Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih dua juta penduduk Selangor lengkap dua dos vaksin

SHAH ALAM, 11 OGOS: Seramai 2.01 juta orang atau 42.4 peratus daripada penduduk yang memohon vaksin lengkap menerima dua dos pelalian Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi perkongsian infografik di Facebook memaklumkan 3.64 juta penduduk atau 76.7 peratus menerima dos pertama.

Sejumlah 5.65 juta dos diberi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) manakala 266,069 telah disuntik melalui program Vaksin Selangor (Selvax).

Pada 16 Julai, Amirudin berkata semua warga Selangor yang telah mendaftar akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Selangor kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

 

Categories
ADN SELANGOR

DUN Sementa sedia kenderaan, kos minyak bantu penduduk ke PPV

SHAH ALAM, 11 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa menyediakan kenderaan serta kos minyak untuk mudahkan penduduk hadir ke Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Hotel De Palma Seksyen 19.

Penyelarasnya Mohd Saadon Muah berkata bantuan ditawarkan kepada individu yang berdepan masalah pengangkutan memandangkan lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) itu agak jauh dari DUN terbabit.

“Penduduk yang perlukan bantuan ini boleh maklumkan kepada ketua kampung. Kita pernah bercadang lakukan proses suntikan dalam DUN sahaja namun ada kekangan dari aspek lokasi serta petugas.

“Begitu juga dengan penyediaan bas, kita kena fikirkan proses sanitasi. Sebab itu kita rasa PPV ini sesuai walaupun jauh cuma kita perlu sediakan sejumlah kos sebagai bantuan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mohd Saadon berkata lebih 1,000 penduduk Sementa dijangka menerima manfaat program percuma anjuran Kerajaan Selangor itu.

“Pada mulanya kita terima pendaftaran seramai 2,600 individu tetapi jumlahnya berkurang kerana ramai dah terima pelalian PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) sebelum program ini berlangsung,” katanya.

Kerajaan Negeri melancarkan Selvax pada Jun bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos RM200 juta dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

3.38 juta rakyat Selangor terima satu dos vaksin setakat ini

SHAH ALAM, 5 OGOS: Seramai 3.38 juta atau 71.2 peratus penduduk Selangor yang memohon vaksin telah menerima satu dos pelalian Covid-19 setakat ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah 4.89 juta dos diberi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan 225,628 Program Vaksin Selangor (Selvax).

Beliau menjelaskan Selangor akan mencapai imuniti kelompok menjelang September melalui kedua-dua program yang giat dijalankan ketika ini.

“Meskipun menghadapi cabaran negeri yang mempunyai penduduk teramai di Malaysia serta mencatat kes tertinggi, Selangor terus memacu usaha vaksinasi dengan pencapaian tersebut,” katanya di Facebook.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Manakala sebanyak dua juta dos vaksin pula kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Bulan lalu, Selangor berjaya mencatat kadar pemberian vaksin harian melebihi 150,000 dos, melepasi sasaran harian sebanyak 135,000 dos.

Jumlah itu tidak termasuk kadar vaksinasi harian menerusi program Selvax membabitkan 15,000 dos.

Categories
AGENDA NASIONAL

21.3 peratus rakyat lengkap dua dos vaksin setakat semalam

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Sebanyak 21,200,473 dos vaksin COVID-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb hingga semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter berkata daripada jumlah itu, sebanyak 14,247,659 menerima suntikan vaksin dos pertama dan 6,952,814 adalah dos kedua.

“Mengikut peratusan, 43.6 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama, sementara 21.3 peratus sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 mereka,” menurut JKJAV.

Bagi vaksinasi harian pula sebanyak 480,122 dos diberikan semalam dengan  298,236 adalah pemberian dos pertama manakala 181,886 lagi dos kedua.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerjasama PICK, Selvax mampu capai imuniti kelompok kurang dari sebulan

SHAH ALAM 31 JULAI: Selangor mampu mencapai imuniti kelompok dalam masa kurang dari sebulan susulan kerjasama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Vaksin Selangor (Selvax).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata 65.5 peratus daripada orang dewasa di Selangor telah menerima suntikan dos pertama setakat hari ini.

“Berasaskan kapasiti setakat ini, Kerajaan Negeri yakin bahawa kerjasama bersepadu di antara Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta tambahan Program Vaksin Selangor (SelVAX) dapat membawa warga Selangor mencapai imuniti kelompok dalam masa kurang dari sebulan.

“Justeru, program Selvax Komuniti yang sedang berlangsung diteruskan hingga 11 Ogos sebagai salah satu strategi Kerajaan Selangor untuk menampung dan mempercepat pelaksanaan PICK,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Amirudin mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) membincangkan cara mempercepatkan imunisasi rakyat Selangor bagi melindungi mereka dari wabak Covid-19.

Setakat hari ini seramai 1.17 juta atau 24.7 peratus rakyat negeri ini lengkap menerima dua dos vaksin.

Sejumlah 4.28 juta dos diberi kepada rakyat negeri ini menerusi PICK manakala 176,837 dos disuntik menerusi program Selvax.

Pada 9 Julai, Amirudin yakin Selangor mampu beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang Ogos atau September ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

1.11 juta rakyat Selangor lengkap dua dos vaksin setakat hari ini

SHAH ALAM, 30 JULAI: Seramai 1.11 juta atau 23.3 peratus rakyat Selangor lengkap menerima dua dos vaksin setakat hari ini.

Berdasarkan perkongsian infografik di Facebook Dato’ Seri Amirudin Shari, sebanyak 3.02 juta rakyat atau 63.5 peratus pula telah menerima dos pertama.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan sejumlah 4.12 juta dos diberi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Bagi program Vaksin Selangor (Selvax) pula sebanyak 158,929 dos telah disuntik.

Pada 16 Julai, Amirudin berkata semua warga Selangor yang telah mendaftar akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Selangor kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Categories
AGENDA NASIONAL

JKJAV: 521,923 dos suntikan vaksin diberi semalam, rekod tertinggi

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Kadar pemberian vaksin harian negara menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencatatkan rekod tertinggi semalam iaitu sebanyak 521,923 dos.

Sebelum ini, jumlah pemberian vaksin harian tertinggi adalah 507,050 dos yang dicatat pada 22 Julai.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi laman Twitter memaklumkan, daripada jumlah yang dicatat semalam, seramai 333,621 individu menerima dos pertama manakala 188,302 mendapat dos kedua.

Selangor merupakan negeri paling banyak memberikan suntikan iaitu 130,187 dos, diikuti Kuala Lumpur (85,647), Sarawak (38, 977 dos) dan Perak (32,311).

Secara kumulatifnya, JKJAV berkata sebanyak 17,839,476 dos sudah diberikan kepada penduduk di negara ini setakat ini, yang meliputi 12,131,329 dos pertama dan 5,708,147 dos kedua.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Sasar suntik 300,000 dos, jangka kes turun akhir Ogos

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kerajaan negeri Selangor akan mempertingkatkan kadar vaksinasi sehingga 300,000 dos sehari menjelang hujung bulan ini dalam usaha menurunkan angka kes jangkitan Covid-19 seterusnya bersedia beralih ke Fasa Kedua atau Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) akhir Ogos ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata hasil mesyuarat dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Jumaat lepas, Selangor perlu meningkatkan dos vaksinasi kepada 272,000 dos daripada 165,000 dos sehari yang dipersetujui sebelum ini.

Beliau berkata jumlah itu hasil daripada pelaksanaan program Selangor Vaksin (Selvax), PICK dan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) yang dijalankan serentak di negeri ini.

“Melalui Selvax juga kita mampu tambah lagi 40,000 dos sehari, jadi saya rasa kita boleh capai lebih 270,000 ke 300,000 dos sehari,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata perkara itu selaras dengan usaha kerajaan persekutuan melalui Operasi Lonjakan Kapasiti yang dilaksanakan bagi memastikan penduduk dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 1 Ogos ini.

“Kalau semua dapat berjalan dengan betul, hujung Ogos saya rasa Selangor dah boleh masuk ke Fasa Kedua atau ke Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara dengan angka kes jangkitan dapat dikurangkan, sebagaimana data dan usaha yang telah dilakukan di Labuan,” katanya.

Amirudin berkata setakat ini Selangor sudah mencapai lebih 13 peratus penduduk dewasa telah lengkap divaksinasi manakala yang mendapat dos pertama sudah mencecah 40 peratus.

Beliau berkata Selangor adalah negeri tertinggi kadar vaksinasi harian di seluruh negara iaitu lebih 100,000 dos sehari dan angka itu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Katanya, kadar vaksinasi itu akan ditambah melalui pertambahan 30 ke 40 peratus jurusuntik melalui kerjasama dengan pihak hospital dan klinik swasta serta pertambahan waktu operasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Kita akan tambah waktu bekerja, ada cadangan 24 jam tapi kalau ikut perancangan sedia ada sampai pukul 10 malam pun kita boleh capai sasaran itu, tapi kita akan tengok dari segi kesesuaian masa, tempat dan keadaan PPV,” katanya.

Dalam pada itu, katanya pihak kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan pihak pengurusan kilang dan tapak pembinaan serta badan bukan kerajaan untuk memastikan pelarian dan pendatang tanpa izin juga divaksinasi.

“Mereka juga harus divaksinasi untuk kita mencapai imuniti kelompok, kalau mereka tidak dilindungi mereka boleh menjadi pembawa virus itu ke dalam masyarakat,” katanya dan memaklumkan dianggarkan kira-kira 500,000 pelarian Rohingya berada di Selangor.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Suntikan vaksin cecah 300,000 dos hujung bulan ini

KLANG, 18 JULAI: Jumlah pemberian vaksin harian negeri boleh mencecah ke tahap maksimum 309,000 dos sehari menjelang hujung bulan ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan jumlah itu hasil program Selangor Vaksin (Selvax), Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas).

“Saya yakin kalau semua diatur baik termasuk bekalan mencukupi, kita akan dapat capai angka ini. Pagi Jumaat lepas ketika mesyuarat bersama Khairy Jamaluddin (menteri penyelaras PICK), kita sasar 272,000 dos sehari menjelang 26 atau 27 Julai.

“Sekarang suntikan harian juga melebihi 100,000. Dalam masa sama, Selvax Komuniti dan Selvax Industri turut berjalan melibatkan 6,000 hingga 7,000 dos,” katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin kepada penduduk Taman Desawan, Klang Jaya hari ini.

Jelas Amirudin, pihaknya kini sedang berurusan dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi membolehkan data harian Selvax terus dimuat naik ke dalam sistem organisasi itu.

“Sekarang data harian (Selvax) tidak boleh direkodkan setiap hari. Jadi akhir bulan ini kita jangka dapat lihat angka dos suntikan lebih baik dan tinggi di negeri ini,” katanya.

Pada 15 Jun, kerajaan Selangor dan persekutuan bersepakat sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin selewat-lewatnya September.

Sebelum ini, hanya 43,000 orang disuntik setiap hari di negeri ini tetapi pelbagai langkah baharu diambil dalam mesyuarat CITF bagi meningkatkan vaksinasi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir setengah juta rakyat Selangor lengkap terima vaksin

SHAH ALAM, 12 JULAI: Hampir setengah juta dos kedua vaksin telah diberikan kepada warga Selangor setakat semalam.

Berdasarkan data Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) jumlah 497,708 itu adalah daripada 3,526,676 dos telah diberikan kepada rakyat di seluruh negara.

Perkongsian di Twitter itu juga menyatakan pemberian dos kedua di Selangor adalah 7.6 peratus daripada populasi negeri dengan 10.5 peratus adalah dalam kalangan dewasa.

Bagi pemberian dos pertama, CITF memaklumkan 1,497,345 dos atau 22.9 peratus telah diberikan daripada 7,840,034 untuk seluruh Malaysia dengan 31.5 peratus adalah orang dewasa.

Secara keseluruhan sebanyak 1,995,053 dos pertama dan kedua telah diberikan kepada warga Selangor setakat semalam.

Semalam dilaporkan negeri ini mencatat jumlah pemberian vaksin tertinggi iaitu 1.756 juta dos setakat 8 Julai lalu menerusi kerjasama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan vaksin Selangor (Selvax).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 4.21 juta rakyat telah menyertai program itu dalam tempoh berkenaan dan ia menepati 88.35 peratus sasaran warga dewasa yang layak mendaftar.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor rekod pemberian vaksin tertinggi dengan 1.756 juta dos (VIDEO)

SHAH ALAM, 12 JULAI: Selangor mencatat jumlah pemberian vaksin tertinggi iaitu sebanyak 1.756 juta dos setakat 8 Julai lalu menerusi kerjasama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan vaksin Selangor (Selvax).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 4.21 juta rakyat telah menyertai program itu dalam tempoh berkenaan dan ia menepati 88.35 peratus sasaran warga dewasa yang layak mendaftar.

“Bagi program Selvax, sebanyak 44,233 dos berjaya dilaksana iaitu 11,393 (25.8 peratus) untuk Selvax Komuniti dan 32,840 (74.2 peratus) bagi Selvax Industri sehingga Sabtu lalu.

“Dengan keupayaan suntikan vaksin iaitu 43,000 dos pada Jun lalu dan berjaya ditingkatkan kepada lebih 89,000 dos sehari pada Julai dalam PICK.

“Ini ditambah dengan kemampuan Selvax memberi lebih 20,000 dos sehari pada waktu ini sebelum mencapai lebih 40,000 dos hingga awal Ogos nanti,” katanya menerusi rakaman video di Facebook.

Amirudin turut menyatakan keupayaan mencapai 135,000 dos sehari pada bulan ini dan 165,000 pada Ogos selain percaya proses pemberian vaksin dapat dipertingkat dengan jumlah lebih banyak.

“Kita berada di landasan yang betul walaupun diserang dengan pertumbuhan kes dan pada masa kini kerajaan memfokus untuk memastikan saringan lebih banyak serta vaksinasi ditingkatkan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Badan bertindak Covid-19 giat kesan warga emas belum daftar vaksin

SHAH ALAM, 15 JUN: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) giat mengesan warga emas di Selangor yang belum mendaftar suntikan vaksin.

Setakat ini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Selangor fasa kedua mencapai 88 peratus pendaftaran daripada jumlah keseluruhan warga emas berdaftar.

Menurut kenyataan bersama Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin dan Pengerusi CITF Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, usaha itu turut melibatkan golongan orang kurang upaya (OKU) serta mempunyai sejarah penyakit tanpa mengetepikan kepentingan warga lain.

“PICK juga tidak mengetepikan petugas sektor industri dan perkilangan memandangkan peningkatan kes serta kluster tempat kerja di Selangor yang turut berlaku di Negeri Sembilan dan Johor.

“Selain itu CITF peringkat persekutuan mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Program Vaksinasi COVID-19 Negeri Selangor (SCVP) sebagai pelengkap kepada PICK,” katanya.

Kedua-dua pihak juga menyatakan komitmen untuk bersama-sama mempermudah dan menambah bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini.

“Selain itu, mesyuarat turut bersetuju untuk memperkemas dan menambah tenaga kerja serta sukarelawan bagi memastikan kelancaran pengoperasian PPV.

“Usaha ini melibatkan kerjasama Selgate Healthcare Sdn Bhd dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd selain menambah unit PPV bergerak, bagi mempercepatkan imuniti kelompok,” katanya.

Terdahulu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mempengerusikan Mesyuarat CITF Kebangsaan peringkat negeri bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Bangunan Annex di sini.