Categories
PENDAPAT RENCANA

Idaman Tea, inovasi si cilik Malaysia rangkul pingat emas antarabangsa

Oleh Oleh Muhammad Zulhaziq Ismail

PELABUHAN KLANG, 25 JUN: Mencipta suatu produk inovasi  bukannya mudah, kerana ia memerlukan pemikiran di luar kotak dan daya kreativiti yang tinggi.

Apatah lagi, produk berkenaan berkaitan kesihatan dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta menggunakan 100 peratus sumber asli tempatan.

Namun, cabaran inilah berjaya direalisasikan tiga pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Idaman di Pelabuhan Klang, bersama-sama tiga orang guru pembimbing yang menghasilkan Idaman Tea, iaitu inovasi produk minuman berasaskan serbuk daun pucuk jambu batu dan daun pudina dalam uncang serat daun nanas.

Menariknya, uncang teh daripada serat nanas ini boleh diguna berulang kali sekali gus menjadi yang pertama seumpamanya di dunia.

Lebih manis, inovasi hasil idea kreatif bakal ahli sains muda ini berjaya merangkul pingat emas bagi kategori sekolah dalam pertandingan Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition 2020 (IPITEx 2020), yang berlangsung pada 2 hingga 6 Februari 2020 lalu di Thailand.

Pelajar berkenaan ialah Mohamad Khairy Faris Afandey, Nidal Eiman Erwin dan Muhammad Aqil Yahya dibimbing oleh guru mereka iaitu Danial Heryanto Zainal Abidin, 42, selaku ketua pasukan, Mohd Norhizal Ramlee, 40 dan Shahrizal Mohd Azain, 37.

Apa yang membanggakan, mereka juga merupakan satu-satunya pasukan dari Malaysia yang memenangi anugerah khas iaitu I New Gen Award IPITEx 2020 pada pertandingan inovasi peringkat antarabangsa itu.

Malaysia diwakili 300 pasukan ke IPITEx 2020 yang menghimpunan lebih 2,000 pasukan pelbagai peringkat sekolah seluruh dunia, antaranya dari Poland, Iran, Korea, Jepun, Thailand, Kanada, Filipina, China, Arab Saudi dan United Kingdom.

Ini merupakan penyertaan kali kedua sekolah berkenaan di peringkat antarabangsa selepas turut memenangi pingat emas pada pertandingan Indonesia International Young Inventor Award (IYIA) 2019.

Komersialkan Idaman Tea

Menurut Danial Heryanto, kini pihak sekolah sedang dalam proses mendaftarkan Idaman Tea dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan cap dagangan logo produk dalam masa terdekat bagi melindungi idea asal produk ini.

“Harapan kami agar produk ini (Idaman Tea) dapat dipasarkan dan dikomersialkan tahun ini,” katanya kepada Bernama sambil menambah ketika ini guru sekolah berkenaan yang mengusahakan produk berkenaan secara tradisional tanpa penggunaan mesin termasuk dalam aspek pembungkusan.

Pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di MAEPS, Serdang, Selangor banyak membantu dari segi idea pemasaran Idaman Tea, kata Danial Heryanto.

Khasiat Idaman Tea antara lain mengandungi agen antioksida likopena mengandungi Vitamin C, dapat melegakan cirit-birit, mengurangkan kolesterol, dapat mengawal gula dalam darah, mengurangkan risiko kanser payu dara dan kanser prostat, meningkatkan kualiti tidur dan mengawal pengaliran darah ke otak.

Cetusan Idea

Mengimbau bagaimana serbuk teh herba Idaman Tea itu berjaya dihasilkan, Danial Heryanto berkata idea asal dicetuskan oleh guru Mohd Norhizal yang mencadangkan kepada pasukan berkenaan agar ‘mendalami’ petua perubatan orang tua-tua dahulu yang menggunakan sumber alam sekeliling untuk mengubati penyakit.

Melihatkan idea itu berpotensi untuk dikaji memandangkan generasi muda kini lebih gemar menggunakan produk berasaskan herba dan sumber alam semulajadi, beliau dan pasukannya menggembleng usaha melakukan pelbagai kajian serta penyelidikan ke atas dedaun herba yang boleh diinovasikan untuk merawat penyakit.

“Kita perlu melakukan pelbagai proses bagi melihat keserasian gabungan dedaun herba terdiri daripada pucuk daun batu dan daun pudina yang dikeringkan secara tradisional di bawah cahaya matahari,” katanya.

Menurut Danial Heryanto, pada mulanya, hanya daun pucuk jambu digunakan untuk produk minuman herba, tapi ia didapati tidak cukup untuk mencapai tahap inovasi yang boleh diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Jadi, pasukan kami terus membuat penyelidikan dan akhirnya mendapat gabungan serasi iaitu memasukkan khasiat daun pudina selain menggunakan serat daun nanas sebagai uncang teh untuk mengubati penyakit cirit-birit,” katanya menambah mereka mengambil masa kira-kira enam bulan untuk menyiapkan produk berkenaan.

Kerjasama Mardi, Uitm & LPNM

Sementara itu, Mohd Norhizal berkata penjanaan idea inovasi minuman herba itu dimulakan sejak Februari 2019 dan tiga pelajar dalam pasukan berkenaan banyak dilibatkan dengan proses tersebut supaya mereka belajar serta faham kaedah untuk menyumbangkan buah fikiran bagi sesuatu projek.

“Kami juga menjalin kerjasama dengan UiTM dan beberapa agensi antaranya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi merealisasikan idea inovasi kami itu kepada produk sebenar,” katanya.

Menurut beliau, MARDI membantu dari segi melakukan ujian pada kandungan produk, sementara UiTM melalui Fakulti Kejuruteraan Awam cawangan Shah Alam banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar dalam ujian menentukan nisbah minuman dan penyediaan makmal kepada pasukannya.

“LPNM pula memberi bantuan bekalan daun nanas dan khidmat nasihat mengenai serat nanas,” kata Danial Heryanto sambil menambah Idaman Tea tidak mengandungi campuran bahan kimia malah kandungannya 95 peratus daun pucuk jambu batu dan lima peratus daun pudina.

Pelajar Aktif Jana Idea

Menceritakan kegigihan pelajarnya dalam menjayakan projek berkenaan, Mohd Norhizal berkata beliau berasa bangga apabila melihat anak muridnya yang berumur 11 tahun mampu mengembangkan idea inovasi secara kreatif berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka.

“Ada dalam kalangan pelajar melontarkan idea serta cadangan untuk menggabungkan daun pandan bersama pucuk daun jambu batu bagi menghasilkan teh herba dan ada juga mengambil daun jagung atau tebu dijadikan kotak,” katanya.

Beliau berkata, selain menjana idea, pelajar berkenaan juga perlu mempersembahkan hasil kerja mereka dari awal proses pembuatan sehingga produk akhir dengan tunjuk ajar guru pembimbing. Masing-masing ada kebolehan tersendiri dan cepat memahami serta tahu apa yang perlu dilakukan.

Selain aktif dalam penjanaan idea, Mohd Norhizal berkata pelajarnya iaitu Mohd Khairy Faris, Nidal Eiman dan Muhammad Aqil turut didedahkan dengan penggunaan pelbagai peralatan makmal di UiTM.

Pada masa sama, Shahrizal turut memuji kebolehan tiga pelajarnya dalam mempersembahkan produk berkenaan kepada juri dan tetamu pertandingan inovasi peringkat antarabangsa itu walaupun mereka baru pertama kali menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

“Biarpun ketiga-tiga pelajar itu dipilih menyertai pasukan berkenaan menerusi satu uji bakat di sekolah, namun keyakinan mereka memperkenalkan produk inovasi itu dalam bahasa Inggeris menunjukkan mereka mempunyai minat yang sangat mendalam dalam bidang reka cipta dan sains,” katanya.

Sementara itu, bagi Nidal Eiman yang mewakili dua rakannya, berkata pengalaman dapat mewakili sekolahnya ke peringkat antarabangsa amat membanggakan diri mereka kerana ia peluang keemasan yang tidak semua pelajar peroleh.

Menceritakan secara ringkas mengenai pengalaman dalam merealisasikan inovasi serbuk teh itu, Nidal Eiman berkata disebabkan produk inovasi itu harus mencapai standard tinggi pertandingan, pelbagai kajian dilakukan bersama guru dan proses itulah banyak mendedahkan mereka dalam bidang sains serta reka cipta.

Menurutnya, pengalaman melihat dan mencuba sendiri peralatan makmal yang canggih untuk menguji produk inovasi minuman mereka di agensi kerajaan yang terlibat akan sentiasa tersemat dalam sanubari dan dijadikan pembakar semangat untuk terus meneroka bidang inovasi pada masa depan.

“Apa pun, saya memang tak jangka pasukan kami mampu meraih pingat emas kerana pertandingan itu turut disertai pelajar sekolah menengah dan sekolah elit dari pelbagai negara yang mengetengahkan produk inovasi yang jauh lebih hebat,” katanya mengakhiri perbualan sambil berharap Idaman Tea dapat dikomersialkan.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bapa 55 tahun terima Anugerah Khas INPENS

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 17 MEI: Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) milik Kerajaan Negeri bukan sahaja memberi peluang kepada golongan belia
menimba ilmu dan kemahiran tetapi turut dibuka kepada warga veteran.

Berada pada usia 55 tahun, Hamdani Paiman tidak menjadikannya halangan bagi mengejar salah satu impian melanjurkan pelajaran dalam
bidang yang diminati iaitu Juruteknik Motosikal Kanan.

Hamdani yang juga bapa kepada enam anak berkata, dia tidak lagi menoleh ke belakang dan tidak memperduli cakap orang sebaliknya
fokus pada apa yang ingin dikecapinya apabila permohonannya diterima masuk ke INPENS.

DSC_2330“Dulu saya tidak fokus belajar, abaikan pelajaran tetapi akhirnya impian saya ingin belajar dan menuntut ilmu tertunai di sini,
selepas 35 tahun.

“Kepada semua terutama yang masih muda remaja di sini, tuntutlah ilmu kerana peluang hari ini terbentang, rebut dan jangan
dipersiakan,” katanya.

Terdahulu beliau menerima anugerah tertinggi, Anugerah Khas Dato’ Menteri Besar dalam majlis konvokesyen INPENS yang diadakan di
auditorium kolej itu, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi graduan, Nursyazwani Amirah Sumali daripada jurusan pendandan rambut pula menerima Anugerah Khas Exco
Pendidikan Kerajaan Negeri Selangor.

“Saya pasti sesiapa yang mahu sambung belajar di sini tidak akan kesal kerana akan dilatih dan diajar oleh golongan professional.

DSC_2327“Tanpa tenaga pengajar di sini, saya juga mungkin tidak akan mencapai kejayaan yang diharapkan,” katanya.

Sebelum ini, Nursyazwani berjaya memenangi pingat perak dalam kategori dandanan rambut untuk pertandingan Kemahiran Malaysia yang
ke-22.

Nursyazwani kini sedang bersaing bagi merebut tempat di peringkat akhir Pertandingan Kemahiran Asean (ASC) di Hanoi, Vietnam,
selewat-lewatnya Jun ini.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

72 pasukan cilik ‘berentap’ di Karnival Soccerkids

soccerkid MBSA 1

SHAH ALAM, 5 OKTOBER: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhasrat mengembangkan penganjuran Karnival Soccerkids ke peringkat kebangsaan tahun hadapan berikutan sambutan menggalakkan yang diterima tahun ini.

Hasrat ini dizahirkan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan yang turut menyatakan padang berhampiran lokasi penganjuran sedia ada akan boleh digunakan tahun hadapan selepas mencapai proses matang.

Menurut beliau, untuk tahun ini pihak MBSA menerima lebih 100 penyertaan namun terpaksa menghadkan kepada 72 pasukan berikutan masalah padang.

“Tahun hadapan mungkin akan dibuat untuk peringkat kebangsaaan. Kita akan ada tiga padang dan boleh buat padang mini untuk menjalankan pertandingan dengan serentak,” katanya yang ditemui selepas merasmikan karnival berkenaan bertempat di Padang B, Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Menurutnya, penganjuran karnival tahunan ini membuka peluang kepada pemain muda menunjukkan bakat dalam usaha melahirkan pemain pelapis bola sepak yang boleh mewakili negara ke peringkat bola sepak antarabangsa.

Selain itu, karnival ini juga dimanfaatkan oleh ibu bapa untuk bersantai bersama keluarga disamping memberikan sokongan kepada anak-anak yang menyertai pertandingan.

Karnival Soccerkids yang berlangsung selama dua hari ini disertai 72 pasukan yang terdiri daripada 40 pasukan untuk kategori 12 tahun dan kebawah manakala 32 pasukan lagi untuk kategori 9 tahun dan kebawah.

Disamping pasukan di sekitar negeri Selangor, terdapat juga penyertaan pasukan dari Kuantan, Pahang yang diwakili oleh dua cucunda Sultan Pahang.

Juara pertandingan untuk kategori 12 tahun dan kebawah membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000, piala serta cenderahati manakala pemenang untuk kategori 9 tahun dan kebawah membawa pulang wang tunai bernilai RM800, piala serta cenderahati selain anugerah khas untuk pemain dan penjaga gol terbaik kejohanan.