Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Pelihara tanah pertanian, tingkatkan sumber makanan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 OGOS: Kerajaan Negeri komited dalam memastikan tanah pertanian bagi tujuan pertanian terus dipelihara demi memastikan bekalan makanan tidak berkurangan dalam jangka masa panjang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia sekali gus memastikan sumber bekalan makanan atau ‘food security’ berada pada tahap yang lebih baik demi generasi akan datang.

Katanya, selari dengan konsep Smart Selangor, Selangor turut berpotensi ke hadapan menjadi dari sudut menggabungkan teknologi dan pertanian.

“Sebagai sebuah negeri yang mempunyai jumlah penduduk ramai, pertembungan di dalam penggunaan tanah bagi tujuan penempatan dan perindustrian selalu menjadi isu utama.

“Pastinya, pembukaan kawasan-kawasan baharu untuk pembangunan rumah-rumah kediaman akan menjadi keutamaan.

“Oleh itu, kekurangan tanah memerlukan kita untuk mengoptimumkan hasil pertanian dan ini hanya dapat dilaksanakan dengan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama di Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019, Siri Pertama di Pusat Konvesyen Shah Alam, di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, pencapaian Selangor dalam bidang pertanian jauh ketinggalan berbanding negeri lain dari segi Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK).

Katanya, pada 2010, adalah berjumlah RM3.9 Bilion (2.2 peratus) dan menurun pada 2016 kepada RM3.5 bilion (1.4 peratus).

Beliau berkata, penurunan terbabit banyak dipengaruhi oleh pertukaran status tanah dari pertanian kepada komersial.

“Dari segi nilai KDNK khusus bagi sub-sektor pertanian makanan pula, pada tahun 2010 nilai KDNK adalah berjumlah RM1.39 Bilion dan menurun kepada RM1.25 Bilion di mana keluasan tanah untuk pertanian makanan hanyalah sekitar 12 peratus sahaja dari jumlah keluasan Negeri Selangor.

“Begitu juga dengan tahap sara diri atau Self Sufficient Level (SSL) untuk bekalan makanan, secara puratanya masih berada jauh dari dari segi peratusan.

“Sebagai contoh, bekalan daging masih berada pada kedudukan 3.3 peratus, padi (32 peratus) dan sayuran pada kadar kurang dari 40 peratus tetapi bagi bekalan kelapa dan telur ayam mencapai 100 peratus termasuk bekalan ayam sekitar 90 peratus,” katanya.

Untuk rekod, pada tahun ini, peruntukan bagi sektor pertanian adalah sebanyak RM32.6 juta (4.7 peratus) berbanding RM31.1 juta pada 2017.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Meja bulat belanjawan 2019 Siri 1 bincang isu pertanian

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 OGOS: Kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bidang pertanian hadir menyertai Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019, bagi Siri Pertama di Pusat Konvensen Shah Alam, di sini.

Bertemakan Pengembangan dan Pembangunan Pertanian itu dirasmikan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Menerusi ucaptamanya, Amirudin berkata, meja bulat itu bertujuan membincangkan dan memberikan pandangan serta pendapat kepada Kerajaan Negeri di dalam proses merangka belanjawan tahun 2019.

Katanya, ia bagi memastikan belanjawan itu dapat dirangka dan direalisasikan sebagai Belanjawan Rakyat.

“Maklumbalas dari stake holder (pemegang taruh) dalam bidang ini amat penting kerana mereka yang bergelumang dalam pertanian akan tahu masalah yang perlu diatasi.

“Adalah sukar untuk merangka dasar atau polisi yang efektif jika kita tidak mengenalpasti masalahnya.

“Pendekatan ini akan dilakukan dalam bidang strategik

lain agar Belanjawan Selangor mampu memberikan impak kepada pembangunan ekonomi negeri dan memberikan kemakmuran kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama di Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019, Siri Pertama di Pusat Konvesyen Shah Alam, di sini.

Sehubungan itu, Amirudin berharap, melalui Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2019 itu, ia akan menghasilkan pelbagai cadangan yang berkualiti.

Katanya, ia sekali gus dapat membantu golongan yang terbabit secara langsung di dalam sektor pertanian ini untuk menjadi lebih maju, berdaya saing dan secara tidak langsung dapat meningkat peratusan ‘Self Sufficient Level (SSL).

“Saya juga merancang untuk turun di setiap daerah di Selangor agar kita sama-sama mencari kaedah untuk memajukan semua daerah tersebut dengan menonjolkan kekuatan dan keistimewaan masing-masing.

“Saya tidak mahu ada yang tertinggal di saat kita menyebut Selangor sebagai negeri maju,” katanya.

Perbincangan itu membabitkan petani kecil, ahli akademik, agensi kerajaan yang berkaitan, badan bukan kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan, pengeksport dan pengimport produk pertanian.

Categories
SELANGOR

Komitmen bantu petani, nelayan diteruskan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 JUN: Kerajaan Negeri disaran mempertimbang cadangan menyediakan lebih banyak inisiatif berterusan dan peruntukan jangka panjang kepada golongan nelayan dan petani seluruh negeri.

Ahli Dewan Negeri (ADN), Sekinchan, Ng Suee Lim yakin, komitmen pentadbiran negeri mengangkat martabat golongan itu kekal konsisten.

Katanya, ia turut didokong kemampuan Kementerian bertanggungjawab di Putrajaya yang boleh membantu golongan itu.

“Namun, bantuan yang diberikan di peringkat pentadbiran negeri diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Kita tidak mahu wujud lagi aduan yang mendedahkan ada golongan nelayan atau petani yang mengambil kesempatan atau menyalahguna bantuan yang diberikan.

“Contohnya ada antara mereka yang menjual semula bantuan yang diberikan itu dan perkara ini tentu sekali mendapat perhatian serius di peringkat pentadbiran negeri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, komitmen Kerajaan Negeri membantu golongan tani dan nelayan dizahirkan di bawah peruntukan bantuan kelengkapan dan baja pertanian.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga pernah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM8.5 juta kepada petani yang terjejas akibat wabak hawar daun.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Majlis Perunding Pertanian Negara ditubuh

PUTRAJAYA 23 MEI: Majlis Perunding Pertanian Negara akan ditubuhkan bagi menjana idea ke arah memperkasa dan meningkatkan produktiviti industri asas tani seiring keperluan semasa, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, majlis itu akan dipengerusikan oleh seorang tokoh ternama sektor pertanian selain akan turut melibatkan beberapa nama besar lain yang berupaya memberi nilai tambah.

“Selain meningkatkan produktiviti asas tani, majlis ini juga berperanan menjana cadangan ke arah menambah baik fungsi dan perkhidmatan kementerian secara keseluruhan,” katanya kepada pemberita selepas memasuki pejabat bagi memulakan tugas rasmi sebagai menteri di sini hari ini.

Beliau berkata, penubuhan majlis itu disasarkan selesai dalam tempoh sebulan, dengan kertas cadangan mengenai penubuhannya akan dikemukakan ke Kabinet pada minggu depan.

Dalam pada itu, Salahuddin mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ismail Bakar menyediakan laporan lengkap berhubung projek National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) untuk penilaian semula dari aspek kejayaan dalam meningkatkan pengeluaran daging lembu negara.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bantu pengusaha tingkat hasil pendapatan

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA SELANGOR, 23 MAC: Bantuan geran projek pembangunan pertanian yang diberikan Kerajaan Negeri dapat membantu pengusaha meningkatkan hasil pendapatan yang dijalankan, selama ini.

Bagi pengusaha tanaman fertigasi sayur-sayuran, Lim Yuen Kiat, 37, pemberian geran itu menggandakan usahanya, sekali gus memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Saya amat gembira dengan bantuan ini. Ia sedikit sebanyak dapat membantu daripada segi teknikal dan pembiayaan bagi meningkatkan hasil penanaman saya.

“Diharapkan, saya lebih berusaha untuk menambah hasil-hasil sayuran seterusnya menyumbang kepada pendapatan pertanian, di Kuala Selangor,” katanya.

Sementara itu, Mohd Sakdum Abdullah, 68, berkata beliau rasa amat bersyukur dengan pemberian berkenaan serta akan terus berusaha dalam menghasilkan tanaman kelapa, di daerah itu.

“Saya memohon geran ini sejak tahun lalu dan tidak sangka permohonan ini berjaya. Saya berharap geran ini dapat membantu melaksanakan projek tanaman kelapa dengan lebih konsisten,” katanya yang ditemui pada Hari Bertemu Pelanggan dan Majlis Penyampaian Penyampaian Geran Pembangunan Projek Pertanian, di Pejabat Pertanian daerah Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan dan Pertanian Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, menyerahkan geran bernilai RM3.3 juta kepada 54 wakil projek pembangunan pertanian, di daerah Kuala Selangor.

Ia dikendalikan di bawah Jabatan Pertanian daerah Kuala Selangor membabitkan 1,576 peserta untuk aktviti pertanian seperti padi, sayur-sayuran, buah-buahan, kelapa, herba, cendawan,fertigasi, kelulut dan industri asas tani.

Categories
SELANGOR

Geran RM3.3 juta untuk 54 projek pembangunan pertanian di Kuala Selangor

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA SELANGOR, 23 MAC: Sejumlah RM3.3 juta geran diberikan kepada 54 projek pembangunan pertanian, di daerah Kuala Selangor.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan dan Pertanian Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, ia membabitkan 1,576 peserta yang diluluskan Kerajaan Negeri untuk aktviti pertanian di bawah kendalian Jabatan Pertanian daerah Kuala Selangor.

“Antara aktiviti terbabit adalah padi, sayur-sayuran, buah-buahan, kelapa, herba, cendawan,fertigasi, kelulut dan industri asas tani.

“Oleh itu, dengan peruntukan ini diharapkkan kuantiti dan kualiti hasil dapat ditingkatkan,” katanya selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan dan Majlis Penyampaian Penyampaian Geran Pembangunan Projek Pertanian, di Pejabat Pertanian daerah Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Zaidy berkata, pertanian adalah perniagaan yang perlu terus dimartabatkan serta menggandakan usaha bagi membangunkannya.

“Ia bagi membolehkan pengusahanya memperolehi pendapatan yang tinggi. Melalui semangat berdikari tinggi, diperkukuhkan dengan pengalaman, kreativiti dan ketabahan, maka saya yakin pengusaha mampu mengatasi sebarang masalah atau cabaran perniagaan.

“Ia sekali gus memastikan projek dilaksanakan berdaya maju dan tidak mengalami kerugian,” katanya.

Categories
SELANGOR

Penat lelah industri makanan bawa pulangan lumayan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 FEB: Peluang menjana pendapatan lumayan disamping memenuhi keperluan asas industri makanan negara menjadi faktor tarikan buat usahawan Agro Generasi Muda Negeri Selangor (AGROGEMS), Siti Nurnajwa Nazeri menceburi bidang pertanian.

Walaupun pernah bekerja dalam industri cari gali minyak dan gas (Oil & Gas) hampir dua tahun, minat mendalam terhadap industri pertanian menyaksikan kejayaan beliau mengusahakan Projek Pertanian Fertigasi dan Konvensional Bagi Tanaman Cili, Timun dan Peria sejak tiga tahun lalu.

“Industri Pertanian penting terutama bagi menyediakan keperluan makanan untuk semua peringkat.

“Cabaran untuk kita sebagai usahawan adalah untuk mengeluarkan lebih banyak hasil bagi memastikan harga pasaran stabil. Jika berlaku kekurangan, harga akan naik,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, beliau memilih tanaman fertigasi kerana ia memerlukan tenaga kerja yang rendah selain kecanggihan teknologi bagi meningkatkan hasil keluaran.

Penerima Anugerah Usahawan Harapan AGROGEMS, Jabatan Pertanian Negeri Selangor 2018 mempunyai tanaman 13,000 polibeg di atas tanah seluas 3.8 ekar dengan hasil keluaran 0.8 tan sehari untuk keperluan pasaran tempatan.

Siti Nurnajwa yang memulakan bidang pertanian secara sambilan berkata, beliau kini dalam proses untuk mengembangkan pertanian ke arah tanaman jagung manis seluas tiga ekar.

Bagi penerima Anugerah Prestasi Terbaik AGROGEMS Jabatan Perkhidmatan Veterina, Mohd Asmeezee Abdul Rahman, bantuan diterima sejak menyertai program AGROGEMS berjaya mengembangkan penternakan ayam kampung yang diusahakan bersama keluarga sejak 2015.

“Pada 2016, saya mendapat bantuan penambahbaikan reban daripada Jabatan Veterina.

“Dahulu reban yang ada mampu menampung 200 ekor ayam kampung dan kini meningkat kepada 1,000 ekor di kawasan ternakan berkeluasan suku ekar,” katanya.

Katanya, ayam kampung perlu mencapai berat minima 900 gram dan tidak melebih 1.5 kilogram untuk dipasarkan kepada pelanggan.

Menurutnya, jika ayam kampung mempunyai berat melebihi 1.5 kilogram, beliau akan mengalami kerugian dari segi makanan dan boleh mengurangkan hasil jualan.

Menyentuh soal kebersihan reban, beliau menggunakan teknologi Effective Microorganisme bagi mengawal pencemaran bau.

Mohd Asmeezee yang masih bekerja sebagai pelukis pelan berhasrat untuk mengembangkan perniagaannya dalam sektor penyediaan ayam berempah dan sejuk beku bagi memantapkan lagi keperluan pasaran tempatan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pelan Induk Pembangunan Pertanian Selangor pacu kemajuan usahawan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 FEB: Usahawan Agro Generasi Muda Negeri Selangor (AGROGEMS) dan Industri Asas Tani (IAT) dinasihatkan supaya bersedia untuk merangka strategi pertanian selari dengan Pelan Induk Pembangunan Pertanian Selangor yang akan dibentangkan dalam masa terdekat.

Exco Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pelan induk itu merangkumi pelbagai strategi bagi memastikan bekalan makanan di Selangor berada dalam keadaan baik.

Katanya, menerusi cadangan dan dapatan kajian dilakukan secara langsung memberikan manfaat serta membuka peluang kepada pemain industri pertanian.

“Antara intipati kajian tersebut untuk meningkatkan usahawan tanaman berkonsepkan fertigasi, mengatasi masalah kos makanan untuk ternakan dan program membantu mengurangkan kebergantungan mendapatkan baka-baka serta benih ikan.

“Saya memandang serius berkenaan tindakan berterusan, pelaksanaan program dan hasil dapatan dari kajian tersebut.

“Diharapkan kajian itu dapat digunapakai semua jabatan berkaitan dan tidak tinggal kajian semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Malam Apresiasi Usahawan Agrogems dan Industri Asas Tani Negeri Selangor 2018 di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), semalam.

Program AGROGEMS memasuki tahun keempat menerusi penganjuran empat siri seminar sejak 2015 hingga 2017 melibatkan seramai 1,100 golongan generasi muda menceburi bidang pertanian sebagai sumber pendapatan dan ekonomi utama.

Setakat ini, Kerajaan Negeri sudah menyalurkan hampir RM1.5 juta kepada 103 penerima yang terdiri daripada usahawan tani pelbagai bidang.

“Menerusi pemantauan dilakukan jabatan, seramai 65 penerima menunjukkan kesan positif melalui data hasil jualan dengan peningkatan sehingga 63 peratus dari sebelum menerima bantuan peralatan.

“Hanya enam peratus sahaja yang gagal disebabkan faktor tanah tidak disambung penyewaan dan sebab lain bagi tempoh Program AGROGEMS 2015 hingga 2016,” katanya.

Dalam majlis sama, Zaidy turut berbesar hati menyampaikan anugerah cemerlang kepada 13 usahawan pelbagai bidang yang membawa pulang hadiah RM10,000 dalam bentuk barangan peralatan pertanian.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

9,124 pesawah dibantu ekoran tanaman dijangkiti BLB

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Negeri memberikan bantuan kewangan kepada 9,124 pesawah di Selangor selepas hasil tanaman mereka dijangkiti penyakit hawar daun bakteria (BLB).

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, ia berdasarkan laporan hasil bancian dilaksanakan Jabatan Pertanian Selangor (JPS) bagi musim 2/2016 membabitkan semua pesawah itu di 8,892 lot sawah.

“Secara keseluruhan, penyerahan cek bantuan kewangan kepada pesawah selesai dilaksanakan bermula dari kawasan blok pengairan Panchang Bedena, Sungai Burong, Sekinchan, Sungai Nipah, Bagan Terap, Sungai Leman dan Sungai Panjang pada 20 Jun lalu,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Namun begitu, Zaidy berkata, JPS mengesahkan terdapat 9.5 peratus atau 847 lot sawah apabila pengusahanya masih belum menerima cek bantuan kewangan mereka.

“Ini disebabkan pelbagai masalah antaranya pesawah asal meninggal dunia, kesilapan pada ejaan nama, nombor kad pengenalan dan juga perkara berkaitan dengan isu di antara pemilik tanah sawah dengan pemajak tanah sawah iaitu pengusaha sebenar sawah.

“Selain itu, terdapat juga isu disebabkan cek rosak serta tamat tarikh tempoh untuk dimasukkan ke dalam akaun penerima,” katanya.

Beliau berkata, syarat ditetapkan untuk pesawah menerima bantuan kewangan itu penerima pengusaha sawah, kawasan diserang penyakit BLB mesti sekurang-kurangnya 20 peratus daripada keseluruhan lot dan lot sawah diperakui JPS dijangkitinya melalui bancian dibuat.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pelan induk pertanian siap hujung tahun ini

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 NOV: Pelan Induk Pembangunan Pertanian Selangor kini berada pada fasa terakhir dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini, kata Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Beliau berkata, pelaksanaannya diguna pakai untuk tempoh 10 tahun dengan memfokuskan kepada beberapa garis panduan dalam usaha memperlebar jaringan pertanian negeri.

“Secara dasarnya, pelan induk ini menggariskan beberapa perkara yang perlu dilihat dan dikaji, terutama meningkatkan tahap pengeluaran hasil pertanian untuk makanan seperti sayuran, ternakan lembu, ayam pedaging dan akuakultur.

“Ia penting kerana bekalan makanan atau sekuriti makanan perlu mencukupi sekurang-kurangnya boleh menampung dalam beberapa ketika untuk bilangan rakyat yang semakin tinggi di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Jelajah Infratani peringkat Dewan Undangan Negeri Dengkil, di Tapak Pasar Awam Dengkil, petang ini.

Zaidy berkata, kepadatan jumlah penduduk di Selangor turut menuntut Kerajaan Negeri memfokuskan kepada pembangunan pelan pertanian yang dilihat mampu memberi manfaat kepada pertani seluruh negeri.

“Untuk makluman, ketika ini jumlah penduduk Selangor pada 2017 adalah 5.8 juta dan dijangka meningkat sehingga 9 juta, pada 2035.

“Melihat kepada pengecilan kawasan pertanian, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menyiapkan pelan induk pembangunan ini dengan harapan ia merangkumi aspek penggunaan tanah yang optimum.

“Ia bukan sahaja tertumpu kepada aspek keluasan kawasan tanah semata-mata, namun dapat menjana hasil yang tinggi melalui penggunaan teknologi dan konsep pertanian moden,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Galakan bangun pusat peneraju usahawan ternakan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

DENGKIL, 11 NOV : Kerajaan Negeri menggalakkan sebarang usaha usahawan tempatan untuk membangunkan pusat peneraju usahawan ternakan di seluruh negeri.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, agensi di peringkat Kerajaan Negeri bersedia membantu sebarang keperluan pembangunan itu.

Katanya, ia termasuklah kerjasama dan tumpuan secara konsisten Jabatan Veterinar dan porfolio pertanian di peringkat Kerajaan Negeri.

“Sebarang usaha ke arah pembangunan pusat peneraju seperti ini di sokong dalam dalam usaha meningkatkan industri penternakan.

“Inisiatif untuk menyokong agenda ini diperluas menerusi Pelan Induk yang mana kita sudah menjalankan kajian secara menyeluruh untuk membantu,” katanya.

Terdahulu, Zaidy Abdul Talib turun padang meninjau keperluan operasi Nuralis Agro Farm sebagai sebuah pusat pembangunan penternakan ayam negeri.

Untuk rekod, Nuralis Agro Farm merupakan pusat latihan keusahawanan yang menawarkan kemahiran latihan penternakan ayam kepada golongan belia yang berminat dalam bidang penternakan dan keusahawanan.

Pusat latihan keusahawanan itu menerapkan pengurusan ternakan ayam tempatan yang mampu menghasilkan pulangan pendapatan kepada belia sehingga mencecah RM10,000 sebulan.

Terdahulu, penglibatan golongan belia dalam bidang keusahawanan dan penternakan dilaksanakan di peringkat negeri menerusi penganjuran karnival infratani dan program Agro GeMS melibatkanya penyertaan belia negeri.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pertanian semakin rancak, raih pelbagai kejayaan

 

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 NOV: Golongan petani dan penternak seluruh negeri diberikan perhatian khusus dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan bimbingan serta bantuan oleh jabatan berkaitan.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, hasil daripada komitmen itu memberikan pulangan positif kepada penggiat tani negeri.

Beliau berkata, perkembangan positif itu dibuktikan hasil komitmen Kerajaan Negeri dalam memberi galakan kepada petani untuk menerapkan kaedah pertanian berteknologi tinggi membabitkan kerjasama syarikat swasta.

Katanya, ia termasuklah penggunaan kaedah pertanian persis (precision agriculture) untuk memastikan produk pengeluaran dapat dihasilkan secara tepat dan bersistematik.

“Selain daripada itu penglibatan pihak swasta yang membawa bersama pengalaman, teknologi moden diberi perhatian untuk dilaksanakan di seluruh negeri.

“Antara kejayaan pengusaha sektor pertanian di peringkat kebangsaan antaranya jumlah pengeluar padi per hektar yang teringgi dicatatkan pada kadar purata 6.49 metrik tan per hektar berbanding pengeluaran purata negara iaitu 4.4 metrik tan per hektar.

“Selain itu, jumlah penerima anugerah myGAP dan myOrganik tertinggi direkodkan untuk tempoh lima tahun berturut-turut.

“Untuk tahun 2016 pula menyaksikan, 209 (21 peratus) pengusaha tanaman negeri dianugerahkan Sijil myGAP dan myOrganik 208 penerima Sijil myGAP dan 1 penerima Sijil myOrganik daripada 973 penerima sijil myGAP dan 15 penerima myOrganik dari seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Kelang, Dr Halimah Ali di Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Pada masa sama kata Zaidy, kejayaan lain diraih meliputi program pertanian fertigasi dengan perolehan jumlah polibeg tertinggi sebanyak 2 juta polibeg dihasilkan 1,000 pengusaha di atas tanah berkeluasan 790 hektar.

“Program Taman Kekal Pertanian Makanan (TKPM) Negeri juga menyaksikan kejayaan apabila mencatatkan jumlah hasil jualan tinggi sebanyak RM32 juta atau 43 peratus dari jumlah TKPM lain.

“Program ternakan ayam kampung secara berperingkat di Kuala Langat pula dilihat berjaya apabila Selangor menjadi antara pengeluar telur ayam tertinggi di Malaysia dan bekalan telur untuk negeri mencapai 100 peratus dari segi Self Sufficient Level (SSL),” katanya.