Categories
AGENDA NASIONAL

Komited perkukuh kawalan sempadan negara di Sabah, Sarawak

SIBU, 5 JAN: Kementerian Pertahanan komited memperkukuhkan pertahanan sempadan negara di Sabah dan Sarawak seperti mana yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong berkata, langkah-langkah bagi mengukuhkan pertahanan di kawasan terlibat akan dilaksanakan secara berterusan.

“Kita ada pelbagai aktiviti bagi memperkasakan pertahanan di Sabah dan Sarawak termasuklah memperkasakan idea yang memerlukan tentera darat, udara dan laut bergabung bagi menghadapi apa sahaja cabaran yang akan dihadapi,” katanya kepada pemberita semasa lawatan kerja ke Markas 31 Briged, Kem Junaco Park, di sini, semalam.

Selain lawatan ke Kem Junaco Park, beliau turut mengadakan lawatan serupa ke kem tentera lain iaitu Kem Rascom dan Kem Batu 14.

Beliau berkata, terdapat lima Rejimen Sempadan (RS) telah ditubuhkan di Sabah dan Sarawak pada tahun 2015 bagi membantu memperkasakan pertahanan sempadan negara di kedua-dua negeri berkenaan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mengapa gaji penasihat khas lebih tinggi berbanding PM?

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Rasional di sebalik bayaran gaji lebih tinggi kepada penasihat khas dan duta kerajaan berbanding Perdana Menteri dipersoalkan wakil rakyat DAP.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, berkata dalam bajet terkini di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), gaji Penasihat Majlis Tindakan Persekutuan Selangor, Datuk Seri Noh Omar melebihi RM27,000 sebulan.

liew_chin_tong_01Katanya, gaji sama turut dibayar kepada Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

“Senarai penjawatan berkenaan maklumat gaji dan status pegawai kerajaan serta menteri tidak dibincang dalam Parlimen jadi ramai tidak tahu.

“Mengapa kerajaan memerlukan duta dan penasihat khas dengan gaji lebih tinggi berbanding Perdana Menteri yang hanya menerima gaji RM22,826 sebulan?,” soalnya di lobi Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, Chin Tong turut meminta Kerajaan Persekutuan supaya mendedahkan jika kontrak sementara beberapa duta dan perwakilan khas itu akan dilanjutkan.

Ia berikutan kebanyakan daripada mereka yang sepatutnya tamat kontrak baru-baru ini masih tersenarai dalam peruntukan bajet JPM.

“Duta khas tidak diperlukan sebaliknya kerajaan perlu memperkukuhkan Kementerian Luar Negeri bukannya meletakkan penasihat yang tidak menasihati apa-apa.

“Kerajaan memiliki pelbagai jawatan dan kementerian jadi gunakan sahaja khidmat nasihat dalaman,” katanya.

Kerajaan melantik Datuk Seri S Samy Vellu sebagai Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur, manakala bekas presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China.

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing pula dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur merangkumi Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pakatan Rakyat Tetap Mahu Najib Panggil Sidang Parlimen

johari-abdul

PETALING JAYA, 6 MAC: Pimpinan Pakatan Rakyat(PR) tetap dengan pendirian mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanggil satu sidang khas parlimen bagi menjawab persoalan penting dan penerangan kerajaan berhubung pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Ini kerana terlalu banyak persoalan berhubung kesediaan anggota keselamatan dan kelengkapan senjata untuk mempertahankan sempadan negara.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, satu penyelesaian politik perlu difikirkan sebagai strategi jangka panjang untuk memulihkan keadaan di Sabah.

Situasi ini mungkin mengakibatkan krisis politik berlarutan meskipun tindakan ketenteraan menyelesaikan konflik ini untuk sementara waktu.

“Parlimen perlu tahu berapa jumlah sebenar penceroboh yang boleh menembusi sempadan negara dan adakah pasukan keselamatan (polis) diberikan arahan serta matlamat tugasan yang jelas semasa menjalankan operasi.

“Adakah ini berlaku kerana kegagalan perisikan dan mengapa pencerobohan ini pada awalnya tidak dianggap sebagai ancaman bersenjata atau kerajaan tersalah anggap ancaman dari gerombolan penceroboh ini?” katanya dalam satu sidang media.

Tegasnya perkara ini tidak boleh dilengahkan memandangkan parlimen merupakan badan perundangan tertinggi di Malaysia dan semua wakil rakyat berhak mendapat penerangan sepenuhnya.

Turut hadir sama dalam sidang media di Ibupejabat PKR adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Chin Tong turut menjelaskan, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bertanyakan mengenai perkara ini kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz namun segala keputusan terletak di tangan Najib.

Sementara itu, Khalid Samad menjelaskan perkara ini perlu dibincangkan sebagai satu gabungan bagi mencari jalan penyelesaian kerana melibatkan isu keselamatan negara selain rakyat mendapat penjelasan sebenar.

Categories
NASIONAL

Peruntukan Pusat Selenggara Jalan Di Pulau Pinang Sangat Rendah

KUALA LUMPUR, 31 OKT : Peruntukan Kerajaan Pusat bagi menyelenggara jalan di Pulau Pinang adalah sangat rendah kata, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Dalam satu sidang media di Parlimen hari ini, Chin tong berkata, hanya RM59.6 juta diberikan untuk penyelenggaraan jalan raya di Pulau Pinang.

Perkara ini dinyatakan merujuk kepada statistik agihan Pemberian Sebenar Kepada Kerajaan Negeri Tahun 2011 di Bawah Peruntukan Perbendaharaan.

“Jumlah peruntukan untuk jalan Pulau Pinang sangat rendah, dan peruntukan keseluruhan hanya RM152 juta.

“Jumlah bajet kepada seluruh negeri (di Malaysia) baru RM5 bilion. Jumlah bajet negara RM252 bilion.

“Maknanya apa yang diperuntukkan kepada negeri adalah terhad. Perhubungan antara pusat dan negeri adalah tidak seimbang,” katanya.

Ahli Parliemn Kota Belut, Abdul Rahman Dahalan semalam mendakwa Pakatan Rakyat(PR) terlibat dengan perakaunan kreatif untuk menjadikan pengurusan kewangan negeri nampak elok dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara, pengurusan kewangan yang diuruskan di negeri pentadbiran PR mendapat pengiktirafan baik.

Jelasnya, bajet kerajaan Pulau Pinang hanya berjumlah RM900 juta dan terpulang kepada Kerajaan Negeri menguruskan kewangan yang diperolehi.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah : Husni Kurang Moral Kritik Belanjawan PR

KUALA LUMPUR 12 OKT : Pakatan Rakyat (PR) hari ini membidas kenyataan Menteri Kewangan 11, Datuk Seri Husni Hanadzlah yang mengatakan Bajet PR sebagai salah pengiraan dan ‘lemah matematik’.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyelar Husni sebagai kurang bermoral dan tidak layak mengkritik bajet PR.

“Saya rasa Husni tidak mempunyai kedudukan moral dan layak untuk mengkritik PR.

“Laporan Ketua Audit Negara pada 2011 menemui 75 kes terlebih belanja dalam 14 kementerian daripada aspek pembayaran,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Manifesto dan Dasar PR menyambut baik kenyataan perbendaharaan yang mengakui ketepatan anggaran kos program PR.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli berkata ia mengesahkan bahawa Kerajaan Pusat memandang serius segala cadangan dan penyelesaian ekonomi yang dikemukakan PR.

“Oleh sebab itu, dalam persidangan parlimen ini, ahli parlimen BN lebih gemar menghabiskan masa yang diperuntukkan membahas bajet PR.

“Tidak cukup dengan itu, menteri seperti Husni mengerah kakitangan awam di perbendaharaan dan jabatan lain bekerja lebih masa mencari bidasan kepada kami, ” katanya.

Jelasnya, kerahan itu adalah satu salahguna kuasa berbentuk partisan kerana PR tidak diberikan akses sama sekali kepada semua data,angka dan statistik yang diperlukan sepenuhnya untuk membuat unjuran.

Sehubungan itu, PR mengesyorkan penubuhan sebuah Pejabat Belanjawan Parlimen bebas yang bertanggungjawab menyediakan analisis belanjawan dan maklumat ekonomi kepada ahli parlimen secara objektif.

Katanya, cadangan itu sangat penting supaya perbahasan dasar dan keputusan kewangan boleh dibuat secara telus dan cepat.

“Sistem ini sudah lama digunakan di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Ia bagi membentuk amalan yang adil dan saksama kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Turut serta dalam sidang media tersebut MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan MP Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Categories
NASIONAL

PR Ucap Tahniah Kejayaan Dr Muhammad Morsi Dan Rakyat Mesir

SHAH ALAM 21 JUN : Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) mengucapkan tahniah di atas kejayaan yang dilakar calon Parti Pembebasan dan Keadilan (FJP), Dr Muhammad Morsi menerusi peratusan undi melebihi 50 peratus di dalam keputusan pilihan raya Mesir.

“Keputusan ini dicatat oleh Parti FJP di dalam suasana tegang yang menyaksikan pengumuman Menteri Keadilan lantikan tentera Mesir yang mengumumkan darurat, justeru memberi kuasa penuh kepada Tentera Mesir sekaligus membubarkan parlimen,” kata satu kenyataan media.

Kenyataan media bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar,Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad berkata kejayaan Dr Morsi adalah pilihan majoriti rakyat Mesir yang menyaksikan sokongan menyeluruh kumpulan konservatif dan juga kelompok sekular atas nama demokrasi.

Jelas kenyataan itu, dukungan dan undi majoriti yang masih diraih Dr Morsi membuktikan iltizam warga Mesir untuk memilih kerajaan demokratik, bukannya sebarang regim yang masih berada di dalam genggaman ketenteraan.

“Pengumuman tentera Mesir juga tidak membantu kuasa parlimen Mesir untuk melakar deraf perlembagaan baru bagi negara tersebut, yang akhirnya merampas kuasa serta hak yang termaktub dalam mana-mana negara demokrasi,” katanya.

Tegas kenyataan itu, PR meminta agar pihak kerajaan Malaysia, Majlis Tertinggi Ketenteraan Mesir (SCAF) dan masyarakat antarabangsa secara keseluruhannya untuk menghormati keputusan majoriti rakyat Mesir itu.

“Dan tidak campur tangan demi memastikan ketenangan dan semangat demokrasi kekal bersinar di Mesir,” kata kenyataan itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Bina Kepercayaan Rakyat Untuk Laksana Perubahan

KUALA LUMPUR 9 JUN : Membina kepercayaan daripada rakyat merupakan aset penting bagi sesebuah kerajaan atau pemerintah untuk melaksanakan perubahan yang berkesan terhadap semua pihak.

Amanah itu disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sewaktu memberi ucapan dalam Majlis Perlancaran Buku ‘States of Reform’ hasil tulisan Tricia Yeoh di Central Market Annexe di sini pagi tadi.

“Jika sesebuah kepimpinan itu berkredibiliti dan berjaya mendapat kepercayaan rakyat, maka kemajuan dan keharmonian akan berjalan seiring dan ini pastinya memberi manfaat kepada semua.

“Contohnya dapat dilihat di negeri-negeri Pakatan Rakyat, walaupun terdapat pelbagai kekangan tetapi kita masih mampu melakukan pelbagai program untuk rakyat kerana kita komited dengan apa yang ingin kita lakukan biarpun terdapat halangan,” jelas beliau dihadapan kira-kira 100 tetamu.

Buku berkenaan merupakan kompilasi artikel tulisan Tricia yang membincangkan polisi dan program Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang sejak memerintah pada tahun 2008 yang lalu.

Buku terbitan Genta Media itu boleh didapati di mana-mana kedai buku dengan harga RM28 senaskah.

Selain kehadiran Abdul Khalid dan penulis buku Tricia Yeoh, majlis pagi tadi turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri, Teresa Kok, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Dalam ucapan yang sama, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan reaksi pimpinan Kerajaan Umno-BN berhubung isu pembekuan PTPTN kepada pelajar Unisel baru-baru ini.

“Saya benar-benar kecewa dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin yang memberi komen yang tidak wajar walaupun ia membabitkan isu pendidikan pelajar secara keseluruhannya.

“Pemimpin-pemimpin ini mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan mereka itu adalah untuk mengajar kita dalam isu pendidikan percuma tetapi ternyata apa yang mereka lakukan itu tidak matang dan bersifat dendam semata-mata serta sangat mendukacitakan,” ulas beliau.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Perlu Panggil Balik Duta Dari Syria

SHAH ALAM,30 MEI : Pimpinan Pakatan Rakyat mendesak Kerajaan Pusat untuk mengambil pendirian tegas terhadap serangan kejam ke atas orang awam di Syria dengan mengusir duta Syria dan memanggil balik Duta Besar Malaysia dari negara Timur Tengah itu.

Dalam kenyataan media bersama, pemimpin tersebut menggesa Menteri Luar Negari, Datuk Seri Anifah Aman supaya mengeluarkan kenyataan dan pendirian mengutuk serangan kejam ke atas orang awam di Syria dengan segera.

“Pakatan Rakyat mengecam keras pembunuhan lebih daripada 90 orang awam di Syria Jumaat lepas di mana 32 adalah kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

“Kami seterusnya menuntut bahawa kerajaan Syria segera menghentikan penggunaan senjata berat di pusat penempatan penduduk, dan menyeru tentera kerajaan Syria dan militia untuk mematuhi sepenuhnya oleh pelan damai oleh Kofi Annan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Antarabangsa DAP, Liew Chin Tong.

Dilaporkan bahawa lebih daripada 15,000 orang awam telah terbunuh di Syria dan lebih 1 juta telah  melarikan diri dari rumah dan kampung-kampung mereka sejak pemberontakan menentang Presiden Syria Bashar al-Assad.

“Selepas 15 bulan keganasan, kami menuntut kerajaan Syria untuk menghentikan keganasan dalam semua bentuk,” kata kenyataan itu.

Categories
NASIONAL

Mentaliti Perang Dingin BN Berada Di Mana-Mana

KOMENTAR: Semalam, tumpuan ramai diberikan terhadap pembentangan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Bagaimanapun, hanya segelintir yang sedar bahawa pindaaan serentak kepada Kanun Keseksaan, Akta Keterangan dan Kanun Tatacara Jenayah akan hanya memacu kuasa mutlak kepada sesebuah kerajaan seterusnya mengaktifkan bom jangka kepada rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan.

Lebih merimaskan, pindaan kepada Kanun Keseksaan menunjukkan sesebuah kerajaan yang mengamalkan mentaliti perang dingin yang memberikan pihak mereka kuasa mempertahankan diri seperti huraian berikut;

1) Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang baru menyatakan kesalahan yang ditafsirkan sebagai “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen” akan dikenakan hukuman penjara 20 tahun.

Secara tidak konkrit, Seksyen 130A pula ditafsirkan sebagai “sesuatu aktiviti yang dilakukan oleh seorang individu atau sekumpulan individu membuang atau melemahkan demokrasi berparlimen dengan menggunakan cara ganas atau tidak berperlembagaan”, yang mana ini akan memberi pintu belakang kepada sebarang kesalahan yang disabitkan, yang boleh melanggar hak-hak kemanusiaan jika digunakan oleh kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

Lebih-lebih lagi, di bawah Seksyen 124C, cubaan untuk melakukan sesuatu “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen” boleh dihukum penjara selama 15 tahun. Kebimbangan timbul terhadap penyalahgunaan proses apabila semata-mata cubaan melakukan jenayah sahaja dikenakan hukuman berat.

2) Kebebasan media dan kebebasan maklumat juga terancam dengan pengenalan Seksyen 124D, 124E dan 124F, di mana menjadi satu jenayah untuk mencetak, menjual, memiliki, atau import “dokumen dan penerbitan yang memudaratkan demokrasi berparlimen”.

Sekali lagi, dengan definisi yang mengelirukan dan hukuman yang berat (sehingga 15 tahun untuk mencetak), seksyen tersebut turut memberi peluang untuk disalahgunakan dalam usaha kawalan ketat kerajaan ke atas penulisan yang dianggap tidak sebulu dengan parti pemerintah.

3) Kita juga terganggu apabila menyedari definasi “maklumat sensitif” di bawah Seksyen 130A (i) yang baru adalah terlalu meluas untuk merangkumi sebarang dokumen, maklumat atau bahan, “samada ia diklasifikasikan sebagai ‘Rahsia Besar’, ‘Rahsia’, ‘Sulit’ atau ‘Terlarang’.

Ini perlu difahami bersama Bahagian IV Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang memperkenalkan prosedur khas berkaitan maklumat sensitif. Ia menyediakan pendengaran kamera dalam perbicaraan yang melibatkan maklumat sensitif.

Di bawah Seksyen 8 (8) Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, segala keputusan yang dibuat di bawah prosedur ini adalah tidak boleh dibuat rayuan. Ini memberi peluang kepada kerajaan untuk menyimpan maklumat sensitif daripada orang awam dan sama sekali tidak boleh diakses oleh media.

Saya juga perasan terdapat bahagian atau elemen daripada ISA yang diseludup masuk ke Kanun Keseksaan dengan pindaan baru contohnnya:

1) Perkataan “mengesyorkan keingkaran kepada undang-undang atau sebarang perintah sah” juga sangat sama dengan definisi ‘dokumen subvesif’ yang terkandung dalam Seksyen 29 (3)(b) dalam ISA.

2) Penggunaan terma “pengesyoran keingkaran kepada undang-undang atau mana-mana perintah yang sah di sisi undang-undang di dalamnya” juga mengingatkan kepada definisi ‘pengganas’ dalam Seksyen 2 ISA.

Keyakinan orang ramai terhadap kerajaan semakin goyah apabila undang-undang yang menindas dimansuhkan dan digantikan dengan perundangan yang jika tidak sama,adalah lebih hina serta bercanggah dengan semangat penggubalan semula undang-undang.

Bom jangka yang diaktifkan Najib menyedarkan rakyat Malaysia bahawa Kerajaan Malaysia tiada niat untuk berubah.

Liew Chin Tong adalah Ahli Parlimen, Bukit Bendera

Categories
NASIONAL

BN Abai Hak Rakyat Pulau Pinang

SHAH ALAM, 17 JAN – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong menyelarkan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dr Teng Hock Nan dengan menyatakan pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat perlu memahami akan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di dalam menjaga kepentingan rakyat di negara ini.

Menurutnya, tindakan Dr Teng menyerang Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang membuat kenyataan melalui media adalah tidak kena pada caranya.

Jelasnya, ia memberi gambaran bahawa Gerakan sebagai komponen BN hanya patuh dan mengikut telunjuk Umno sebagai parti utama dalam gabungan tersebut.

“Tindakan Dr Teng yang mengatakan Lim tidak menggunakan “saluran yang betul” bagi meminta Kerajaan Persekutuan menjayakan projek pembangunan adalah pada dasarnya mengakui rakyat berhak meminta Kerajaan Persekutuan melaksanakannya.

“Cara sebegini adalah cara Gerakan yang menimbulkan kemarahan rakyat hingga menyebabkan rakyat menolak BN di Pulau Pinang dalam Pilihanraya Umum ke 12 pada 2008 lalu,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Bernama hari ini melaporkan bahawa Dr Teng berkata jika Ketua Menteri mempunyai sebarang masalah dengan apa-apa projek, beliau harus menggunakan saluran yang betul untuk menangani dan tidak melalui media.

Liew seterusnya berkata, Dr Teng harus memahami Kerajaan Persekutuan sebagai pihak memungut cukai perlu menjalankan amanah dan tanggungjawab bagi pembangunan di semua negeri di Malaysia.

“Lim sebagai Ketua Menteri bercakap bagi pihak rakyat Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan perlu menjalankan tanggungjawab bagi pembangunan di Pulau Pinang.

“Jika Kerajaan Persekutuan tidak bertindak selaras dengan kehendak rakyat dan Perlembagaan Persekutuan, demi masa depan Pulau Pinang dan rakyatnya, marilah kita menukar teraju kepimpinan di Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata, Gerakan dan BN juga berdusta berhubung penghapusan tol Sungai Nyior dengan merujuk kepada Kerajaan Negeri Pulau pinang ditadbir Pakatan Rakyat sedangkan kuasa menghapuskannya adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Malah bagi mengatasi masalah yang membebani rakyat, jelasnya, Kerajaan Negeri telah membina jalan alternatif sebagai pilihan.

“Hanya Kerajaan Persekutuan yang boleh menghapuskan bayaran tol. Mungkin pemimpin Gerakan lupa akan perkara itu. Lim telah berusaha bersungguh-sungguh bagi mengatasi masalah tol ini dan membantah pemberian konsesi tol kepada pihak swasta,” ujarnya.

Liew juga menyokong cabaran Lim terhadap Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk berdebat mengenai bagaimana cara untuk mengurangkan beban tol ke atas orang ramai.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan perlu memahami dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil, adalah penting untuk terus membangunkan ekonomi dalam negeri.

Cara terbaik, katanya untuk meningkatkan permintaan dalam negeri adalah dengan meningkatkan pendapatan di kalangan rakyat di negara ini.