Categories
EXCO SELANGOR

Manfaat Kiss diperluas untuk beli PPE, pelitup muka

SHAH ALAM, 15 JULAI: Manfaat Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) diperluas untuk pembelian peralatan perlindungan peribadi (PPE), pelitup muka, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman.

EXCO kebajikan berkata penambahbaikan bantuan terutama inisiatif untuk golongan wanita yang terjejas akibat Covid-19 kini pada peringkat akhir kelulusan.

“Kerajaan Negeri bersikap terbuka menerima maklum balas daripada pemegang kad bagi kebaikan semua pihak,” kata Dr Siti Mariah Mahmud ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunaraj berhubung manfaat yang diterima penerima Kiss sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Pada 1 November tahun lalu, Selangor menambah peruntukan program berkenaan sebanyak RM12 juta menjadikan jumlah keseluruhan bagi 2020 meningkat kepada RM62 juta.

Sejak diperkenalkan pada 2017, inisiatif itu memberi manfaat kepada hampir 50,000 wanita di negeri ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Penghuni Rumah Puteri Arafiah siapkan 400 PPE untuk petugas hadapan

SHAH ALAM, 28 MEI: Penghuni Rumah Puteri Arafiah (RPA) berjaya menyiapkan 400 set kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ramadan lalu.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Masdiana Muhamad berkata PPE terbabit disumbangkan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus mengawal penularan Covid-19.

“Susulan arahan kerajaan tidak membenarkan rentas negeri, penghuni RPA tidak dapat pulang menyambut raya bersama keluarga. Jadi peluang ini dimanfaatkan untuk tujuan itu selain menyiapkan projek biskut raya,” katanya ketika sesi temu bual dalam talian di program Cendol Aidilfitri anjuran Institut Darul Ehsan hari ini.

RPA adalah pusat penjagaan dan perlindungan remaja puteri bawah 21 tahun anjuran Pekawanis yang ditubuhkan sejak Jun 2011 bagi membimbing serta memberi perlindungan kepada remaja bermasalah menerusi penekanan elemen pembangunan modal insan juga rohani.

Sementara itu, isteri Dato’ Menteri Besar memaklumkan Pekawanis akan menjalankan program membantu ibu tunggal secara dalam talian yang sudah dirancang dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Categories
ADN SELANGOR

Hargai petugas barisan hadapan, DUN Paya Jaras sumbang sut PPE

SUNGAI BULOH, 24 APRIL: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras menyumbangkan kira-kira 470 sut pakaian perlindungan diri (PPE) dan 450 penutup hidung dan mulut kepada petugas perubatan Hospital Sungai Buloh di sini semalam.

Sumbangan itu disampaikan ahli dewan negerinya Mohd Khairuddin Othman kepada wakil kakitangan hospital berkenaan yang merawat pesakit Covid-19.

Mohd Khairuddin yang juga EXCO pembangunan generasi muda dan sukan dan pembangunan modal insan berkata sumbangan tersebut tanda sokongan kepada pasukan barisan hadapan.

“Pengorbanan mereka yang bertugas di hospital amat dihargai malah petugas barisan hadapan sanggup menggadai nyawa untuk menyelamatkan orang lain,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata sumbangan kepada petugas barisan hadapan turut mendapat kerjasama dua badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Kebajikan Aman Puri dan 47 Cares Sungai Buloh.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ-UiTM kerjasama jahit sut khas bantu petugas hadapan

SHAH ALAM, 21 APRIL: Sebanyak 131 pakaian perlindungan diri (PPE) fasa pertama dihasilkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bersama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak 8 April lalu.

Datuk-Bandar MBPJ Dato’ Mohd Sayuthi Bakar melihat proses jahitan PPE untuk diserahkan kepada petugas barisan hadapan. Foto Facebook MBPJ

MBPJ dalam kenyataan di Facebook memaklumkan PPE tersebut diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Klang bagi membantu mengurangkan risiko petugas barisan hadapan yang merawat kes Covid-19.

“Usaha murni ini diteruskan lagi untuk fasa kedua bermula 14 April lalu untuk disumbangkan kepada Hospital Sungai Buloh.

“Buat masa ini proses menjahit sedang giat dilaksanakan oleh 10 peserta di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar dari Pusat Aktiviti Penjanaan Pendapatan Komuniti Bandar MBPJ di Lembah Subang 1 dan Flat PKNS Taman Dato Harun,” kata kenyataan itu.

Kenyataan sama turut memaklumkan peserta yang terlibat dalam proses tersebut diberi upah RM5 bagi sehelai pakaian yang dijahit.

Pada masa sama, kakitangan Jabatan Penguatkuasaan MBPJ turut menghasilkan kira-kira 1,000 unit pelindung muka untuk diserahkan kepada agensi terlibat menangani Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak semua petugas kesihatan perlu pakai sut khas PPE – KKM

SHAH ALAM, 14 APRIL: Petugas barisan hadapan dinasihatkan menggunakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) mengikut keperluan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemantauan dijalankan memastikan bekalan dan kadar penggunaan bagi setiap jenis PPE cukup di setiap negeri.

“Bukan semua petugas kesihatan perlu memakai semua jenis PPE pada masa mereka bertugas. Ini penting memastikan kadar dan pola penggunaan PPE di fasiliti kesihatan KKM ,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menyifatkan kekurangan PPE merupakan masalah global akibat Covid-19, beliau berkata KKM sedang dalam proses membeli kelengkapan tersebut secara pukal di peringkat pusat dan negeri.

KKM turut menjalinkan kerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi lain bagi memastikan isu berkaitan bekalan mendapat perhatian serius.

“Sumbangan PPE dari pelbagai pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan dermawan terus dialukan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada mereka.

“Senarai nama, nombor telefon dan emel pegawai bagi setiap negeri dimaklumkan bagi membantu orang ramai dan kakitangan untuk memberi maklumbalas sekiranya didapati berlaku kekurangan PPE,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Proton sasar hasilkan 60,000 pelindung muka petugas barisan hadapan

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd menghasilkan pelindung muka iaitu komponen penting bagi Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan sektor penjagaan kesihatan.

Operasi pengeluaran yang melibatkan kakitangan Proton itu dijangka bermula pada 13 April ini di ibu pejabatnya di Shah Alam.

Syarikat itu menyasarkan penghasilan 60,000 pelindung muka dalam masa 20 hari.

“Sebagai jenama automotif kebangsaan, usaha Proton ini didorong tanggungjawab membangunkan industri kereta tempatan dan menyokong negara dan rakyat sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan.

“Syarikat mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kereta. Kami menggunakan kelebihan itu untuk menghasilkan peralatan PPE dalam usaha menyokong barisan hadapan negara membendung penyebaran COVID-19,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Radzaif Mohamed dalam kenyataan.

Beliau berkata pelindung muka itu dihantar secara berperingkat dan Proton bekerjasama dengan pihak kementerian untuk mengedarkan peralatan itu secara percuma mengikut tahap keperluan di setiap daerah.

Sebelum ini, syarikat itu meminjamkan 50 unit Proton X70 untuk kegunaan kakitangan Kementerian Kesihatan berikutan penularan Covid-19.

-BERNAMA