Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat beri vaksin pandu lalu untuk OKU dibuka minggu depan

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Pusat pemberian vaksin (PPV) untuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) secara pandu lalu akan diwujudkan minggu depan bagi mencepatkan lagi proses pemberian vaksin kepada golongan itu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata PPV pandu lalu itu akan beroperasi di satu lokasi di Lembah Klang dengan kerjasama pihak swasta melalui Ahli Dewan Negara Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

“Ini (pandu lalu) ialah alternatif untuk memudahkan dan menyegerakan pemberian vaksin kepada komuniti OKU dengan hanya duduk di dalam kereta tanpa perlu keluar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan program vaksinasi OKU di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) hari ini.

Rina berkata berdasarkan data Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), kira-kira 577,000 OKU berdaftar di bawah JKM setakat ini, dan seramai 195,395 OKU mendaftar untuk pemvaksinan menerusi MySejahtera.

Bagi mempercepat pendaftaran OKU, beliau berkata pihaknya kini bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan berkaitan.

Pada masa sama, Rina berkata kementerian melalui JKM, menyerahkan nama dan butiran asas seramai 446,000 OKU yang berdaftar dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) kepada pihak berkaitan bagi memastikan individu dalam kumpulan sasaran itu tidak tercicir daripada mendapatkan vaksin.

Menurut beliau, untuk memudahkan pendaftaran, MAB juga menubuhkan pusat panggilan khas di talian 03-2272 2677 yang hingga hari ini telah menerima 1,900 permohonan.

Katanya PPV di MAB itu dijangkakan berupaya memberikan 200 vaksin setiap hari dengan penglibatan 20 sukarelawan JKM bagi membantu paramedik dan doktor yang bertugas.

Mengulasi tinjauannya di MAB yang merupakan PPV OKU pertama di negara ini, Rina berkata beliau berpuas hati dengan pelaksanaan program imunisasi di situ.

Mengikut perancangan program imunisasi negara, fasa kedua pemberian vaksin menyasarkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan OKU dalam tempoh April hingga Ogos depan.

-BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat sediakan pemandu bawa warga emas, OKU ke pusat vaksin

SHAH ALAM, 1 JUN: Wakil rakyat Subang Jaya menyediakan pengangkutan percuma untuk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) ke pusat pemberian vaksin (PPV) sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Michelle Ng Mei Sze berkata inisiatif bermula minggu lalu menyasar golongan kurang berkemampuan bagi memastikan mereka tidak terlepas janji temu mendapatkan suntikan vaksin.

“Mereka perlu membuat tempahan mendapatkan perkhidmatan ini dua hari sebelum tarikh janji temu suntikan vaksin selepas menerima notifikasi melalui aplikasi MySejahtera.

“Pemandu akan mengambil individu berkaitan di rumah masing-masing untuk dihantar ke PPV sekitar Selangor dan Kuala Lumpur selain menguruskan proses suntikan hingga selesai,” katanya ketika dihubungi.

Michelle berkata seramai 15 pemandu dalam lingkungan usia 20 hingga 55 tahun berdaftar secara sukarela dengan semuanya diberi surat kebenaran rentas daerah.

“Justeru, sangat penting untuk setiap orang memainkan peranan membantu individu seperti ini bagi memastikan negara mencapai imuniti kelompok,” katanya menambah kira-kira 50 warga emas dan OKU sudah dibantu.

Mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan itu boleh menghubungi Pengerusi Rukun Tetangga USJ 2, Har di talian 012-2731336.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB puji proses beri vaksin lancar, yakin lebih ramai terima suntikan

SHAH ALAM, 25 MEI: Dato’ Menteri Besar berpuas hati dengan kelancaran proses suntikan serta sambutan orang ramai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pusat berkenaan mampu menyuntik 3,000 dos vaksin sehari namun berdasarkan pemerhatiannya, mungkin jumlah lebih tinggi mampu diperoleh.

Orang ramai menerima suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 25 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Jumlah penerima harian mungkin boleh ditambah. Kita bukan kejar angka tetapi kelancaran ini mungkin boleh mempercepatkan proses imunisasi.

“Lokasi strategik serta kemudahan yang ada dalam bangunan ini juga memudahkan orang awam berurusan,” katanya selepas meninjau pusat berkenaan hari ini.

Amirudin berkata kerjasama erat antara jabatan kerajaan serta Kerajaan Negeri juga membantu kelancaran proses vaksinasi berkenaan.

“Kita harap momentum ini dikekalkan hingga hujung tahun supaya lebih ramai dapat divaksin,” katanya.

Terdahulu, beliau turut beramah mesra dengan petugas serta orang awam yang datang menerima suntikan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kontak rapat, individu positif Covid-19 dilarang ke pusat vaksin

KUALA LUMPUR: Penerima vaksin yang positif atau disyaki menghidap Covid-19 tidak dibenarkan hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mendapatkan suntikan.

Menteri sains berkata larangan sama turut dikenakan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin selain menggesa pihak terlibat menyemak status risiko di MySejahtera.

“Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) ingin menasihati orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu status risiko diri di aplikasi MySejahtera sebelum datang ke PPV bagi mendapatkan vaksin.

“Individu dengan status kes yang disahkan, kes suspek, kontak rapat dan individu dalam pemantauan tidak dibenarkan hadir serta masuk ke PPV,” kata Khairy Jamaluddin seperti dilapor Berita Harian.

Beliau yang juga menteri penyelaras imunisasi Covid-19 berkata tarikh baharu akan diberi kepada penerima vaksin yang tidak dapat hadir pada masa ditetapkan.

“Setiap PPV mempunyai senarai menunggu yang akan dihubungi bagi menggantikan mana-mana ketidakhadiran untuk mengurangkan risiko pembaziran vaksin,” katanya.

Khairy turut menasihati orang ramai supaya mematuhi slot masa diberikan bagi mengelak kesesakan di pusat terbabit seperti yang berlaku sebelum ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hanya janji temu, tiada pendaftaran terbuka dapat vaksin

PUTRAJAYA, 12 MEI: Pemberian vaksin secara pendaftaran terbuka (walk in) tidak dibenarkan di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara, kata Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menunggu di mana-mana PPV termasuklah di PPV AstraZeneca (AZ) dengan harapan untuk mendapatkan vaksin yang tidak digunakan akibat ketidakhadiran penerima vaksin berjadual di pada hari yang ditetapkan.

CITF berkata ia telah membangunkan satu mekanisme untuk menghindari pembaziran vaksin tanpa menganggu perancangan logistik di PPV selain dapat mengelakkan kesesakan terutama ketika kes Covid-19 harian meningkat.

CITF dalam satu kenyataan semalam berkata secara amnya, semua PPV akan mempunyai senarai individu daripada pangkalan data yang akan mereka hubungi melalui pesanan ringkas atau telefon.

“Individu yang dihubungi akan ditanya sama ada mereka berminat untuk mendapatkan vaksin dan sama ada mereka dapat hadir ke PPV pada hari itu juga,” katanya.

CITF berkata bagi PPV AZ pula satu senarai menunggu, iaitu senarai nama mereka yang telah menempah slot menunggu sewaktu penempahan untuk suntikan vaksin AstraZeneca digunakan sebagai asas.

“Mereka yang dipilih di bawah senarai ini akan dimaklumkan melalui notifikasi di MySejahtera, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon.

“Oleh itu, CITF ingin menggesa orang ramai agar tidak hadir di PPV tanpa sebarang urusan dan temu janji serta tidak perlu untuk berlegar atau menunggu di PPV bagi mendapatkan vaksin tanpa janji temu,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial orang ramai bersesak di hadapan pintu pagar PPV Dewan Sri Guchil, Kuala Krai, di Kelantan yang berpunca daripada mereka yang sedang menunggu giliran bagi mendapatkan suntikan vaksin secara hadir terus.

-BERNAMA