Categories
NASIONAL

Anwar sedia kemuka bukti

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 28 FEB: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan beliau memiliki dokumen transaksi bank yang mendakwa PAS membayar RM1.4 juta kepada Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Bukti berkenaan dikaitkan dengan penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta daripada UMNO.

Bagaimanapun, katanya, bukti itu hanya didedahkan jika PAS terus mencabarnya.

“Saya tidak sesekali memusuhi ahli PAS. Saya ada baca kertas pendakwaan itu. Saya tidak bodoh kerana sudah banyak kali turun naik mahkamah sebelum ini.

“Nama saya Anwar Ibrahim, kalau tak ada fakta saya tak lawan. Ini saya ada fakta memang ada bukti. PAS terpaksa bayar RM1.4 juta kepada Clare.

“Kalau PAS nak cabar, bila-bila masa, saya ada buktinya,” katanya pada ceramah di Terminal Bas Semenyih Sentral, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Anwar berkata, PAS boleh membawa perkara itu ke mahkamah jika mahu mencabar bukti yang dimilikinya.

Terdahulu, PAS menafikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayar wang berkenaan kepada Rewcastle-Brown sebagai sebahagian daripada penyelesaian luar mahkamah, awal bulan ini.

 

Categories
NASIONAL

“Hadi lagakan saya dengan Tun M untuk tutup isu RM90 juta”

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 24 FEB: PAS didakwa mengambil kesempatan melagakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menutup isu RM90 juta yang diterima daripada Umno.

Bagaimanapun, Anwar berkata, percubaan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak memberi kesan kepada hubungan baik beliau dan Dr Maharhir.

“Saya ambil keputusan, saya bagi sokongan penuh kepada Tun sebab tak mahu ganggu kerja dia tetapi Hadi kata, kononnya ada komplot nak jatuhkan Tun Mahathir, dalangnya Anwar.

“Apa ini, kamu Islam jangan fitnah orang, saya bukan orang yang begitu sebab kalau saya lawan, saya lawan betul, secara terang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih, di Taman Sri Jenaris, di sini, malam tadi.

Katanya, sebelum ini Abdul Hadi mendakwa Dr Mahathir adalah seorang yang tidak layak diangkat sebagai Perdana Menteri sebelum mengubah pendiriannya dan melagakan kedua pihak.

“Saya nak nasihatkan kepada Haji Hadi, jangan main politik. Kalau ada bukti silakan,” katanya

Categories
SELANGOR

MB Selangor wakili semangat baru-Anwar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 24 FEB: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari disifatkan sebagai pemimpin muda memiliki semangat baru yang bersedia membawa perubahan kepada Selangor.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri itu tidak sesekali bertolak ansur dengan rasuah dan salah laku dalam pentadbiran.

“Menteri Besar Selangor, Amirudin dia nampaknya mewakili semangat baru. Dia selalu laporkan kepada saya, berikan kemudahan baru supaya dapat ringankan sedikit beban rakyat.

“PRK Semenyih ini penting, kita mahu orang Melayu, Cina, India dan Orang Asal memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri supaya kita dapat tadbir dengan baik dan meneruskan kerja kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum PRK Dewan Undangan Negeri Semenyih, di Taman Sri Jenaris, di sini, malam tadi.

Anwar turut menolak pandangan sesetengah pihak bahawa kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN), pada PRK DUN Semenyih tidak akan membawa sebarang makna.

Sebaliknya beliau berkata, memberi kemenangan kepada calon lain akan menghantar isyarat salah berhubung sokongan rakyat terhadap dasar yang dijalankan Kerajaan Negeri.

“Hanya memilih calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali yang boleh membantu Kerajaan Negeri menyampaikan kemudahan dan dasar kepada pengundi di sini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Isu RM90 juta: Pemimpin PAS bukan maksum

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 24 FEB: Masyarakat di negara ini wajar mempersoalkan kenyataan dan tindakan PAS berhubung isu RM90 juta yang diterima daripada Umno.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal itu ekoran Islam sendiri menuntut umatnya berfikir dan mempersoalkan jika ada tindakan pemimpin yang meragukan pengikut.

“PAS kena jawab isu RM90 juta, dulu kata fitnah, sekarang kata memang kita ambil untuk bayar wang deposit pilihan raya.

“Dia kena jawab hal itu, kena hadapi mahkamah tetapi dia tarik saman dan kemudian beritahu pengikut kita menang, menang apa macam itu?

“Kita nak Islam yang mengizinkan orang boleh berfikir, boleh bertanya, tak anggap ketua itu maksum kerana sepatutnya rakyat boleh boleh berhujah,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih, di Taman Sri Jenaris, di sini, malam tadi.

Katanya, ulama seluruh dunia juga bersepakat mengatakan setiap individu mempunyai hak untuk bertanya atau berbincang berkenaan sesuatu isu kepada pemimpin atasan khasnya pucuk pimpinan tertinggi.

Katanya, hal itu turut termasuk dalam isu PAS menarik balik saman terhadap Sarawak Report.

“Bagi mereka kononnya apa yang ketua kata mesti mutlak, termasuk tarik balik saman Sarawak Report yang sebenarnya bermakna kalah tetapi sebab ketua kata menang, maka yang bawah pun bersorak menang,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Anwar turun kempen di Semenyih

SEMENYIH, 24 FEB: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam turun padang bagi memperkuatkan kempen Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam usaha mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, pada 2 Mac ini.

Memetik BERNAMA, program pertama beliau adalah menghadiri Rumah Terbuka Pesta Chap Goh Mei Semenyih 2019, di Gelanggang Bola Keranjang Kampung Baru Semenyih yang turut dihadiri calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali.

Ia dikuti dua ceramah pilihan raya di Bilik Gerakan Utama PAKATAN dan di Taman Sri Jenaris.

“Saya datang untuk bantu dengan sokongan kuat dan padu kepada calon PAKATAN. Harap tak lagi jadi teka-teki yang digunakan pembangkang,” katanya kepada hadirin dalam ceramah di Bilik Gerakan Utama PAKATAN, di sini.

Kenyataan itu ekoran dakwaan pembangkang sebelum ini yang mengatakan Anwar tidak turun berkempen bagi menyokong calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia, di kawasan terbabit.

Sebelum itu, pada Rumah Terbuka Pesta Chap Goh Mei Semenyih 2019, Ahli Parlimen Port Dickson itu mengingatkan penyokong PAKATAN supaya tidak memandang ringan PRK terbabit.

“Jangan lupa apa sebab anda semua bagi sokongan (kepada PAKATAN) dalam pilihan raya umum lalu, sebab kita tidak mahu lagi kekayaan negara ini dicuri,” katanya.

Dalam ucapannya yang turut diselit perkataan Mandarin, Anwar berkata, rakyat perlu memberikan sokongan kepada kepimpinan negara untuk membawa Malaysia ke landasan betul.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah 93 tahun, dia mahu duit lagi ke? Dia tak mahu, dia mahu jaga dan selamatkan Malaysia,” katanya.

Anwar turut menempelak pembangkang yang menghasut rakyat menjauhi kerajaan dengan memainkan isu janji manifesto.

Anwar berkata, kerajaan PAKATAN bukannya tidak ingat kepada janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, namun memerlukan masa untuk melaksanakannya.

“Kita ingat kepada janji tetapi pembangkang mengungkit, kita belum sampai satu tahun pun (memerintah), mereka 60 tahun, apa yang mereka buat?,” katanya.

Categories
NASIONAL

Azmin doa hubungan dengan Anwar berkekalan sepanjang zaman

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 FEB: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mendoakan hubungan dengan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkekalan sepanjang zaman.

Mantan Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata demikian setelah Anwar bersama isterinya, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa melawatnya di rumah, semalam.

Azmin menerusi twitternya turut meluahkan penghargaan ikhlasnya terhadap pimpinan utama KEADILAN itu.

“Tawa dan riang, ceria dan mesra, hormat dan kasih, ukhuwwah dan sejati antara gambaran yang terpapar secara tulus di antara dua hati. Semoga berkekalan sepanjang zaman,” tulisnya.

Kehadiran Anwar di kediaman Timbalan Presiden KEADILAN itu turut merungkai khabar angin berhubung salah faham antara kedua-dua pemimpin itu yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, pengguna laman twitter, @cyog86 turut gembira melihat perkongsian Azmin berkenaan perkembangan itu.

“Alhamdulillah Dato’, sejuk mata memandang, gandingan inilah yang kita mahukan sampai bila-bila,” tulisnya.

@RezaShahFahlavi pula berkata, gandingan kedua-dua pemimpin itu ditakuti pembangkang.

“Pejuang Reformasi, bersama suburkan demokrasi,” tulisnya.

Azmin kini sedang berehat setelah selesai menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta baru-baru ini.

Categories
NASIONAL

Pimpinan negeri harus proaktif

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pimpinan parti itu, di semua negeri khususnya Selangor dan Negeri Sembilan supaya tidak hanya meneruskan agenda lama.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka perlu lebih proaktif kepada rakyat menerusi konsep pembangunan adil dan saksama.

“Kadang-kadang tokoh besar ini berfikir sektor besar, pertumbuhan ekonomi, perkhidmatan dan kesenjangan itu.

“Tak kan mahu buat berperingkat? Kita harus mendepaninya. Selangor, Negeri Sembilan, ingat pesan saya, jangan hanya teruskan agenda lama sahaja dan tambah sedikit.

“Tetapi perlu lebih proaktif membangunkan pembangunan adil dan saksama kepada semua rakyat. Perlu fikirkan kerangka besar. Jangan hanya tengok yang lama, dan perbaiki sikit itu tidak cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penangguhan Presiden di Kongres Nasional KEADILAN ke-13.

Anwar berkata, pimpinan itu seharusnya tidak hanya menunggu perancangan besar, sebaliknya perlu menganalisa dan berbincang dengan akar umbi.

“Sebagai contoh, keputusan batalkan bantuan pekebun kecil getah dan petani harus dikaji semula. Rakyat mengeluh. Terima kasih kepada Menteri Kewangan, sebaik sampaikan pandangan beliau terus sambut bantuan akan dipulangkan semula pada rakyat yang berhak,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Contohi Selangor sokong usaha Kerajaan Persekutuan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 NOV: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memuji tindakan Selangor yang menyokong usaha Kerajaan Persekutuan menaikkan had umur perkahwinan dari 16 kepada 18 tahun.

Katanya, langkah itu wajar dicontohi negeri lain memandangkan Kerajaan Persekutuan berjaya meyakinkan Majlis Raja-Raja Melayu dalam isu itu sejak menerajui tampuk pemerintahan negara.

“Alhamdulilah antara kejayaan kita ialah apabila berjaya menyakinkan Majlis Raja-Raja Melayu dan Kerajaan Negeri untuk menerima umur perkahwinan wanita dinaikkan dari 16 kepada 18 tahun.

“Walaupun berdepan pelbagai kritikan dan sindiran, dengan kuasa Tuhan, Kementerian Wanita mendapat kerjasama baik dari setiap agensi dan Kerajaan Negeri khususnya bagi memastikan nasib anak kita terbela dan diselamatkan,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Lapor salah laku kepada JPP – Anwar

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Semua aduan berkaitan Pemilihan KEADILAN 2018 perlu dilaporkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) termasuk isu penemuan ‘jammer’, di Kuala Selangor.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pimpinan juga boleh bertanya terus dalam Mesyuarat Biro Politik jika timbul sebarang isu.

Beliau turut menegaskan tidak memihak kepada mana-mana kumpulan dan menyerahkan kepada JPP serta Jawatankuasa Disiplin untuk menyiasat semua aduan diberikan.

“Saya selalu mengesyorkan bawa kepada JPP (untuk sebarang isu) dan ambil tindakan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

“JPP menjawab ‘jammer’ itu tidak menghalang kerana applikasi berkenaan sudah dimuat turun dan cubaan menghalang (menggunakan jammer) tidak berhasil kerana mereka belajar daripada pengalaman di Kedah,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyambut baik teguran BERSIH 2.0 berhubung isu kesalahan sepanjang Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Katanya, beliau meneliti setiap teguran dibangkitkan dan menjelaskan setiap majlis dihadiri adalah jemputan penganjur.

“Saya sambut baik teguran dan kita tengok secara spesifik teguran seperti program M Nasir, saya dijemput. Mengapa tidak jemput calon lain kena tanya dia (penganjur). Itu pun sekejap, saya dengar satu dua lagu kemudian beredar.

“Jamuan yang saya hadir dijemput di kuil dan tokong juga dijemput. Ada badan bukan kerajaan yang taja majlis makan tetapi saya hadir berucap dan pergi tanpa makan di situ.

“Kalau betul (dakwaan), kita akan bincang dengan BERSIH 2.0 untuk perketatkan undang-undang,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

PRK terbaik, tidak guna jentera kerajaan

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 13 OKT: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) P132 adalah terbaik kerana tidak menggunakan dana dan jentera kerajaan.

Katanya, jika sebelum ini kerajaan terdahulu mengeluarkan belanja yang besar untuk digunakan di setiap tempat.

“Ini pertama kali kerajaan yang berkuasa negeri dan pusat tidak menggunakan jentera dan dana kerajaan.

“Cuma saya minta maaflah..sebab baru-baru ini saya ada naik kereta Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (Mat Sabu).

“Mat Sabu nak sembang, saya tumpanglah..sebab Mat Sabu tidak boleh naik kereta saya, saya tahu protokol dia tak boleh tumpang kereta-kereta orang.

“Sekarang Mat Sabu tak macam dulu, jalan pun dah lain. Saya terpaksa hormat tak kan itu salah besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah di Bagan Pinang, di sini.

Sementara itu, calon PRK itu juga berpesan kepada menteri supaya menjalankan tanggungjawab dengan baik dan amanah.

“Semua menteri jangan perasan tidak tentu arah. Rakyat boleh humban. Buat kerja jangan bagi rakyat marah dan humban kita juga.

“Kalau rakyat boleh humban kerajaan 60 tahun tidak mustahil kita semua juga jika mengamalkan rasuah dan tidak berintegriti,” katanya.

Categories
NASIONAL

‘Saya dan Tun M tekad bergandingan selamatkan negara’ – Anwar

OLEH NADIAH ZAMLUS

PORT DICKSON, 12 OKT : Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui hubungan rapatnya dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad kerana kecewa melihat ekonomi negara yang semakin rosak.

Atas keperluan memastikan negara kembali ke landasan betul, Anwar berkata beliau bersama-sama Tun Mahathir tekad bergandingan untuk menyelamatkan negara.

“Kami sama-sama runsing melihat ekonomi negara yang makin jahanam, kerana itu kami berdua tidak mahu negara ini jatuh dan membiarkan nasib bangsa tidak terjamin.

“Itulah antara sebab saya hormat pada Tun Mahathir, kami sama-sama memikirkan masalah negara, dan sejak itu saya terfikir, kenapa perlu rungutkan hukuman dan derita selama ini, sedangkan negara makin tenat.

“Saya tidak akan biarkan negara ini tergadai, dan itulah matlamat kami bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson di DUN Bagan Pinang, hari ini.

Hadir sama lebih 3,000 penduduk setempat dan turut dihadiri barisan kepimpinan negara.

Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata, kerjasama akrabnya dengan Tun Mahathir sebelum ini pernah membanggakan negara.

“Kami bekerja dalam satu pasukan, pada ketika itu daripada negara mengalami defisit sehingga menjadi lebihan.

“Perumahan tentera dan perumahan polis yang sebelum itu belum wujud, dibangunkan oleh kami berdua,” katanya.

Categories
SELANGOR

Zawawi tak sangka dicalonkan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JUL: Calon N49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni tidak menyangka dirinya dicadangkan sebagai calon mewakili Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan berkenaan.

Timbalan Pengerusi dan Imam Masjid An Naim Jalan Kebun itu bersyukur dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti khususnya Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memberi kepercayaan kepada beliau.

Justeru, beliau menafikan dakwaan bahawa beliau melobi dirinya sendiri sehingga berjaya menjadi calon dalam Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan berkenaan.

“Rakan-rakan yang mencadangkan dan mengetengahkan nama saya untuk dicalonkan mewakili KEADILAN.

“Menjadi calon bukan mudah tetapi selepas mempertimbangkan dan berfikir panjang saya bersetuju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Menyantuni dan Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat Dun Sungai Kandis, di Padang Jalan Kebun, di sini.

Mohd Zawawi berkata, beliau mempunyai komitmen kepada masyarakat kawasan itu dan bergerak ke depan berdasarkan sokongan diberikan.

“Antara isu setempat yang akan saya beri tumpuan adalah isu banjir dan kemudahan awam,” katanya yang juga merupakan Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (Bippa) serta AJK Biro Pendidikan PKR di peringkat pusat.