Categories
NASIONAL SELANGOR

Himpunan 5 Dis Di Putrajaya Isu MyKad, Sijil Kelahiran

SHAH ALAM, 9 NOV : Satu perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat (PR) akan diadakan di perkarangan ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, 5 Disember depan sekiranya kerajaan tidak menyelesaikan kes ketiadaan MyKad dan sijil kelahiran melibatkan masyarakat India di negara ini dalam tempoh terdekat.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N Surendran berkata, dimaklumkan terdapat hampir 300,000 kes ketiadaan dokumen itu di kalangan masyarakat tersebut setakat ini.

“Kita akan memberi tempoh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan supaya menyelesaikan perkara ini dalam tempoh terdekat atau kita akan jalankan perhimpuan besar ini,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Beliau berkata, ramai masyarakat India dinafikan pemilikan dokumen MyKad dan sijil kelahiran walaupun mereka lahir di negara ini dan sememangnya warganegara.

Berikutan itu, tambahnya, pelbagai masalah terpaksa dihadapi golongan itu seperti kanak-kanak tidak dapat memasuki alam persekolahan.

“Dalam satu kes, S Logeswaran berusia 10 tahun di mana ibunya mempunyai MyKad tetapi ayahnya tidak memiliki dokumen itu biarpun ayahnya lahir di negara ini. Akibatnya kerajaan enggan memberikan sijil kelahiran kepada Logeswaran.

“Logeswaran tidak dapat memasuki alam persekolahan. Dalam tempoh tiga tahun dia hanya menghadiri sekolah tiga minggu apabila dipaksa berhenti,” katanya yang yakin masih terdapat banyak kes seperti itu melibatkan kanak-kanak lain yang dinafikan hak bagi mendapatkan pendidikan.

Surendran berkata, pihaknya menuntut kerajaan dipimpin Umno-BN menyelesaikan perkara itu segera atau menghadapi kebangkitan rakyat.

“Kita umumkan hari ini PKR bersama dengan rakan PR lain akan mengadakan satu perhimpuan besar di JPN Putrajaya pada Disember depan. Kita tidak akan beredar sehingga mendapat jawapan jelas daripada pihak berkuasa di JPN,” katanya lagi.