Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB sekali lagi ke Melaka bantu persiapan calon HARAPAN

AYER MOLEK, 14 NOV: Dato’ Menteri Besar hari ini meneruskan lawatan ke Melaka selama dua hari bagi membantu persiapan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN).

Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor memulakan lawatan turun padang hari ini bertemu calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek Mohd Rafee Ibrahim di Warung Reformasi.

Beliau kemudian dijadual makan bersama nelayan di Pengkalan Nelayan Sungai Kertah di DUN Tanjung Bidara sebelum menunaikan solat Zohor di Majis Al Jawahir, seterusnya menghadiri minum petang di DUN Lendu pada jam 3.30 petang.

Pada sebelah malam, Dato’ Menteri Besar dijangka makan malam di gerai capati tepian Pulau Gadong di DUN Kelebang pada jam 7.30 malam dan mengadakan lawatan santai pembeca dan pemuzik jalanan DUN Kota Laksamana di Windmill Dutch Square Melaka pada jam 9 malam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November.

Ia susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar pertikai Sulaiman tolak debat calon ketua menteri

SHAH ALAM, 13 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai keengganan calon Ketua Menteri Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Sulaiman Mohd Ali yang menolak untuk berdebat bersama pihak lawan.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata penolakan dibuat Sulaiman itu kurang difahami dan menggambarkan beliau tidak bersedia menghadapi perbahasan dengan calon ketua menteri dari parti lain dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

“Kita hendak tonjol sebagai ketua harus bersedia sampaikan kepada rakyat dan menjawab apa-apa soalan dibangkitkan.

“Selain itu berhubung isytihar antirasuah oleh parti, persoalannya bukan sekadar isytihar tetapi pemimpin kanan parti juga harus bersedia disiasat terhadap semua penyalahgunaan kuasa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media pada program TownHall Undi 18 Wacana Pemicuan Undi 18 Selangor yang turut dihadiri EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Kelmarin Anwar mencadangkan satu debat terbuka antara calon ketua menteri daripada HARAPAN, BN dan Perikatan Nasional (PN), namun Sulaiman menolaknya dengan mengatakan mahu memberi tumpuan kerja-kerja kempen.

Pada 10 November lalu, HARAPAN mencalonkan Adly Zahari sebagai ketua menteri Melaka jika parti itu mendapat mandat rakyat dalam PRN.

Pemilihan calon Amanah itu dipersetujui sebulat suara semua rakan gabungan HARAPAN berdasarkan prestasi Adly memerintah Melaka selama 22 bulan sebelum ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ketengah calon muda bukti KEADILAN prihatin suara generasi baharu

JASIN, 13 NOV: Keputusan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) meletakkan beberapa calon berusia bawah 30 tahun bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka membuktikan parti itu mengambil berat suara anak muda.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor berkata pemilihan Farzana Hayani Mohd Nasir, 21, dan Prasanth Kumar Brakasam, 27, untuk mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) bakal memberi impak penting kepada generasi baharu.

“Kita bagi peluang kepada anak muda dan sudah pasti (memberi) tanggapan yang penting kepada golongan tersebut hatta ke peringkat tertinggi dalam negeri iaitu ADN (Ahli Dewan Negeri).

“Mungkin mereka perlu banyak belajar lagi tetapi idea dan pandangan anak muda harus diambil untuk membuat keputusan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menghadiri program santai malam bersama Farzana di medan selera Kota Budaya Sungai Rambai di sini malam tadi.

Sebelum itu, Amirudin turut berkesempatan bertemu Prasanth di sebuah warung di Sempang Kerayong dekat sini.

Farzana atau mesra dengan panggilan Nana menjadi pertaruhan KEADILAN untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai manakala Prasanth (DUN Rim) pada PRN Melaka 20 November ini.

Nana akan ditentang Muhammad Jefri Safry dari Bersatu yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Nazatul Asyraf Md Dom (Putra) dan Siti Faizah Abdul Azis (BN).

Prasanth pula bakal dicabar Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN) dan Azalina Abd Rahman (PN).

Categories
AGENDA NASIONAL

Calon KEADILAN Sungai Rambai hargai sokongan kempen HARAPAN Selangor

JASIN, 13 NOV: Calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai menghargai sokongan kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor.

Farzana Hayani Mohd Nasir atau lebih mesra disapa Nana juga berterima kasih atas kesudian Pengerusinya Dato’ Seri Amirudin Shari yang turun padang ke kawasan terbabit malam tadi.

“Saya sangat gembira apabila beliau (Amirudin) turun untuk bertemu saya dan memberikan sokongan kepada kami (jentera parti) di sini.

“Diharap pengundi dapat menilai melalui tekad, kesungguhan dan keikhlasan saya untuk menjaga kebajikan masyarakat,” katanya ditemui pada program santai malam di medan selera Kota Budaya Sungai Rambai di sini.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) DUN Sungai Rambai Farzana Hayani Mohd Nasir atau Nana

Nana, 21, yang juga calon termuda pilihan raya negeri (PRN) Melaka berkata rata-rata penduduk tempatan memberikan reaksi positif terhadap penyertaannya dalam persaingan besar buat kali pertama.

Jelas Ketua Srikandi KEADILAN Melaka, maklum balas itu diterima sepanjang tempoh lima hari menyantuni penduduk di warung dan surau selepas penamaan calon.

“Alhamdulillah, rasa teruja apabila mereka menganggap saya tidak terlalu muda (untuk bertanding), sebaliknya menganggap mereka memerlukan orang muda,” katanya.

Nana yang kini mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Media (Penyiaran) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhasrat menambah baik capaian internet di kawasan itu jika mendapat mandat rakyat.

Gadis itu juga bertekad meningkatkan ekonomi digital rakyat tempatan yang diyakini mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

Nana menjadi pertaruhan HARAPAN untuk merebut kerusi DUN Sungai Rambai pada PRN Melaka 20 November ini.

Selain beliau, DUN itu turut ditandingi Muhammad Jefri Safry dari Bersatu yang mewakili Perikatan Nasional, Nazatul Asyraf Md Dom (Putra) dan Siti Faizah Abdul Azis (Umno-BN).

Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN terus dekati pengundi walau berdepan sekatan kempen

JASIN, 13 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) terus mendekati pengundi sekalipun berdepan sekatan tertentu sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jentera parti gabungan itu tetap bekerja keras di sebalik limitasi dikenakan pihak berkuasa pilihan raya.

Amirudin yang juga pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor mengakui sekatan kempen dan ceramah fizikal menjejaskan hampir 90 peratus gerak kerja calon serta petugas parti.

“Saya dapati ada banyak kekangan dan harap ia dilonggarkan. Mereka (calon dan jentera) bekerja keras dengan halangan yang ada, tetapi keadaan ini menjadikan PRN agak pincang.

“Sewajarnya pelbagai formula patut dibenarkan antaranya kempen dan ceramah pandu lalu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program santai malam di Medan Selera Kota Budaya Sungai Rambai malam tadi.

Amirudin turut mempertikai tindakan pihak berkaitan menghalang penggunaan logo parti ketika makan dan minum yang disifatkan bertentangan dengan semangat demokrasi.

“Alasan tak boleh pakai lambang (parti) ketika makan dan minum ini agak melampau daripada batas undang-undang.

“Kalau perbuatan memasang lambang dianggap boleh menyebarkan virus, saya pun kurang arif rujukan di mana dibuat pihak terlibat yang ternyata mengganggu niat untuk berkempen sebagaimana dijamin perlembagaan,” katanya.

Pada 8 November, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka diadakan sepanjang tempoh PRN Melaka.

SPR menetapkan hari mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan HARAPAN menampilkan 11 calon dari KEADILAN, lapan calon DAP dan Amanah (sembilan).

Categories
AGENDA NASIONAL

23 kontak rapat petugas PRN Melaka positif Covid-19 dikenal pasti

MELAKA, 12 NOV: Jabatan Kesihatan negeri mengenal pasti 23 orang kontak rapat kepada seorang petugas jentera sebuah parti politik yang didapati positif Covid-19 dan telah diarahkan untuk menjalani kuarantin.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Rusdi Abd Rahman berkata individu berasal dari Pahang itu berada di negeri ini sejak 1 Nov, bagi membantu jentera partinya dalam pilihan raya di Melaka dan arahan penutupan bilik gerakan dikeluarkan bermula hari ini, memandangkan terdapat risiko penularan di lokasi itu.

“Beliau telah dikesan positif melalui ujian RTK-Ag di sebuah klinik swasta pada 9 Nov selepas mengalami gejala dan sedang menunggu keputusan RT-PCR. Semua kontak rapat dari Pahang yang juga petugas dan rakan serumah, telah diarahkan melakukan ujian sama serta menjalani kuarantin bermula semalam.

“Siasatan juga mendapati selain daripada hanya berada di rumah sewa yang bertindak sebagai ‘call centre’, individu positif itu juga ada melawat bilik gerakan parti politik berkenaan di Alai,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Rusdi berkata kompaun bernilai RM10,000 turut dikenakan kepada parti politik tersebut di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021, kerana kegagalan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, ia berikutan tiada saringan suhu dijalankan, tiada buku rekod kehadiran disediakan dan gagal mengemukakan rekod saringan ujian RTK-Ag kendiri setiap dua hari, yang perlu dijalankan terhadap petugas atau jentera pilihanraya.

“Siasatan lanjut juga sedang dijalankan untuk mengenal pasti kontak-kontak rapat dan kontak sosial yang lain, dan setelah proses disinfeksi selesai dijalankan segala ketidakpatuhan diperbaiki, pihak berkenaan boleh membuat permohonan kepada Pejabat Kesihatan Daerah untuk penilaian risiko bagi membuka semula Bilik Gerakan tersebut.

“Penularan dalam skala lebih besar boleh berlaku sekiranya pesakit positif Covid-19 terdedah dalam kalangan masyarakat dan menyebabkan kewujudan kluster baharu, justeru jabatan kesihatan memandang serius perkara yang berlaku ini dan jentera pilihan raya semua parti serta orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

HARAPAN Selangor kerah jentera pastikan kemenangan PRN Melaka

ALOR GAJAH, 12 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor melaungkan tekad memastikan kemenangan gabungan parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang dijadual pada 20 November ini.

Pengerusinya berkata jentera parti akan dikerahkan ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi calon HARAPAN bagi menggalakkan rakyat keluar mengundi.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, sukarelawan Team Selangor juga akan menjadi sebahagian daripada pasukan sokongan untuk mendekati pengundi.

“Kita akan bantu sehabis baik menggunakan segala (cara) yang ada termasuk dari aspek pacaba (ejen mengundi) dan pengangkutan kerana ini sangat penting sekarang.

“Kita juga mesti siap sedia… kenal pasti orang dan telefon (untuk keluar mengundi). Kita percaya ini benteng terakhir untuk memenangi pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan taklimat jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Bilik Gerakan DUN Rembia hari ini yang turut disertai calonnya Zamri Pakiri.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar turut merakamkan ucapan tahniah kepada Zamri kerana dicalonkan bagi kerusi berkenaan dan akan ditentang empat calon lain.

Beliau optimis calon berusia 46 tahun itu mendapat mandat rakyat sekali gus mempertahankan kerusi DUN tersebut.

“Kemenangan (DUN) Rembia ini bukan lagi senarai harapan tetapi kemestian. Dalam senarai ada enam kawasan termasuk Rembia yang menjadi pilihan,” katanya.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan HARAPAN menampilkan 11 calon dari KEADILAN, lapan calon DAP dan Amanah (sembilan).

Categories
AGENDA NASIONAL

MB santuni peneroka Felda Bukit Senggeh, dengar perkembangan setempat

JASIN, 12 NOV: Dato’ Menteri Besar meluangkan masa menyantuni peneroka Felda Bukit Senggeh di sebuah warung yang terkenal dengan hidangan ikan bakar dekat sini petang ini.

Dalam pertemuan selama 30 minit itu Dato’ Seri Amirudin Shari dilihat beramah mesra dan mendengar perkembangan setempat daripada lapan peneroka generasi pertama felda terbabit.

Sambil bertukar pandangan, Amirudin turut menikmati juadah disajikan antaranya ikan bakar, mi basah, roti john dan sate.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) DUN Asahan Datuk Seri Idris Haron menikmati minum petang di sebuah warung di Felda Bukit Senggeh, Jasin, Melaka pada 12 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Selain ikan bakar, warung beroperasi sejak 15 tahun lalu itu popular dengan menu mi basah dan nasi goreng yang dihasilkan daripada resipi turun-temurun.

Terdahulu, ketibaan Amirudin pada jam 5 petang di Warung Pak Berahim disambut EXCO Generasi Muda merangkap Ketua Operasi pilihan raya negeri (PRN) Melaka Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan Mohd Khairuddin Othman.

Hadir sama, calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi DUN Asahan Datuk Seri Idris Haron yang bakal berdepan lima pencabar dalam pertarungan enam penjuru pada PRN dijadual 20 November ini.

Lawatan ke warung berkenaan antara pengisian aktiviti Amirudin sepanjang sehari lawatan ke negeri bersejarah itu bagi melihat persiapan calon HARAPAN yang bertanding pada pilihan raya tersebut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

MB ke Melaka bantu persiapan calon HARAPAN bertanding PRN

ALOR GAJAH, 12 NOV: Dato’ Menteri Besar hari ini mengadakan lawatan ke Melaka bagi membantu persiapan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN).

Lawatan turun padang selama sehari Dato’ Seri Amirudin Shari ke negeri bersejarah itu membabitkan beberapa jadual padat sehingga malam ini.

Amirudin terlebih dahulu menyertai ratusan jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Luqmanul Hakim, Sungai Petai di sini sebaik tiba pada jam 12.30 tengah hari.

Sebelum itu, beliau mendengar khutbah bertajuk ‘Pendidikan Anak-Anak Tanggungjawab Ibu Bapa’ yang disampaikan Pembantu Hal Ehwal Islam masjid Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia Khairil Azuan Azmi.

Usai solat Jumaat, beliau menghadiri kenduri doa selamat di kediaman bekas Penyelia Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah Safri Shafie di Jalan Alor Utama.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (duduk, dua kiri) mendengar khutbah yang disampaikan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam, Imam Masjid DUN Rembia Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Khairil Azuan Azmi di Masjid Luqmanul Hakim, Sungai Petai, Alor Gajah, Melaka pada 12 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu calon DUN Rembia Zamri Pakiri yang turut serta dalam acara tersebut.

Beliau kemudian menghadiri taklimat bersama jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Bilik Gerakan DUN Rembia.

Amirudin dijadual menyertai program ‘Ngeteh Felda Bukit Senggeh’ di sebuah kafe yang terletak bawah DUN Asahan pada jam 5 petang.

Pada sebelah malam, beliau dijangka menyertai program santai sempang kerayong di Warung Pelita Kak Liza Sempang Kerayong.

Beliau dijadual mengakhiri lawatan di Melaka dengan mengadakan pertemuan bersama calon DUN Sungai Rambai Farzana Hayani di Balai Raya Kampung Sebatu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November.

Ia susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar.

Categories
AGENDA NASIONAL

IDE: Tiada parti selesa untuk menang PRN Melaka

SHAH ALAM, 11 NOV: Tiada parti berada dalam kedudukan selesa untuk memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini, kata pengerusi eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE).

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata sekatan terhadap aktiviti ceramah dan kempen secara fizikal menyukarkan badan pemikir itu membuat ramalan parti yang berpotensi menang pilihan raya tersebut.

“Kita melihat polarisasi cukup jelas…sehingga saat ini, sukar ramalkan siapa dan parti mana ada kelebihan. Kita harap akan nampak indikator siapa yang berada dalam keadaan lebih baik menjelang minggu kedua (selepas penamaan calon).

“Jadi, sehingga peringkat ini tiada parti boleh dakwa (mereka) dalam keadaan selesa untuk menang pilihan raya atau kerusi ditandingi kerana sekatan ini tak memungkinkan kita menganalisis secara objektif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara PRN Melaka: Suatu Analisis Awal yang disiarkan secara langsung melalui Facebook IDE semalam.

Dr Mohammad Redzuan berkata rakyat Melaka hanya akan memerhati keadaan yang berlaku di negeri berkenaan dalam tempoh seminggu selepas penamaan calon sebelum menunjukkan sikap pada minggu kedua.

“Kita sudah melalui proses penamaan calon pada Isnin (8 November), ini bermakna masih terlalu awal. Dalam tempoh seminggu ini amat penting bagi parti politik untuk beri kesedaran kepada rakyat.

“Saya juga yakin rakyat tidak bersetuju dengan sekatan kempen fizikal sedangkan aktiviti lain dibenarkan. Cuma yang baiknya, rakyat tidak suarakan secara terbuka dan sekadar mendiamkan diri,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar.

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: Sekatan ceramah, kempen fizikal dibimbangi jejas demokrasi

SHAH ALAM, 11 NOV: Sekatan terhadap aktiviti ceramah atau kempen secara fizikal sepanjang tempoh pilihan raya negeri (PRN) Melaka dibimbangi akan menjejaskan kesuburan amalan demokrasi.

Pengerusi eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) berkata kekangan yang disifatkan sebagai norma baharu dalam pilihan raya itu menyebabkan parti politik sukar menyampaikan dasar dan agenda kepada rakyat.

Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman juga mengakui suasana pilihan raya negeri itu agak janggal berikutan sekatan dikenakan yang tidak memungkinkan demokrasi diamalkan secara meluas sebagaimana diamalkan sebelum ini.

“Kita khuatir adakah dengan sekatan ini semangat demokrasi akan terlaksana? Semua parti politik bertanding sama ada kerajaan, pembangkang atau bebas sepatutnya diberi peluang untuk menyuarakan dasar yang hendak ditawarkan kepada rakyat.

“Kalau ruang itu disempitkan dan tidak terbuka, di mana sebenarnya amalan demokrasi yang disebut-sebut ? Ia satu perkara yang sukar difahami kerana alasannya dikhuatiri boleh membawa kepada perkembangan pernah dicetuskan PRN Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara PRN Melaka: Suatu Analisis Awal yang disiarkan secara langsung melalui Facebook IDE semalam.

Dr Mohammad Redzuan berkata keputusan PRN Melaka pada 20 November ini bakal menentukan masa depan negeri bersejarah itu untuk tempoh lima tahun.

“Sudah pasti dengan keadaan (politik) tak menentu pada masa ini sukar untuk tentukan siapa yang akan dapat manfaat daripada pendekatan sedemikian.

“…sekatan yang tak memungkinkan berkempen dan melakukan lawatan dari rumah ke rumah, (jadi) apa bentuk wahana untuk sampaikan maklumat ? yang ada ialah media arus perdana dan media sosial, tetapi sejauh mana pendekatan ini berkesan,” katanya.

Pada 8 November, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka diadakan sepanjang tempoh PRN Melaka.

SPR menetapkan hari mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN, memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar.

Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN umum 32 inisiatif manifesto PRN Melaka

SHAH ALAM, 10 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) mengumumkan 32 inisiatif sebagai manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan diumum Pengerusi HARAPAN Melaka Adly Zahari merangkumi aspek kesihatan, kebajikan, ekonomi penduduk, usahawan dan negeri serta reformasi pentadbiran kerajaan Melaka.

Menumpukan teras Melaka Sejahtera, Melaka Makmur dan Melaka Stabil, pelan itu turut menggariskan enam strategi yang bakal memberi impak kesejahteraan rakyat, ekonomi mapan serta kestabilan politik.

Berikut strategi yang digariskan:

 

1. Melaka Sejahtera

– Menjaga kesihatan fizikal dan mental rakyat dari ancaman Covid-19

– Meningkatkan taraf kehidupan dan kesejahteraan rakyat

 

2. Melaka Makmur

– Mewujudkan peluang pekerjaan baharu

– Menggalakkan usaha perniagaan kecil dan sederhana

– Merancakkan pelaburan ekonomi

 

3. Melaka Stabil

– Melaksanakan reformasi pentadbiran bagi menjamin kerajaan Melaka yang stabil, adil, telus dan berintegriti

Selain itu, HARAPAN juga akan mengiktiraf kedudukan ketua pembangkang setaraf Exco kerajaan negeri selain memberi peruntukan tahunan setar kepada wakil rakyat tanpa mengira parti.