Categories
NASIONAL

Malaysia Baharu: Transformasi tingkat sektor pertanian

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membawa usul meminda Akta Perikanan pada sidang Dewan Rakyat akan datang bagi membolehkan nelayan tempatan memasuki laut dalam.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, ini bagi membuka peluang kepada para nelayan menceburi industri penangkapan ikan tuna yang merupakan antara industri terbesar dunia.

“Kita akan berikan permit dahulu, tetapi kita perlu menunggu untuk parlimen pada sesi akan datang bagi meminda akta perikanan kita untuk membolehkan nelayan kita pergi ke lautan lepas.

Ini saya boleh nampak antara masa depan industri yang boleh memberikan pulangan yang cukup baik sebab industri tuna ini ada potensi pada peringkat antarabangsa,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Setahun Malaysia Baharu: Transformasi Pertanian’ di sini malam tadi.

Selain itu, katanya, kementerian sedang mencari model terbaik bagi menggantikan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang akan tamat konsesinya pada 2021.

Salahuddin berkata modul itu belum dapat dimuktamadkan lagi kerana ia perlu dibahaskan pada lapan peringkat kementerian.

Antara pendekatan yang mungkin dibincangkan adalah mencadangkan agar 30 atau 40 peratus daripada keuntungan Bernas disalurkan kepada petani melalui satu tabung amanah.

“Mungkin Bernas masih perlu lagi memegang saham dalam peratus-peratus tertentu. Kita perlu cermat kerana ini ada kaitan dengan keselamatan makanan.

“Mungkin 30, 40 peratus daripada keuntungan Bernas itu kita masuk ke dalam tabung amanah yang boleh terus sampai kepada golongan petani termasuk nelayan, supaya mereka dapat merasai, bukan dalam bentuk tunai tetapi sebagai bantuan untuk menaik taraf bot mereka, sampan, pukat mereka daripada kayu kepada besi atau fiber,” katanya.

Mengenai eksport produk pertanian ke China, Salahuddin berkata kementerian akan memperhebatkan promosi agar durian Musang King, nanas dan nangka madu dapat memasuki pasaran negara itu.

“Kita dimaklumkan melalui data statistik yang diberikan kepada kita dalam lawatan ke Beijing yang diketuai perdana menteri bahawa daripada 1.4 bilion rakyat China, hanya satu peratus yang baru merasai musang king.

“Jadi kita kena pastikan bahawa integriti industri kita dijaga. Durian kita, musang king, nanas dan nangka muda, tanamlah. Kita perlu majukan industri ini. Hasilnya mungkin dalam masa lima tahun lagi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pertanian masih rendah, jangan ambil mudah keselamatan makanan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 14 FEB: Sektor pertanian tidak boleh dipandang rendah ekoran sektor terbabit memainkan peranan besar dalam memastikan jaminan keselamatan makanan negara.

EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, Malaysia wajar mencontohi negara jiran seperti Thailand dan Vietnam yang muncul sebagai negara pengeluaran pertanian yang besar di Asia.

“Kita banyak bergantung kepada import sedangkan negara jiran mampu menjana hasil pertanian yang besar dan mengeksport ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Projek Agrobandar Oleh Agrosel di perkarangan Kompleks Penghulu Mukim Semenyih di sini, hari ini.

Izham berkata, sektor pertanian negara khasnya di Selangor masih menjadi penyumbang kecil kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding sektor lain.

Katanya, sektor pertanian hanya menyumbang kira-kira 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Sementara itu, sektor pertanian Selangor pula menyumbang sekitar 1.5 peratus daripada KDNK Selangor.

“Anak muda lebih suka bekerja di kilang kerana pertanian masih dianggap sebagai sektor yang tidak memberikan pendapatan yang baik,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor tolak unsur politik dalam sektor pertanian

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 14 FEB: Organisasi pertanian di Selangor digesa menolak unsur politik dalam pertubuhan masing-masing.

EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, unsur politik mampu menyebabkan sesebuah organisasi itu berpecah belah.

“Saya tak mengira sesiapa sama ada parti berbeza atau kaum berbeza kita akan bantu sama ada bentuk kewangan, kepakaran dan sebagainya sekiranya betul-betul berminat.

“Kalau kita nak pertanian ini tak berpecah belah jangan biarkan politik masuk, kita fokus kepada pertanian sahaja kerana kalau biarkan politik masuk satu apa tak akan jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Projek Agrobandar Oleh Agrosel di perkarangan Kompleks Penghulu Mukim Semenyih di sini, hari ini.

Izham berkata, setiap persatuan dan koperasi pertanian mempunyai peranan besar menyatukan ahli masing-masing.

Katanya, melalui persatuan dan koperasi juga memudahkan Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan kepada petani.

“Mereka sesama mereka juga boleh berkongsi pengalaman dan kepakaran kepada ahli yang memerlukan.

“Maka sebab inilah saya cadangkan supaya tubuhkan Persatuan Agropreneur Selangor dan jangan jadikan badan ini badan politik,” katanya lagi.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sektor pertanian mampu beri sumbangan besar kepada Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 FEB: Penggunaan teknologi serta pembabitan rakyat mampu melonjakkan sektor pertanian untuk memberi sumbangan lebih besar kepada Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ketika ini sektor pertanian hanya menyumbang satu peratus berbanding sektor lain.

“Bagaimanapun, ia boleh diubah jika aspek penggunaan teknologi yang dapat mengeluarkan hasil yang lebih tepat dapat diaplikasikan, dalam sektor pertanian.

“Memandangkan tanah di Selangor yang terhad, amat perlu untuk kita mengujakan rakyat untuk terbabit kerana tak boleh bergantung pada sumber luar, selama-lamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara Minda Sinar Harian bersama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, di Dewan  Karangkraf,  di sini, hari ini.

Katanya, aspek nilai tambah dan pertanian moden di kawasan luar bandar akan diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri selepas ini bagi menggalakkan anak muda menceburi bidang berkenaan.

Categories
SELANGOR

Selangor buka tanah baharu, perintis kaedah ‘veggie factory’

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 4 NOV: Selangor maju setapak lagi di hadapan apabila bersedia membuka tanah baru bagi merintis projek pertanian berteknologi moden yang tidak memerlukan penggunaan tanah yang luas.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kaedah yang dinamakan sebagai ‘veggie factory’ atau ‘plant factory’ itu merupakan teknologi yang telah dimulakan dan semakin mendapat tempat dalam kalangan negara-negara maju seperti Jepun, Taiwan dan Negara Eropah termasuk juga di Singapura.

“Konsep ‘food belt’ dan ‘food priority’ akan terus menjadi asas kepada Dasar Pertanian Negeri Selangor dan pada ketika ini Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) mula diperkatakan sebagai hala tuju sektor pertanian yang lebih jitu dengan menitik beratkan penggunaan teknologi moden dan menjadi lebih persis sesuai dengan keadaan Selangor yang mempunyai keluasan kawasan amat terhad.

“Bagi mencapai hasrat ini, pembukaan tanah baharu akan terus dilaksanakan tetapi ianya haruslah berkonsepkan pertanian moden dan berteknologi tinggi memandangkan tanah untuk sektor pertanian semakin mengecil atas desakan pembangunan dengan pembukaan kawasan perumahan dan perindustrian, amalan penggunaan tanah luas untuk menjalankan projek pertanian bukan lagi menjadi amalan khususnya di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Selangor Agrofest di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, Jabatan Pertanian Negeri Selangor telahpun memulakan langkah awal berorientasikan IR4.0 dengan melaksanakan penyelidikan.

Katanya, penyelidikan projek perintis berkenaan membabitkan penggunaan kaedah penanaman secara tertutup yang tidak melibatkan tanah subur dan luas serta penggunaan cahaya matahari yang maksimum.

Katanya lagi, kaedah penanaman yang menggunakan sistem pencahayaan diod pancaran cahaya (LED) sebagai media fotosintesis dan mampu mempercepatkan tempoh tuaian hasil.

“Penggunaan teknologi ini juga mampu menghasilkan tanaman makanan yang berkualiti, segar dan selamat dimakan dengan pengawalan cahaya, karbon dioksida, kelembapan suhu, kebersihan ruang dan sistem pengudaraan yang baik kerana ianya dibuat dalam persekitaran yang terkawal atau secara penanaman dalaman,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Wanita digalakkan sertai pertanian, variasikan produk keluaran

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 3 NOV: Wanita pada masa kini digalakkan menyertai bidang pertanian sekali gus menjadi lebih kreatif, kata EXCO Kesihatan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Katanya, wanita juga perlu bijak menginovasikan tanaman dengan penghasilan pelbagai produk menarik.

“Wanita yang membabitkan diri dalam pertanian perlu pandai variasikan sesuatu hasil tanaman supaya berupaya meraih pendapatan seperti tanaman peria yang turut boleh dijadikan sebagai kerepek.

“Apabila tanaman itu divariasikan, harga sudah pasti boleh menjadi lebih berganda sekali gus golongan ini mampu menjana pendapatan walau daripada rumah sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat gerai pameran pada Selangor Agrofest 2018, di Pentas Utama Kompleks Sukan, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, perniagaan kecil-kecilan berasaskan hasil penanaman mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya wanita serius menceburkan diri dalam bidang pertanian.

“Saya akui bidang pertanian ini ada turun naik bergantung kepada keadaan cuaca namun sebab itu saya kata seseorang perlu kreatif membuat sesuatu produk yang boleh bertahan lama,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Produk pertanian catat potensi jualan RM169 juta

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Produk pertanian negara mencatatkan potensi jualan berjumlah RM169 juta hasil penyertaan dalam program promosi di luar negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya sudah terbabit dalam 30 ekspo perdagangan antarabangsa dan program promosi ‘in-store’, sehingga September lalu.

“Ini membuktikan terdapat permintaan signifikan terhadap produk pertanian Malaysia terutama di China, Eropah, Timur Tengah, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, hari ini, lapor BERNAMA.

Beliau menjawab soalan Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) berkenaan potensi eskport produk pertanian ke luar negara terutama China.

Katanya, Singapura, Indonesia, China, Thailand dan Vietnam adalah pasaran utama produk pertanian Malaysia dengan nilai eksport mencecah RM14.5 bilion atau 45.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport makanan Malaysia, pada 2017.

Sementara di China, katanya, antara produk pertanian Malaysia paling mendapat tempat ialah durian dengan negara berjaya mengeksport durian dalam bentuk isi buah dan paste berjumlah RM7.4 juta bagi tempoh lapan bulan pertama, pada tahun ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) berkenaan kemungkinan berlakunya pengeksportan durian secara haram ke China, Salahuddin berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kementerian lain bagi membendung perkara itu.

“Kami akan sentiasa mengadakan perbincangan dengan kementerian lain jika bersangkutan dengan pelabuhan, dengan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri supaya kegiatan eksport secara haram dapat dikawal dengan serius,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kementeriannya juga sedang melihat potensi eksport buah nangka, ikan hiasan dan makanan ikan ke luar negara.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri komited perluas sektor agropertanian

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan Negeri komited akan memperluaskan sektor agropertanian ke lebih banyak destinasi menjelang 2019.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, salah satu perancangan di bawah portfolio beliau adalah memberi penekanan terhadap aspek strategik kegiatan pertanian termasuk penanaman jagung bijirin.

“Tanaman jagung bijirin ini untuk dijadikan sebagai makanan ayam berskala besar dan penyelesaian kepada masalah tinja ayam secara jangka panjang.

“Namun, usaha itu masih giat dirangka dan perincian lanjut berkenaannya akan dibentangkan pada Sesi Pembentangan Belanjawan Selangor 2019, pada 23 November depan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Izham berkata, sebelum ini, jagung bijirin itu diimport dari luar negara dan ia kemungkinan meningkat pada tahun akan datang kerana permintaan daging ayam yang tinggi.

“Tahun lepas sahaja kita sudah membelanjakan RM3.3 bilion nilai jagung bijirin diimport namun untuk mengurangkan pergantungan kepada import, kita perlu mengorak langkah menanam sendiri jagung bijirin itu.

“Sekiranya diurus dengan baik, harga ayam akan boleh diturunkan sehingga 30 peratus dan hasil pendapatan yang lebih tinggi kepada para petani,” katanya.

Katanya, penanaman jagung bijirin itu melibatkan semua negeri manakala Selangor dijadikan pusat pengumpulan dan pemprosesan untuk pengeluaran makanan ternakan ayam.

Categories
NASIONAL

Malaysia perlu Universiti Pertanian – Salahuddin

SERDANG 7 OGOS: Malaysia memerlukan sebuah universiti yang pengajaran dan pembelajarannya berfokus kepada bidang pertanian bagi melahirkan pakar dan graduan yang diperlukan sektor berkenaan pada masa hadapan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, ia akan melibatkan pertimbangan sama ada perlu menubuhkan sebuah universiti pertanian atau mengembalikan fungsi Universiti Putra Malaysia (UPM) seperti awal penubuhannya yang menekankan pertanian sebagai teras.

Katanya universiti berkenaan akan berperanan seperti Universiti Chulalongkorn dan Universiti Chiangmai di Thailand yang fungsi utamanya meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan teknologi baharu dalam bidang pertanian kepada graduan dan petani.

Salahuddin berkata keputusan berhubung universiti pertanian itu akan bergantung kepada perbincangan rasmi antara beliau dan pihak kementeriannya serta UPM bagi mencapai persefahaman sebelum dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan.

“Paling penting kita lihat kedudukan kewangan negara, namun sekiranya UPM bersetuju kembalikan fokus kepada pertanian, maka itu lebih baik dan kita hanya perlu lakukan pengubahsuaian terhadap modul dan pendekatan yang digunakan di universiti itu,” katanya.

Salahuddin berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program memperkasakan pengembangan pertanian di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

UPM dahulunya dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia pada awalnya menekankan bidang perhutanan dan veterinar serta penyelidikan dalam bidang pertanian.

Dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia pada 1997 bagi menggambarkan ia sebagai pusat pengajian tinggi yang turut menawarkan pelbagai bidang pengajian terutamanya sains dan teknologi maklumat yang menjadi keperluan kepada pembangunan negara ketika itu.

Menurut Salahuddin, UPM pada masa ini mempunyai sebuah kampus cawangan di Bintulu, Sarawak yang memberi fokus kepada bidang pertanian.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Lima teras pembangunan pertanian sedia direalisasi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 OGOS: Lima teras pembangunan pertanian sedang rancak dikaji dan akan direalisasikan Kerajaan Negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Exco Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, ia membabitkan guna tanah, teknologi, pembangunan usahawan, pemasaran dan agro-tourism.

Katanya, rancangan itu selepas pihaknya turun padang dan mendengar pandangan dari setiap lapisan menerusi dialog yang diadakan.

“Selepas mengambil alih, saya bertemu dengan pihak persatuan, kumpulan dan melawat banyak tempat. Kita sudah berdialog bagi mendapatkan konsensus hala tuju pembangunan pertanian.

“Antara aspek yang akan diberi perhatian ialah aspek mesra alam dan bertani secara agroekologi.

“Dalam bidang pertanian, Selangor lari dari matlamat dan menyebabkan tanah-tanah gersang dan terdedah kepada serangan penyakit. Ini yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 bagi Siri Pertama, yang bertajuk Pengembangan dan Pembangunan Pertanian.

Ir Izham berkata, menerusi teras itu, Kerajaan Negeri akan mengoptimumkan produktiviti pengeluaran melalui tanaman bernilai tinggi contohnya ‘golden melon’.

Katanya, pihaknya turut memberikan tumpuan untuk menjadikan pusat pemasaran pertama di Malaysia dalam beberapa produk selepas melaksanakan penggredan hasil produk seperti madu kelulut.

“Kita juga memfokuskan agro-tourism sebagai destinasi pelancongan dan boleh menambahkan pendapatan pengusaha pada masa sama.

“Banyak pengusaha berjaya dalam bidang ini tetapi mereka gagal dari segi pemasaran. Oleh itu, kita mahu membentuk mereka supaya berjaya hingga peringkat seterusnya,” katanya.

Categories
SELANGOR

Teruskan program bantu pengusaha tingkatkan SSL

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 OGOS: Kerajaan Negeri akan meneruskan program kepada pengusaha bidang pertanian dengan mensasarkan ‘Self Sufficient Level (SSL) sebagai usaha meningkatkan sumber makanan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia termasuk pembabitan generasi muda yang menceburkan diri di dalam sektor pertanian melalui program khas dirancang.

“Golongan muda ini lebih terarah kepada penggunaan teknologi moden sebagai contoh penanaman berkonsepkan fertigasi.

“Saya juga dimaklumkan terdapat ramai pengusaha tanaman berkonsepkan fertigasi berlatar belakangkan pendidikan tinggi ketika lawatan saya ke Taman Kekal Pertanian Makanan (TKPM) Jalan Kebun, Klang.

“Saya diperkenalkan kepada usahawan muda yang berkelulusan di bidang kejuruteraan termasuk salah seorang daripadanya merupakan seorang wanita bekas jurutera di pelantar minyak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama di Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019, Siri Pertama di Pusat Konvesyen Shah Alam, di sini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga kini sedang merangka program dan projek pertanian yang merangkumi pembabitan pelbagai jabatan dan agensi bersama Kerajaan Persekutuan.

“Selepas berlakunya perubahan tampuk pemerintahan di peringkat pusat, kita mula merangkakan program dan projek pertanian.

“Ia merangkumi pembabitan semua jabatan dan agensi dan ini secara tidak langsung memberikan lebih manfaat kepada seluruh rakyat khususnya dalam sektor pertanian,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin mahu pengusaha mengimbangi produk dan kualiti hasil pertanian serta memastikan alam sekitar dipelihara.

Categories
SELANGOR

Selangor pusat kecemerlangan majukan bidang pertanian

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 OGOS: Bukan hanya dikenali negeri maju yang bertunjangkan sektor perkhidmatan dan perindustrian semata, tetapi Selangor juga merupakan hub pendidikan yang boleh dijadikan pusat kecemerlangan dalam bidang pertanian.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana Selangor mempunyai profesional yang terbaik dalam kalangan ahli saintis, bioteknologi, hortikultur dan sebagainya.

“Selangor lebih dikenali sebagai sebuah negeri maju dan bertunjangkan kepada sektor perkhidmatan serta perindustrian sebagai jentera ekonomi sejak dari dahulu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama di Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019, Siri Pertama di Pusat Konvesyen Shah Alam, di sini.

Amirudin turut gembira dengan pencapaian Jabatan Pertanian Selangor kerana berjaya mempertahankan pencapaian sebagai Negeri yang paling ramai usahawan tani dan memperolehi persijilan standard myGAP atau Malaysia Good Agricultural Practices selama lima tahun berturut-turut.

“Begitu juga dengan pengiktirafan Selangor sebagai sebuah negeri yang berjaya mencapai pengeluaran nilai hasil tertinggi di dalam Program Taman Kekal Pertanian Makanan (TKPM) seluruh Malaysia iaitu sebanyak 43 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran nilai hasil dari TKPM yang lain.

“Jabatan Pertanian Selangor juga menerima Anugerah Inovasi Emas 2017 di dalam Projek Veggy Factory iaitu satu konsep penanaman sayuran daun di dalam bangunan tanpa penggunaan cahaya matahari tetapi bergantung kepada kaedah pencahayaan lampu atau ‘artificial light’,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di mana Selangor Fruit Valley (SFV) dianugerahkan Gold Award Agro Tourism Experience Malaysia 2017 oleh Malaysia Tourism Council (TDC) turut membanggakan.

“Kesemua kejayaan ini sesungguhnya tidak hadir dengan sendiri tetapi melalui keazaman dan iltizam untuk mencapainya tanpa mengira rintangan berada di hadapan,” katanya.