Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Rangka dasar kediaman baharu, tingkat potensi miliki rumah pertama

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Selangor bakal merangka dasar perumahan baharu bagi meningkatkan pemilikan kediaman pertama dalam kalangan rakyat negeri ini.

EXCO perumahan berkata dasar itu mengambil kira keperluan dan kemampuan pemohon mengikut taraf kehidupan semasa bagi mengimbangi syarat ketat bank.

Rodziah Ismail memaklumkan ketika ini hanya 30,793 daripada 64,072 pemohon Skim Rumah Selangorku (RSKU) mendapat kelulusan pinjaman bank sejak 2014.

“RSKU bertujuan membantu rakyat mendapat rumah tetapi tidak sampai separuh permohonan dapat pinjaman bank, jadi kita kena fikirkan cara baharu untuk meningkatkan kadar pemilikan rumah,” katanya ketika dihubungi.

Dasar Rumah Selangorku 2.0 yang diperkenal pada April 2018 menumpu penambahbaikan aspek pemilikan, perancangan dan pelaksanaan untuk manfaat pemaju, pelaksana dasar dan pemilik rumah.

Rumah Selangorku dijual pada harga antara RM42,000 sehingga RM250,000 dengan variasi lima jenis rumah berkeluasan antara 700 sehingga 1,000 kaki persegi.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pinda syarat Rumah Selangorku, lagi 30,000 unit bakal dibina

Pindaan syarat Rumah Selangorku jenis A, B, C dan D kepada jenis E dijangka menambahkan kerancakan pembinaan unit rumah berkenaan.

Insentif dalam Belanjawan Selangor 2021 bakal menambah 30,000 unit Rumah Selangorku dan menjadikan jumlah keseluruhan 60,000 unit dalam tempoh tiga tahun.

Kemudahan itu juga dijangka menarik minat pemaju untuk mempercepat pembinaan Rumah Selangorku Idaman dan Harapan yang berkeluasan 1,000 kaki persegi pada harga maksimum RM250,000 seunit.

Kelengkapan asasnya pula meliputi kabinet dapur, penghawa dingin dan almari baju di semua bilik serta pemanas air (semua bilik mandi). Ia lebih memberi keselesaan kepada pembeli berbanding jenis A dan B yang cuma dilengkapi kipas, lampu dan pintu jeriji.

Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) Dato’ Dr Juhari Ahmad berkata permohonan dibuka untuk dua tahun sehingga 31 Disember 2022. Pemaju perlu membina unit Rumah Selangorku dalam tempoh tersebut.

“Pemaju disyaratkan memperuntuk 15 hingga 30 peratus daripada kehilangan/pindaan Rumah Selangorku jenis A dan B kepada LPHS secara percuma sebagai kontra atas pengecualian pindaan itu,” katanya.

Semua permohonan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku untuk dibincang sebelum diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Pembinaan Rumah Selangorku menjadi keutamaan Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat negeri ini berpeluang memiliki kediaman sendiri. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Jenis pindaan

Bagi menggalakkan pemaju yang komited membina Rumah Selangorku, LPHS membenarkan mereka memohon pindaan dari satu jenis ke satu jenis Rumah Selangorku.

Contohnya, kelulusan asal bagi membina 100 unit Rumah Selangorku jenis A boleh dipinda kepada 100 unit rumah jenis C. Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku boleh memberi pertimbangan terhadap syor itu.

Namun, pemaju perlu membayar 10 hingga 20 peratus daripada nilai perbezaan sebagai sumbangan kepada Kerajaan Negeri yang disalur semula ke program berkaitan perumahan.

Rumah Selangorku diperkenal pada 2014 iaitu rumah mampu milik untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah, sederhana rendah dan sederhana yang menggantikan dasar Rumah Kos Rendah (RKR).

Penjenamaan semula Rumah Selangorku pada 2015 dilihat memberi keselesaan kepada pembeli daripada segi saiz, reka bentuk atau komunitinya berdasarkan kemampuan isi rumah pada harga RM42,000 sehingga RM250,000 seunit.

Rumah Selangorku dijenamakan lagi pada 2018. Ia perlu dibina mengikut spesifikasi lebih terperinci bagi memastikan harganya terkawal iaitu bawah RM250,000.

Ada lima kategori kelayakan berdasarkan pendapatan isi rumah pemohon iaitu maksimum RM3,000 sebulan bagi jenis A manakala maksimum hingga RM10,000 untuk jenis B, C, D, E.

Kriteria kelayakan:

  • Jenis A: Maksimum pendapatan isi rumah RM3,000 sebulan
  • Jenis lain: Pendapatan bulanan bawah RM10,000 sebulan
Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Tambahan 30,000 unit Rumah Selangorku diteliti

SHAH ALAM, 2 NOV: Jawatankuasa Perumahan dan Kesejahteraan Bandar akan meneliti pelaksanaan tambahan 30,000 unit Rumah Selangorku seperti diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2021.

EXCO perumahan berkata tumpuan tidak hanya membina rumah tetapi lebih penting menyediakan kediaman yang sejahtera supaya suasana harmoni dapat diwujudkan demi manfaat masyarakat.

“Kita akan teliti pelaksanaannya kerana bila bercakap mengenai kediaman, bukan bermaksud rumah sahaja tetapi juga melibatkan persekitarannya,” kata Rodziah Ismail ketika sidang media selepas meninjau gerai jualan sempena Deepavali yang disertai 26 usahawan Sitham di Pusat Membeli Belah Galaxy Ampang di sini semalam.

Kerajaan Negeri sebelum ini memperkenalkan Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik semasa pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Fasa Ketiga.

Insentif itu yang dijangka mampu menambah bekalan Rumah Selangorku sehingga 60,000 unit iaitu penambahan 30,000 di pasaran untuk tempoh tiga tahun melalui konsep Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan.

Sejak 2018, 14,497 unit Rumah Selangorku berjaya disiapkan manakala 4,750 daripadanya siap bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai lalu.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO seru pemaju bangunkan bandar berkonsep bahagia

SHAH ALAM, 14 OKT: Pemaju diseru membangunkan bandar tanpa melupakan aspek kebahagiaan serta disokong suntikan kerohanian bagi mewujudkan kejiranan yang kuat.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata pembangunan atas dasar kemewahan tanpa kesejahteraan dan keselamatan akan menyebabkan keruntuhan moral penduduk serta kenaikan indeks jenayah.

“Dalam membina perumahan ini kami bukan sahaja menekankan jumlah unit yang akan disiapkan bahkan kami lebih berhasrat untuk menjadikan perumahan ini suatu kediaman idaman bagi semua penduduk.

“Di sinilah tempat kita membangunkan institusi keluarga sekali gus menjauhkan gejala sosial yang terhasil dari keluarga bermasalah dan perumahan yang terkongkong,” kata Rodziah Ismail ketika dihubungi apabila diminta mengulas mengenai portfolio baharunya.

Beliau menjelaskan walaupun portfolio perumahan sering dikaitkan dengan pembinaan Rumah Selangorku, Ahli Dewan Negeri Batu Tiga bagaimanapun mahu memberi penekanan sewajarnya kepada pembinaan masyarakat.

“Besarlah harapan saya untuk menghasilkan kediaman berdaya huni dalam masyarakat bandar yang sejahtera,” katanya yang turut memegang portfolio pembangunan usahawan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKNS sasar bina lebih 10,000 rumah mampu milik

SHAH ALAM, 22 JULAI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasar pembinaan 10,686 Rumah Selangorku bermula tahun ini sehingga 2029, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata projek perumahan mampu milik tersebut dilaksana di Bernam Jaya, Kota Puteri, Cyberjaya dan Setia Alam.

“PKNS komited memastikan rakyat negeri ini mampu membeli dan memiliki rumah. Ketika ini pembinaan pangsapuri fasa satu membabitkan 864 unit rumah giat dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau berkata projek siap meliputi:

1. 1,422 unit rumah berkembar di Bukit Botak
2. 124 unit Pangsapuri Damai di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi
3. 129 unit rumah teres satu setengah tingkat di Antara Gapi
4. 198 unit rumah jenis bandar di Kota Puteri
5. 80 unit rumah teres dua tingkat di Antara Gapi
6. 60 unit rumah dua tingkat di Taman Keruing

Dasar Rumah Selangorku 2.0 diperkenal pada April 2018 bagi menambah baik dasar perumahan mampu milik yang menumpu penambahbaikan aspek pemilikan, perancangan dan pelaksanaan supaya memberi manfaat kepada pemaju, pelaksana dasar dan pemilik rumah.

Rumah Selangorku dijual pada harga antara RM42,000 sehingga RM250,000 dengan variasi lima jenis rumah iaitu A, B, C, D dan E berkeluasan antara 700 sehingga 1,000 kaki persegi.

Kerajaan Negeri menetapkan syarat dan kawalan pembangunan rumah bagi memastikan penyediaan jenis rumah kos bebas serta terkawal di Selangor ditawarkan kepada rakyat.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kerajaan Negeri bakal terima 1,258 unit Rumah Selangorku

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan Negeri bakal menerima 1,258 unit Rumah Selangorku bagi pelaksanaan Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY).

Pemangku pengarah eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berkata skim berkenaan dapat membantu golongan berpendapatan rendah (B40) yang sukar mendapat pembiayaan memiliki rumah sendiri.

“Setakat ini sebanyak 516 unit sudah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) manakala 742 unit masih menunggu kelulusan,” kata Khairul Azam Saroni ketika dihubungi SelangorKini.

Melalui pelaksanaan Insentif Galakan Pembinaan Rumah Selangorku, Kerajaan Negeri dijangka menerima sekurang-kurangnya 3,000 unit rumah dengan nilai hartanah lebih RM750 juta secara percuma sehingga tahun 2023.

Insentif dilaksanakan LPHS dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu membenarkan pemaju meminda syarat pembinaan rumah Jenis A, B, C atau D kepada Jenis E yang berkeluasan 1,000 kaki persegi lengkap dengan keperluan asas pada harga lebih RM250,000.

Bagaimanapun, pemaju perlu memperuntukkan 15 hingga 30 peratus unit rumah kepada LPHS secara percuma sebagai balasan pindaan berkenaan.

Categories
SELANGOR

Peneroka teruja Kerajaan Negeri tawar harga Rumah Selangorku lebih rendah

BATU CAVES, 27 JUN: Peneroka asal Kampung Seri Temenggong teruja ditawarkan kediaman selesa dengan harga rendah di bawah projek Rumah Selangorku.

Seorang penerima, Nik Norizan Ibrahim, 58, berkata tawaran RM65,000 oleh Kerajaan Negeri bagi satu unit kediaman dengan keluasan 900 kaki persegi sangat berbaloi dimiliki.

“Saya terharu kerana harga ditawarkan sangat mampu milik. Ruang rumah yang luas memberi keselesaan kepada saya lima sekeluarga,” katanya selepas menerima surat tawaran Pangsapuri Selangorku Seri Temenggong yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di tapak projek berkenaan hari ini.

Peneroka asal tapak Kampung Seri Temenggung melihat melihat model Unit Pangsapuri Selangorku Seri Temenggong di tapak projek rumah pangsapuri Seri Temenggung, Batu Caves pada 27 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau yang menetap di kampung itu lebih 30 tahun juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Selangor yang membantu peneroka mendapatkan semula hak milik tanah.

“Saya gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana membantu kami (peneroka) mendapatkan hak yang sepatutnya,” katanya yang berasal dari Kelantan.

Abdul Ayup, 74 selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Unit Pangsapuri Selangorku Seri Temenggong Kepada 29 Peneroka Asal Tapak Kampung Seri Temenggung di tapak projek rumah pangsapuri Seri Temenggung, Batu Caves pada 27 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Seorang lagi penerima, Abdul Ayup, 74, berkata impian memiliki rumah pertama tercapai selepas menanti hampir tiga tahun.

“Jika diikutkan, tiga tahun lalu kami (peneroka) diberi tawaran buat rumah berharga antara RM160,000 hingga RM200,000 namun diarah bayar hanya RM65,000.

“Saya berbesar hati terutama kepada Kerajaan Selangor dan pemaju yang mengambil berat perkara ini. Anak-anak pasti gembira dapat khabar boleh pindah ke rumah baharu awal tahun hadapan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Projek Rumah Selangorku diteruskan ikut jadual

SHAH ALAM, 16 JUN: Pembinaan projek Rumah Selangorku diteruskan mengikut jadual selepas terhenti susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19.

EXCO perumahan berkata sasaran membina 30,000 unit rumah mampu milik kekal untuk tempoh lima tahun bermula tahun lalu hingga 2023.

“Segala proses diteruskan memandangkan sektor pembinaan mampu merangsang pertumbuhan ekonomi,” kata Haniza Talha kepada SelangorKini.

Sejak Januari 2014 hingga September tahun lalu, sebanyak 274 projek pembinaan Rumah Selangorku diluluskan meliputi 121,676 unit.

Rumah berkeluasan antara 700 hingga 1,000 kaki persegi dijual dari RM42,000 hingga RM250,000.

Categories
EXCO SELANGOR

Pemohon Rumah SelangorKu perlu saringan AKPK

SHAH ALAM, 25 FEB: Pemohon Rumah SelangorKu perlu melalui proses saringan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebelum dibenarkan membeli kediaman tersebut, kata EXCO perumahan.

Haniza Talha berkata program pengurusan kredit AKPK membolehkan penstrukturan semula hutang sedia ada pemohon selain memudahkan bank memberi pertimbangan untuk meluluskan pinjaman perumahan.

“Ia antara langkah mengatasi isu pemohon gagal mendapatkan pinjaman institusi kewangan disebabkan pelbagai masalah sehingga menganggu proses penjualan rumah.

“Saringan AKPK penting untuk menyemak status pemohon sama ada mempunyai tunggakan hutang atau sebaliknya termasuk mengetahui had kemampuan membeli rumah,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Dalam pada itu Haniza berkata, Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Smart Sewa bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk menyewa sambil menyimpan.

“Penyewa mendapat balik 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sewaan apabila kontrak sewaan dua tahun tamat yang boleh digunakan sebagai bayaran deposit pembelian Rumah SelangorKu,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Rumah Selangorku: Pemaju dikenakan syarat ketat

SHAH ALAM, 23 JAN: Pemaju Rumah Selangorku perlu melalui saringan ketat bagi mengelak insiden projek terbengkalai, kata EXCO perumahan.

Haniza Talha berkata Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan menyemak akaun dan aset pemaju bagi memastikan syarikat mempunyai kedudukan kewangan kukuh, sebelum meluluskan projek perumahan.

“Selepas melalui tapisan LPHS, pemaju perlu berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berdasarkan lokasi projek perumahan.

“Pemaju disyaratkan membayar caruman infrastruktur kepada PBT. Caruman ini antara lain bertujuan menguji kemampuan kewangan pemaju,” katanya kepada SelangorKini.

Ditanya berhubung kegagalan pemaju menyiapkan projek Residensi Jaya, Balakong, Haniza berkata perkara itu di luar kawalan pihaknya.

“Projek ini bukan projek terbengkalai kerana ia sepatutnya siap pada 2021. Cuma ia gagal disiapkan disebabkan faktor luar jangka apabila pemaju muflis,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Rumah SelangorKu pertama dilengkapi panel solar

PUCHONG, 1 DIS: Pangsapuri Seri Utama, Taman Puchong Utama di sini, dipilih sebagai pembangunan Rumah SelangorKu pertama di negara ini dilengkapi dengan panel solar selepas mencapai Pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, projek perumahan mampu milik dibangunkan Hillcrest Gardens Sdn Bhd itu sebagai insentif kepada pemaju dalam menggalakkan penggunaan tenaga solar bercirikan lestari dan mesra alam.

“Panel solar di setiap blok bangunan ini berorientasikan arah utara-selatan untuk meminimumkan haba daripada matahari timur ke barat.

“Selain itu, ia mempunyai aliran pengudaraan dalaman semulajadi yang baik dan boleh mengurangkan penggunaan penghawa dingin malah, fasad luar dan dalam bangunan juga kelihatan lebih kemas serta tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu dan Surat Tawaran Kepada Penyewa Skim Smart Sewa di pangsapuri berkenaan di sini, hari ini.

Haniza Talha menbuat lawatan ke unit rumah contoh selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku & Smart Sewa Pangsapuri Seri Utama, Puchong pada 1 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Turut hadir, Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham; Pengarah Eksekutif Tetuan Hillcrest Sdn Bhd, Frank Goon dan Pemangku Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Khairul Azam Saroni.

Terdahulu, 1,162 unit Rumah SelangorKu berjaya disiapkan pemaju dalam tempoh hampir lima tahun sejak pembinaan itu dimulakan pada 2015.

Difahamkan, projek terbabit siap sepenuhnya pada Ogos lalu, iaitu 10 bulan lebih awal dari tarikh akhir ditetapkan dalam perjanjian jual beli pertama pada Mei 2020.

Pada masa sama, Haniza berkata, pembangunan di kawasan itu menawarkan tiga pilihan jenis Rumah SelangorKu dengan mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Jenis B berkeluasan 69.7 meter persegi dengan harga jualan RM100,000 seunit berjumlah 464 unit, C2 (83.6 meter persegi) RM195,000 seunit (464 unit) dan D (92.9 meter persegi) RM220,000 seunit (234 unit).

“Pemaju juga menyediakan pelbagai kemudahan untuk memenuhi keperluan penduduk antaranya tempat letak kereta bertingkat, taman permainan kanak-kanak, dewan serbaguna, gelanggang tenis dan bola keranjang, surau serta kolam renang,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Sasaran 30,000 unit Rumah SelangorKu pada fasa berikutnya

PUCHONG, 1 DIS: Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan 30,000 unit Rumah SelangorKu bagi fasa seterusnya dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini hingga 2023.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, peranan dimainkan Kerajaan Negeri dalam menyediakan perumahan mampu milik menerusi Rumah SelangorKu secara aktif mulai 2014 mendapat sambutan menggalakkan.

“Sehingga 15 November lalu, 277 projek pembangunan Rumah Mampu Milik membabitkan 121,695 unit kediaman diberikan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Daripada jumlah itu, 14,781 unit siap dibina dan diserahkan kunci manakala 22,274 unit kini dalam pembinaan yang dijangka boleh diduduki secara berperingkat bermula pada akhir tahun ini sehingga 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu dan Surat Tawaran Kepada Penyewa Skim Smart Sewa di Pangsapuri Seri Utama di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham; Pengarah Eksekutif Tetuan Hillcrest Sdn Bhd, Frank Goon dan Pemangku Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Khairul Azam Saroni.

Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku & Smart Sewa Pangsapuri Seri Utama, Puchong oleh Haniza Talha pada 1 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, penyerahan kunci kepada pembeli membabitkan 1,162 unit Rumah SelangorKu yang berjaya disiapkan sepenuhnya pada Ogos lalu oleh pemaju Hillcrest Gardens Sdn Bhd.

Mengambil tempoh selama lima tahun untuk disiapkan, Rumah SelangorKu itu dipilih sebagai pembangunan Rumah Mampu Milik pertama di negara ini yang dilengkapi dengan panel solar selepas mencapai Pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Mengulas lanjut, Haniza berkata, Kerajaan Negeri menetapkan syarat dan kawalan pembangunan Rumah SelangorKu yang memerlukan pemaju untuk memajukan fasa awalan atau serentak.

Katanya, hal itu bagi memastikan penyediaan jenis rumah kos bebas dan terkawal di Selangor dapat ditawarkan kepada semua golongan rakyat.

“Dalam menyediakan unit berkenaan, kita sentiasa mengawal proses pembinaan iaitu selepas mendapat kelulusan, pemaju perlu melakukan sesuatu dalam tempoh 18 bulan.

“Sekiranya gagal, kelulusan itu akan ditarik balik kerana kita tidak mahu terjadi kes projek terbengkalai. Oleh itu, pemantauan berterusan dilakukan LPHS sehingga unit terbabit siap dibina,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, 196,061 permohonan Rumah Selangorku berdaftar dengan LPHS sehingga 31 Oktober lalu.

“Ini adalah satu pengukur dalam memenuhi keperluan penyediaan Rumah Mampu Milik terutamanya di kawasan perbandaran yang mempunyai permintaan tinggi,” katanya.