Categories
NASIONAL

Tiket bas ekspres masih dijual untuk pulang mengundi

KUALA LUMPUR 14 APR: Jualan tiket bas ekspres ke utara dan selatan bagi perjalanan 7 hingga 11 Mei ini masih dibuka bagi warga kota yang ingin pulang mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Semenanjung, Tajuddin Mohd Yunus berkata, kira-kira 35,000 tiket disediakan setiap hari untuk tempoh tersebut.

“Hanya tiket ke Kelantan dan Terengganu habis dijual dan bergantung kepada syarikat-syarikat bas ekspres untuk menambah bilangan bas bagi perjalanan pulang untuk mengundi,” katanya kepada Bernama, Jumaat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU14 pada 9 Mei dengan kerajaan mengisytiharkan hari tersebut sebagai kelepasan am tambahan bagi seluruh negara dalam memudahkan rakyat melaksanakan tanggungjawab mengundi.

Tajuddin bagaimanapun menasihati mereka yang masih belum membeli tiket supaya segera berbuat demikian dan tidak menunggu sehingga ke saat akhir.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar Kuala Lumpur Sentral mendapati tiket Perkhidmatan Keretapi Elektronik (ETS) bagi perjalanan 7 hingga 11 Mei sudah habis dijual.

Menurut jurucakap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), tiket ETS dari Kuala Lumpur ke Ipoh dan negeri-negeri utara telah habis dijual dalam masa dua jam selepas pengumuman hari pengundian oleh SPR pada Selasa lepas.

“Ramai yang kecewa apabila datang untuk membeli tiket di kaunter tetapi dimaklumkan sudah habis dijual. Perkhidmatan tambahan akan disediakan ke semua destinasi namun ia akan diumumkan kemudian,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jadikan Najib sebagai PM terakhir Umno-BN

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 4 APR: Rakyat digesa untuk berani membuat perubahan dengan terus mengundi calon PAKATAN sekali gus menolak Barisan Nasional (BN) bagi memastikan era Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri berakhir.

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN), Zuraida Kamaruddin berkata, semasa Najib mengambil tampuk pemerintahan negara, rakyat meletakkan harapan tinggi kepada beliau berlakunya perubahan positif.

“Apabila ISA dihapuskan ramai bersorak tanpa mengetahui bahawa ia diganti dengan SOSMA dan terkini Akta Berita Palsu pula diwujudkan bagi mengekang kebebasan bersuara rakyat Malaysia,” katanya.

Zuraida berkata, 4 April merupakan tarikh keramat penubuhan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) demi kelangsungan perjuangan menentang kezaliman dan menyeru kepada reformasi pentadbiran negara.

“19 tahun berlalu, bermacam perkara dihadapi parti ini dan kini sudah terbukti ia masih lagi utuh dan semangat perjuangan bagi menentang kezaliman BN tetap akan diteruskan.

“KEADILAN akan terus berusaha memastikan nasib dan hak rakyat Malaysia dibela,” katanya.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, orang ramai kini sudah tidak boleh menyuarakan pendapat dengan bebas malah ketidakadilan itu perlu dibalas.

“Rakyat tidak bodoh dan langkah dibuat Najib untuk menyekat pengkritik beliau terutamanya kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bukan sahaja sibuk diperkatakan media tempatan tetapi juga media antarabangsa,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Bersih 2.0: Persempadanan mudahkan lagi Umno-BN menang PRU-14

OLEH SYAZWANI SUFIAN

PETALING JAYA, 4 APR: Persempadanan semula dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan diluluskan Dewan Rakyat membolehkan Umno- Barisan Nasional (Umno-BN) mengekalkan kemenangannya dalam PRU-14.

Pegawai Peninjau Bersih 2.0, Chan Tsu Chong berkata, ia ekoran minimum kemenangan perlu untuk membentuk kerajaan hanya 16.5 peratus undi popular.

Katanya, Umno-BN dilihat cuba untuk mengekalkan tampuk pemerintahan negara dengan melaksanakan persempadan semula apabila pembahagian kawasan tidak sekata.

“Walaupun undi popular sebanyak 16.5 peratus untuk memenangi pilihan raya tidak mungkin berlaku, saya percaya Umno-BN akan kembali berkuasa sekalipun kehilangan undi majoriti seperti dilakukan pada PRU13 sebelum ini.

“PRU-13 lalu Umno-BN memenangi pilihan raya walau hanya 47 peratus undi popular namun peratusan itu diterjemahkan kepada 60 peratus kerusi parlimen,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Tsu Chong berkata, kawasan pilihan raya dimenangi Umno-BN pada 2013 hanya 48,228 pengundi secara purata manakala dimenangi pembangkang adalah lebih berganda dengan jumlah 79,436 pengundi.

“Ini bermakna Umno-BN boleh kembali lagi berkuasa jika kalah majoriti undi.

“Apabila mandat pengundi untuk Parlimen dan kerajaan secara tidak sengaja diputarbelitkan, legitimasi seluruh sistem politik dipertikaikan,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Bubar: “Jumaat atau bila sahaja KEADILAN cukup bersedia”

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 APR: Jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sudah cukup bersedia untuk turun ke gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada bila-bila masa sahaja.

Naib Presiden KEADILAN, Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin, berkata KEADILAN bersama parti lain dalam Pakatan Harapan (PAKATAN) bukan sahaja bersedia dalam semua aspek, malahan sudah pun melancarkan manifesto mereka berbanding Barisan Nasional (BN).

“Bagi jentera KEADILAN, berdasarkan pemantauan di peringkat akar umbi, semua sedang menunggu bila parlimen dibubarkan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, siri latihan seperti latihan ejen pengundian, ejen pengiraan undi, latihan strategi penggunaan media sosial bagi memantapkan jentera parti juga telah diadakan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dipetik oleh agensi berita Reuters sebagai menyatakan beliau menjangka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membubarkan parlimen pada Jumaat ini.

Pandangan sama turut dikongsi Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, hal ini berikutan sidang Dewan Rakyat akan ditangguhkan pada Khamis ini manakala mesyuarat Kabinet pula ditunda ke Jumaat dan BN akan melancarkan manifestonya pada hari berikutnya.

“Lagi senang untuk meneka, saya rasa kanak-kanak sekolah boleh memikirkannya,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Penganalisis: Penolakan rakyat terhadap Umno-BN kuat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 MAC: Umno Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak terlalu selesa dengan keputusan persempadan baru yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam, kata Penganalisis Politik, Mohd Sayuti Omar.

Beliau berkata, senario pengundian rakyat kini tidak lagi berpihak kepada Parti Ketuanan Melayu itu, khususnya pengundi muda.

“Pengundi yang terbabit dengan persempadanan baru itu belum pasti semuanya akan mengundi BN.

“Umno Barisan Nasional hanya boleh mengubati kebimbangannya sahaja dengan pindaan yang penuh kontroversi tetapi tidak dapat menjamin kemenangan mudah.

“Sekiranya peratus mengundi tinggi di semua kawasan pindaan dilakukan hari ini (ia) tidak menjamin UBN akan selamat.

“Apa yang perlu dibimbangkan UBN ialah penolakan rakyat kepada UBN ke belakangan ini semakin ketara,” tulisnya di blognya.

Beliau berkata, pentadbiran Umno kini berdepan kemelut dalaman yang menyebabkan parti itu semakin hilang kredibiliti dan pengaruhnya.

Katanya, persekitaran politik baru itu juga membolehkan Pakatan terus meraih kepercayaan dan undi rakyat yang lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum 14 (PRU), depan.

“Perpecahan dalaman Umno berikutan wujudnya parti PBBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dilihat memberi masalah baharu kepada Umno dan Barisan Nasional,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

PATI guna Mykad palsu di hospital bukti PRU-14 berisiko sama

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 MAC: Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dijangka berhadapan isu penggunaan Mykad palsu oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada alat pengesahan (card reader) akan diberikan di setiap saluran mengundi.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan berkata, perkara ini disahkan sendiri oleh wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu taklimat SPR kepada wakil parti-parti Pakatan Harapan (Pakatan) Wilayah Persekutuan pada 24 Mac lalu.

“Dalam sesi taklimat tersebut, SPR telah memaklumkan bahawa dokumen-dokumen pengesahan identiti yang boleh digunapakai termasuklah MyKad, pasport, laporan polis kehilangan MyKad dan lesen memandu.

“Bagaimanapun apabila ditanya bagaimana dokumen-dokumen identiti ini boleh disahkan, wakil SPR berkata bahawa tiada sebarang alat pengesahan akan diberikan di setiap saluran mengundi di mana ini adalah sesuatu yang cukup memeranjatkan dan sangat berbahaya,” katanya.

Kenyataan media itu dikeluarkan bersama oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking.

Jelasnya, keadaan sama berlaku di hospital kerajaan yang tidak mempunyai pembaca MyKad untuk mengesahkan (“authenticate”) kad-kad pengenalan tersebut sehingga membolehkan PATI menggunakan Mykad palsu untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, SPR perlu merombak semula Piawaian Prosedur Operasi (SOP) dan menjamin penggunaan alat pengesahan Mykad, pasport dan lesen memandu bagi memastikan hanya pemilih yang sah sahaja mengundi.

“Jika tidak, sudah pasti PRU14 bakal menjadi PRU paling kotor dalam sejarah Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu, Senator Datuk Seri Khairudin Samad memberitahu Dewan Negara, kerajaan menanggung kerugian berjuta ringgit disebabkan aktiviti PATI menggunakan Mykad palsu untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Peratusan mengundi tinggi jalan akhir tewaskan penipuan pilihan raya

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 21 MAC: Orang ramai disaran tidak melepaskan peluang untuk membuang undi beramai-ramai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal berlangsung nanti.

Bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, berkata, hal ini berikutan hanya peratusan keluar mengundi yang amat tinggi sahaja mampu menewaskan rancangan penipuan pilihan raya dirancang pihak berkepentingan.

“Ini adalah jalan terakhir untuk kita boleh teruskan perjuangan kerana kita mahukan pilihan raya bersih dan adil.

“Pada PRU-13 kita tidak dapat pilihan raya bersih dan adil tetapi kita dapat kalahkan penipuan dengan keluar mengundi, jadi jangan tidak mengundi,” katanya pada sidang media Bersih 2.0 di pejabatnya di Pusat Perniagaan 8 Avenue di sini, hari ini.

Jelasnya, tindakan tidak keluar mengundi bermakna menyokong dan menyerahkan kuasa kepada penipuan pilihan raya.

Katanya, pada PRU-13 lalu, Bersih 2.0 berjaya mengesan beberapa penipuan pilihan raya namun ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tanpa alasan kukuh.

Terdahulu, sidang media yang diadakan itu turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh dan ADN Sri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Didakwa tak selesai masalah Kampung Baru: Johari, letaklah jawatan!

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 MAC: Didakwa tidak memberikan penjelasan berkaitan isu kebajikan masyarakat di Kampong Bharu, Kuala Lumpur, Datuk Seri Johari Abdul Ghani digesa melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa.

Penolong Setiausaha Angkatan Muda (KEADILAN) AMK Nasional, Syed Badli Shah Syed Osman dalam kenyataannya berkata, kegagalan Johari menyelesaikan kemelut yang berlaku di kawasan itu membuktikan kelemahan beliau sebagai wakil rakyat penduduk Titiwangsa.

“Permasalahan turun temurun isu parkir di kawasan pintu gerbang Kampong Bharu juga didakwa gagal diselesaikan apabila tiada sebarang alternatif untuk menangani masalah ini.

“Sedangkan masalah ini telah timbul sekian lama dan menyukarkan penduduk setempat untuk keluar masuk khususnya di waktu puncak,” katanya.

Terdahulu, Johari didakwa gagal menyatakan status pemilik tanah yang berjaya diselesaikan dan alternatif kepada permasalahan parkir di kawasan pintu gerbang Kampung Bharu.

Kata Syed Badli, Menteri Umno itu hanya bijak bermain retorik politik untuk terus kekal mendapatkan sokongan penduduk Titiwangsa.

“Mengharapkan rakyat di Parlimen Titiwangsa untuk memberikan mandat sekali lagi dengan pelbagai janji bulan dan bintang adalah modus operandi Barisan Nasional untuk mengekalkan kuasa.

“Justeru, saya percaya bahawa para pengundi di Parlimen Titiwangsa bijak menilai dalam memilih calon yang beribawa untuk menerajui kawasan mereka.

“Pakatan Harapan akan menampilkan calon terbaik untuk bekerja di Parlimen Titiwangsa bagi mewakili suara rakyat,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Penganalisis politik ramal Pakatan kukuh sedia hadapi PRU14

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 14 MAC: Penganalisis Politik, Mohamad Sayuti Omar menjangkakan sokongan rakyat terhadap Pakatan semakin bertambah menjelang Pilihan Raya Umum 14 (PRU) depan.

Beliau berkata, walaupun pentadbiran Umno Barisan terus ‘menggula-gulakan’ rakyat dengan pelbagai janji politik, namun rakyat tidak semudahnya terpengaruh dengan agenda retorik itu.

“Taburan wang dan pelbagai insentif serta ribuan janji projek ratusan jutaan ringgit dilafazkan Najib tampak tidak banyak merubah suasana serta mempesonakan rakyat. Ia tidak berbekas.

“Sikap pengundi yang dilihat rata-rata akan menggunakan kuasa mutlak yang mereka miliki; bertindak bijak dengan mengambil wang dan apa sahaja yang dihulur namun akan merahsiakan undi mereka mencemaskan Najib.

“Pengundi tidak memberi komitmen mereka ambil pemberian tetapi rela menggadaikan undi,” tulisnya dalam blog msomelayu.

Katanya, sokongan rakyat terhadap Pakatan bertambah menerusi sambutan dan penyertaan orang awam pada siri jelajah yang diadakan di peringkat akar umbi.

Ia turut dibuktikan pada siri turun padang pimpinan Pakatan yang diterajui Tun Mahathir Mohamad di Bera, Pahang tahun lalu.

Sambutan di situ apabila Dr Mahathir turun di luar jangkaan. Walaupun ada usaha membendung kehadiran rakyat dengan ugutan, namun ugutan itu tidak dihiraukan lagi.

“Mungkin kehadirannya tidak seramai di Johor ataupun di Kemunting Perak, tetapi kesediaan rakyat pedalaman kebanyakan peneroka untuk hadir mendengar syarahan Dr Mahathir sudah memadai dan sesuatu yang sangat positif.

“Di sinilah benar perkiraan politik para pemimpin PH bahawa Dr Mahathir menjadi ikon baru pembangkang sementara Anwar Ibrahim keluar penjara untuk mengambil alih mengemudi negara,” tulisnya lagi.

Sayuti turut memetik laporan dinyatakan Pengerusi IDE, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman yang mendedahkan aura dan dokongan Dr Mahathir tidak boleh diremehkan.

“Dr Mahathir katanya masih menjadi pujaan orang Umno yang akan menyokong memberi undi kepada bekas PM itu ke mana beliau pergi.

“Menurut Redzuan orang Umno tidak akan keluar Umno kerana mereka setia kepada parti itu tetapi orang Umno akan marah apabila Dr Mahathir dicaci dan dihina. Keadaan ini sesuatu yang positif kepada PH, katanya.

“Apa lagi kesediaan Dr Mahathir untuk bersama Anwar Ibrahim memberi satu momentum baru buat Pakatan Harapan dan ini tidak boleh diremehkan,” tulisnya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

SPR 100% Sedia Hadapi PRU14

KUALA LUMPUR 8 MAC: Kesiapsiagaan petugas-petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negara kini berada di tahap 100 peratus bagi memastikan kelancaran perjalanan proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata kesiapsiagaan itu meliputi tenaga kerja dan logisitik kelengkapan yang diperlukan selain diperkuatkan dengan latihan, kursus dan penerangan jelas mengenai tugas dan tanggungjawab masing-masing.

“Sebenarnya, persiapan kita untuk adakan PRU ini telah dilakukan sejak dua tahun lepas. Kita telah persiapkan petugas-petugas di tempat mengundi dan pengiraan undi di seluruh negara,” katanya kepada Bernama sewaktu menjadi tetamu di Program Ruang Bicara, Bernama News Channel pada Rabu malam.

Beliau berkata dijangkakan seramai 250,000 petugas melibatkan SPR dan anggota keselamatan serta pertahanan negara akan terlibat dalam PRU kali ini.

Mohd Hashim berkata pihaknya juga telah bersiap siaga dari segi kelengkapan untuk PRU14 ini termasuk dari segi kemudahan lebih selesa kepada orang kelainan upaya (OKU) seperti memberi bantuan ke tempat mengundi, kemudahan kerusi roda bagi pemilih uzur atau kurang upaya.

Menyentuh mengenai bekalan dakwat kekal, beliau berkata ia telah ditempah awal dan hanya menunggu detik PRU14 sebelum dihantar pembekal untuk digunakan.

Mengulas mengenai kempen pilihan raya, Mohd Hashim berkata 11 hari adalah waktu minimum untuk berkempen dan pihaknya akan mengkaji kepentingan sama ada ini perlu dilanjutkan.

Mohd Hashim juga optimis, pihaknya akan dapat mengendalikan perjalanan PRU dengan cara terbaik, telus, ikhlas dan bersih mengikut peraturan undang-undang yang ditetapkan.

Beliau menegaskan bahawa SPR adalah institusi bebas dan tidak menerima arahan daripada mana-mana pihak.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PAKATAN laksana manifesto negeri ikut kesesuaian

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) ditawarkan untuk Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan dipraktikkan di peringkat negeri berdasarkan kesesuaian sesebuah negeri itu.

Ketua Sekretariat PAKATAN, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sememangnya manifesto dikemukakan selain akan dilaksanakan di peringkat pusat apabila mengambilalih pentadbiran negara daripada Umno-Barisan Naional (BN) tetapi juga boleh dilakukan di peringkat negeri diterajui gabungan itu.

Bagaimanpun, katanya, ia berdasarkan kesesuaian kerana pelaksanaannya di peringkat negeri tentu berbeza antara satu negeri dengan yang lain.

“Ia boleh dilaksanakan di peringkat negeri selepas PRU nanti mengikut keperluan kerana tentunya apa diperlukan di Selangor berbeza dengan negeri lain dan sebaliknya. Kita akan melihat perkara itu.

“Untuk PRU akan datang ini, PAKATAN di beberapa negeri telah mengemukakan manifestonya seperti Negeri Sembilan termasuk Sabah dan Sarawak pada September tahun lalu. Negeri lain akan menyusul selepas ini,” katanya dalam sidang media di pejabat Ketua Pembangkang Parlimen di sini, hari ini.

PAKATAN akan melancarkan manifesto bagi PRU14, esok dengan lima teras utama untuk membela kehidupan rakyat yang terbeban ekoran pentadbiran diterajui Umno-BN yang terpalit skandal dan masalah.

Antara lima teras digariskan dalam manifesto itu ialah :

– Meringankan beban kehidupan rakyat.

– Mereformasikan institusi pentadbiran dan politik.

– Merancakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama.

– Mengembalikan status Sabah dan Sarawak berpandukan perjanjian Malaysia 1963.

– Membina Malaysia lebih inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia.

Categories
NASIONAL

Gara-gara karikatur Najib muka depan majalah Gila-Gila

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 FEB: Tanpa usul periksa, Kartunis terkenal, Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Anon menjadi mangsa kecaman segelintir netizen di laman sosial facebook.

Kecaman itu dibuat apabila muka hadapan majalah humor popular, Gila-gila bagi keluaran Februari 2018 memuatkan karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang seolah-olah yang berpeluh memikirkan bilakah Pilihan Raya Umum Ke-14 patut diadakan.

Ujang dalam status terbaru di akaun facebook, berkata, beliau bukanlah pelukis karikatur tersebut.

“Den (saya) sibuk kek (di) dalam hutan buek (buat) kojo caghik (kerja cari) nafkah untuk anak bini.

“Pekombangan (perkembangan) politik pun den tak ambik tahu. Alih-alih keluar hutan kono (kena) tibai dek penyokong Umno sobab (sebab) cover majalah Gila-Gila bulan ini,” tulisnya dalam loghat Negeri Sembilan.

Majalah Gila-Gila Edisi Februari 2018. Foto Sumber; FB Gila-Gila

Bagaimanapun, kecamanan segelintir netizen yang dipercayai penyokong Umno itu mendapat kecaman balas netizen lain.

“Budak Umno dengan benda macam ini pun boleh rasa tergugat ke? Rasanya Gila-Gila dari dulu ada kartun yang mempersendakan ahli politik dalam dan luar negara,” tulis Tengku Zulhafeez Tengku Aziz.

“Takkan goyang kot? Aku tengok okey aja. Tak ada sensitif pun. Aku lagi suka baca buku ini dari baca risalah ideologi macai politik.

“Siapa yang makan dedak lebih sangat tu, ini aku nak bagi tahu, dalam kubur nanti tak tanya PM kau siapa tapi dia tanya tuhan kau siapa,” tulis pemilik akaun yang menamakan dirinya sebagai Dino Adrian Evanz

“Nak sentap apanya? Benak betullah. Ini cuma menggambarkan PM yang gusar kerana cabaran PRU kali ini begitu besar bagi beliau dan parti beliau.

“Masa pun makin suntuk. Ini humor ringan yang tak patut sesiapa sentap dengannya. Janganlah menangguk di air keruh,” tulis Salahuddin Ibrahim pula.

Karikatur Najib di muka hadapan majalah Gila-gila itu memaparkan ‘Najib’ sedang mencangkung di dalam sebuah bilik sambil diintai beberapa watak lain yang dipercayai sebagai petugas media.

‘Najib’ dalam lakaran itu digambarkan menghadap dinding yang dilekatkan kalender tahun 2014, 2015, 2016 dan 2017 yang dipangkah sambil berkata di dalam hati, “Aduh! Bila nak letak tarikh PRU-14 ni?”

=EZY=