Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: SPR ambil serius perihal norma baharu

PUTRAJAYA, 23 OGOS: Norma baharu dan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) adalah antara keutamaan dan mesti diambil serius oleh semua pihak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaa Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom berkata penambahbaikkan terhadap SOP pengendalian pilihan raya dalam situasi Covid-19 akan dilakukan berasaskan keadaan semasa di Sabah yang menyaksikan pilihan raya negeri ke-16 melibatkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.

Berbekal pengalaman mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, Pahang pada awal Julai dan Slim, Perak pada 29 Ogos sewaktu negara berdepan wabak Covid-19, beliau berkata SPR giat melakukan persiapan bagi mengendalikan pilihan raya mengejut Sabah dengan memastikan protokol kesihatan dan keselamatan bagi proses pilihan raya itu berjalan lancar.

“Di Sabah mungkin berbeza… hari penamaan calon belum tiba lagi dan kita tiada kuasa lagi ketika ini. Apabila kempen bermula, ia akan berbeza berasaskan situasi di Sabah sendiri. Saya harap rakyat sedar bahawa ketika ini paling penting adalah keselamatan orang ramai,” katanya dalam wawancara bersama Bernama di sini.

Azmi berkata aspek terpenting adalah calon, jentera parti serta pengundi mengutamakan keselamatan kesihatan dan kebersihan semasa menunaikan tanggungjawab demokrasi itu.

“Saya ingin tekankan di sini, bagi calon terlibat, SOP yang ada sekarang adalah terhad dari segi bilangan orang yang boleh datang mendengar ceramah, tempat ceramah juga mesti boleh dikawal. Ada pemeriksaan suhu orang ramai, nama dicatatkan bagi memudahkan pengesanan kontak.

“Maksimum 250 orang berasaskan keluasan tempat. Kalau tempat itu kecil bermakna bilangan (yang hadir) juga kecil. Tidak boleh bersalam dan berpeluk dengan orang ramai. Rombongan besar-besaran seperti dulu tidak dibenarkan. Ini adalah norma baharu bagi setiap calon apabila mereka berkempen. Selagi Covid-19 masih ada, kita perlu prihatin,” tegas beliau.

PRN Sabah ditetapkan pada 26 Sept manakala hari pencalonan pada 12 Sept dan pengundian awal pada 22 Sept dengan sejumlah 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

Bagi melancarkan hari pengundian, Azmi berkata SPR akan mengedar kad pengundi kepada semua pemilih berdaftar, yang antara lain mengandungi maklumat nama pengundi, pusat mengundi, saluran mengundi serta cadangan masa yang digalakkan datang untuk mengundi.

Sambil berharap pengundi dapat menuruti syor masa untuk menunaikan tanggungjawab mereka, beliau berkata tindakan itu akan membantu mengelakkan kesesakan di pusat-pusat mengundi.

“Kita ada pengalaman di PRK Chini dan setakat ini kami bersyukur tidak ada kluster Chini dikesan Covid-19, selepas ini PRK Slim. Banyak penambahbaikkan daripada aspek prosedur operasi standard yang dibincangkan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Menyentuh SOP bagi PRK Slim yang ditambah baik berbanding PRK Chini, Azmi berkata SPR memberi penekanan kepada kekerapan melakukan sanitasi sebaik pengundi memasuki tempat mengundi sehinggalah keluar dari kawasan mengundi.

Antara SOP berkenaan ialah, pengundi perlu mensanitasi tangan apabila mula memasuki kawasan pusat mengundi, menuju ke bilik mengundi, selepas mencelup jari dalam dakwat dan terakhir sebelum keluar dari bilik mengundi.

“Saya yakin dengan cara ini masa yang digunakan tidak akan melebihi masa biasa yang diambil SPR untuk jalankan PRK ketika tiada Covid-19. Pengalaman di PRK Chini dan PRK Slim akan digunakan di Sabah,” katanya.

Menegaskan bahawa SPR akan memastikan pengendalian pilihan raya mematuhi SOP ditetapkan MKN dan KKM serta disesuaikan mengikut keadaan semasa, Azmi berkata isu kesihatan awam menjadi keutamaan SPR.

“Kalau ada perubahan kita kena lebih tegas lagi, mungkin proses sanitasi dilakukan enam kali, mungkin kena juga pakai sarung tangan… ini adalah SOP kita dan kalau tiada perubahan yang serius, kita akan guna SOP ini di Sabah. Isu kesihatan awam ini sentiasa berubah dan kita harus berkebolehan untuk menyesuaikan dengan keadaan,” katanya.

Bagi mengendalikan PRN Sabah, yang dianggarkan memerlukan peruntukan RM186 juta, seramai 30,540 petugas dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya yang menyediakan 741 buah pusat mengundi dengan 2,540 saluran.

Azmi berkata sebanyak 332 saluran baharu disediakan termasuk saluran khusus buat lebih 12,000 warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perbaiki proses undi pos antara tumpuan SPR – Azmi

PUTRAJAYA, 23 OGOS: Usaha menambah baik proses pengundian pos adalah antara tumpuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika ini bagi mengukuhkan sistem penjalanan pilihan raya negara.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata sebuah jawatankuasa khusus diketuai Ahli SPR Datuk Chin Phaik Yoong sedang mengkaji perkara berkenaan terutamanya dalam menyelesaikan pelbagai isu undi pos termasuk hal kertas undi tidak sampai kepada pengundi.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, sistem undi pos menghadapi banyak masalah dengan berlaku peratusan yang sangat tinggi (kertas undi pos) tidak sampai. Ini tidak patut berlaku,” katanya dalam wawancara bersama Bernama di sini.

Azmi berkata SPR mengambil maklum hal berkaitan kertas undi pos yang dibangkitkan beberapa pihak termasuk desakan terbaharu yang mahukan suruhanjaya itu mempertimbangkan cadangan membenarkan pengundi Sabah yang bekerja di Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk mengundi secara pos dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, bulan depan.

Menyentuh hal itu, beliau berkata kemudahan undi pos tidak dapat diberikan kepada pengundi luar kawasan seperti yang berada di Semenanjung Malaysia berikutan sistem sedia ada tidak mampu menampung jumlah yang besar.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Azmi Sharom menjawab soalan wartawan pada sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Khas Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-16 pada 17 Ogos 2020. Foto BERNAMA

Katanya, faktor pertambahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah daripada 60 kepada 73 kerusi juga menyebabkan kemudahan itu sukar dilaksanakan, selain SPR tidak sempat menambah baik sistem undi pos memandangkan ia adalah pilihan raya mengejut.

Azmi berkata SPR memahami kekecewaan pengundi Sabah berhubung perkara berkenaan dan sebagai sebuah agensi yang matang, SPR mendengar setiap kritikan yang dilemparkan dan akan berusaha gigih memperbaiki proses undi pos negara ini.

“Jika kita tak dapat sediakan satu sistem yang sempurna dan selamat, ia lebih berbahaya jika kita melakukan sesuatu dengan tergesa-gesa. Ia mungkin menimbulkan lebih masalah daripada apa yang kita hendak selesaikan.

“Kita ingin menyelesaikan suatu masalah tetapi kita mungkin menyebabkan timbul masalah lain. Jadi, adalah lebih baik berhati-hati daripada menyesal kemudian. Saya faham, tetapi inilah penjelasan saya, kalau rakyat Sabah masih marah, saya minta maaf,” jelasnya.

SPR menetapkan PRN Sabah diadakan pada 26 September, dengan hari pencalonan pada 12 September dan pengundian awal pada 22 September, membabitkan 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

Mengenai sistem pilihan raya negara secara keseluruhannya, Azmi yang juga bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya, berkata terdapat banyak penambahbaikan yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan keyakinan rakyat, antaranya sistem ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA) dan sistem pemerhati.

Menurut Azmi, kehadiran PACA bagi memantau proses pengundian dan pengiraan undi di setiap saluran tidak memungkinkan berlaku penipuan seperti yang dibangkitkan sebelum ini.

“Dahulu ada yang menyatakan muncul kotak baharu dan sebagainya, tetapi kini saya rasa hampir mustahil perkara itu boleh berlaku kerana apa yang penting adalah Borang 14 (penyata pengundian selepas pengiraan undi) yang ditandatangani oleh saksi iaitu PACA dan ketua tempat mengundi.

“Jika ada sistem sebegini dan sistem pemerhati yang datang boleh menyaksikan perkara yang berlaku, ini bermakna proses pengundian itu adalah lebih telus. Kalau kita terbuka dengan apa yang kita lakukan, susah untuk mengundang perkara yang tidak elok berlaku,” katanya yang terlibat dalam pengendalian enam pilihan raya kecil, sejak dilantik sebagai Timbalan Pengerusi SPR pada Februari 2019.

Mengenai pindaan Perlembagaan Persekutuan melibatkan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun dan bertanding sebagai calon serta pendaftaran pengundi secara automatik, Azmi berkata SPR sedang bertungkus-lumus menyediakan sistem yang baik dan selamat bagi melaksanakan pindaan berkenaan.

Katanya sistem pendaftaran secara automatik dijangka tersedia pada pertengahan tahun depan berikutan SPR perlu menyelesaikan pelbagai isu termasuk kesukaran menentukan daerah tempat mengundi kerana alamat yang tidak lengkap, selain bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara.

“Kalau orang itu dalam penjara dia tak boleh mengundi, begitu juga yang dalam hospital mental, kita tak boleh daftarkan. Ini bukan perkara mudah dengan sekadar mengambil (data) dari JPN. Sistem harus dijamin selamat sehingga data yang dipindahkan terpelihara,” jelasnya.

Azmi berkata dengan pelaksanaan sistem pendaftaran pengundi secara automatik, SPR menjangkakan bilangan pemilih berdaftar yang ketika ini berjumlah kira-kira 15 juta akan meningkat kepada lebih 19 juta orang, termasuk kira-kira empat juta rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun yang layak mengundi apabila sistem berkenaan siap kelak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah tolak permohonan semak bubar DUN Sabah

KOTA KINABALU, 21 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan 33 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim mendapati responden kedua dalam kes itu – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal – telah bertindak menurut Perlembagaan Sabah dalam memohon responden pertama – Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin – membubarkan DUN.

“Responden pertama (Juhar) juga telah mengambil tindakan yang tertakluk pada bidang kuasanya untuk membubarkan DUN,” katanya semasa menyampaikan keputusan mengenai perkara itu di sini.

Sejurus selepas keputusan itu disampaikan, kesemua 33 ADUN terbabit memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

Kumpulan 33 ADUN itu diketuai oleh bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman yang merupakan ADUN Sungai Sibuga.

Sementara itu Peguam Besar Sabah Brenddon Keith Soh berkata, tidak sepatutnya ada sebarang ketidakpastian mengenai pilihan raya negeri, sama ada ia perlu diteruskan atau tidak, berikutan penghakiman hari ini.

“Mahkamah telah menolak kes terhadap responden, tiada semakan semula diberikan… untuk proses demokrasi pilihan raya negeri diteruskan, kini akan berjalan dan Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari dari pembubarannya.

“Akhirnya, ini bukan peguam atau mana-mana pihak, kes ini, hari ini tentang menegakkan Perlembagaan Negeri Sabah, hari ini tentang rakyat Sabah, bukti demokrasi masih wujud di Sabah,” katanya.

Soh menegaskan yang mahkamah telah memutuskan pembubaran itu sah dan mengikut undang-undang, oleh sebab itu keputusan mahkamah itu seharusnya dihormati oleh semua pihak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Semak kehakiman bubar DUN Sabah, SPR sedia teruskan pilihan raya

KOTA KINABALU, 18 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap bersedia meneruskan Pilihan Raya Negeri (PRN), meskipun terdapat permohonan semakan kehakiman dibuat terhadap keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata setakat ini, pihaknya tidak mendapat apa-apa arahan daripada mahkamah berhubung perkara itu.

“Setakat ini SPR tidak mendapat apa-apa arahan daripada mahkamah. Jadi kita akan terus bersedia dengan pilihan raya ini sehingga kita dapat arahan daripada mahkamah, kita akan terus dengan tanggungjawab kita,” katanya dalam sidang media bagi urusan pilihan raya DUN Sabah ke-16 di sini, semalam.

Pada 3 Ogos, bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman bersama 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) memohon semakan kehakiman terhadap pembubaran DUN Sabah yang difailkan oleh firma guaman FT Ahmad and Co.

Terdahulu, pada tengah hari semalam, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 21 Ogos ini bagi membuat keputusan sama ada keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai, boleh diadili.

Pada 30 Julai lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah selepas mendapat perakuan Tun Juhar, berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum itu, Musa pada sidang medianya mengumumkan yang beliau mendapat sokongan 32 ADUN untuk membentuk kerajaan negeri baharu. DUN dibubarkan itu mempunyai 65 Adun.

—BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pilihan raya Sabah bermula 12 September, tempoh kempen dua minggu

KOTA KINABALU, 17 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan pula pada 12 September manakala pengundian awal ditetapkan pada 22 September.

Pengumuman dibuat oleh Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom dalam sidang medianya hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung PRN Sabah.

Dr Azmi berkata terdapat 1.12 juta pengundi dan SPR menjangkakan lebih 70 peratus pengundi akan mengundi pada PRN Sabah ini.

“Tempoh berkempen 14 hari bermula pengisytiharan calon yang bertanding, sehingga 25 September,” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 30 Julai lepas bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.

Azmi berkata SPR menganggarkan PRN Sabah kali ini memerlukan peruntukan sebanyak RM186 juta.

Beliau berkata seramai 30,540 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN Sabah, manakala 741 pusat mengundi merangkumi 2,540 saluran mengundi dan 56 pusat mengundi awal akan disediakan.

Katanya pemohonan undi pos luar dan dalam negara akan mula dibuka pada hari ini, dan akan ditutup masing-masing pada 3 September (luar negara) dan 11 September (dalam negara).

Beliau berkata SPR telah melantik 73 pegawai pengurus pilihan raya dibantu oleh 193 penolong pegawai pengurus bagi menjalankan proses PRN Sabah, manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen, SPR menubuhkan 73 pasukan penguat kuasa kempen.

“Sebanyak 64 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan kali ini,” katanya.

Azmi berkata SPR akan turut menghantar kad mengundi kepada semua pengundi Sabah mengandungi maklumat pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan mengundi, tarikh, masa pengundian dan cadangan masa keluar mengundi.

Ini bagi memudahkan pengundi mengetahui maklumat pengundian dan melancarkan lagi proses hari mengundi, selain membantu dalam pematuhan penjarakan fizikal di pusat mengundi selari dengan langkah mengekang penularan Covid-19 sepertimana dinasihatkan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata bermula 7 September depan, pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui laman portal SPR di www.spr.gov.my atau SMS 15888 atau aplikasi MySPR Semak.

“Sebanyak 332 saluran baharu ditambah bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran menjadikan keseluruhan 2,613 saluran berbanding 2,281 saluran pada PRU ke-14,” katanya.

Beliau turut memaklumkan seramai 12,297 pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) telah dikenal pasti dan mereka berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

73 kerusi dipertandingkan pada PRN Sabah – SPR

KOTA KINABALU, 1 OGOS: Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan tidak lama lagi.

Perkara itu disahkan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah Rohiman Rahia ketika dihubungi Bernama hari ini.

“Sebanyak 73 kerusi akan dipertandingkan,” katanya ringkas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan, namun pada Julai tahun lepas Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah, menjadikan kedudukan semasa 73 kerusi .

Terdahulu itu, SPR dilapor mengesyorkan jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sabah ditambah sebanyak 13 Bahagian yang menjadikan jumlah keseluruhan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sabah sebanyak 73 Bahagian.

Tiga belas DUN berkenaan ialah N02 Bengkoka; N06 Bandau; N08 Pintasan; N13 Pantai Dalit; N17 Darau; N24 Tanjung Keramat; N27 Limbahau; N44 Tulid; N47 Telupid; N51 Sungai Manila; N58 Lamag; N61 Segama dan N70 Kukusan.

PRN Sabah bakal diadakan selepas DUN semasa dibubarkan. Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Khamis lalu, beberapa jam selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa blok pembangkang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

– BERNAMA