Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: 76 peratus keluar undi awal 55 pusat mengundi – SPR

KOTA KINABALU, 22 SEPT: Sebanyak 76 peratus daripada 16,877 pengundi awal terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan itu selepas 55 pusat mengundi awal, yang dibuka serentak bermula jam 8 pagi tadi, ditutup pada 5 petang.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika meninjau proses pengundian awal PRN Sabah di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini memaklumkan seramai 270 pegawai dan anggota polis di negeri ini tidak dapat mengundi awal kerana mereka terpaksa melalui proses kuarantin.

Turut hadir meninjau perjalanan pengundian awal ialah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh.

Semua pusat pengundian mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan menyediakan cecair pembasmi kuman dan pemeriksaan suhu badan.

Rakyat Sabah akan mengundi Sabtu ini untuk memilih kerajaan negeri yang baharu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: Pesakit Covid-19 tidak boleh mengundi, kuarantin boleh

PUTRAJAYA, 22 SEPT: Pengundi yang positif Covid-19 tidak dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini, demikian diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini memuktamadkan keputusan itu bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.

“Kita telah timbang. Mereka yang positif dan sedang dirawat di hospital tidak dibenarkan mengundi. Kita tidak mahu ada kluster mengundi,” katanya pada sidang media perkembangan PKPP, di sini hari ini.

Bagi yang bergejala, mereka dibenarkan untuk mengundi dan mereka akan dibawa di tempat pengundian khas yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ismail Sabri berkata mereka yang sedang dikuarantin turut dibenarkan mengundi, namun perlu mengemukakan permohonan kebenaran kepada Pejabat Kesihatan Daerah supaya dapat ditentukan masa dibawa keluar untuk mengundi di tempat khas yang disediakan SPR.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), menyarankan SPR menyediakan ruang dan tatacara operasi piawai(SOP) bagi pesakit Covid-19 mengundi pada pilihan raya itu.

Hari ini berlangsung pengundian awal bagi PRN Sabah dan seramai 16,877 individu terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan mereka layak menunaikan tanggungjawab masing-masing di 55 pusat mengundi di seluruh negeri.

Sementara itu, Ismail Sabri mengingatkan semua calon dan petugas parti politik supaya mengamalkan kawalan kendiri yang ketat semasa menjalankan kempen PRN.

“Sebagai contoh kempen dari rumah ke rumah, kita tak halang tetapi kita harap jumlah dapat dikurangkan iaitu masuk ke rumah satu atau dua orang sahaja bertemu dengan pengundi,” katanya.

Bagi kempen menerusi ceramah pula, SOP asas seramai 30 orang sahaja perlu dipatuhi.

Mengenai masa yang ditetapkan SPR bagi pengundi biasa keluar mengundi pada Sabtu ini, Ismail Sabri berkata pematuhan terhadap waktu yang ditetapkan tersebut bukan syarat wajib.

“Kalau tidak dapat datang pada waktu yang ditetapkan (SPR), datang pada waktu lain masih boleh mengundi.

“Jadi jangan salah anggap bila tidak dapat keluar pada waktu yang ditetapkan (SPR), langsung tidak datang mengundi,” katanya.

Ismail Sabri menjelaskan pengundi boleh hadir mengundi pada tempoh pengundian namun mereka digalakkan datang pada waktu ditetapkan SPR yang bertujuan mengelakkan kesesakan dan mengurangkan tempoh menunggu untuk mengundi.

Menteri Pertahanan itu turut menafikan berita yang tular menerusi media sosial kononnya ‘lockdown’ akan dilaksanakan selama empat hari di tiga kampung di Semporna iaitu Kampung Air, Kampung Bangau-Bangau dan Simunul di Semporna, Sabah.

“Saya tidak pernah umumkan perkara itu. Kalau tengok dari segi logiknya tidak pernah ada ‘lockdown’ empat hari, biasanya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan selama 14 hari. Jadi itu adalah berita palsu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: Proses undi awal anggota polis, tentera lancar

KOTA KINABALU, 22 SEPT: Proses pengundian awal melibatkan anggota polis, tentera dan pasangan mereka hari ini berjalan lancar meskipun cuaca di beberapa kawasan pada awal pagi agak mendung.

Tepat jam 8 pagi, kesemua pusat pengundian awal telah dibuka buat para pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka.

Semua pusat pengundian mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan menyediakan cecair pembasmi kuman dan pemeriksaan suhu badan.

Di Kota Kinabalu seramai 2,131 pengundi mengundi di Sekolah Kebangsaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar dengan empat saluran dibuka.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai Thomas Logijin berkata setakat 10 pagi ini kira-kira 15 hingga 20 peratus pengundi telah mengundi.

Sementara itu, di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan seramai 46 petugas sentiasa memastikan semua anggota dan pegawai polis serta pengamal media mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk sentiasa memakai pelitup muka.

Pegawai Pengurus DUN Kepayan Robert Stidi berkata setakat pukul 10 pagi, kira-kira 35 peratus daripada 1,444 anggota dan pegawai polis telah selesai mengundi di situ.

Turut hadir meninjau perjalanan pengundian awal itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali.

Di Sandakan, terdapat 340 pengundi awal dalam kalangan anggota pegawai tentera serta pasangan dan pusat pengundian awal ialah di Dewan Azim, Taman Samudera.

Pegawai Yang Bertanggungjawab DUN Karamunting Leftenan Komander Farizha Ibrahim berkata pematuhan SOP diamalkan semasa proses pengundian berlangsung dengan sebaik mungkin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata seramai 431 pengundi dalam kalangan anggota dan pegawai polis serta pasangan masing-masing mengundi di tujuh pusat pengundi di Sandakan termasuk di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dan Kelab IPD Sandakan.

Sementara itu, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak 46 peratus pengundi awal keluar mengundi setakat 11 pagi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Ada kemungkinan individu dua kerakyatan mengundi PRN Sabah

KOTA KINABALU, 22 SEPT: Polis tidak menolak kemungkinan ada beberapa individu dari negara jiran yang memiliki dua kewarganegaraan akan masuk ke Sabah untuk mengundi dan membuat kekacauan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata ada desas-desus mengatakan kumpulan ini mempunyai agenda untuk menyokong sesuatu pihak pada PRN Sabah.

Beliau berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang ingin masuk ke Sabah untuk menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Sekiranya kita dapat tangkap mereka ini, dan mendapati sah mereka ada dua kerakyatan, kita akan batalkan kad pengenalan mereka serta mengusir individu berkenaan keluar dari Malaysia.

“Janganlah sesekali cuba untuk mengganggu-gugat proses demokrasi di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal PRN Sabah di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Abdul Hamid berkata seramai 270 pegawai dan anggota polis di Sabah tidak dapat mengundi awal hari ini kerana mereka terpaksa melalui proses kuarantin.

“Ada mereka yang berada di Lahad Datu dan ada juga di Kota Kinabalu. Mereka dikuarantin kerana telah terlibat dalam operasi menangkap warga asing yang kemudiannya disahkan positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata setakat ini proses pengundian awal di seluruh Sabah berjalan lancar dan terkawal.

“Saya harap semua pegawai dan anggota polis segera keluar mengundi kerana saya lihat cuaca bila-bila masa sahaja akan hujan. Lebih awal datang, lebih baik,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau meminta orang ramai agar sentiasa berjaga-jaga dengan ancaman Covid-19.

“Jangan terlalu ghairah untuk pergi mendengar kempen sehinggakan lupa tentang ancaman lebih besar iaitu Covid-19 kerana dalam beberapa hari ini jumlah jangkitan Covid-19 di Sabah meningkat dengan tinggi sekali,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: Undian polis, tentera bermula 8 pagi ini

KOTA KINABALU, 22 SEPT: Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri Sabah bermula 8 pagi ini bagi membolehkan 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing di 55 pusat mengundi di seluruh negeri.

Proses pengundian awal itu berlangsung sehingga 5 petang ini.

Pusat pengundian awal termasuk di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Teluk Sepanggar dan Kem Lok Kawi.

Pengundi perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mencegah penularan Covid-19 seperti memakai pelitup muka, saringan suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal dan menggunakan pensanitasi tangan.

Ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang dilantik SPR dibenar menyaksikan proses pengundian awal itu, yang akan turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jawatankuasa kabinet bincang kes Covid-19 meningkat di Sabah menjelang PRN

SANDAKAN, 20 SEPT: Jawatankuasa Khas Kabinet akan membincangkan mengenai peningkatan kes Covid-19 di negeri ini menjelang pengundian pilihan raya negeri pada 26 September.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perbincangan mengenai perkara tersebut akan dibuat pada mesyuarat mingguannya Selasa ini.

“Kita memang mengadakan mesyuarat mingguan mengenai isu Covid-19. Tetapi mengenai peningkatan kes di Sabah ini akan dibincangkan pada Selasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ziarah Kasih di Sekong dekat sini.

Dalam perkembangan terkini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 52 kes positif Covid-19 yang dilaporkan di negara ini dalam tempoh 24 jam lepas, 36 kes dilaporkan di Sabah.

Setakat semalam, terdapat satu kes positif di Sandakan, tiga kes positif bagi kluster Bakau di Semporna, 399 kes positif di Tawau dan 551 kes positif kluster Benteng Lahad Datu.

Mengulas mengenai dakwaan terdapat seorang pemimpin parti politik dari Semenanjung dikatakan positif Covid-19 semasa berkempen di Sabah, Ismail Sabri berkata beliau tidak menerima laporan rasmi mengenai perkara itu setakat ini.

“Jika perkara itu benar, individu itu perlu menjalani kuarantin dan perlu menjalani rawatan sehingga pulih sepenuhnya sebelum pulang ke Semenanjung,” katanya.

Ismail Sabri mengingatkan orang ramai, termasuk ahli politik yang ke Sabah untuk berkempen semasa pilihan raya ini supaya sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Hasil bumi Sabah beri manfaat jika diurus dengan baik

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kepelbagaian hasil bumi Sabah memberi manfaat kepada rakyat negeri itu jika diurus dengan baik, kata presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata amalan tadbir urus tidak jujur sejak puluhan tahun lalu menyebabkan rakyat Negeri di Bawah Bayu kekal daif terutama yang tinggal di Matunggong.

“Ini mendukacitakan namun kita harus bertindak. Saya fikir ini masa terbaik untuk ubah landskap politik, pentadbiran dan beri kepercayaan kepada calon KEADILAN,” tulisnya di Facebook hari ini.

Isu tersebut dibangkitkan ahli parlimen Port Dickson itu ketika berkempen untuk calon Matunggong Sazalye Danol sempena pilihan raya negeri.

Rakyat Sabah akan memilih 73 calon pada 26 September ini. KEADILAN yang bergabung dengan Warisan Plus bertanding di tujuh kerusi.

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN sanggah PM, bantuan bukan alat raih undi

SHAH ALAM, 18 SEPT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hari ini mendesak perdana menteri supaya tidak menjadikan bantuan sebagai alat memancing undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil berkata rakyat negeri itu berhak memilih mana-mana parti yang diingini tanpa pengaruh pendekatan “cash is king” (wang itu segala-galanya).

“Perdana menteri seharusnya tidak menggunakan isu bantuan untuk meraih undi. Beliau harus menjadi perdana menteri untuk semua negeri dan rakyat Malaysia, bukan hanya negeri yang ditadbir parti Kerajaan Persekutuan atau mereka yang mengundi parti Kerajaan Persekutuan.

“Jika beliau enggan bantu negeri-negeri pada kadar dan keperluan yang sepatutnya, saya rasa wajar beliau berundur daripada menjadi perdana menteri,” katanya dalam kenyataan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap di Kudat hari ini berkata lebih banyak bantuan disalurkan kepada Sabah jika kepimpinan kerajaan negeri selari dengan Kerajaan Persekutuan, lapor Bernama.

Perdana menteri berkata buat masa ini, bantuan kepada Negeri di Bawah Bayu setakat yang diwajibkan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana pentadbiran tidak sehaluan dengan Putrajaya.

Rakyat Sabah akan memilih 73 calon pada 26 September ini. KEADILAN yang bergabung dengan Warisan Plus bertanding di tujuh kerusi.

Fahmi, ahli parlimen Lembah Pantai, turut mempertikai amalan “cash is king” yang dahulunya menjadi kecaman Muyhiddin terhadap kerajaan Barisan Nasional.

“Amalan yang dahulunya ditegur dan dilawan perdana menteri sendiri malangnya kenyataan beliau (kini) mirip apa yang ditegur dan lawan dahulu. Apa sudah jadi?

“Saya percaya rakyat Sabah cukup matang dalam menilai yang mana kaca, yang mana permata,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM teliti kuarantin wajib individu pulang PRN Sabah

PORT DICKSON, 12 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti keperluan mengenakan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah selepas urusan pilihan raya negeri (PRN).

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

“Sekarang ini belum ada keputusan (untuk kuarantin wajib).

“Kita akan buat kajian risiko setiap hari dan akan dibincangkan di Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Covid-19 juga bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Wellness Hub Bagan Pinang, Port Dickson, di sini hari ini.

Sabah yang sedang mengadakan pilihan raya negeri turut merekodkan peningkatan kes Covid-19 khususnya melalui Kluster Benteng Lahad Datu.

Semalam, kes baharu wabak itu kembali melonjak ke tiga angka dengan 182 kes yang melibatkan 181 penularan tempatan dan satu kes import, iaitu tertinggi setakat ini dalam tempoh beberapa bulan selepas mencatatkan 100 kes pada Selasa lepas.

Kes Covid-19 di Sabah yang membabitkan Kluster Benteng LD merekodkan 250 kes dengan 167 kes baharu direkodkan setakat semalam.

Mengenai PRN Sabah, Dr Adham berkata pihaknya akan mengguna pakai garis panduan pencegahan Covid-19 yang digunakan pada dua pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, iaitu PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang dan PRK DUN Slim, Perak.

SPR menetapkan 26 September sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah manakala hari mengundi awal pada 22 September dengan pencalonan selesai hari ini.

Sementara itu, Dr Adham berkata tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan semula sekatan perjalanan antara negeri-negeri setakat ini kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran yang dilakukan di beberapa kawasan berjaya membendung penularan lebih besar.

“Kita lihat trend Covid-19 berlaku di beberapa tempat sahaja. Kes tidak menyeluruh seperti peringkat awal, misalnya di Kota Setar dan Amanjaya di Kedah kita buat PKPD pentadbiran, dan kita berjaya bendungnya. Ia juga untuk memastikan kita dapat saring kira-kira 15,000 orang di daerah Kota Setar,” katanya.

Mengenai Wellness Hub, Dr Adham berkata fasiliti itu adalah pusat sehenti yang menyediakan kemudahan dan perkhidmatan promosi kesihatan kepada komuniti setempat, iaitu antara hala tuju baharu KKM di bawah pelan ‘Tawaran Baharu KKM’.

Sehingga kini, KKM telah mewujudkan 28 Wellness Hub di seluruh negara dengan kos hampir RM500,000 setiap satu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: Proses penamaan calon bermula

KOTA KINABALU, 12 SEPT: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 bermula pada 9 hingga 10 pagi ini di 73 pusat di seluruh negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat persiapan rapi di semua pusat penamaan calon itu, yang antara lain terdiri daripada dewan komuniti dan sekolah, bagi memastikan kelancaran proses berkenaan di sebalik tatacara operasi piawai (SOP) dalam usaha membendung penularan Covid-19.

PRN Sabah bakal menyaksikan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertanding dengan 13 kerusi baharu hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Kerusi tersebut ialah Bengkoka, Bandau, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Keramat, Limbahau, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

SPR menetapkan 26 September sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 22 September.

Sebanyak 1.12 juta pengundi layak memilih pada pilihan raya mengejut itu.

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lepas, sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: Lebih 400 anggota polis bertugas pantau keselamatan

IPOH, 11 SEPT: Lebih 400 pegawai dan anggota tambahan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk dari Bukit Aman dihantar ke Sabah bagi membantu menjaga aspek keselamatan sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN), yang bermula dengan penamaan calon, esok.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata antara pegawai dan anggota polis yang ditugaskan sepanjang kempen PRN Sabah adalah dari Jabatan Siasatan Jenayah serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

“Saya nampak ia tidaklah begitu membebankan (tidak hantar ramai pegawai dan anggota dari Bukit Aman) ke Sabah kerana Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Hazani Ghazali) yakin ia mampu mengawal PRN dengan kekuatan pegawai dan anggota dari negeri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil pengiktirafan Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) PDRM sebagai “Organisasi Latihan Diiktiraf – Organisasi Latihan Penerbangan’ (ATO-FTO) dan ‘Organisasi Latihan Diiktiraf – Organisasi Latihan Penerbangan Mengikut Pengkelasan Pesawat‘ (ATO-TRTO) oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di PLPGU Ipoh di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 September ini sebagai tarikh mengundi untuk PRN Sabah manakala 12 Sept sebagai tarikh penamaan calon.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Calon PRN Sabah mesti berintegriti

KOTA KINABALU, 6 SEPT: Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini tidak semestinya berasal dari Negeri Di Bawah Bayu.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata pemilihan calon KEADILAN yang akan mewakili parti berkenaan perlu berdasarkan integriti calon tersebut.

“Kalau pilih orang yang tiada komitmen, sama sahaja. Isunya bukan suku kaum mana, isunya bukan dari mana tetapi mampukah kita latih orang yang punya integriti,” katanya ketika berucap merasmikan Jentera Pilihan Raya KEADILAN Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah Datuk Christina Liew.

Anwar berkata beliau secara dasarnya bersetuju memberikan lebih banyak kebebasan untuk KEADILAN Sabah memilih calon.

Katanya, calon KEADILAN harus mempunyai komitmen untuk membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, bangsa atau agama.

-BERNAMA