Categories
NASIONAL

CCTV, Pasukan Ronda Turunkan Indeks Jenayah Pulau Pinang

SHAH ALAM 9 MEI : Usaha Kerajaan Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memasang 58 Kamera Litar Tertutup (CCTV) di beberapa lokasi berjaya menurunkan indeks jenayah di Pulau Pinang ke tahap yang paling rendah di Malaysia.

Kejayaan ini juga menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar raya yang selamat didiami.

“Kejayaan ini adalah berkat usaha dan kerjasama Kerajaan Negeri dengan pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kerana kesemua CCTV dipasang di lokasi yang dikenalpasti oleh pihak polis sebagai kawasan kerap berlaku jenayah.

“Kerajaan Negeri juga dalam perancangan untuk meletakkan 129 lagi unit CCTV tambahan di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti oleh pihak polis di seluruh kawasan di bahagian pulau,” jelas Guan Eng.

Beliau turut memberitahu, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sedang menguruskan pemasangan 18 buah CCTV tambahan melalui Private Finance Initiative.

Selain itu, Guan Eng berkata penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) oleh Kerajaan Negeri turut membantu pihak berkuasa dalam mencegah jenayah dan menjaga keselamatan awam.

“Usaha ini bermula pada tahun 2011 dan sehingga April 2012, sejumlah 114 PPS telah ditubuhkan.

“Kerajaan Negeri akan memastikan sasaran penubuhan enam PPS bagi setiap kawasan DUN tercapai menjelang akhir tahun 2012,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri melalui PBT turut mengambil inisiatif dengan meningkatkan voltan lampu daripada 70 kilowatt kepada 150 kilowatt.

“Usaha ini bertujuan untuk menerangkan jalan-jalan raya di Pulau Pinang kerana keadaan yang gelap juga mampu mengundang jenayah,” akhiri beliau sambil menjelaskan penggantian tersebut akan dijalankan secara berfasa dan keutamaan diberi kepada lampu yang rosak.

Categories
NASIONAL

P.Pinang peruntuk 3.5 Ekar Tanah Bina Mahkamah Syariah

SHAH ALAM 6 APR : Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan tapak projek pembinaan Kompleks Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Negeri di Jalan Batu Gantung/ Jalan Scotland Daerah Timur Laut dan dijangka siap pada tahun 2014 nanti.

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, Kerajaan Negeri juga memberikan tanah seluas 3.5 ekar yang dianggarkan bernilai RM73 juta untuk tujuan pembinaan tersebut.

“Sewaktu dinilai pada 2010, tanah tersebut berharga RM 240 kaki persegi menjadikannya bernilai RM 36.5 juta pada masa itu.

“Jadi kita anggarkan kini ia bernilai sekali ganda daripada jumlah nilai semasa dua tahun lepas,” jelas Guan Eng sambil menambah tapak tanah diserahkan secara rasmi pada 5 Januari lalu.

Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan perjalanan dan perkembangan projek berkenaan yang memperlihatkan komitmen konsisten daripada Kerajaan Pakatan.

“Di kesempatan ini juga saya mengucapkan terima kasih kepada YDP Pulau Pinang, (Tuan Yang Terutama) Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Abbas, Datuk Mansor Othman (Timbalan Ketua Menteri 1) dan YB Malik Abu Kassim (Exco Agama).

“Ini kerana usaha mereka berjaya mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM 36 juta bagi membiayai kos pembinaan kompleks tersebut,” sambung Guan Eng.

Kompleks berkenaan mengandungi tujuh tingkat dan meliputi antaranya kemudahan seperti seunit Dewan Bicara Mahkamah Rendah, dua unit Dewan Bicara Mahkamah Tinggi, Kamar Hakim, Bilik Chamber, Bilik Saksi, Bilik Tahanan, Balai Polis dan Perpustakaan.

Categories
NASIONAL

Fitnah Perkauman: Guan Eng Akan Saman Umno P. Pinang

GEORGE TOWN 4 APRIL : Perjuangan Umno-Pulau Pinang terhadap tanah masjid semata-mata tanpa mempedulikan tanah bukan Islam dalam projek Bayan Mutiara disifatkan sebagai wajah sebenar Umno sebagai sebuah parti rasis.

Umno-Pulau Pinang juga adalah agen yang bertanggungjawab menyalakan api kebencian agama antara kaum di negeri ini dengan menyebarkan fitnah kononnya Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menjual tanah masjid dan sekolah seluasĀ  102.6 ekar melalui tender terbuka kepada Ivory Property Group Bhd (Ivory).

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung kerja jahat Umno memburuk-burukan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang.

“BN tidak membuat apa-apa pemecahan sempadan ke atas geran tanah tersebut semasa mereka berkuasa.

“Sementara Ivory pula hanya akan membuat pecah sempadan selepas pelan baru diserahkan kepada MPPP dan Pejabat Tanah untuk kelulusan.

“Apa yang peliknya, pelan baru dan pemecahan sempadan geran tanah tersebut belum lagi diserahkan oleh Ivory kepada pihak-pihak berkuasa, sedangkan UMNO boleh mendakwa bahawa tanah masjid atau sekolah telah dijual atau dilenyapkan?,” soal Guan Eng.

Mengulas lanjut, Guan Eng menambah, mengikut logik kefahaman UMNO, jika tanah masjid telah dilenyapkan akibat penjualan tanah kepada Ivory, maka tanah untuk tempat-tempat beribadat bukan Islam juga telah dilenyapkan.

Jika sedemikian rupa kefahaman pihak Umno, Guan Eng mempersoalkan mengapa parti perkauman itu hanya menggembar-gemburkan kehilangan tanah masjid sahaja.

“UMNO harus berasa malu jika mereka betul-betul tidak tahu mengenai syarat-syarat pihak berkuasa tempatan di mana setiap projek diwajibkan untuk memperuntukkan tanah untuk kemudahan-kemudahan awam seperti masjid, jalan, taman, perumahan kos sederhana rendah, sekolah dan tempat-tempat beribadat bukan Islam.

“Adakah rakyat bukan Islam tidak penting untuk UMNO atau tidak berhak kepada tanah untuk tempat beribadat mereka? Kerajaan Negeri PR akan menumpukan perhatian kepada kawasan-kawasan UMNO, terutamanya kawasan parlimen Nibong Tebal, untuk memaklumkan pengundi bukan Islam bahawa UMNO tidak ragu-ragu untuk membiarkan kehilangan tanah bukan Islam.”jelas Guan Eng dalam satu kenyataan medianya kepada TVSelangor.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng berkata pihaknya akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang,Shaik Hussein Mydin Akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian atas fitnah-fitnah sebelum ini.’

Sebelum itu, Shaik Hussein dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain telah menyerang Guan Eng dengan fitnah bahawa kerajaan negeri tidak menjual tanah 102.6 ekar melalui tender terbuka.

Shaik Hussein bagaimana pun tegar meneruskan fitnah itu walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pihak pemaju telah kemukakan bukti bahawa tanah tersebuat telah dijual secara tender terbuka.

Lidah rasmi mereka itu juga tidak melaporkan penafian Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan juga Timbalan Pengerusi Ivor, Datuk Seri Nazir Ariff berhubung isu ini.

“Kerana keengganan mereka, saya tidak mempunyai pilihan lain melainkan untuk menyaman kedua-dua surat khabar itu serta Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang atas fitnah mereka bahawa saya telah melenyapkan tanah masjid.

“Saya telah cuba untuk sabar apabila UMNO menggunakan retorik perkauman dan agama untuk melemahkan kepimpinan saya dan juga Kerajaan Negeri PR. Tetapi, permainan yang bahaya ini sudah melintasi had dengan fitnah bahawa saya telah menjual tanah masjid,”jelasnya.

Categories
NASIONAL

Budaya Rasuah Punca Najib Takut Isytihar Harta Kabinet

SHAH ALAM, 1 MAC: Budaya mengumpulkan harta melalui rasuah, kronisme dan salahguna kuasa menjadi punca utama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bimbang untuk melaksanakan pengisytiharan harta anggota pentadbiran pusat khususnya Menteri-Menteri Kabinet kepada awam.

Demikian menurut Timbalan Ketua Menteri 2, Pulau Pinang, Prof Dr P.Ramasamy ketika dihubungi TVS sebentar tadi.

“Mengapa BN masih tak isytihar harta dari dulu lagi sedangkan kerajaan Pulau Pinang yang ada sekarang baru empat tahun tadbir negeri ini dah melaksanakan pengisytiharan harta Ketua Menteri, timbalannya dan exco-exco lain.

“Mungkin ada banyak benda yang mahu dirahsiakan oleh PM hinggakan bimbang untuk mengisytiharkan harta dan pendapatan dia dan menteri-menteri kabinet lain kepada awam?

“Bila harta-harta menteri kabinet didedahkan sudah tentu akan menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan masyarakat umum apabila ada menteri yang didapati memiliki harta dan pendapatan yang melampau.

“Tentu sumber kekayaan itu dipersoalkan rakyat, adakah datangnya dari sumber rasuah, kronisme atau salahguna kuasa,” beritahu beliau.

Bagaimanapun menurut Ramasamy, langkah mengisytiharkan harta yang disebut oleh Najib baru-baru ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.

“Kita minta PM berikan maklumat harta serta pendapatan dengan dimulakan oleh menteri-menteri kabinet termasuk beliau dan lepas itu diikuti oleh semua ahli-ahli parlimen.

“Ia memang tak mustahil untuk dilaksanakan, tetapi soalnya samada PM mahu laksanakan atau tidak dan jangan cuma cakap sahaja.

“Kuasa ada di tangan PM, jadi terserah pada dia samada betul-betul nak laksanakan atau tak,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan bahawa pada masa ini menteri-menteri kabinet hanya diarahkan membuat pengisytiharan harta mereka kepada Perdana Menteri dan tidak kepada umum.

Pada masa ini dokumen pengisytiharan harta menteri-menteri berada di dalam simpanan Najib di Pejabat Perdana Memteri itu.

Arahan tersebut pertama kali dilaksanakan ketika era mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui pentadbiran negara ini.

Mengulas isu yang sama, Ramasamy tidak menolak kemungkinan isu pengistiharan harta tersebut boleh dijadikan sebagi ugutan terhadap mana-mana anggota kabinet tidak sehaluan dengan Perdana Menteri sebagimana dilakukan ketika era Dr Mahathir.

“Boleh jadi juga, sebab bila rahsia seseorang ada di tangan kita, ia boleh dijadikan senjata supaya orang ikut cakap kita,” ujar Ramasamy lagi.

Dalam perkembangan yang sama baru-baru ini Menteri DiJabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz memberikan reaksi bahawa tindakan pengistiharan harta tersebut boleh memberi risiko keselamatan kepada jamaah menteri.

Reaksi yang sama juga diberikan oleh Dr Mathathir.

Categories
NASIONAL

Guan Eng: Kemana Hilang RM1.1 Juta Pada Umno P.Pinang

PULAU PINANG, 1 FEB: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meggesa Umno Pulau Pinang menjawab kemana hilangnya peruntukan RM1.1 juta yang diperuntukan Pusat untuk membantu 22 keluarga miskin tegar di negeri tersebut.
Menurut Lim, peruntukan dari Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KLW) itu membolehkan 22 keluarga tersebut menerima RM50,000 setiap keluarga.

Kenyataan Lim tersebut ekoran Penasihat KLW yang juga Pengerusi Pehubungan Umno Pulau Pinang , Datuk Zainal Abidin Osman dalam laporan media Berita Harian bertarikh 26 Februari 2009.

Dalam kenyataan Zainal tersebut menyatakan kementeriannya sedia mengambil alih masalah kemiskinan tegar berikutan kegagalan Kerajaan Negeri di bawah PR gagal menunaikan janji membasmi miskin tegar di negeri Pulau Pinang.

Susulan itu, Zainal berkata peruntukan RM1.1 juta diperuntukan menerusi Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).

Menurut Lim lagi, Exco Kesihatan, Kebajikan & Masyarakat Penyayang Negeri Pulau Pinang YB Phee Boon Poh telah menulis surat kepada Zainal pada 7 April dan 12 Mei tahun 2009 bagi mendapatkan maklumat berhubung 22 keluarga terbabit.

Malangnya tiada sebarang jawapan dari Zainal maupun maklumat berhubung 22 keluarga miskin tergar terbabit.

Susulan itu satu laporan polis telah dibuat pada 31 Julai 2009.Namun tiada sebarang perkembangan dipalorkan setakat ini.

Sehubungan itu Lim mencabar Zainal untuk mendedahkan 22 kelauarga yang menerima RM50,000 tersebut

“Adakah RM1.1 juta telah masuk dalam poket pihak- pihak tertentu? UMNO dan Kerajaan Persekutuan perlu bertanggungjawab dan tampil memberi penjelasan bagi mengelakkan keraguan kepada semua pihak.” jelas Lim yang juga Setiausaha Agung DAP.

Kata Lim, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang memperkenalkan Dasar Pembasmian Kemiskinan Tegar pada Mac 2009 sehingga Disember 2011, sebanyak RM6.32 juta telah disalurkan kepada lebih kurang 700 buah keluarga setiap bulan.

“Ini sekaligus menghapuskan miskin tegar di Pulau Pinang, negeri pertama yang berjaya buat begitu di Pulau Pinang.

Kini, Kerajaan Negeri telah bersetuju menambah wang pendapatan bulanan kepada minima RM600 sebulan untuk setiap keluarga.

P.Pinang Bina 11,596 Rumah Kos Rendah Dan Sederhana

PULAU PINANG, 1 FEB: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang memperuntuk RM500 juta untuk membina 11,596 unit rumah mampu milik di Seberang Perai dan Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah dilantik menjadi agensi pelaksana untuk tabung rumah mampu milik.

Menurut Lim, peruntukan RM500 juta tersebut diperoleh kerajaan negeri hasil dari penswastaan Bayan Mutiara secara tender terbuka.

“Di bawah pentadbiran lama RM600-800 juta wang rakyat dicadangkan dibelanjakan untuk memindahkan pusat pentadbiran baru daripada Komtar ke Bayan Mutiara.

“Kerajaan baru Pakatan Rakyat telah menolak cadangan ini dan menggantikan dengan cadangan pengswastaan yang tidak perlu membelanjakan wang besar sebalik menambahkan sumber kewangan agar kerajaan negeri boleh menjalankan projek sosial seperti membina rumah mampu milik.” jelas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya dari jumlah tersebut kerajaan negeri terlibat dalam menyediakan 1,194 unit kos rendah dan 2,227 kos sederhana.

Manakala pihak swasta pula menyediakan 2,612 untuk kos rendah dan 5,563 kos sederhana.

Harga rumah kos rendah tersebut adalah RM42,000 dan kos sederhana adalah RM72,000.

Menurut Lim, usaha kerajaan negeri ini sekaligus menyangkal dakwaan yang mengatakan kerajaan negeri PR tidak membina rumah mampu milik kepada rakyatnya.

Categories
NASIONAL

P.Pinang Mohon Pilihan Raya PBT

PULAU PINANG, 18 JAN : Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengarahkan Penasihat Undang-undang Negeri untuk mengeluarkan pemberitahuan warta yang mengecualikan pihak-pihak berkuasa tempatan Pulau Pinang daripada Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Ini merupakan antara langkah awal kerajaan sebelum permohonan pengisytiharan mahkamah dilakukan bagi memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah beberapa kali menghantar usul untuk berunding dengan Majlis Kebangsaan bagi Kerajaan Tempatan (NCLG) berkenaan dengan hasrat memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan namun segala usaha itu tidak dilayan.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Trafik, Chow Kon Yeow pernah menulis surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, selaku sekretariat NCLG pada Julai dan Ogos 2009 namun pihak kementerian enggan melanjutkan perbincangan mengenai perkara ini.

“Ekoran daripada itu, Kerajaan Negeri telah melantik panel peguam yang terdiri daripada Dato’ Yeo Yang Poh, En Tommy Thomas dan En Malik Imtiaz.

“Panel tersebut telah menasihati bahawa pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan berada dalam bidang kuasa Negeri mengikut Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 yang telah disemak semula pada tahun 1991,” ulas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kerajaan tempatan merupakan perkara Negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan, dan Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kuasa di bawah Seksyen 1(4) Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk mengecualikan mana-mana kawasan kerajaan tempatan daripada peruntukan-peruntukan Akta tersebut.

“Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang telah diarahkan untuk mengeluarkan pemberitahuan warta ini dan juga untuk mengeluarkan fiat melantik Tommy Thomas untuk mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang di mahkamah,” beritahu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dijangka akan merujuk perkara ini kepada Mahkamah sekiranya pemberitahuan warta dilakukan.

 

Categories
NASIONAL

BN Abai Hak Rakyat Pulau Pinang

SHAH ALAM, 17 JAN – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong menyelarkan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dr Teng Hock Nan dengan menyatakan pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat perlu memahami akan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di dalam menjaga kepentingan rakyat di negara ini.

Menurutnya, tindakan Dr Teng menyerang Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang membuat kenyataan melalui media adalah tidak kena pada caranya.

Jelasnya, ia memberi gambaran bahawa Gerakan sebagai komponen BN hanya patuh dan mengikut telunjuk Umno sebagai parti utama dalam gabungan tersebut.

“Tindakan Dr Teng yang mengatakan Lim tidak menggunakan “saluran yang betul” bagi meminta Kerajaan Persekutuan menjayakan projek pembangunan adalah pada dasarnya mengakui rakyat berhak meminta Kerajaan Persekutuan melaksanakannya.

“Cara sebegini adalah cara Gerakan yang menimbulkan kemarahan rakyat hingga menyebabkan rakyat menolak BN di Pulau Pinang dalam Pilihanraya Umum ke 12 pada 2008 lalu,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Bernama hari ini melaporkan bahawa Dr Teng berkata jika Ketua Menteri mempunyai sebarang masalah dengan apa-apa projek, beliau harus menggunakan saluran yang betul untuk menangani dan tidak melalui media.

Liew seterusnya berkata, Dr Teng harus memahami Kerajaan Persekutuan sebagai pihak memungut cukai perlu menjalankan amanah dan tanggungjawab bagi pembangunan di semua negeri di Malaysia.

“Lim sebagai Ketua Menteri bercakap bagi pihak rakyat Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan perlu menjalankan tanggungjawab bagi pembangunan di Pulau Pinang.

“Jika Kerajaan Persekutuan tidak bertindak selaras dengan kehendak rakyat dan Perlembagaan Persekutuan, demi masa depan Pulau Pinang dan rakyatnya, marilah kita menukar teraju kepimpinan di Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata, Gerakan dan BN juga berdusta berhubung penghapusan tol Sungai Nyior dengan merujuk kepada Kerajaan Negeri Pulau pinang ditadbir Pakatan Rakyat sedangkan kuasa menghapuskannya adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Malah bagi mengatasi masalah yang membebani rakyat, jelasnya, Kerajaan Negeri telah membina jalan alternatif sebagai pilihan.

“Hanya Kerajaan Persekutuan yang boleh menghapuskan bayaran tol. Mungkin pemimpin Gerakan lupa akan perkara itu. Lim telah berusaha bersungguh-sungguh bagi mengatasi masalah tol ini dan membantah pemberian konsesi tol kepada pihak swasta,” ujarnya.

Liew juga menyokong cabaran Lim terhadap Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk berdebat mengenai bagaimana cara untuk mengurangkan beban tol ke atas orang ramai.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan perlu memahami dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil, adalah penting untuk terus membangunkan ekonomi dalam negeri.

Cara terbaik, katanya untuk meningkatkan permintaan dalam negeri adalah dengan meningkatkan pendapatan di kalangan rakyat di negara ini.