Categories
NASIONAL

Kerajaan pusat perlu sedia hadapi inflasi kesan laksana GST

GST Grafik Baru

KUALA LUMPUR 29 OKT : Kerajaan Pusat perlu bersiap sedia dalam menghadapi kadar kenaikan inflasi apabila pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan, pada 2015.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Cheng, berkata kerajaan pusat perlu menyediakan langkah segera bagi mengatasi masalah kenaikan inflasi itu.

Beliau mencadangkan perbelanjaan di setiap kementerian perlu dipotong sebanyak 10 peratus supaya rakyat tidak terbeban dengan pembayaran GST terbabit.

“Kerajaan perlu bersiap sedia menghadapi kenaikan kadar inflasi sebaik GST dilaksana, pada 2015.

“Saya tidak faham kenapa Barisan Nasional (BN) kata GST baik kerana pelaksanaannya menyebabkan rakyat Malaysia perlu menampung RM700 seorang,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2014, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, CIMB Research mennyatakan kerajaan akan memperoleh pendapatan tambahan daripada GST sebanyak RM12 bilion.

“Selepas potong cukai pendapatan, cukai jualan dan perkhidmatan (SST), GST akan tambah RM12 bilion. Rakyat yang kena bayar beban itu,” katanya.

Dalam perbahasan itu juga, Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw, berkata pelaksanaan GST menyebabkan harga rumah dan kos pengurusan di hospital akan ditanggung oleh rakyat.

“Kos akan lebih tinggi, apabila dipindahkan kepada barangan. Contohnya bagi harga rumah, sudah tentu kos bahan binaan meningkat, selain kos urusan hospital swasta yang turut naik dan ditanggung  pesakit.

Jadi, kami minta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meneliti semula pelaksanaan GST yang ‘kononnya’ tidak akan membebankan rakyat,” katanya.

-NFN-