Categories
NASIONAL

Rakyat diminta mengundi dengan peratusan tinggi, elak penipuan

OLEH HAFIZAN TAIB

PERMATANG PAUH, 22 APR: Rakyat perlu keluar dengan peratusan tinggi pada hari mengundi 9 Mei ini, bagi menghalang penipuan daripada berlaku dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) nanti.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah pengundi dengan peratusan tinggi mampu menghindari perubahan keputusan PRU kerana Umno-Barisan (BN) didakwa akan menggunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi kerajaan lain bagi tujuan berkenaan.

“Saya menyeru supaya pengundi keluar dengan peratusan tinggi kerana jika rendah maka penipuan akan menguasai keputusan.

“Kalau peratus keluar mengundi tinggi sehingga mencapai 90 peratus, penipuan akan tenggelam, kalau ini berlaku, jika SPR lambat membuat pengumuman maka itu maknanya kita mencapai kemenangan,” katanya dalam Majlis Bertemu Rakyat bersama Azmin Ali di Keadilan Square di sini, hari ini.

Ia adalah sebahagian daripada program Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia ke Pulau Pinang sempena PRU14.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, Pakatan Rakyat (PAKATAN) dan rakyat perlu mengambil serius perkara itu kerana Umno-BN akan menggunakan segala bentuk tekanan untuk merosak dan mencuri pilihan raya umum kali ini.

Katanya, SPR yang dilihat tidak bebas dan adil termasuk agensi kerajaan lain akan digunakan untuk menekan supaya keputusan PRU memihak kepada Umno-BN.

“Namun daripada sentimen dan sambutan rakyat dari Perlis hingga ke Johor termasuk Sabah dan Sarawak, saya cukup yakin pada 9 Mei ini rakyat akan keluar beramai-ramai.

“Rakyat diminta menggunakan peluang mengundi sebaiknya bagi menolak Umno-BN dalam PRU nanti,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pengundi Bukit Gasing tidak terjejas, kekal pilih PAKATAN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 22 APR: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing memahami perubahan senario politik terkini di Selangor, kata Ahli Dewan Negeri kawasan itu, Rajiv Risyakaran.

Katanya, pengundi Bukit Gasing bijak menilai gerak kerja pentadbiran Kerajaan Negeri sepanjang dua penggal mengurus negeri berkebajikan itu.

Beliau bercaya, sebarang adu-domba dan permainan politik kotor pihak tertentu tidak akan mempengaruhi sokongan besar pengundi di kawasan majoriti masyarakat Cina itu terhadap pentadbiran Kerajaan Selangor.

“Sudah dua penggal dan rakyat Bukit Gasing boleh menilai sendiri tahap kemajuan ekonomi warga Selangor.

“Penilaian dan kejayaan inilah yang menjadi kayu pengukur bahawa kita mampu mengekalkan pentadbiran harmoni ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau diminta mengulas ramalan sentimen pengundian pengundi di kawasan itu menjelang Pilihan Raya Umum 14, 9 Mei ini.

Sementara itu, sepanjang tempoh penggal wakil rakyat Rajiv di kawasan DUN Bukit Gasing, pelbagai masalah masyarakat di kawasan berkenaan mampu diselesaikan.

Antaranya, isu gantian paip lama, masalah kesesakan trafik pada waktu puncak, isu kesedaran denggi dan masalah kejiranan warga Petaling Jaya.

Selain komitmen turun padang wakil rakyat PAKATAN itu, Rajiv turut dikenali sebagai ‘abang kawasan’ oleh warga Bukit Gasing kerana keprihatinan beliau terhadap permasalahan setempat di DUN itu.

“Saya tidak perlukan retorik atau propaganda politik. Komitmen saya adalah turun padang mendekati masyarakat dan komited berbahas di Dewan Negeri Selangor untuk menyelesaikan isu-isu setempat di kawasan ini,” kata Rajiv.

=EZY=

Categories
NASIONAL

PRU14 peluang rakyat bertindak, Umno-BN nafi hak rakyat bersuara

OLEH HAFIZAN TAIB

PADANG SERAI, 21 APR: Rakyat harus bertindak menghukum kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) kerana parti itu menafikan hak rakyat untuk bersuara dalam sistem demokrasi.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran berkata, tindakan Umno-BN meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar 2018 dalam sidang Parlimen, baru-baru ini, adalah bukti jelas bagi menghalang rakyat mengkritik pentadbirannya.

“Tugas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan kerajaan Persekutuan adalah menjaga rakyat tetapi apa dibuatnya adalah cuba mendiamkan rakyat dengan meluluskan RUU Anti Berita Tidak Benar 2018.

“Selepas ia diluluskan, apabila rakyat mengkritik kerajaan antaranya berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) maka tindakan boleh dikenakan ke atas rakyat,” katanya dalam Ceramah Perdana Gelombang Biru Muda di Tapak Pasar Malam, Labu Besar di sini, malam tadi.

Ceramah itu adalah salah satu program dalam siri Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang bagi mendekati rakyat menjelang pilihan raya umum ke 14 (PRU14).

Beliau berkata, ia jelas membelakangkan kepentingan rakyat di negara ini sebagaimana dijelaskan ahli falsafah terkenal Arab, Ibnu Khaldun, bahawa hak rakyat untuk bersuara dan mengkritik kerajaan tidak boleh diambil mana-mana pihak pemerintah.

Katanya, PRU14 adalah peluang terbaik rakyat bagi melakukan perubahan terhadap pentadbiran kerajaan di Putrajaya.

“Kita suka kalau melakukan sesuatu kejayaan hingga mencipta rekod tetapi dalam tempoh Umno-BN bertapak di Putrajaya dalam tempoh lebih kurang 60 tahun adalah mencipta skandal terbesar di dunia iaitu 1MDB.

“Ia memalukan kita maka tidak mungkin kita mahu memberi Umno-BN serta Perdana Menteri peluang lagi untuk mentadbir negara,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

TNB pastikan bekalan elektrik lancar sepanjang PRU

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 18 APR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat persiapan awal bagi memastikan bekalan elektrik di lebih 200 pusat penamaan calon, pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi berada dalam keadaan baik sepanjang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Ketua Pegawai Korporatnya, Dato’ Roslan Ab Rahman berkata, pihaknya membuat persiapan seawal November tahun lalu dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu-sedia bekalan elektrik ke lokasi terbabit sentiasa terjamin sepanjang musim PRU.

Katanya, TNB telah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di setiap negeri bagi mendapatkan maklum balas perincian keperluan elektrik di kesemua pusat berkenaan.

“Hasil pertemuan itu, kita telah mengambil langkah yang diperlukan supaya semuanya berada dalam keadaan terkawal.

“Selain itu, bilik gerakan juga ditubuhkan di setiap negeri dan pusat atau ibu pejabat.

“Bagi memastikan kelancaran bekalan sepanjang proses PRU nanti, warga kerja teknikal TNB akan diletakkan dalam keadaan tunggu sedia sebagai langkah tambahan,” katanya dalam kenyataan.

=EZY=

Categories
NASIONAL

PulangMengundi.com, UndiRabu.com berjaya raih dana RM110,000

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 APR: Sekumpulan anak muda prihatin berjaya mengumpulkan RM110,000 bagi membantu golongan kurang berkemampuan pulang mengundi.

Wang sumbangan orang ramai itu berjaya dikumpulkan melalui laman media sosial, UndiRabu.com dan PulangMengundi.com.

Pengasas bersama PulangMengundi.com, Timothy Teoh berkata, pihaknya juga telah berjaya menyewa 16 bas yang akan berlepas dari Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Puchong, Selangor.

Katanya, turut disediakan ialah subsidi perjalanan dan juga khidmat kongsi kenderaan untuk orang ramai.

“Kami memulakan inisiatif ini setelah melihat ramai pengundi mengeluh kerana tidak mempunyai wang cukup untuk pulang mengundi.

“Lebih sukar apabila ada yang perlu pulang ke Sabah, Sarawak kerana tempoh masa begitu singkat,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) kelmarin.

Sehingga kini lebih daripada 25,000 pengguna media sosial telahpun melayari laman web PulangMengundi.com dan UndiRabu.com sejak dilancarkan pada 13 April.

Pengerusi Belia KLSCAH, Lee Wai Hong berkata, inisiatif itu tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kami juga ingin menafikan dakwaan segelintir pihak mengatakan inisiatif ini mendapat sokongan mana-mana parti politik,” katanya.

Tempoh pembiayaan ini akan berlangsung sehingga 25 April dan orang ramai boleh melayari UndiRabu.com untuk menderma dan melihat laluan bas yang disediakan.

Sementara laman PulangMengundi.com mengandungi maklumat kongsi kereta dan subsidi perjalanan.

Bagi mereka yang kurang berkemampuan pula boleh menghubungi 03-78736579 untuk maklumat lanjut.

Categories
NASIONAL

PAKATAN jamin institusi bumiputera diurus lebih baik jika menang PRU 14

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) menegaskan bahawa institusi bumiputera seperti MARA, FELDA dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak akan menerima sebarang kesan buruk jika parti itu menang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) ini.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, seperti termaktub dalam Buku Harapan, sebagai Teras Dua Janji Sebelas dan Tiga Belas, Pakatan Harapan tetap akan mempertahankan institusi utama bumiputera seperti.

“Saya yakin rakyat Malaysia cukup sedar dan peka akan kebobrokan tadbir urus dan penyelewengan yang berlaku ketika di bawah pentadbiran Umno Barisan Nasional (Umno-BN).

“Namun jika Pakatan Harapan menang, institusi ini tetap berjalan seperti biasa yang membezakan hanya dari segi pengurusan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi menolak kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa pembangkang ingin menutup institusi bumiputera kerana kononnya bercanggah dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’.

Dr Wan Azizah berkata, perkara itu hanya momokkan UMNO-BN menjelang PRU untuk menakut-nakutkan rakyat yang ingin membuat perubahan.

“Pakatan Harapan akan menghalang institusi-intitusi amanah ini dijadikan kuda tunggangan tokoh politik untuk mengaut kekayaan.

“Pakatan Harapan memberi jaminan bahawa MARA, UiTM, FELDA dan Tabung Haji bukan saja ditingkatkan pengurusannya malah kita akan memberi perkhidmatan dan habuan lebih lumayan kepada rakyat khususnya bumiputera,” katanya.

=EZY=

Categories
AGAMA SELANGOR

MAIS: Pastikan masjid & surau bebas daripada kempen parti politik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 APR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengingatkan parti politik tidak menjadikan masjid dan surau tempat berkempen sempena Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

Peringatan awal itu dikeluarkan MAIS melalui surat kepada semua ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau seluruh Selangor berkuatkuasa 7 April 2017.

Melalui surat berkenaan, Setiausaha MAIS, Datuk Bakhtiar Hussin berkata, AJK masjid dan surau perlu memastikan sebarang bentuk ceramah, tazkirah atau penerangan tidak mengandungi elemen kempen parti politik.

“MAIS mahu memastikan masjid dan surat sebagai pusat ibadah, pusat ilmu, pusat penyatuan ummah, zon aman dan bebas politik serta bebas kepartian sebagaimana dinyatakan Peraturan 18(1) dan Peraturan 30(1) Peraturan-peratuan Masjid dan Surau Selangor 2017.

“Arahan ini juga selaras dengan hasrat MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta titah dari Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri, maka semua ajk masjid dan surau hendaklah mengambil perhatian,” katanya.

MAIS melarang sama sekali bentuk ceramah, tazkirah dan penerangan yang mengandungi elemen kempen bagi parti-parti politik tertentu di dalam dewan solat utama atau di dalam kawasan masjid atau surau seperti dinyatakan dalam Peraturan 70(2)(c).

Bakhtiar berkata, parti politik tidak dibenar meletakkan bendera atau poster calon untuk meraih undi di kawasan masjid dan surau termasuk di pagar.

“MAIS tidak mahu masjid dan surau dijadikan tempat berpolitik yang boleh memecahbelahkan ahli kariah seperti kehendak Peraturan 80(2) Peraturan-paraturan Majlis dan Surau Selangor 2017,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

UIAM beri cuti 3 hari sempena PRU14

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 APR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengumumkan pemberian cuti selama tiga hari sempena Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) tidak lama lagi.

Rektornya, Prof Datuk Zaleha Kamaruddin berkata, cuti bermula dari 8 hingga 10 Mei itu diberi kepada semua penuntut UIAM yang pulang ke kampung untuk mengundi.

“Pelepasan cuti ini melibatkan semua pelajar di tiga kampus UIAM iaitu Gombak, Kuantan dan Pagoh,” katanya melalui notis rasmi yang dikeluarkan UIAM.

Sebelum ini Ketua Sekretariat Kebajikan Majlis Pewakilan Pelajar (MPP) UIAM, Atiqah Anawa menyatakan rasa kecewa dengan tarikh pengundian yang jatuh pada 9 Mei.

MPP UIAM turut memohon supaya pihak pentadbiran universiti menyediakan bas samada percuma atau berbayar bagi memudahkan mahasiswa untuk pulang mengundi.

Katanya, mahasiswa sepatutnya cakna dan bersemangat untuk menyertai PRU kali ini. Ini kerana hanya melalui suara anak muda perubahan dapat dilakukan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Buat semakan tempat pengundian anda

SHAH ALAM 16 APR: Rakyat Malaysia yang layak mengundi boleh mengetahui lokasi mereka boleh menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Maklumat mengenai pusat mengundi dan saluran pengundi boleh disemak secara atas talian mulai hari ini. Ia termasuk lokasi sekolah atau dewan pusat pengundi anda.

Maklumat ini boleh didapati melalui laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di www.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak yang tersedia di Apple App Store dan Google Play, dengan menghubungi 03-8892 7018 atau menghantar SMS ke 15888.

Tarikh pengundian untuk PRU14 adalah pada 9 Mei, penamaan calon pada pada 28 April, sementara pengundian awal adalah pada 5 Mei.

9 Mei diisytiharkan sebagai cuti umum untuk seluruh negara bersempena dengan hari pengundian bagi membolehkan rakyat melaksanakan hak mereka untuk mengundi.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Tun M sah calon Parlimen Langkawi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 APR: Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad sah bertanding di kerusi Parlimen (P004) Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.

Hal itu diumumkan sendiri oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Jelajah Pakatan Harapan Langkawi yang berlangsung di Padang Mat Sirat malam tadi.

“Orang Langkawi sedar, Tun Dr Mahathir adalah penjana kepada pulau yang dahulunya pernah lesu,” kata Wan Azizah semasa mengumumkan calon PAKATAN.

Sebelum ini, kali terakhir mantan Perdana Menteri itu bertanding pilihan raya ialah pada Pilihan Raya Umum ke-10 tahun 1999.

Manakala, Wan Azizah turut mengumumkan anak Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz, dipilih sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra dan calon Parlimen Jerlun.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah minta abang-abang, kakak-kakak ‘payung’ 23 kerusi kalah tipis

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 APR: Penyokong Pakatan Harapan (PAKATAN) digesa supaya memberi tumpuan di 23 kerusi parlimen yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti tipis pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Nurul Izzah Anwar.

“Kerusi kalah tipis perlu dipayung, kakak dan abang oi!,” katanya dipetik laman sosial tweeter beliau.

Nurul Izzah dalam status sama turut menyenaraikan 23 kerusi dimenangi BN dengan majoriti tipis iaitu Parlimen Labis (BN menang majoriti 353 undi), Bentong (379), Sungai Besar (399), Kuala Selangor (460), Cameron Highland (462), Machang (805), Titiwangsa (866), Pasir Gudang (935), Ketereh (974), Kuala Kangsar (1,082) dan Bagan Serai (1,196).

Kerusi lain yang turut turut dimasukkan dalam senarai itu adalah Arau (1,371), Setiawangsa (1,390), Balik Pulau (1,539), Sabak Bernam (1,644), Muar (1,646), Tebrau (1,767), Kulim (1,871), Ledang (1,967), Bera (2,143) dan Padang Rengas (2,230).

Terdahulu, sokongan kepada BN pada PRU-13 lalu merosot lagi apabila hanya menang 133 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan mengatasi Pakatan Rakyat (PAKATAN) dengan perbezaan 44 kerusi.

PAKATAN yang menang di 89 kerusi parlimen hanya memerlukan 23 kerusi sahaja lagi bagi memperolehi 112 kerusi keseluruhan sekaligus mendapat majoriti mudah menewaskan BN.

Pada PRU-13, kemenangan BN juga merosot tujuh kerusi dan PAKATAN menambah tujuh lagi kerusi yang dimenangi.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Zahid tak faham Perlembagaan – Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 15 APR : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi tidak menghormati prinsip Perlembagaan apabila membuat kenyataan salah terhadap isu pengundian negara ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mempertikai kredibiliti pemimpin negara itu yang gagal memahami perundangan pilihan raya Malaysia.

Ia susulan kenyataan Zahid Hamidi yang menyarankan agar rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara tidak perlu pulang mengundi sekiranya gagal mendapatkan kebenaran bercuti daripada majikan masing-masing ketika hari membuang undi dibuat.

“Ia sudah ditetapkan di dalam Perlembagaan untuk membenarkan rakyat Malaysia berkelayakan untuk pulang mengundi.

“Zahid nampaknya sudah melakukan kesalahan dengan memberi gambaran seolah-olah apabila tidak dapat cuti, tak perlulah mengundi.

“Zahid tak faham undang-undang. Apa jenis Timbalan Perdana Menteri ini?” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan di Ampang Tambahan, semalam.

Menteri Umno itu membuat kenyataan sedemikin ketika ditanya pemberita pada majlis di Johor Bahru, lapor The Star.

Bagaimanapun Zahid sehingga kini belum membuat sebarang penjelasan lanjut mengenai kenyataan berkenaan.

Sementara itu, Mohamed Azmin mencadangkan agar majikan di dalam dan luar negara perlu memberi kebenaran bercuti dalam tempoh yang munasabah.

Katanya, keperluan itu sebagai tanggungjawab rakyat Malaysia untuk memilih mandat pentadbiran Kerajaan baru di Putrajaya.

=EZY=