Categories
NASIONAL

PTPTN terima RM558.9 juta bayaran balik pinjaman setakat Mac 2019

 

KUALA LUMPUR, 29 Mei: Jumlah keseluruhan bayaran balik pinjaman yang diperoleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari Januari hingga Mac tahun ini adalah sebanyak RM558.9 juta.

Pengurus Besar Kanan Jabatan Perhubungan Awam dan Pengurusan Majlis PTPTN, Abdul Ghaffar Yusof berkata jumlah bayaran balik sepatutnya diterima adalah RM300 juta sebulan, namun jumlah purata diperoleh dalam lingkungan RM150 juta sehingga RM180 juta.

“Status pembayaran setakat ini masih di bawah tahap sebenar, sepatutnya tahun lepas, jumlah kutipan adalah RM4 bilion setahun kerana kita perlu beri pinjaman kepada pelajar baharu dan sedia ada.

“Peminjam yang membuat pemotongan gaji tiada masalah tetapi masih ada peminjam belum membuat pembayaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Bebas Hutang PTPTN 2018/2019 di sini hari ini.

Terdahulu, Abdul Ghaffar berkata sehingga April, jumlah yang tertunggak ialah sebanyak RM6.5 bilion yang melibatkan 350,000 peminjam dan ini menimbulkan masalah kekurangan dana saban tahun.

Beliau berkata sehingga April PTPTN telah meluluskan kepada lebih tiga juta peminjam dengan jumlah pinjaman RM56 billion.

“Jumlah ini meningkat saban tahun dan PTPTN memerlukan jumlah dana yang besar yang mencecah RM4 bilion setahun bagi menentukan ia dapat terus memberi pinjaman kepada pelajar pada masa depan.

“Bagaimanapun, jumlah pembayaran balik cuma mencecah 58 peratus daripada jumlah pinjaman yang sepatutnya telah dikutip,” tambah beliau.

Sementara itu pada majlis yang sama, bekas pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Looi Pek Chuan (she) memenangi Pertandingan Bebas Hutang PTPTN anjuran YouthsToday.com, dengan hadiah berupa penyelesaian pinjaman daripada agensi berkenaan berjumlah RM33,709.19.

Looi berasal dari Pulau Pangkor, Perak, telah membuat 10,974 transaksi melalui aplikasi GoPay untuk pertandingan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Youthstoday.com, Jazz Tan berkata pertandingan itu terbuka kepada peminjam PTPTN yang membuat transaksi tertinggi dari segi pembayaran pelbagai bil, pascabayar dan bayaran utiliti bulanan menerusi aplikasi GoPay. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rakyat diajak curah idea, tambah baik PTPTN

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Orang ramai diajak menyumbang pendapat masing-masing secara dalam talian menerusi saluran khas ‘Kertas Konsultasi Rakyat’ bagi membantu kerajaan mencapai keputusan terbaik dalam menggubal dasar berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pengerusi Panel Penasihat Bebas Konsultasi Rakyat PTPTN, Sheikh Shahruddin Sheikh Salim berkata dalam usaha memperkasa aspirasi pendidikan negara, PTPTN perlu mengatasi cabaran utamanya melibatkan kekangan kewangan sedia ada disebabkan tahap bayaran balik pinjaman yang masih rendah.

“Walaupun peminjam sedia ada mungkin berasa mereka kumpulan lebih terkesan dengan dasar pembayaran balik PTPTN, terdapat kumpulan masyarakat lain, mungkin tidak menyedari mereka juga memegang kepentingan dalam keputusan yang harus dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saluran khas ‘Kertas Konsultasi Rakyat’ berkenaan mengandungi maklumat penting PTPTN, 10 idea penambahbaikan PTPTN, selain ruangan orang ramai memberi maklum balas, boleh diakses melalui portal rasmi PTPTN.

Sheikh Shahruddin berkata hutang agensi itu kini mencecah RM40 bilion, sedangkan pelajar yang memerlukan pinjaman dijangka terus meningkat daripada 180,000 kepada 250,000 orang pada 2040, selaras unjuran peningkatan pelajar dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi.

“Berdasarkan kedudukan kewangan sedia ada, PTPTN tidak mampu menyediakan pinjaman secara mampan kepada mereka yang bergantung kepada PTPTN untuk meneruskan pendidikan tinggi pada masa hadapan. Ini memberi kesan terhadap prospek generasi masa depan,” katanya.

Terdahulu, Panel Penasihat Bebas Konsultasi Rakyat itu menganjurkan sesi ‘townhall’ konsultasi rakyat pertama berkaitan isu PTPTN di Universiti Malaya, manakala empat lagi sesi sama akan diadakan di Universiti Sains Malaysia pada 25 Mei; Universiti Malaysia Terengganu (27 Mei); Universiti Malaysia Sabah (29 Mei); dan Universiti Malaysia Sarawak (31 Mei).

Berikut 10 idea dicadangkan dalam Kertas Konsultasi Rakyat yang boleh diakses melalui portal rasmi PTPTN:

1) Penangguhan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan RM2,000 ke bawah.

2) Menangguhkan pembayaran balik bagi peminjam berpendapatan bawah RM4,000.

3) Menggantikan sistem bayaran balik sedia ada kepada skim bayaran balik berasaskan pendapatan untuk peminjam baharu.

4) Potongan gaji mandatori.

5) Melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya.

6) Menguatkuasakan lebih tegas terhadap peminjam culas yang tidak membayar balik dalam tempoh lama.

7) Melaksanakan sistem penjamin.

8) Pemansuhan pengecualian bayaran balik graduan kelas pertama atau digantikan dengan pengecualian separa.

9) Mengurangkan jumlah peminjam, secara beransur-ansur menamatkan pinjaman kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan kursus berprestasi rendah.

10) Menaikkan caj ujrah satu peratus kepada peminjam baharu. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

PTPTN: RM56 bilion bantu lebih 3 juta pelajar sehingga Februari

JOHOR BAHRU, 7 APRIL: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah memperuntukkan RM56 bilion sehingga Februari lalu bagi membantu lebih tiga juta pelajar di negara ini untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pinjaman pendidikan itu turut meliputi 377,377 pelajar di Johor dengan pembiayaan RM6.4 bilion.

“Kerajaan sentiasa peka terhadap pendidikan rakyat dan akan terus menjadikan PTPTN sebagai pemberi biaya terunggul serta dapat memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Jelajah Solo Gen Y: Nilai-Nilai Murni Rakyat Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Damansara Aliff, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar & Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Perlis (YKPs) Affendi Rajini Khan dan Pengetua SMK Taman Damansara Aliff Adib Adham Daud.

Menurut Wan Saiful, pendidikan adalah aset utama dalam pelaksanaan pembangunan negara dan dengan PTPTN, semakin ramai rakyat negara ini dapat menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi.

Katanya melalui pinjaman PTPTN, seramai 200,000 pelajar setiap tahun berpeluang melanjutkan pelajaran mereka.

Mengenai program Jelajah Solo Gen Y: Nilai-Nilai Murni Rakyat Malaysia anjuran YKPs dengan kerjasama PTPTN mulai 4 30 April itu, beliau berkata ia bertujuan meningkatkan tahap kesedaran GenY terhadap era globalisasi dan memupuk semangat kenegaraan menerusi penerapan nilai-nilai murni cintakan negara.

“Beberapa elemen diberikan penekanan antaranya semangat cintakan negara, nilai-nilai murni dan buli kerana elemen ini kian pudar di kalangan generasi muda dek kerana teknologi yang berkembang pesat.

“Generasi Y merupakan generasi harapan negara yang amat bernilai bagi memastikan Malaysia terus cemerlang di mata dunia dan saya yakin program seumpama ini mampu meningkatkan jilai murni, sekali gus mengurangkan gejala sosial di negara ini,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pelaksanaan kaedah bayaran baharu PTPTN ditangguh

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini mengumumkan penangguhan pelaksanaan kaedah bayaran balik baharu bagi pinjaman pendidikan menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dalam catatan di laman Facebook, beliau berkata, mekanisme pembayaran baharu PTPTN akan ditangguhkan dahulu selepas mengambil kira keperluan untuk mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh bagi mendengar pandangan dan saranan mereka.

 PTPTN pada Rabu mengumumkan untuk melaksanakan Potongan Gaji Berjadual (PGB) bermula Januari depan untuk peminjam yang gajinya mencecah RM2,000 sebulan.
Berdasarkan PGB, peminjam berpendapatan RM2,000-RM2,499.99 perlu membayar dua peratus iaitu RM40 hingga RM49.99 dan bagi yang berpendapatan RM2,500-RM2,999.99 sebanyak tiga peratus (RM75-RM89.99).

Peminjam berpendapatan RM3,000-RM3,999.99 pula dikenakan lima peratus (RM150-RM199.99); RM4,000-RM5,999.99 (lapan peratus iaitu RM320-RM479.99); RM6,000-RM7,999.99 (10 peratus iaitu RM600-RM799.99) dan bagi yang berpendapatan RM8,000 ke atas perlu membayar 15 peratus iaitu RM1,200 dan ke atas.

Pengumuman PTPTN itu mendapat pelbagai reaksi pelbagai pihak termasuk ahli politik yang mahu kaedah itu dipertimbangkan semula supaya tidak membebankan peminjam.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

PTPTN hargai kerajaan laksana penambahbaikan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menghargai keputusan kerajaan bagi memenuhi permohonannya dalam usaha penambahbaikan dan mengurangkan beban peminjam.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika pembentangan Belanjawan 2019 pada sidang Dewan Rakyat, semalam, berkaitan PTPTN memberi implikasi positif terhadap perbadanan itu.

“Semua ini adalah sebahagian daripada agenda reformasi sedang kami usahakan di PTPTN, terutama dalam rangka memastikan bebanan hutang amat tinggi diwarisi daripada kerajaan terdahulu dapat diselesaikan.

“Penjelasan lebih terperinci mengenai perkara ini akan saya lakukan dalam sesi pertemuan dengan pemegang taruh di seluruh negara dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan mengembalikan peranan PTPTN sebagai sebuah tabung pendidikan bersesuaian dengan niat asal penubuhannya dan bukan lagi bagi tujuan politik hingga dikenali sebagai pemberi pinjaman serta berlaku penyelewengan.

“Kita juga akan mendidik masyarakat dengan nilai murni pernah dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu rajin bekerja (hardworking), amanah (honesty) dan malu melakukan kesalahan (honour).

“Semua ini adalah nilai diperlukan untuk memastikan rakyat akan bertanggungjawab dalam melaksanakan peranan dan kewajipan dalam segala urusan termasuk berkaitan PTPTN,” katanya.

Beberapa langkah pelaksanaan diambil kerajaan dalam Belanjawan 2019 adalah pembayaran balik melalui potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam, bergantung kepada paras pendapatannya di mana ia hanya terpakai kepada peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Selain itu, ia termasuk pelepasan cukai kepada syarikat membantu menyelesaikan baki pinjaman pekerja bagi tahun berakhir 2019, layanan pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,00.

Potongan pinjaman kepada pelajar daripada isi rumah B40 mendapat keputusan kelas pertama dan menghapus kira baki hutang kepada peminjam berusia 60 tahun dan ke atas serta berpendapatan kurang RM4,000 yang memanfaatkan lebih kurang 350 peminjam dengan kos RM4.2 juta.

Categories
NASIONAL

PTPTN: Nie Ching nafi peminjam gagal bayar disenarai bankrap

KUALA LUMPUR 27 JUL: Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching kecewa kenyataannya mengenai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diputar belit segelintir media dan netizen media sosial.

Teo berkata kenyataannya di Dewan Rakyat awal minggu ini tidak bermaksud kerajaan akan melaksanakan hukuman meletakkan peminjam yang gagal membayar hutang PTPTN dalam status bankrap.

“Saya sangat kecewa kerana maksud saya sebenarnya membandingkannya dengan sistem perbankan swasta, jika penghutang gagal membayar hutang mereka akan disenarai bankrap, tetapi tidak adil untuk kita lakukan perkara sama pada bekas pelajar yang gagal bayar PTPTN, itu maksud saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pertandingan Koakedemik Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini semalam.

Sejak beberapa hari lalu melalui perkongsian di media sosial tersebar kenyataan daripada Teo bahawa kerajaan akan membankrapkan peminjam yang gagal membayar hutang PTPTN.

Dalam pada itu, pada majlis berkenaan Sabah membuktikan keunggulan apabila 3 sekolah dari negeri itu menjuarai 3 kategori Pertandingan Koakademik Bahasa Melayu peringkat Kebangsaan DBP-KPM 2018.

Olevia Demius dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenom, dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan deklamasi puisi kategori sajak, manakala Mohammad Akmal Faramzyzam Shah Abdullah dari SMK Terusan Lahad Datu meraih juara bagi kategori sahibba sekolah menengah.

Nur Khairina Man Siew Kiong dari SJKC Yuk Choi, Lahad Datu pula meraih juara bagi kategori sahibba (sekolah rendah).

16 pasukan dari sekolah di seluruh Malaysia menyertai pertandingan itu yang bertujuan meningkatkan keterampilan penguasaan bahasa Melayu dalam konteks komunikasi dan tulisan dalam kalangan pelajar sekolah bagi memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Parlimen: Tindakan senarai hitam peminjam PTPTN sebelum ini tidak adil

KUALA LUMPUR 23 JUL: Tindakan kerajaan terdahulu menyenarai hitam peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membuat pembayaran balik dianggap tidak adil, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, disebabkan itu kerajaan Pakatan Harapan, semasa Pilihan Raya Umum ke-14, menetapkan dalam janji manifesto untuk mengeluarkan peminjam terbabit daripada senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

“Pertamanya, kenapa kita masuk janji (untuk keluarkan peminjam PTPTN daripada senarai hitam) ini dalam manifesto PH, kerana freedom of movement adalah hak asasi manusia.

“Kedua, kalau lihat seseorang yang ada hutang dengan bank, nama mereka tidak akan terus masuk senarai hitam Jabatan Imigresen apabila mereka henti buat bayaran atau pembayaran tak konsisten. Sebaliknya, nama mereka hanya akan disenarai hitam apabila mereka jadi seorang bankrap,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Dr. Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) yang ingin tahu mengapa keizinan peminjam PTPTN untuk bebas ke luar negara itu menjadi kriteria penting kepada kerajaan Pakatan Harapan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kemas kini maklumat pendapatan tangguh bayar pinjaman PTPTN

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 JULAI: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih mempunyai baki hutang disaran mengemas kini maklumat pendapatan mereka.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, ia boleh dilakukan di ruangan ‘Pengemaskinian Maklumat Pendapatan’, bermula hari ini hingga selewat-lewatnya 25 Julai ini, secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN, www.ptptn.gov.my.

Katanya, peminjam PTPTN yang gagal melaksanakan proses itu tidak dipertimbangkan mendapat keistimewaan penangguhan bayaran balik pinjaman.

“Peminjam perlu mengemukakan salinan pendapatan dan mengemas kini maklumat penting lain, termasuk perhubungan terkini seperti alamat, nombor telefon serta alamat e-mel juga maklumat pekerjaan.

“Peminjam diingat untuk mengemas kini maklumat pendapatan sahih dan benar disertakan dokumen sokongan apabila diminta bagi tujuan audit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Utama, Menara PTPTN.

Wan Saiful berkata, PTPTN komited melaksanakan manifesto Kerajaan bagi meringankan beban hidup ditanggung anak muda dengan mengeluarkan nama peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen dan penangguhan bayaran balik pinjaman bagi yang berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan peminjam yang mempunyai kemampuan membuat bayaran balik pinjaman untuk terus membuat bayaran walaupun dalam jumlah kecil.

Terdahulu, PTPTN mengeluarkan nama 429,945 peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Categories
NASIONAL

Selesai hutang PTPTN tanggungjawab moral

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 JUN: Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu dilunaskan sebagai tanggungjawab moral.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, walaupun kerajaan akan mengotakan janji dan manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun peminjam digalakkan membayar balik pinjaman yang dilakukan.

Katanya, kerajaan membuat janji dan pihaknya akan melaksanakan janji berkenaan serta menjadi tanggungjawab moral setiap rakyat Malaysia untuk membayarnya semula.

“Ia membatasi kepercayaan agama, kita percaya apbila kita ambil pinjaman, kita kena bayar balik, itu tanggungjawab moral dan perkara asas.

“Kita menggalakkan peminjam membayar semula berdasarkan tanggungjawab moral untuk sesiapa yang meminjam tak kira PTPTN, hutang bank, pinjam dengan adik-beradik, ayah dan rakan.

“Bagi orang Islam tahu kalau tak bayar hutang, kita akan dituntut di akhirat nanti,” katanya dipetik Sinar Harian pada sidang media, di Kementerian Pendidikan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menafikan pemilihan Wan Saiful Wan Jan sebagai pengerusi PTPTN baharu adalah lantikan politik.

Sebaliknya, Maszlee berkata, ia adalah lantikan tidak terduga, di sebalik negara terpaksa membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan berdepan kewangan tenat.

“Pelantikan Wan Saiful sebenarnya dalam keadaan itu selain untuk menyelamatkan keadaan dalam masa yang begitu terhad,” katanya.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Manifesto Pemuda BN tak selesai kemelut PTPTN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 APR : Manifesto Pemuda Umno Barisan Nasional gagal menyelesaikan kemelut yang dihadapi peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua Pemuda Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, manifesto berkenaan hanya tertakluk ketika pilihan raya dan tidak diaplikasi secara menyeluruh.

“Ini terbukti apabila dalam manifesto Pemuda Barisan Nasional yang baru dilancarkan hanya memberi jaminan kepada lebih sejuta pelajar universiti yang akan menerima bantuan PTPTN sahaja.

“Sedangkan, jalan penyelesaian untuk lepasan graduan mengurangkan beban untuk membayar semula pinjaman tidak disentuh.

“Apa yang Pemuda HARAPAN tawarkan kepada peminjam ini adalah dengan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam PTPTN selain daripada menangguhkan pembayaran balik ke atas peminjam yang bergaji RM4000 ke bawah sebulan,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, Nik Nazmi mendedahkan, seramai 447,890 daripada 790,186 rakyat Malaysia yang disenaraihitamkan imigresen adalah peminjam PTPTN bagi tempoh sehingga November 2017.

“Jumlah ini agak membimbangkan kerana separuh daripada yang disenaraihitamkan adalah peminjam PTPTN,” katanya.

Pada 10 April lalu, Pemuda Barisan Nasional dalam manifestornya bertekad untuk melaksanakan lapan jaminan manifesto parti itu.

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin berkata, ia kononnya bagi memastikan kelangsungan kebajikan golongan muda terpelihara di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

Manifesto Khas BN mengangkat tema ‘Jaminan Orang Muda : Bersama, Kita Hebatkan Orang Muda’.

 

Categories
NASIONAL

PTPTN, gaji rendah faktor belia terjebak hutang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 OKT: Kadar upah rendah dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membiayai pengajian antara faktor mendorong generasi muda, di negara ini terjebak dengan hutang.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, keadaan itu turut mendorong perkembangan budaya berhutang dalam kalangan generasi muda.

“Sekarang ini nak beli apa sahaja generasi muda terpaksa berhutang apabila gaji yang diterima tidak selaras dengan kenaikan harga barangan atau kos sara hidup.

“Keadaan ini menjelaskan apa diumumkan BNM tahun lalu kenapa paras hutang isi rumah negara setinggi 89.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu antara yang tertinggi di Asia,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Katanya, selain pinjaman PTPTN, hutang kad kredit turut merupakan antara yang tertinggi, di negara ini.

Beliau bagaimanapun tidak menolak amalan berbelanja melebihi kemampuan turut memberi kesan terhadap peningkatan hutang dalam kalangan sesetengah generasi muda.

“Pertumbuhan ekonomi semasa negara yang tidak memberangsangkan sejak beberapa tahun ini turut menyebabkan banyak syarikat terpaska menghentikan operasinya, sekali gus memberi kesan besar kepada golongan pekerja yang berhutang,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

PTPTN: Golongan miskin mangsa utama

OLEH NORHAYATI UMOR

Akta Pendidikan serta Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) diperkenalkan secara rasminya kepada umum pada 1996.

Setahun kemudian, PTPTN ditubuhkan. Tujuan penubuhannya adalah untuk memberikan pelajar dana bagi melanjutkan pengajian yang membolehkan IPTS tumbuh seperti cendawan.

Pada 2007, jumlah peruntukan PTPTN yang diagihkan kepada IPTS mengatasi IPTA buat pertama kali dan trend itu kekal, hingga hari ini.

Pada 2015, RM2.5 bilion diagihkan kepada IPTS berbanding RM1.7 bilion untuk IPTA.

mahasiswaPada masa sama, kerajaan memotong perbelanjaan untuk IPTA dengan drastik. Sebagai contoh, tahun 2016, apabila peruntukan IPTA dipotong RM1.4 bilion iaitu 27 peratus berbanding tahun sebelumnya dan begitu juga dengan biasiswa serta bantuan pelajaran dipotong RM812 juta.

Keadaan itu menyebabkan pelajar miskin yang bergantung kepada bantuan ini menjadi mangsa utama.

Oleh kerana peruntukan dipotong, tempat pelajar yang ditawarkan di IPTA menjadi lebih sedikit, sekaligus mereka mendapati jalan yang ada hanya di IPTS.

Bagaimanapun, ketika ini, ramai graduan berdepan dengan pengangguran, gaji rendah serta kos hidup tinggi, maka kadar pembayaran semula PTPTN kekal rendah.

Bermula 2015, kadar pengangguran bagi mereka dengan pendidikan tinggi adalah 3.8 peratus berbanding 1.8 peratus bagi golongan yang mempunyai pendidikan rendah atau tiada pendidikan formal.

Antara 2011 hingga 2015, kerugian terkumpul PTPTN mencapai RM6.5 bilion. Pada 2015, hutang PTPTN yang tidak terbayar bagi tahun itu mencapai RM8.49 bilion. Kadar pembayaran semula sekadar 46.6 peratus.

Bagi mengatasi masalah ini, PTPTN menggunakan beberapa langkah termasuk menyenaraikan peminjam di bawah CCRIS, sekali gus menjejaskan mereka yang tidak membuat bayaran daripada membuat pinjaman rumah atau kereta, menyenaraihitamkan pasport mereka yang gagal membayar, menghentikan pemberian pinjaman penuh, dan menggalakkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membolehkan graduan membuat bayaran.

Sehingga 31 Januari lalu, sebanyak 586,863 peminjam PTPTN disenarai hitamkan oleh Jabatan Imigresen membabitkan jumlah pinjaman bernilai RM11.6 bilion.

Pendidikan percuma dan syarat 

Sebelum ini, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berpendapat, pendidikan percuma bukan bermakna rakyat tidak perlu mengeluarkan sebarang kos untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Katanya, kos itu merujuk kepada suatu bayaran minima yang lebih munasabah yang terpaksa dikenakan terhadap pelajar seperti berlaku di Jerman.

PTPTN“Saya agak bersetuju dengan pendidikan percuma di peringkat universiti diberikan kepada rakyat tetapi itu tidak menunjukkan bahawa mereka tidak akan keluar satu sen pun.

Dr Maszlee turut melontarkan pendapat bahawa pemberian biasiswa kepada penerima yang layak selaras dengan konsep ekonomi pasaran bebas.

“Bagi yang berpendapatan rendah, mereka berhak dapat tetapi aya tak nampak perlu beri biasiswa kepada mereka bagi anak datuk, anak tan sri, anak pengarah GLC dan syarikat besar,” katanya.

Perniagaan dan politik 

Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Muhammad Faizal Abdul Rahman pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan ketika ini lebih berorientasikan perniagaan (business government) bukannya berorientasikan rakyat (social government).

Beliau berkata, sekiranya kerajaan membuat pengorbanan moral, mereka harus berpuas hati mendapat keuntungan daripada segi moral dan jika mereka bercakap tentang ganjaran wang ringgit, maka tidak boleh mendakwa mereka sudah melaksanakan tanggungjawab sosial.

“PTPTN adalah tanggungjawab sosial kerajaan yang berterusan bukannya sebagai badan perniagaan bagi mendapatkan keuntungan.

“Tanggungjawab sosial itu boleh dikatakan pengorbanan kerajaan selagi ia tidak dianggap sebagai perniagaan. Tetapi amalan sekarang nampaknya bukan pengorbanan dan bukan pula perniagaaan,” katanya.

MAHASISWAPada 2012, kecoh apabila PTPTN bertindak menyekat dan membekukan pembiayaan pendidikan (dana kewangan) kepada pelajar Universiti Selangor (UNISEL). Pengakuan pembekuan itu turut diakui kebenarannya oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said.

Dalam perkembangan sama, penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) turut berdepan masalah pembekuan yang sama.

Ekoran timbulnya isu itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) membantah dan mengecam tindakan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) juga PTPTN kerana perbuatan menyekat menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab Kerajaan Malaysia serta bercanggah dengan moto ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Ketidaksetujuan dalam isu pembekuan PTPTN juga turut disuarakan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang menegaskan, penuntut tidak seharusnya menjadi mangsa dalam perbalahan antara PTPTN dan Kerajaan Selangor.

Sebagai reaksi daripada tindakan pembekuan itu, suatu pendekatan drastik jangka pendek diumumkan Kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika itu yang bersetuju membantu pelajar baru UNISEL yang dalam kesukaran meneruskan pengajian.

Aset hartanah UNISEL seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM diapungkan untuk mendapatkan wang tunai. Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil daripada usaha itu.

Peluang pekerjaan kuncup 

Mengikut statistik dikeluarkan oleh Laporan Bank Negara 2016, kadar pengangguran belia yang mempunyai pendidikan tinggi adalah 15.3 peratus berbanding belia tanpa pendidikan tinggi iaitu 9.8 peratus, pada tahun 2015.

Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasir berkata, ramai graduan menganggur untuk tempoh masa panjang.

Katanya, peluang pekerjaan yang semakin menguncup disebabkan keadaan ekonomi semasa menyebabkan syarikat dan organisasi mengurangkan pengambilan pekerjaan.

“Situasi semasa amat memeritkan bagi graduan dan juga pelajar tahun akhir pengajian tinggi.

“Boleh dikatakan, ratusan ‘resume’ dan e-mel permohonan pekerjaan dihantar bagi setiap iklan peluang pekerjaan dikeluarkan majikan,” katanya.

Beliau berkata, jika fenomena itu dibiarkan berlaku tanpa penyelesaian, maka dalam tempoh lima tahun akan datang bakal menyaksikan begitu ramai lambakan graduan terus menganggur tanpa diberi kesempatan untuk menimba pengalaman di alam kerjaya mereka.

Apakah langkah drastik kerajaan lakukan untuk mengatasi hal itu? Adakah PTPTN akan terus bertindak kejam kepada pelajar dalam hal ini?