga berkata kadar pengangguran di Malaysia dijangka mencecah sejuta pada hujung tahun ini berikutan penguncupan 17.1 peratus KDNK dalam suku kedua 2020.

Katanya, ia merupakan junaman paling parah sejak krisis kewangan negara lewat 90-an ekoran pandemik Covid-19.

“Statistik mencatatkan 4.9 peratus yakni seramai 773,200 individu menganggur. Jumlah ini dijangka akan mencecah sejuta pada hujung tahun dan lebih terkesan di kalangan belia.

“Dikhuatiri dampak ekonomi lebih menyeluruh dan turut melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan banyak PKS dilaporkan akan menghentikan operasi kerana tidak mampu menepis dampak kemelesetan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar seru kerajaan atasi masalah pengangguran belia

SHAH ALAM, 12 OGOS: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan belia yang dijangka meningkat susulan pertambahan graduan akibat kemelut ekonomi.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata angka terkini pengangguran mencecah 14.2 peratus pada Mei, hampir tiga kali ganda kepada paras purata nasional.

“Ramai belia hari ini yang sedang bertungkus-lumus mencari pekerjaan, mengalami kesukaran dalam memulakan perniagaan dan juga tidak berupaya untuk menyimpan dengan kadar yang munasabah bagi mendukung perbelanjaan saat ini dan juga masa depan.

“Ini adalah akibat dan kesan daripada permasalahan seperti gaji yang tidak meningkat dan kos sara hidup yang cukup membebankan,” katanya dalam perutusan sempena Hari Belia Sedunia di Facebook hari ini.

Beliau menambah belia perlu diberikan peluang menceburi bidang digital kerana mereka berpotensi mencipta kegemilangan namun kurang mendapat sokongan selain kekurangan dana.

Katanya, pemimpin tidak boleh meremehkan semangat aktivis dan potensi golongan itu sebaliknya menyediakan peluang yang tepat bagi memanfaatkan kemampuan mereka.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PENDIDIKAN

Siswazah bekerja meningkat 6.9 peratus pada 2019

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Bilangan siswazah yang bekerja meningkat 6.9 peratus pada 2019 kepada 4.25 juta orang berdasarkan Statistik Siswazah 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada jumlah siswazah yang bekerja itu, lelaki meliputi 49.8 peratus (2.11 juta orang) sementara perempuan merangkumi 50.2 peratus (2.13 juta orang).

“Melihat kepada kebolehpasaran siswazah mengikut sijil tertinggi yang diperoleh, didapati siswazah bekerja berkelulusan ijazah mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi iaitu 8.5 peratus berbanding siswazah berkelulusan diploma dengan 4.9 peratus.

“Dari aspek tahap kemahiran, kebanyakan siswazah bekerja dalam kategori mahir, iaitu sebanyak 73.3 peratus (3.11 juta orang), bersesuaian dengan kelayakan mereka sebagai siswazah, manakala siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir mewakili 25.6 peratus atau 1.09 juta orang pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dari segi aktiviti ekonomi, 79.6 peratus siswazah tertumpu di sektor perkhidmatan merekodkan 3.38 juta orang dan diikuti oleh pembuatan (538,600 orang), pembinaan (226,100), pertanian (57,000) dan perlombongan dan pengkuarian (43,200).

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata kadar pengangguran siswazah pada tahun lepas kekal 3.9 peratus dengan 170,300 penganggur siswazah, manakala siswazah yang aktif mencari pekerjaan merangkumi 74.8 peratus iaitu 127,400 orang.

“Daripada jumlah itu, lebih 80 peratus menganggur bagi tempoh kurang daripada enam bulan manakala hanya 8.1 peratus menganggur bagi tempoh 12 bulan dan lebih,” katanya.

Beliau berkata jumlah siswazah di dalam negara adalah 5.29 juta orang merangkumi 21.3 peratus daripada populasi umur bekerja pada 2019 dan hampir 90 peratus daripada siswazah berada dalam tenaga buruh dengan kadar 83.5 peratus (4.4 juta orang).

“Walaupun majoriti siswazah adalah perempuan, kadar penyertaan tenaga buruh siswazah perempuan adalah lebih rendah (79.8 peratus) berbanding lelaki yang merekodkan kadar 87.7 peratus,” katanya.

Katanya, bagi siswazah luar tenaga buruh pula, ia meningkat 7.6 peratus kepada 869,800 orang, merangkumi 16.5 peratus daripada keseluruhan siswazah.

“Sumbangan peratusan terbesar luar tenaga buruh iaitu sebanyak 36.8 peratus adalah disebabkan kerja rumah atau tanggungjawab keluarga iaitu 319,900 orang…mereka ini dilihat sebagai kumpulan yang berpotensi untuk menyertai pasaran buruh.

“Di samping itu, mereka yang bersara atau lanjut usia meliputi 30.0 peratus (260,700 orang) diikuti dengan masih belajar atau program latihan iaitu 27.6 peratus (239,900 orang),” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata Survei Gaji & Upah 2019 yang dilaksanakan oleh DOSM mendapati bahawa penengah gaji dan upah bulanan siswazah dengan pekerjaan utama sepenuh masa adalah RM4,371 berbanding 2018 sebanyak RM3,936.

Katanya, siswazah bekerja dalam kategori mahir menerima RM5,175 manakala kategori separuh mahir menerima RM2,300.

Merumuskan berkenaan penemuan statistik siswazah, beliau menambah: “Berhubung jawatan kategori mahir yang perlu diisi oleh siswazah, Statistik Guna Tenaga Suku Tahunan melaporkan kadar kekosongan jawatan kategori mahir di pertubuhan formal sektor swasta pada 2019 adalah 2.3 peratus dengan 48,300 kekosongan jawatan.

“Ini jauh lebih rendah berbanding bilangan keluaran siswazah setahun iaitu dalam lingkungan 300,000 orang…sehubungan itu, antara laluan alternatif bagi menyokong kemasukan siswazah baharu ke dalam pasaran buruh dapat diterokai melalui bidang keusahawanan dengan memanfaatkan revolusi platform digital.”

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar pengangguran diunjur hingga 5.5 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Kadar pengangguran di negara ini diunjurkan dalam lingkungan 3.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini berikutan impak penularan pandemik Covid-19, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagaimanapun langkah kerajaan membuka sektor ekonomi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selain menyediakan pakej rangsangan ekonomi akan membantu pekerja dan isi rumah menghadapi situasi kritikal berikutan wabak itu.

“Jika meneliti pengumuman kerajaan, kita mahukan penerusan ekonomi berjalan dengan cepat. Ini kerana, lebih cepat ekonomi kita bergerak, maka akan ada pergerakan transaksi kewangan sekali gus membolehkan ekonomi kita cepat pulih.

“Maka, pekerjaan akan dapat diwujudkan dan kadar pengangguran dapat dikawal. Oleh itu, kita menjangkakan julat maksimum kadar pengangguran adalah dalam lingkungan 3.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini,” katanya dalam sidang media langsung secara dalam talian hari ini.

Berdasarkan laporan Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia Mac 2020 yang dikeluarkan DOSM sebelum ini, jumlah penganggur meningkat 17.1 peratus kepada 610.5 ribu dengan kadar 3.9 peratus, daripada angka pada bulan sama 2019.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, status permintaan dan penawaran buruh pada suku pertama 2020 memberi isyarat awal ketidakseimbangan dalam pasaran buruh.

“Namun, perlu diingatkan bahawa kerajaan juga telah mengambil langkah untuk mengimbangi keperluan pekerjaan termasuk bagi lepasan pengajian tinggi baharu berjumlah di antara 300,000 dengan 350,000 setahun,” katanya.

Sidang media hari ini diadakan sempena penerbitan laporan Statistik Guna Tenaga Suku Pertama 2020 berdasarkan Survei Guna Tenaga Suku Tahunan yang dilaksanakan ke atas pertubuhan formal dalam sektor swasta meliputi aktiviti utama iaitu pertanian; perlombongan dan pengkuarian; pembuatan; pembinaan serta perkhidmatan.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor yakin capai sasaran turun kadar pengangguran

SHAH ALAM, 29 JAN: Selangor yakin akan mencapai sasaran untuk menurunkan kadar pengangguran kepada 2.5 peratus pada tahun ini, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata bagi mencapai matlamat itu Kerajaan Negeri memberi fokus kepada penganjuran ‘Selangor Mega Job Fair’ dan ‘Mini Job Fair’.

“Sebanyak 5,000 pekerjaan ditawarkan dalam ‘Selangor Mega Job Fair’ yang akan diadakan pada Jun nanti manakala ‘Mini Job Fair’ di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) menawarkan hampir 1,000 pekerjaan. Buat permulaan, ia akan diadakan pada Mac di DUN Bukit Melawati,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Khairuddin berkata, kadar pengangguran di Selangor pada 2016 adalah 3.2 peratus, sebelum turun kepada 2.8 peratus pada 2017, 2018 dan 2019.

Categories
NASIONAL

Kadar tenaga buruh meningkat kepada 68.8 peratus

PUTRAJAYA, 13 JAN: Kadar penyertaan tenaga buruh pada November 2019 naik 0.1 peratus kepada 68.8 peratus berbanding bulan sebelumnya, menurut Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia.

Mengulas laporan itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata angka itu juga meningkat 0.4 peratus berbanding bulan yang sama 2018 iaitu 68.4 peratus.

Katanya bilangan tenaga buruh pada November 2019 pula meningkat 2.4 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya kepada 15.83 juta.

“Pada tempoh yang sama, penduduk bekerja turut meningkat 2.5 peratus kepada 15.32 juta,” katanya.

Mohd Uzir berkata kadar pengangguran kekal 3.2 peratus bagi dua bulan berturut-turut melibatkan 513,900 penganggur.

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Kadar pengangguran di Selangor menurun

SHAH ALAM, 5 NOV: Kadar pengangguran di Selangor terus menurun dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, kata Mohd Khairuddin Othman.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan berkata kadar pengangguran di Selangor pada 2016 ialah 3.2 peratus sebelum menurun kepada 2.8 peratus pada 2017 dan 2018.

“Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri meletakkan sasaran kadar pengangguran bagi tahun 2019 di Selangor menurun kepada 2.5 peratus,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di persidangan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Katanya Kerajaan Negeri akan memberi fokus kepada karnival kerja berskala besar di peringkat negeri dan berskala kecil mengikut daerah di seluruh Selangor.

“Kerajaan Negeri turut mengambil pelbagai langkah lain dengan meningkatkan program pembangunan ekonomi belia, antaranya kursus atau latihan di bawah Jawatankuasa Tetap Modal Insan, pendidikan kemahiran dan vokasional dan program latihan rangsangan kerjaya rakyat,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Elak kadar pengangguran meningkat, teknikal dan teori perlu seimbang

OLEH AMINUDDIN HARUN

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh mahu sistem pendidikan tinggi dalam negara hari ini perlu diubah suai untuk memenuhi keperluan generasi muda.

Dan katanya lagi, kementeriannya kini terlibat dengan beberapa pihak yang berkaitan untuk mendapatkan pandangan bagi menjayakan Revolusi Pendidikan 4.0.

1. Saya menyambut baik usaha dan langkah yang ditekankan oleh Idris Jusoh dalam memperbaharui sistem pendidikan di negara ini terutama kepada generasi akan mendatang. Tetapi perlu diingatkan bahawa revolusi pendidikan ini juga bukan hanya tertumpu kepada sistem pembelajaran, bahkan ia perlu memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Kerajaan perlu lebih bertegas dalam usaha mengurangan pengangguran di kalangan mahasiswa yang dilihat terlalu tinggi dan perlu diberi keutamaan.

Namun, disini timbul persoalan, dengan perkembangan ekonomi yang tidak stabil dan kerajaan yang korup serta pentadbiran kerajaan yang tidak berjaya diuruskan dengan baik, bagaimana masalah ini dapat diselesaikan?

2. Revolusi Pendidikan 4.0 adalah sebahagian Revolusi Perindustrian 4.0 yang menular di seluruh dunia, iaitu trend semasa automasi dan pertukaran data yang merangkumi sistem siber fizikal, internet benda, pengkomputeran awan dan pengkomputeran kognitif.

Saya melihat revolusi ini sedikit sebanyak akan memberi manfaat kepada generasi kita dan peluang yang diberikan adalah berganda berbanding konsep pendidikan sedia ada.

Namun, jika peruntukan bajet pendidikan yang sering dipotong. Bagaimana untuk ia dilaksanakan?

Dalam Bajet 2017 menyaksikan potongan besar bajet operasi universiti-universiti awam di Malaysia.

Saya hanya perlu berikan dua contoh, iaitu bajet untuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dipotong kepada RM352.7 juta daripada RM512.33 juta sebelumnya (potongan 31.16 peratus), manakala Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula dipotong sebanyak 25.2 peratus, iaitu daripada RM2.23 bilion kepada RM1.67 bilion.

Secara keseluruhannya, peruntukan keseluruhan bagi 20 universiti awam pada tahun 2017 jatuh sebanyak 19.23 peratus, iaitu daripada RM7.57 bilion kepada RM6.12 bilion. Ini merupakan potongan besar untuk tahun kedua berturut-turut selepas potongan teruk pada bajet tahun lepas.

Dalam Bajet 2016, Datuk Seri Najib Razak juga telah memotong peruntukan biasiswa dan dermasiswa sebanyak sekitar RM800 juta, sementara peruntukan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dipotong daripada RM200 juta menjadi RM10 juta sahaja.

3. Dalam soal ini, saya rasa Kementerian harus memandang jauh bagi melahirkan generasi muda yang benar-benar berpendidikan bertaraf dunia, perbanyakkan diskusi meja bulat dan ia perlu diadakan bagi memperhalusi pelbagai isu dan cabaran dan menyusun langkah bagi mencari penyelesaian.

4. Saya yakin bahawa universiti-universiti di Malaysia masih tidak memenuhi kriteria universiti antarabangsa. Kita mesti menunjukkan imej pendidikan terbaik kalau ingin menjadikan universiti-universiti di negara ini bertaraf antarabangsa kerana tanpa universiti yang berkualiti, kita tidak akan dapat mengejar kecemerlangan.

Walaupun universiti boleh memainkan peranan untuk membangunkan seseorang individu tetapi segala pengalaman pelajar, fokus dan orientasinya berkembang awal di peringkat sekolah.

5. Salah satu masalah universiti di Malaysia adalah kerajaan tidak menggalakkan persaingan antara universiti. Persaingan antara universiti hampir tiada langsung di negara kita. Universiti di Malaysia ditubuhkan dengan konsep pendemokrasian pendidikan, bukan dengan matlamat persaingan.

Kita mesti ada misi yang fleksibel dan adaptif bagi membolehkan universiti dibolehkan untuk mengubahsuai diri mengikut keadaan. Misalnya aspek penyelidikan, di mana setiap universiti sepatutnya bersaing untuk memastikan bahawa penyelidikan yang dijalankan di universiti masing-masing adalah yang terbaik.

6. Saya berharap kementerian harus mencari penyelesaian kepada masalah pengangguran di kalangan mahasiswa. Menurut Laporan Bank Negara 2016 yang diterbitkan pada 23 Mac 2017 menyatakan bahawa pengangguran belia di Malaysia telah mencapai kadar 10.7 peratus pada 2015, iaitu meningkat tiga kali ganda daripada kadar pengangguran negara 3.1 peratus.

Separuh daripada jumlah pekerja menganggur adalah golongan muda walaupun mereka hanya mewakili satu pertiga daripada jumlah tenaga kerja Malaysia.

Kadar pengangguran belia yang mempunyai pendidikan tinggi adalah 15.3 peratus berbanding dengan yang tidak mempunyai pendidikan tinggi pada kadar 9.8 peratus pada 2015.

# Aminuddin Harun adalah Pengerusi KEADILAN Negeri Sembilan