Categories
SELANGOR

Petrol percuma buat penunggang motosikal di Kepong esok

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Penunggang motosikal di sekitar ibu kota boleh mendapatkan pengisian petrol secara percuma di Stesen Minyak Caltex, Batu 8 Jalan Kepong di sini, bermula 12 tengah hari hingga 4 petang, esok.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dalam kenyataan hari ini, berkata program itu diadakan dengan kerjasama Parti Amanah Negara (AMANAH) Kepong, dalam usaha menghargai penduduk di kawasan itu untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi.

Sementara itu, Ketua Penaja AMANAH Kepong, Datuk Mohd Noor Ali Bakar berkata pengisian petrol percuma itu tertakluk kepada motosikal di bawah 150cc sahaja.

“Program ini kita lebih fokus kepada golongan B40 sebagai tanda terima kasih menjadi masyarkat Kepong dan kita berharap pemberian minyak petrol ini dapat meringankan beban mereka dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Syawal,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Noor berkata, program tersebut adalah kesinambungan daripada kejayaan program pengisian petrol percuma yang diberikan kepada hampir 300 penghantar makanan bermotosikal pada bulan lepas.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Petrol percuma buat penghantar makanan di Kepong esok

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Penghantar makanan bermotosikal di sekitar ibu kota boleh mendapatkan pengisian petrol secara percuma di Stesen Minyak Caltex, Batu 8 Jalan Kepong di sini, bermula 12 tengah hari hingga 5 petang, esok.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, ia adalah usaha pihaknya bagi menghargai kesungguhan penghantar makanan bermotosikal, khususnya di bulan Ramadan ini.

“Semua penghantar makanan termasuk ‘Dahmakan’, ‘Foodpanda’, ‘Grabfood’, ‘Honestbee’ dan lain-lain dijemput ke stesen minyak Caltex di Batu 8 Jalan Kepong pada Ahad ini.

“Kami akan mengisi minyak ke dalam tangki motosikal mereka sehingga penuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

— BERNAMA

Categories
SELANGOR

Fitnah rosak bahan kempen, tempoh 24 jam mohon maaf

OLEH NADIAH ZAMLUS

BALAKONG, 27 OGOS : Calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong diminta tampil mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam terhadap DAP.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, ia berikutan kenyataan Calon MCA, Tan Chee Teong yang menuduh DAP merosakkan bahan kempen milik mereka.

“Ini adalah fitnah serius dilemparkan terhadap DAP, mereka (MCA) membuat kenyataan di dalam facebook mengatakan akan mengadakan sidang media berhubung isu berkenaan.

“Namun anehnya apabila kenyataan terbabit dibuat tanpa bukti. Sehingga hari ini kami masih menunggu apa buktinya .

“DAP menggesa MCA membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam, sekiranya tidak, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya dalam sidang media di pejabat DAP Balakong, hari ini.

Hadir sama, Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Wong Siew Ki, dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Lip Eng berkata, DAP tidak akan sesekali bertindak sedemikian berikutan ia hanyalah sifat kebudak-budakan.

“Kami berpolitik secara matang, MCA hanya boleh hidup dengan politik yang suka menyentuh isu agama dan juga perkauman, bagi kami itu adalah politik kolot,” katanya.

Semalam, Siew Ki telahpun membuat laporan polis berhubung dakwaan palsu yang dilemparkan MCA.

Siew Ki tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, diiringi ejen pilihan raya, Khoo Khim Han, kira-kira jam 1.50 petang bagi memberi keterangan lanjut kepada pihak polis terhadap perkara terbabit.

Categories
NASIONAL

Kerajaan pusat perlu sedia hadapi inflasi kesan laksana GST

GST Grafik Baru

KUALA LUMPUR 29 OKT : Kerajaan Pusat perlu bersiap sedia dalam menghadapi kadar kenaikan inflasi apabila pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan, pada 2015.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Cheng, berkata kerajaan pusat perlu menyediakan langkah segera bagi mengatasi masalah kenaikan inflasi itu.

Beliau mencadangkan perbelanjaan di setiap kementerian perlu dipotong sebanyak 10 peratus supaya rakyat tidak terbeban dengan pembayaran GST terbabit.

“Kerajaan perlu bersiap sedia menghadapi kenaikan kadar inflasi sebaik GST dilaksana, pada 2015.

“Saya tidak faham kenapa Barisan Nasional (BN) kata GST baik kerana pelaksanaannya menyebabkan rakyat Malaysia perlu menampung RM700 seorang,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2014, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, CIMB Research mennyatakan kerajaan akan memperoleh pendapatan tambahan daripada GST sebanyak RM12 bilion.

“Selepas potong cukai pendapatan, cukai jualan dan perkhidmatan (SST), GST akan tambah RM12 bilion. Rakyat yang kena bayar beban itu,” katanya.

Dalam perbahasan itu juga, Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw, berkata pelaksanaan GST menyebabkan harga rumah dan kos pengurusan di hospital akan ditanggung oleh rakyat.

“Kos akan lebih tinggi, apabila dipindahkan kepada barangan. Contohnya bagi harga rumah, sudah tentu kos bahan binaan meningkat, selain kos urusan hospital swasta yang turut naik dan ditanggung  pesakit.

Jadi, kami minta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meneliti semula pelaksanaan GST yang ‘kononnya’ tidak akan membebankan rakyat,” katanya.

-NFN-