Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Buka kaunter pekerjaan, bukan PTPTN

NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 MAC: Langkah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuka kaunter bayaran pinjaman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) membuktikan kegagalan kerajaan memahami isu sebenar dihadapi peminjam yang tidak membayar pinjaman pelajaran.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan sepatutnya sedia maklum isu itu berpunca daripada kegagalan perancangan dan pelaksanaan dasar skim pinjaman pendidikan khususnya bagi memastikan peminjam membayar semula pinjaman mereka.

“Umum sedia maklum ketika keadaan ekonomi suram dan faktor gaji pekerja yang masih rendah berbanding negara lain, tidak menghairankan jika melangsaikan hutang pendidikan tidak menjadi keutamaan bagi anak muda yang baru mula bekerja atau langsung tidak dapat mencari pekerjaan.

“Maka, bukannya kaunter pembayaran balik hutang PTPTN tetapi lebih banyak kaunter mencari kerja yang perlu dibuka kerajaan serta pelaksanaan dasar gaji minima RM1,500 seperti yang diangkat Pakatan,” katanya kepada SelangorKini.

Fahmi berkata, langkah membuka kaunter bayaran pinjaman PTPTN di KLIA 2 adalah satu langkah drastik dan terdesak kerajaan dalam mendapatkan semula tunggakan pinjaman berjumlah RM5.191 bilion dari lebih 753,000 peminjam yang tidak pernah membuat bayaran.

Terdahulu, Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, PTPTN akan membuka kaunter di KLIA 2 bagi memudahkan peminjam disenarai hitam yang mahu ke luar negara membuat bayaran.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN

PTPTN buka kaunter 24 jam di KLIA2

SHAH ALAM, 16 MAC – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuka kaunter di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bagi pembayaran dilakukan oleh peminjam disenarai hitam yang mahu ke luar negara.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, operasi kaunter berkenaan adalah 24 jam termasuk khidmat rundingan kepada peminjam oleh pegawai

“Isu peminjam disenarai hitam tidak dibenarkan ke luar negara antara yang kita mahu selesaikan.

PTPTN“Dengan pembukaan kaunter ini, peminjam yang disenarai hitam boleh berunding dan menyelesaikan tunggakan mereka serta-merta dan boleh meneruskan perjalanan,” katanya lapor BERNAMA di Parlimen, hari ini.

Shamsul berkata, pembukaan kaunter itu antara usaha PTPTN bagi mengutip lebih banyak pinjaman tertunggak.

Peminjam yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman turut disenarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia selain Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS).

Pada masa sama, Shamsul Anuar berkata, PTPTN mensasarkan untuk mengutip pinjaman RM4 bilion, tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang melaksanakan pelbagai langkah yang membolehkan perbadanan itu memberikan pinjaman kepada pelajar baharu pada kadar sebelum ini.

“Oleh kerana ada isu pelajar baharu yang pinjamannya dikurangkan, maka kita mahu sasarkan supaya boleh memberi jumlah pinjaman seperti kadar asal kepada mahasiswa baharu,” katanya.

-NFN-

Categories
PENDIDIKAN

Beberapa universiti lewat terima pembayaran PTPTN sehingga Mac

SHAH ALAM 9 FEB: Pelajar di beberapa universiti tempatan mungkin terpaksa meneruskan penantian pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga bulan hadapan.

PTPTN dalam satu kenyataan menyatakan pembayaran pinjaman terpaksa ditangguhkan berikutan maklumat pengesahan status pengajian pelajar daripada universiti awam yang terlibat masih belum diterima oleh pihaknya.

Antara universiti terlibat yang ditangguhkan pembayaran termasuk:

Universiti Sains Malaysia (USM);
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM);
Universiti Putra Malaysia (UPM) – Serdang;
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – Space;
Universiti Malaysia Sabah (UMS);
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS);
Universiti Malaysia Kelantan (UMK);
Universiti Malaysia Terengganu (UMT);
Universiti Malaysia Pahang (UMP);
Universiti Teknikal Melaka (UTEM); dan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Pihaknya bagaimanapun menjangkakan akan menerima maklumat penuh pada minggu ketiga bulan ini.

“Bayaran akan dikreditkan ke akaun pelajar antara 7 Mac hingga 10 Mac depan,” kata pihak PTPTN menerusi kenyataan, hari ini.

PTPTN

=EZY=

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Pengarah filem: Kenapa sekat peminjam PTPTN keluar negara?

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 JAN: Pengarah filem, Ahmad Idham Nadzri meluahkan kebimbangan dan simpati terhadap nasib generasi muda yang terpaksa menanggung hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disamping gagal mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

Menerusi reaksi di laman mikro Twitter @Ahmad_Idham, beliau membangkitkan kewajaran sekatan ke luar negara yang dikenakan Jabatan Imigresen terhadap peminjam yang gagal membuat bayaran jika ingin ke luar negara.

“Kesian saya dengan graduan under (dibawah) PTPTN. Tak bayar kena block (sekat). Nak bayar macam mana kalau peluang kerja pun susah sekarang ini. Adil ke pada mereka?

“Terfikir, why (kenapa) sampai nak kena block (sekat) imigresen? Kerajaan dan tak percaya dengan rakyat sendiri ke? Bukan ke rakyat yang pilih you all (awak semua),” katanya.

Menurutnya, walaupun ada antara lepasan graduan memperoleh pekerjaan, namun gaji yang diperoleh sekadar cukup makan membayar keperluan asas disebabkan kos sara hidup semakin tinggi.

Katanya, kebimbangan ini disokong dengan situasi pasaran kerja semakin sukar hingga mengakibatkan beberapa syarikat besar memberhentikan pekerja.

“Kan lagi bijak bukakan peluang mereka untuk kerja di luar negara. Boleh jana pendapatan untuk bayar hutan belajar. Berikan penyelesaian, bukan terus menghukum,” katanya.

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA PENDIDIKAN

Pendidikan percuma: Penyelesaian kemelut PTPTN

OLEH NIK NAZMI NIK AHMAD

Keadaan pendidikan tinggi Malaysia pada hari ini banyak berpunca daripada penswastaan sektor tersebut. Ini bermula pada 1996 ketika Najib Abdul Razak merupakan Menteri Pendidikan dan Akta Pendidikan serta Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta diperkenalkan.

Setahun kemudian, PTPTN ditubuhkan. Tujuan penubuhannya adalah untuk memberikan pelajar dana bagi melanjutkan pengajian. Ini membolehkan IPTS tumbuh seperti cendawan.

Pada 2007, jumlah peruntukan PTPTN yang diagihkan kepada IPTS mengatasi IPTA buat pertama kali dan tren ini kekal hingga hari ini. Pada 2015, RM2.5 bilion diagihkan kepada IPTS berbanding RM1.7 bilion untuk IPTA.

Expert Market, sebuah laman web perniagaan mengumpulkan data yuran university daripada senarai Quacquarelli Symonds’ Top Universities bagi tahun akademik 2014/2015 dengan laporan Gallup Median Self-Reported Income tahun 2013.

universitiPurata yuran university di Malaysia menurut laporan mereka adalah AS$18,000. Peratus gaji yang dibelanjakan untuk yuran university di Malaysia adalah 55 peratus.

Sebagai perbandingan, peratusnya adalah Chile 73 peratus, Amerika Syarikat 53 peratus, United Kingdom 42 peratus, Singapura 36 peratus dan Jepun 18 peratus. Kerajaan Malaysia memberi respon bahawa ini tidak menggambarkan yuran IPTA tetapi jika dibandingkan dengan yuran IPTS angka ini masuk akal.

Pada masa yang sama, kerajaan memotong perbelanjaan untuk IPTA dengan drastik. Pada tahun 2016, peruntukan IPTA dipotong RM1.4 bilion, 27 peratus berbanding tahun sebelumnya. Peruntukan bagi biasiswa, dermasiswa dan bantuan pelajaran dipotong RM812 juta (23 peratus). Justeru, pelajar miskin yang bergantung kepada bantuan ini menjadi mangsa utama.

Bagi tahun berikutnya, peruntukan bagi 20 IPTA dikurangkan daripada RM7.57 bilion kepada RM6.12 bilion (19.23 peratus). Lantas tidak mengejutkan bahawa tempat yang ditawarkan di IPTA menjadi lebih sedikit.
Panel Penasihat Pendidikan Tinggi Parti Keadilan Rakyat – yang saya anggotai – menerima banyak aduan pelajar cemerlang tidak mendapat tempat langsung atau luar bidang yang mereka pohon akibat daripada tren ini.

Maka, pelajar yang menuntut peluang pendidikan tinggi di Malaysia mendapati jalan yang ada hanyalah di IPTS yang lebih mahal. IPTS juga menganggap PTPTN sebagai peluang mereka mendapat wang dengan mudah sedangkan PTPTN menanggung risiko mengutip hutang daripada mahasiswa apabila mereka tamat belajar.

Apabila ramai graduan berhadapan dengan pengangguran, gaji yang rendah serta kos sara hidup yang tinggi, maka kadar pembayaran semula PTPTN kekal rendah.

Pada 2015, kadar pengangguran bagi mereka dengan pendidikan tinggi adalah 3.8 peratus berbanding 1.8 peratus bagi mereka yang mempunyai pendidikan rendah atau tiada pendidikan formal.

Antara 2011 hingga 2015, kerugian terkumpul PTPTN mencapai RM6.5 bilion. Pada 2015, hutang PTPTN yang tidak terbayar bagi tahun tersebut mencapai RM8.49 bilion. Kadar pembayaran semula sekadar 46.6 peratus.

Bagi mengatasi masalah ini, PTPTN telah menggunakan beberapa langkah. Ini termasuklah menyenaraikan peminjam di bawah CCRIS, yang menjejaskan mereka yang tidak membuat bayaran daripada membuat pinjaman rumah atau kereta; menyenaraihitamkan pasport mereka yang gagal membayar; menghentikan pemberian pinjaman penuh; dan menggalakkan pengeluaran simpanan KWSP bagi membolehkan graduan membuat bayaran.

Penyenaraian peminjam di bawah CCRIS dan menggalakkan pengeluaran wang persaraan yang berharga tidak memberi kesan yang positif, malah mendorong peminjam yang miskin terjebak di dalam kitaran kepapaan.

Saya beranggapan pembayaran sepatutnya dibuat hanya selepas graduan mendapat gaji yang selesa – sebagaimana dibuat di United Kingdom dan Australia – mungkin, RM4,000 sebulan.

Bagi jangkamasa panjang, jelas sekali PTPTN tidak boleh bertahan. Penyelesaiannya adalah pendidikan percuma untuk semua IPTA. Apatah lagi ini bukan angan-angan kosong tetapi realiti di Finland, Sweden, Norway, Negara Jerman dan Scotland. Chile memperkenalkan dasar ini bagi separuh 50 peratus pelajar termiskin pada tahun ini akibat kadar yuran yang tinggi (sila rujuk di atas).

Senator Bernie Sanders yang hampir mengejutkan Hillary Clinton di dalam memperoleh pencalonan Presiden bagi Parti Demokrat di Amerika juga membuat cadangan yang sama.

Selain itu, pelajar miskin sewajarnya diberi elaun sara hidup dan penginapan. Pada 2013, dianggarkan untuk memperkenalkan pendidikan percuma di Malaysia akan menelan belanja RM5 bilion setahun.

Kita sewajarnya beransur-ansur mengakhiri biasiswa sarjana muda JPA dan MARA ke luar negara. Dasar ini masuk akal ketika negara kekurangan universiti pada 1970an dan 1980an tetapi realiti hari ini sudah berubah.
Lagipun, ramai pemegang biasiswa JPA dibenarkan berhijrah ke luar negara tanpa membayar sesen pun kepada kerajaan! Alangkah baiknya kita melabur di dalam IPTA kita sendiri?

Kita juga sewajarnya membina lebih banyak IPTA untuk mengurangkan permintaan terhadap IPTS. Ini akan mengurangkan keperluan IPTS yang kurang berkualiti dan membolehkan hanya IPTS terbaik untuk kekal beroperasi.

Pada masa yang sama, kita boleh belajar dari pengalaman Jerman yang membolehkan mereka melaksanakan pendidikan tinggi percuma dengan mengasaskan pendidikan teknikal dan vokasional yang menarik dan berkualiti bagi mengelak kebanjiran graduan universiti di pasaran.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PTPTN diminta kaji kurangkan pinjaman

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 OGOS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) diminta untuk mengkaji secara menyeluruh berhubung tindakan pengurangan kadar pinjaman untuk pelajar.

Hal itu ekoran Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang memaklumkan tabung itu tidak lagi mampu memberi pinjaman penuh kerana kadar pembayaran balik peminjam PTPTN yang rendah.

Tinjauan SelangorKini bagi mendapatkan reaksi terbabit mendapati, rata-rata tidak bersetuju jika tindakan itu dilaksanakan.

Pensyarah, Jauhariatul Akmal Johar, 30, berkata tidak adil bagi pelajar baru yang terpaksa berdepan dengan pengurangan jumlah pinjaman gara-gara tindakan segelintir peminjam liat membayar semula pinjaman.

Katanya, tindakan pengurangan itu juga sedikit sebanyak mengenepikan hasrat pelajar menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Tidak dinafikan ada juga kalangan bekas pelajar sengaja tidak mahu membayar pinjaman dan ada juga membayarnya walaupun sedikit tidak mengikut perjanjian dipersetujui.

“Namun, perkara ini tidak harus dijadikan isu dan beban kepada pelajar baru. Sepatutnya pihak terbabit perlu melakukan sesuatu lebih baik bagi menjamin mereka untuk tidak terbeban dalam hal ini,” katanya.

Bagi, pelajar, Ita Liana Talha, 21, berkata pengurangan pinjaman tidak patut berlaku ketika keadaan ekonomi yang tidak stabil ketika ini.

Katanya, ia akan menyebabkan pelajar dari golongan kurang berkemampuan tidak dapat meneruskan pelajaran.

Beliau berkata PTPTN juga tidak seharusnya menyalahkan bekas pelajar yang gagal membayar balik pinjaman mengikut tempoh ditetapkan.

“Perlu diingatkan tidak semua bekas pelajar bernasib baik dalam mencari pekerjaan. Ada yang mendapat gaji lebih tinggi ada juga sekadar cukup makan.

“Mungkin PTPTN perlu mengkaji semula bayaran kos pentadbiran atau faedah yang dikenakan kerana jika diikutkan ia agak tinggi,” katanya.

Selain itu, Pesara, Rashid Sitra, 66, pula berpendapatan PTPTN tidak seharusnya memperjudikan nasib pelajar dalam pendidikan.

Katanya, sebagai ibu bapa, sudah tentu mengharapkan bantuan pinjaman itu untuk anak mereka belajar sekaligus membina kerjaya yang baik.

“Mungkin perlu mengkaji mekanisme lain. Tidak semestinya cara ini yang terbaik. Tentu ada jalan lain.

“Kepada peminjam, pinjaman ini adalah hutang jadi semestinya mereka perlu membayar balik. Ini memudahkan orang lain untuk menikmati manfaat ini,” katanya.

Semalam, Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata majoriti rakyat menghadapi kesusahan menyambung pelajaran sehingga ada terpaksa meminjam daripada keluarga, kawan-kawan, malah lebih teruk meminjam daripada Ah Long.

Katanya, meskipun memahami kekangan kadar pembayaran balik peminjam rendah memberi implikasi, namun PTPTN perlu mengambil kira ramai graduan tidak mampu membayar balik kerana masih belum mendapat pekerjaan atau berpendapatan kecil.

EZY

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

AMK: PTPTN perlu kaji keputusan henti pembiayaan penuh

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 OGOS: Angkatan Muda KEADILAN meminta kerajaan mengkaji semula keputusan Perbandanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menghentikan pembiayaan penuh kepada pelajar yang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata keputusan itu bukan sahaja memberi kesan kepada pelajar, bahkan menyukarkan rakyat Malaysia mendapatkan pendidikan di peringkat lebih tinggi.

“Kenaikan kos sara hidup yang tinggi sudah pasti akan memberi kesan kepada peminjam.

“Tanpa PTPTN atau apa-apa bantuan kewangan seumpamanya, majoriti rakyat Malaysia akan menghadapi kesusahan untuk menyambung pelajaran sehingga ada yang terpaksa meminjam daripada keluarga, kawan, malahan lebih teruk ada juga yang meminjam daripada Ah Long.

NIK-NAZMi“Faktor ini perlu juga diambil kira kerana keperluan kehidupan harian seperti makan minum, kos pengangkutan dan bayaran sewa serta utiliti rumah mesti diutamakan,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, pihaknya memahami keputusan itu disebabkan kadar bayaran balik yang rendah.

Bagaimanapun, katanya, PTPTN juga harus sedar bahawa badan itu merupakan sumber utama bagi pelajar untuk menyambung pengajian ke IPTA.

“Masalah pembayaran semula ini telah lama dikenalpasti PTPTN dan sehingga kini mereka masih gagal melaksanakan sebarang tindakan perancangan yang berkesan untuk mengatasinya.

“Malah, daripada dulu lagi KEADILAN menyarankan kerajaan mengkaji punca sebenar permasalahan ini. Sehingga kini, kami tidak dimaklumkan tentang sebarang kajian yang dibuat,” katanya.

Pada 21 Ogos lalu, Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, berkata trend bayaran balik yang masih rendah dalam kalangan peminjam sedia ada menyebabkannya terpaksa mengurangkan kadar pinjaman kepada penuntut baru.

Sehingga Disember 2015, PTPTN hanya berjaya mengutip RM8 bilion berbanding sasaran RM15 bilion daripada RM26 bilion pinjaman yang diluluskan.

PTPTN juga hanya meluluskan 95 peratus daripada kos pengajian kepada penuntut IPTA dan 85 peratus kepada penuntut IPTS.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Anak muda jadi mangsa tadbir urus kurang cekap Kerajaan Persekutuan

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 27 APR: Laporan berkenaan graduan yang gagal atau tidak mampu membayar hutang PTPTN bakal menghadapi kesukaran untuk membeli kereta, rumah atau memohon kad kredit amat mengecewakan.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata tadbir urus di bawah Kerajaan Persekutuan yang kurang cekap terhadap ekonomi Malaysia hanya menyusahkan rakyat khususnya anak muda.

NIK NAZMI (1)Katanya, PTPTN hanya memikirkan cara untuk mendapatkan semula hutang yang belum berbayar dan kini berjumlah RM 8.3 billion.

“Tindakan itu seakan tidak menghiraukan keadaan realiti hidup yang semakin sempit untuk semua orang.

“Kerajaan memotong pelbagai peruntukan di dalam sektor pendidikan sehingga untuk menyambung pelajaran ke pendidikan tinggi juga amat sukar tanpa PTPTN atau pinjaman lain,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, ramai anak muda menghadapi risiko dibelenggu hutang dan ia mungkin berlangsung sehingga selepas mereka bersara.

Katanya, alasan yang diberikan Pengerusi PTPTN, Shamsul Anuar Nasarah, bahawa tindakan menyenarai hitamkan mereka yang gagal membayar hutang adalah untuk menggalakkan pembayaran.

ptptn student“Ternyata jelas beliau tidak memahami nilai kos sara hidup yang tinggi, di samping gaji yang rendah memberi tekanan kepada anak muda untuk menguruskan kewangan harian mereka.

“Apa yang pasti, Malaysia amat memerlukan satu rombakan yang radikal terhadap model pembiayaan pendidikan tinggi.

“Majikan juga perlu meningkatkan tangga gaji pekerja terutama golongan bawah 40, di samping memberikan pelepasan cukai,” katanya.

Selain itu, rakyat Malaysia mampu mengubah keadaan itu dengan memilih kerajaan yang mementingkan rakyat lebih daripada survival politik kerana negara kini memerlukan reformasi ekonomi untuk memastikan semua diberi peluang lebih cerah.

Pengundi di Sarawak perlu menjadi contoh, pada 7 Mei ini dengan menolak kerajaan yang jelas sudah gagal melaksanakan polisi mengutamakan rakyat.

-NFN-

Categories
NASIONAL

AMK: Batalkan penyenaraian CCRIS 1.25 juta peminjam PTPTN

SHAH ALAM 24 APR: Kerajaan Persekutuan mesti menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau membatalkan penyenaraian di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Pengerusi Biro Mahasiswa AMK, Fahmi Zainol, berkata anak muda terpaksa berhutang demi mendapatkan pendidikan tinggi untuk masa depan lebih baik.

ptptn student“Namun, kini dibelenggu masalah sebegini, bukannya bertambah baik, tetapi semakin teruk.

“Kegagalan 1.25 juta anak muda membayar semula pinjaman PTPTN, melambangkan kegagalan program PTPTN itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Fahmi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat AMK itu berkata mahasiswa sering kali menjadi mangsa di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Pelbagai masalah menimpa nasib mahasiswa. Bermula pemotongan belanjawan pendidikan negara dua tahun berturut-turut, biasiswa pendidikan dipotong RM812 juta, 744 pelajar berjaya dapat tajaan JPA ke luar negara ditarik biasiswa mereka apabila hanya ditaja dalam negara sahaja.

“Kini, mahasiswa tidak bayar pinjaman PTPTN dikenakan tindakan CCRIS tidak boleh untuk membuat pinjaman pembelian rumah ataupun kereta,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

PTPTN digesa hentikan potongan bayaran maksimum automatik

SHAH ALAM 28 DIS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) digesa mengeluarkan arahan serta merta untuk menghentikan potongan bayaran maksimum PTPTN secara automatik bagi penjawat awam.

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, berkata beliau menerima pelbagai aduan sistem potongan cukai maksimum itu mengejutkan peminjam kerana mereka tidak dimaklumkan atau diberi sebarang amaran mengenai jumlah maksimum yang dipotong.

Katanya, ini menyebabkan ada kakitangan kerajaan yang gajinya berbaki puluh-puluh ringgit setelah dibuat potongan maksimum oleh PTPTN.

rafizi ptptn“Sudah tentu tidak ada sesiapa di negara ini yang boleh menampung sara hidup dengan baki gaji puluhan ringgit apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi.

“Wajarlah amalan ini dihentikan serta merta sementara langkah lebih adil dan praktikal dapat dikenalpasti untuk dilaksanakan,” kata Rafizi dalam kenyataan media pada 28 Disember lalu.

Beliau berkata dicadangkan supaya PTPTN mengambil contoh amalan di Australia yang mana peminjam pinjaman pendidikan hanya perlu mula membayar balik pinjaman sekiranya gajinya lebih tinggi dari paras tertentu.

Katanya, dasar itu bertujuan umemastikan peminjam yang terdiri dari graduan muda dapat memulakan hidup kerjaya tanpa terlalu dibebankan dengan hutang pendidikan.

Setelah keadaan kewangan mereka lebih stabil, mereka akan mula dikenakan bayaran ansuran yang berkadar dengan pendapatan mereka ketika itu.

“PTPTN perlu merubah kembali peraturan agar bayaran pinjaman PTPTN hanya bermula selepas peminjam memperolehi gaji sebelum cukai sebanyak RM4,000 sebulan.

Sebagai pertukaran, peminjam perlu mengemaskini butiran pekerjaan dan gaji disahkan majikan setiap enam bulan bagi memastikan mereka mula membayar secara potongan automatik mengikut jadual dipersetujui setelah gaji mereka mencecah RM4,000 sebulan,” katanya.

Rafizi berkata, peminjam yang tidak mengemaskini butiran pekerjaan dan gaji boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana mereka engkar walaupun skim bayaran yang lebih adil ditawarkan kepada mereka.

“Saya akan memfailkan satu usul di dalam sidang Parlimen Mac 2016 untuk membawa kembali isu PTPTN kerana ia menjadi beban kepada banyak keluarga muda.

“Saya juga akan mengusahakan dengan aktivis dan tokoh anak muda untuk menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan nasib peminjam PTPTN dalam masa terdekat,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

PTPTN: “Tinggal sampai RM19, nak makan apa nanti?”

SHAH ALAM 23 DIS: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mungkin menarik balik kebenaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) membuat pemotongan gaji untuk kakitangan awam, sekiranya agensi itu masih melaksanakan pemotongan maksimum.

Presidennya, Datuk Azih Muda melahirkan rasa kesal kerana ada kakitangan awam dipotong gaji mereka oleh PTPTN sehingga kepada kadar maksimum dan tindakan itu adalah tidak wajar dilakukan serta membebankan kedudukan kewangan mereka.

ptptn student“Ada slip gaji kakitangan awam yang tinggal sampai RM19, nak makan apa nanti? Gunakanlah kuasa sebaik-baiknya.

“Cuepacs juga mengingatkan, kami tidak akan teragak-agak untuk menarik balik keputusan benarkan penjawat awam potong gaji mereka untuk bayar PTPTN,” katanya dipetik BERNAMA.

Justeru, beliau menasihatkan PTPTN agar lebih bertimbang rasa terhadap kakitangan awam dalam melaksanakan pemotongan gaji agar kakitangan awam tidak terbeban dalam aspek kewangan.

Isu PTPTN, menurut Azih adalah antara empat perkara yang menekan kehidupan kakitangan awam pada masa kini.

Tiga isu lain yang perlu perhatian kerajaan ialah kenaikan kos sara hidup rakyat, mekanisma penetapan harga rumah dan pelaksanaan 252 skim perkhidmatan.

EZY

Categories
BERITA UTAMA

PTPTN bukan Along?

Oleh: Dr Azman Ibrahim

Isu jumlah potongan yang tinggi dari gaji bulanan penjawat awam oleh PTPTN mengamit saya untuk memberikan pandangan walaupun saya tak termasuk dalam senarai peminjam PTPTN tetapi aspek kebajikan adalah bidang tanggungjawab saya di dalam parti.

Mengikut kenyataan CUEPACS, ada penjawat awam yang gajinya hanya berbaki RM19 setelah PTPTN memotong gaji mereka pada kadar maksimum.
Samada ini adalah kes terpencil atau ramai lagi yang senasib, saya berpendapat tindakan ini adalah satu kezaliman sekalipun PTPTN ingin memungut kembali pinjaman yang mereka keluarkan.

Kita memahami wujudnya kategori penghutang tegar yang langsung tidak menjelaskan pinjaman mereka.

Mengikut kenyataan Pengerusi PTPTN, jumlah dana yang diperlukan untuk membiayai kira-kira 400,000 pelajar yang sedang menuntut ialah kira-kira RM4 bilion setahun.

ptptn studentSehingga tahun 2014 terdapat kira-kira 178 ribu penghutang tegar dari kira-kira 2.1 juta orang peminjam. Perlu diperincikan di mana penghutang tegar itu sekarang?

Apakah mereka berjaya mendapat pekerjaan atau menjadi penganggur terhormat selepas pengajian?

Kalau mereka memang sudah mempunyai pekerjaan, tentunya mereka tak boleh lari dari membayar balik pinjaman.

Inilah peraturan dengan kerajaan yang sedia ada. Kecuali apabila kerajaan bertukar, saya yakin polisi akan berbeza.

Falsafah PTPTN adalah untuk menyediakan dana bantuan pinjaman kepada pelajar di negara ini yang mahu melanjutkan pelajaran tetapi tidak mempunyai kewangan yang mencukupi.

Diawal penubuhannya pada tahun 1997, kerajaan telah menyediakan geran dari dana awam berjumlah RM55 bilion. Setiap tahun ada diperuntukan dari Bajet Kerajaan untuk PTPTN.

Memetik kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato Seri Ir Dr Zaini Ujang, RM10 bilion lagi peruntukan disediakan kerajaan di bawah Bajet 2016 bagi memberi pinjaman kepada bakal mahasiswa yang akan melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

anti_PTPTN_16Kalau berpandukan kepada kenyataan Pengerusi PTPTN, sejumlah RM4 bilion diperlukan setahun untuk memberikan pinjaman kepada semua pelajar samada yang berada di IPTA dan IPTS, bermakna kalau kerajaan nak bagi biasiswa, itulah dia anggaran jumlah yang diperlukan setahun. Kalau biasiswa nak diberikan kepada pelajar-pelajar IPTA sahaja, tentu jumlahnya akan jauh berkurangan.

Tetapi hakikatnya sekarang ini kerajaan memperuntukan bajet tahunan sehingga RM10 bilion setahun kepada PTPTN yang sebenarnya dah jauh melebihi dari keperluan pelajar!

Dalam masa yang sama walaupun telah mendapat dana dengan jumlah yang agak besar dari kerajaan, PTPTN juga meminjam dari institusi kewangan dengan jaminan kerajaan dan perlu membayar balik faedah pinjaman tersebut.

Bayaran balik faedah inilah yang menuntut jumlah peruntukan yang besar. Kenapa setelah PTPTN mendapat peruntukan dari kerajaan, tetapi masih mencari beban dengan meminjam dari institusi kewangan?

Saya bentangkan beberapa fakta ringkas ini untuk kita berlaku adil kepada semua pihak antara peminjam dan pemberi pinjaman. Saya tertarik dengan ungkapan PTPTN bukan along, PTPTN nak tolong!

Kalau tanya pandangan saya, tentunya saya berpendapat bahawa paling kurang, pelajar-pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi awam layak diberikan biasiswa dan bukannya pinjaman.

Kalau suatu ketika dulu ketika negara belum lagi canggih dengan pelbagai kecanggihan, pelajar-pelajar boleh dapat biasiswa.

Bila negara semakin canggih, pelajar-pelajar yang habis pengajian dengan peluang kerja yang masih samar-samar, di atas bahu mereka telah terbeban hutang berjumlah puluhan ribu ringgit.

Jumlah RM4 bilion yang diperlukan setahun untuk memberikan biasiswa, apakah ia suatu angka yang besar demi pendidikan anak bangsa? Banyak lagi pembaziran yang berlaku telah menghabiskan berbilion-bilion ringgit.

PTPTN nak pungut balik hutang mereka, dalam masa yang sama PTPTN perlu sedar siapa mereka. Mereka bukannya bertungkus-lumus cari duit sendiri untuk nak bagi kepada pelajar.

Duit yang mereka salurkan kepada pelajar-pelajar adalah dari dana awam. Mereka dah tegaskan bahawa mereka bukan along tapi kalau dipotongnya gaji penjawat awam sehingga berbaki hanya RM19, itu dah lebih teruk dari along! Nak makan apa dengan RM19?

Selamat membayar balik pinjaman PTPTN wahai para peminjam sekelian. Kalau tahu dan sedar bagaimana polisi PTPTN telah menindas dan menekan para peminjam, anda sepatutnya tahu apa tindakan yang perlu dibuat. Tak perlu mengeluh dan merintih. Kuasa undi ada di tangan anda!

*Penulis ialah Pengerusi Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu.