Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tumpuan khusus tingkat ekonomi Sabak Bernam

SABAK BERNAM, 8 SEPT: Daerah Sabak Bernam diberi tumpuan khusus bagi membangunkan ekonomi penduduk setempat menerusi pelbagai usaha membabitkan sektor pelancongan, pertanian dan keusahawanan produk.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, inisiatif itu bagi memastikan penduduk setempat dapat menjana pendapatan lebih tinggi.

Katanya, jawatankuasa pembangunan ekonomi daerah itu sudah ditubuhkan yang dianggotai oleh beliau, Exco Pelaburan, Exco Pelancongan dan Exco Pertanian.

“Kita mahu Sabak Bernam menjadi seperti daerah lain yang pesat membangun dari setiap aspek, justeru daerah ini perlu diberikan suntikan komprehensif dari pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Mini Expo Usahawan (Mexus) kali ke tiga daerah Sabak Bernam, di sini, semalam.

Rodziah berkata, sebanyak 79 kampung di daerah itu yang terkenal dengan keunikan tersendiri seperti makanan popular mentarang, kerepek dan mee udang.

Selain itu, katanya, Pusat Konservasi Enggang Sungai Panjang, Pusat Konservasi Kelip-Kelip Sungai Pakeh dan Pantai Bagan Nakhoda Omar perlu diperkenalkan lagi kepada pelancong luar.

“Bukan itu sahaja, komposisi Melayu berketurunan Jawa, Banjar, Kampar dan Bugis selain terdapat adat Melayu Jawa seperti Kuda Kepang, Barongan, Gamelan dan Jawa Kompang perlu diperkenalkan ke peringkat luar.

“Oleh itu, saya berharap semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, politik dan penduduk setempat dapat bekerjasama membantu pembangunan daerah ini,” katanya.

Pada masa sama, Rodziah berkata, Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Luar Bandar di Selangor akan terus bergerak seiring dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.

“Jumlah Penduduk Desa di Selangor mengikut statistik melebihi 2.2 juta penduduk.

“Kepesatan ini perlu dilihat dengan baik melalui pelbagai program yang dibangunkan bagi memantapkan lagi ekonomi penduduk desa dan tidak meminggirkan mereka,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ribut Sabak Bernam: Atasi kesan bencana seawal tiga minggu

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kelewatan bantuan ke lokasi terjejas akibat ribut di Sabak Bernam ekoran ia membabitkan banyak kediaman dan kos yang besar, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri tekad menyelesaikan isu terbabit sebaik mungkin bagi memastikan semua nasib mangsa bencana terbela.

“Memang bantuan lambat kerana ia membabitkan (banyak) rumah. Kalau hanya mahukan skor politik, kita boleh berikan sekampit beras tapi itu tidak selesaikan masalah.

“Kita ingin selesaikan masalah utama seperti yang dilakukan ketika insiden ribut di Felda Soeharto, Gombak dan Tanjung Karang. Ia berjaya selesaikan tetapi mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Sesi Kedua Dialog Bajet 2020 di Hotel Concorde, hari ini.

Katanya, kerosakan besar yang berlaku akibat ribut itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga minggu atau sebulan setengah.

“Ribut adalah bencana alam dan apa yang penting dalam pengurusan bencana adalah penyelarasan. Selangor lebih ke hadapan berbanding negeri lain kerana mempunyai unit dan pegawai khas dalam pengurusan bencana.

“Kita sedia terima kritikan dan sedia memperbaiki bagaimanapun, simpatilah dengan pegawai kita sebab ribut berkenaan membabitkan lebih 500 rumah,” katanya.

Pada 10 Ogos lalu, Amirudin ketika melawat mangsa ribut memaklumkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam akan memberikan bantuan awal sebanyak RM500 kepada setiap keluarga terjejas.

Categories
SELANGOR

Mangsa ribut Sabak Bernam reda sambut Aidiladha di pusat pemindahan

SABAK BERNAM, 10 OGOS: Harapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga musnah apabila rumah mereka rosak teruk ekoran kejadian ribut yang berlaku di sini malam semalam.

Mangsa ribut, Zailah Rahmat, 52, menyifatkan kejadian itu sebagai luar biasa dan kali pertama berlaku sejak 22 tahun beliau menetap di kampung Desa Kasih, di sini.

Katanya, ketika kejadian itu berlaku dia bersama 14 lagi ahli keluarga yang terdiri daripada suami, anak dan cucu sedang nyenyak tidur.

“Saya terkejut selepas bunyi bumbung rumah tercabut dan hujan turun sangat lebat. Lebih merisaukan, anak saya yang sedang berpantang 10 hari.

“Tanpa berlengah, saya mengejutkan semua anak dan cucu untuk terus keluar ke bahagian belakang rumah.

“Disebabkan itu, cucu saya luka pada bahagian muka ekoran terkena kayu ketika kami tarik dia,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di pusat pemindahan mangsa ribut Desa Kasih, di sini petang tadi.

Zailah berkata, ekoran rasa takut yang mendalam, suaminya sempat melaungkan azan ketika keluarganya berlindung menyelamatkan diri.

“Memang takut sangat ketika itu, pelbagai benda bermain dalam fikiran ketika itu. Walaupun berlaku sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha, namun saya bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa dan saya reda dengan nasib yang menimpa kami ,” katanya.

Pusat pemindahan itu menempatkan Zailah bersama 14 ahli keluarganya sahaja, manakala mangsa lain difahamkan menumpang di rumah saudara mara.

Dalam kejadian ribut kira-kira jam 1 pagi tadi, 508 buah rumah di Bagan Nakhoda Omar, Sabak, Pancang Bedena, Sungai Panjang dan Pasir Panjang rosak teruk.

Kejadian ribut yang melanda beberapa kawasan di Sabak Bernam dan Kuala Selangor tengah malam hingga awal pagi tadi berkemungkinan ada kaitan dengan taufan Lekima yang melanda Taiwan.

Categories
SELANGOR

Harga rumah di Sabak Bernam masih mampu milik

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 MEI: Kebanyakan harga rumah di Sabak Bernam berpatutan dan masih dalam kategori mampu milik, kata Penilai Daerah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Klang, Faziah Abd Rasid.

Faziah berkata, berdasarkan kajian pemasaran harga rumah pada 2017-2018, nilai jualan rumah di Sabak Bernam adalah pada paras normal sekitar RM150,000 sehingga RM200,000.

“Jika diikutkan harga itu masih mampu milik untuk masyarakat di Sabak Bernam dan rakyat Malaysia khususnya.

“Manakala, rumah teres dua tingkat di Sabak Bernam pula masih mampu milik kerana tidak melebihi RM300,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam sesi pendengaran awam berkenaan isu projek Pembangunan Perumahan di Taman Air Manis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT), di Bangunan Annex, di sini.

Pendengaran awam itu dijalankan ekoran wujud aduan rasmi kepada SELCAT berhubung projek terbabit yang tiada gerak kerja sejak 10 tahun lalu.

Projek berkeluasan 10.11 hektar itu adalah milik anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Perancangan asal pembangunan terbabit adalah berasaskan konsep pembangunan bersepadu, merangkumi Rumah Selangorku serta mempunyai kedai pejabat, stesen minyak dan pusat penjaja rehat dan rawat (R&R).

 

Categories
SELANGOR

Tingkat promosi Muzium Pertanian dan Perikanan, tarik pelancong hadir

OLEH AFIX REDZUAN

SABAK BERNAM, 9 NOV: Muzium Pertanian dan Perikanan, Sabak Bernam perlu diperbaiki serta dipromosi bagi meningkatkan kehadiran pengunjung.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Ahmad Mustain Othman berkata, potensi pelancongan boleh diterokai di kawasan itu memandangkan banyak peralatan pertanian dan perikanan bersejarah boleh dipamerkan jika dua industri itu diasingkan.

“Kita minta promosi untuk muzium ini diperluaskan supaya masyarakat boleh melihat produk pelancongan yang ada di sini.

“Kawasan pesisir pantai (Sungai Bernam) banyak tempat menarik tetapi sehingga kini tidak dipromosi dan dibangunkan. Saya menyeru supaya ia dimajukan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, beberapa kerosakan seperti siling bangunan perlu dibaiki segera selain kerja memperindah kawasan dapat mencantikkan lagi kawasan setempat.

Categories
SELANGOR

Lebuhraya Pesisiran Pantai Bara bakal cipta peluang pembangunan di Sabak Bernam

OLEH AFIX REDZUAN

SABAK BERNAM, 9 NOV: Pembangunan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (LPPB) yang dijangka beroperasi tahun hadapan akan membuka lebih banyak ruang pembangunan ekonomi bagi penduduk Sabak Bernam.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penduduk setempat perlu bersedia menghadapi perkembangan ini atau tertinggal kerana enggan melakukan perubahan sikap.

“Dengan siapnya LPPB, saya percaya pembangunan akan berjalan, di kawasan sekitar.

“Jika penduduk sekitar tidak berubah sikap, kemungkinan kita akan tertinggal daripada arus kemajuan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung rumusan hasil Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang berlangsung, di Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), pagi tadi.

Katanya, perkembangan industri sekitar akan membolehkan MDSB menambah kutipan hasil serta mempertingkat mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Keadaan itu bakal menyelesaikan masalah kekurangan hasil yang sering dihadapi beberapa majlis daerah.

“Jika perbandaran masuk ada beberapa cas yang akan dikenakan dan menuntut penjelasan. Mereka (penduduk) perlu bersedia.

“Kalau nak dapat perkhidmatan lebih baik, maka majlis daerah tidak boleh dihalang untuk mengutip hasil ini seperti mahukan anak tetapi tidak mahu isteri mengandung. Itu susah,” katanya.

Categories
SELANGOR

Beri lesen pendudukan sementara buat pengusaha kolam udang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SABAK BERNAM, 7 NOV: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam sedia mempertimbangkan lesen pendudukan sementara terhadap pengusaha kolam udang, di daerah itu, sebagai suatu bentuk mekanisme baharu bagi mengutip hasil cukai.

Pegawai Daerahnya, Nasir Mamat berkata, pihaknya akan memberi pajakan tapak tanah kepada mereka yang berminat untuk mengusahakan kira-kira 15 kolam udang, di daerah berkenaan.

Katanya, walaupun tanah terbabit adalah milik penuh Kerajaan Negeri tetapi pihaknya sudah diberi kebenaran berbuat demikian.

“Kita tidak mahu melihat tanah berkenaan terbiar begitu sahaja, jadi lebih baik kita memajak kepada mana-mana pengusaha yang berminat untuk memajukan kolam udang.

“Malah, Kerajaan Negeri juga turut mengarahkan semua pejabat daerah supaya meningkatkan lagi kutipan hasil tanah,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, memandangkan PDT dan Majlis Daerah Sabak Bernam saling berkait rapat antara satu sama lain, maka setiap perancangan harus bergerak seiring dengan memperkemas peranan ke arah memajukan daerah berkenaan, khususnya dalam sektor pertanian.

“Kami menyokong usahakemajuan di daerah ini kerana apabila maju, sudah tentu hasilnya kembali kepada daerah dan hasil daripada cukai tanah itu disumbangkan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pertembungan 3 penjuru di Sabak Bernam

SABAK BERNAM 28 APR: Pertembungan tiga penjuru berlaku kerusi Parlimen Sabak Bernam dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Air Tawar dan Sabak.

Hingga tempoh penyerahan borang pencalonan tamat, penyandang kerusi Sabak Bernam, Datuk Mohd. Fasiah Mohd Fakeh akan ditentang calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Warno Dogol dan calon PAS, Muhammad Labib Abdul Jalil.

Bagi kerusi Sungai Air Tawar pula, calon Barisan Nasional (BN) Rizam Ismail akan berhadapan calon Zamri Yahya (PAS) dan  Mohd. Hamizar Sulaiman mewakili PAKATAN.

Sementara bagi DUN Sabak, calon BN, Sallehuddin Mohd Iskan menyampaikan borang pencalonan bagi berhadapan dengan penyandangnya, Sallehen Mukhyi dari PAS dan calon PAKATAN, Mustain Othman.

 

Categories
SELANGOR

Lebih 4,000 meriahkan Karnival Sihat Sabak Bernam

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 15 OKT: Lebih 4,000 menyertai Karnival Sihat Selangor (KSS) Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), di Stadium Mini Sungai Besar, di sini, semalam.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, kebanjiran itu menunjukkan rakyat semakin dekat dengan aktiviti riadah dan amalan gaya hidup sihat.

Katanya, ia selaras objektif Kerajaan Negeri bagi menggalakkan aktiviti senaman yang mudah dan murah serta mampu dilakukan semua.

“Kita mahu galakkan rakyat untuk amalkan gaya hidup sihat dengan menekankan kempen jalan kaki 10,000 langkah dan berbasikal.

“Sejak empat tahun lalu, kita dapat lihat ia semakin mendapat tempat dan menerima sambutan menggalakkan dalam kalangan rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Daroyah berkata, program di Sabak Bernam itu merupakan penganjuran ke-lapan KSS untuk tahun ini.

“Kita ada empat lagi bagi melengkapkan jelajah KSS di kesemua 12 Pihak Berkuasa Tempatan.

“Kerajaan Negeri yakin, seperti sebelumnya, KSS akan terus menerima sambutan meriah,” katanya.

Selain acara Berjalan Kaki 10,000 Langkah, turut diadakan Program Bantuan Sihat Selangor, Kempen Derma Darah, Pemeriksaan Kesihatan Percuma dan Malam Kebudayaan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Seminggu tunai janji bantu pesawah

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 7 APR: Kerajaan Negeri hanya mengambil masa tujuh hari untuk menunaikan janji membantu 8,950 pesawah yang terjejas ekoran serangan penyakit hawar daun (BLB).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bantuan pantas itu diberikan selepas mengambil kira ‘keparahan’ ditanggung pesawah kerana pendapatan terjejas sehingga 60 peratus.

Katanya, ia juga bukti Kerajaan Negeri tidak pernah berjanji kosong sebaliknya komited membantu rakyat memerlukan.

PESAWAH SABAK BERNAM (6)“Kita tidak mahu menjadi seperti sebelah sana, kata sahaja mahu memberi bantuan dengan peruntukan mencecah angka juta, empat bulan lepas janji.

“Malangnya sehingga kini, ‘angin’ pun tiada yang sampai kepada pesawah,” katanya di hadapan lebih 500 yang hadir pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kepada Pesawah di Parit 10, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, setiap lot menerima bantuan dalam bentuk pakej benih padi CL2 (padi kebal) dan racun bernilai RM960.

“Diharap dengan bantuan ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terjejas. Dengan ini, pesawah juga diharap dapat memulakan penanaman semula seterusnya meningkatkan kembali hasil pendapatan mereka,” katanya.

Pada 31 Mac lalu, Mohamed Azmin ketika sesi penggulungan di Dewan Negeri Selangor mengumumkan RM8.5 juta diluluskan bagi membantu pesawah yang terjejas di Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Pada 5 Disember 2016, serangan BLB dilapor menyebabkan hasil sawah padi seluas 3,700 hektar musnah dengan kerugian hampir RM5 juta.

Serangan itu dikatakan paling teruk berlaku pada musim kedua tahun ini selepas serangan terakhir, pada 2013.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Warga Sabak Bernam gembira sikap peduli rakyat Kerajaan Negeri

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 19 MEI: Penantian masyarakat Sabak Bernam yang menginginkan perkhidmatan pengangkutan awam percuma berakhir dengan pelancaran Bas Smart Selangor, di daerah itu, pada 18 Mei lalu.

Pesara, Mohd Shahrir Ismail, 57, berkata beliau tidak menyangka dapat merasai inisiatif disediakan Kerajaan Negeri itu di kawasan luar bandar.

CP2A5650-640x426“Ingatkan tiada siapa peduli kami di luar bandar ini kerana biasanya pembangunan tertumpu di bandar.

“Ternyata keadaan itu berbeza di Selangor. Terima kasih kerajaan yang peduli rakyat,” katanya kepada Selangor Kini.

Lebih 40 tahun bergelar anak jati Sungai Besar, N Ananthan, 67, berkongsi pengalaman menggunakan perkhidmatan percuma itu.

“Memang puas hati dengan keadaan bas yang serba baru, selesa dan mesra OKU serta warga emas.

BAS PERCUMA SABAK BERNAM“Diharap promosi diperhebat supaya warga Sabak Bernam tahu adanya bas percuma,” kata bapa kepada enam anak itu.

Sementara itu, guru pra sekolah, Hasnah Johari, 52, pula menyifatkan kehadiran Bas Smart Selangor tepat pada masanya.

“Dengan ini, rakyat terutama mereka berpendapatan rendah beroleh manfaat seterusnya dapat berjimat. Mereka dapat menjimatkan kos untuk ke sekolah, tempat kerja dan lokasi lain,” katanya.

-NFN-

Selangor hilang hasil RM41.7 juta untuk pengecualian cukai


Selangor hilang hasil RM41.7 juta untuk pengecualian cukai