Categories
NASIONAL

Kerajaan pusat perlu sedia hadapi inflasi kesan laksana GST

GST Grafik Baru

KUALA LUMPUR 29 OKT : Kerajaan Pusat perlu bersiap sedia dalam menghadapi kadar kenaikan inflasi apabila pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan, pada 2015.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Cheng, berkata kerajaan pusat perlu menyediakan langkah segera bagi mengatasi masalah kenaikan inflasi itu.

Beliau mencadangkan perbelanjaan di setiap kementerian perlu dipotong sebanyak 10 peratus supaya rakyat tidak terbeban dengan pembayaran GST terbabit.

“Kerajaan perlu bersiap sedia menghadapi kenaikan kadar inflasi sebaik GST dilaksana, pada 2015.

“Saya tidak faham kenapa Barisan Nasional (BN) kata GST baik kerana pelaksanaannya menyebabkan rakyat Malaysia perlu menampung RM700 seorang,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2014, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, CIMB Research mennyatakan kerajaan akan memperoleh pendapatan tambahan daripada GST sebanyak RM12 bilion.

“Selepas potong cukai pendapatan, cukai jualan dan perkhidmatan (SST), GST akan tambah RM12 bilion. Rakyat yang kena bayar beban itu,” katanya.

Dalam perbahasan itu juga, Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw, berkata pelaksanaan GST menyebabkan harga rumah dan kos pengurusan di hospital akan ditanggung oleh rakyat.

“Kos akan lebih tinggi, apabila dipindahkan kepada barangan. Contohnya bagi harga rumah, sudah tentu kos bahan binaan meningkat, selain kos urusan hospital swasta yang turut naik dan ditanggung  pesakit.

Jadi, kami minta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meneliti semula pelaksanaan GST yang ‘kononnya’ tidak akan membebankan rakyat,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Jentera Parti Diminta Tangguh Haji Untuk Fokus PRU-13

SHAH ALAM, 5 JUN : PAS hari ini meminta kesemua ahlinya yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya untuk menangguh ibadah haji bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ini kerana menurut Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS menjangka PRU-13 bakal berlangsung semasa musim haji iaitu selepas bulan Ramadan, antara September hingga Oktober.

Katanya, penangguhan ibadah haji itu dianggap wajar kerana PAS memerlukan jentera parti untuk melaksanakan gerak kerja semasa pilihan raya nanti.

“Inilah masalah yang dihadapi negara kita berhubung tarikh pilihan raya menyebabkan rakyat susah untuk membuat perancangan.

?Kalau ikut pemantauan kita, memang dijangkakan pilihan raya bakal diadakan pada musim haji tahun ini iaitu jemaah haji bertolak ke Makkah.

“Kalau berlaku demikian, kita minta ahli PAS yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya sama ada sebagai calon atau wakil calon atau agen parti untuk menangguh ibadah haji ke tahun hadapan,” katanya.

Tuan Ibrahim juga berkata, jika pilihanraya diadakan pada musim haji ia akan mendatangkan kesukaran bagi pengundi yang dipilih untuk pergi ke Makkah.

“Kita melahirkan rasa dukacita terhadap perkara ini. Takkan kita nak salahkan orang ramai untuk menunaikan ibadah haji? Kerajaan sepatutnya lebih awal tetapkan tarikh, supaya tidak mengganggu perkara-perkara lain,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi DAP Kepong, Dr Tan Seng Giaw juga tidak setuju PRU-13 diadakan pada musim haji kerana ia mengganggu urusan ibadah umat Islam.

“Umat Islam sibuk dengan kegiatan agama pada musim haji, janganlah ditambah lagi dengan masalah PRU.

?Walaupun tempoh berkempen adalah selama dua minggu, tetapi kita perlu lakukan persiapan sebulan lebih awal.

“Kerajaan perlu fikir masak-masak sebelum umumkan tarikh PRU-13. Tidak pernah PRU diadakan pada musim haji ataupun bulan Ramadan. Saya berharap kali ini pun tiada. Kita perlu beri peluang kepada umat Islam untuk laksanakan kewajipan mereka,” ujarnya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya semalam mendakwa Umno-BN menafikan hak sebahagian besar rakyat jika mengadakan PRU-13 pada musim haji tahun ini.

?Hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan diantara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh.

?Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.?