Categories
AGENDA NASIONAL

Calitan tidak sakit, penduduk sambut baik saringan percuma Covid-19

SABAK BERNAM, 25 FEB: Penduduk di sini menyambut baik saringan Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri kerana membantu golongan kurang mampu memeriksa tahap kesihatan mereka.

Pesara kerajaan, Mohd Ghaus Abd Manap, 63, berkata bimbang dengan peningkatan kes wabak kebelakangan ini, beliau memberanikan diri menghadiri saringan tersebut.

“Inisiatif yang bagus kerana ujian ini secara percuma berbanding dikenakan bayaran jika buat saringan di klinik. Kita bimbang sebab wabak Covid-19 ini tidak nampak,” katanya pada program Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 di Stadium Mini Sungai Besar hari ini.

Pesara kerajaan Mohd Ghaus Abd Manap

Mohd Ghaus yang kali pertama melakukan ujian calitan berkata kegelisahannya selama ini reda selepas mendapati ia tidak menyakitkan.

“Ini pertama kali saya buat saringan. Rasanya tidak sakit dan semuanya ok sebab sebelum ini ramai orang kata sakit,” katanya.

Pandangan sama turut diutarakan pekerja kedai perabot, Alinda Kadir, 35, yang hadir bersama rakannya.

Pekerja kilang perabot Alinda Kadir

Alinda berkata proses pengambilan sampel sedikit memedihkan tetapi tahap kesihatan lebih penting bagi memastikan beliau tidak dijangkiti wabak.

Sementara itu, pekerja kilang beras, Adira Ismail, 30, berkata syarikatnya memutuskan semua kakitangan kira-kira 90 orang menghadiri saringan berperingkat hari ini.

Beliau yang bekerja di kilang beras berkata setakat ini tiada sebarang kes positif direkodkan di tempat kerjanya selain menyambut baik saringan percuma itu.

Pekerja kilang beras Adira Ismail

“Syarikat menetapkan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat kepada semua kakitangan termasuk menggunakan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

“Kita juga menekankan aspek keselamatan dengan menjaga jarak fizikal memandangkan ada kakitangan yang bertugas di luar untuk menghantar bekalan beras dan bertemu orang ramai,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan percuma Covid-19 di Sabak Bernam fokus pekerja industri

SABAK BERNAM, 25 FEB: Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar diteruskan hari ini di Stadium Sungai Besar dengan tumpuan kepada pekerja industri sekitar Sabak Bernam.

Program secara percuma mulai jam 8 pagi hingga 5 petang turut menggabungkan sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi mengawal penularan wabak.

Pengurus Operasi Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir menyasarkan kehadiran seramai 1,500 peserta dengan 400 orang mendaftar setakat tengah hari.

“Saringan kali ini kita tumpu kepada sektor industri bagi mengelakkan penularan wabak dalam kalangan pekerja, malah mereka juga boleh membawa ahli keluarga,” katanya menambah terdapat 170 syarikat perindustrian beroperasi di daerah itu.

Beliau menjelaskan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut menyediakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) bagi pekerja asing yang mencarum pada saringan kali ini.

Mohd Noor berkata semua keputusan saringan akan dimaklumkan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dalam tempoh 24 jam.

Pada 20 Januari, Kerajaan Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung penularan wabak.

Sebelum ini, program sama dilaksana di Dewan Seksyen 19, Seksyen 7 dan Seksyen 25, Shah Alam, Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang serta Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sabak Bernam rekod kes harian Covid-19 terendah

SHAH ALAM, 13 FEB: Sabak Bernam kekal daerah yang merekodkan kes harian Covid-19 terendah di Selangor namun masih diklasifikasi sebagai zon merah.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata lapan kes dicatatkan di daerah tersebut hari ini berbanding dua yang dilaporkan semalam, Khamis (enam) dan Rabu (tiga).

Katanya, empat kes adalah di mukim Sabak dan mukim Sungai Panjang (tiga) manakala satu lagi kes import yang mendapat jangkitan dari Afrika.

“Daerah Petaling masih merekodkan kes paling tinggi dengan 486 kes, 177 daripadanya di mukim Petaling, mukim Damansara (174), mukim Sungai Buloh (92) dan mukim Bukit Raja (43).

“Daerah Klang mencatat 407 kes, lebih separuh iaitu 327 kes di mukim Kapar manakala mukim Klang (80),” menurutnya di Facebook.

JKNS berkata sebanyak 192 kes di daerah Hulu Langat iaitu mukim Ampang dan Cheras (74), mukim Kajang (29), mukim Semenyih (tujuh), mukim Hulu Langat (enam) dan mukim Beranang (dua).

Menurutnya, 77 daripada 120 kes di daerah Hulu Selangor pula dikesan melalui penularan dalam penjara manakala mukim Sungai Tinggi (36), mukim Serendah (enam) dan mukim Hulu Bernam (satu).

“Daerah Kuala Langat mencatat 59 kes dengan 27 kes di mukim Telok Panglima Garang, mukim Tanjung 12 (II) (15), mukim Tanjung 12 (I) (sembilan), mukim Bandar (enam) serta mukim Jugra dan Morib masing-masing (satu).

“Sebanyak 28 kes di daerah Kuala Selangor membabitkan 16 kes di mukim Ijok, mukim Bestari Jaya (lapan) serta mukim Kuala Selangor dan Tanjung Karang (satu). Manakala kes di daerah Sepang 23 dan Gombak (22),” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 2,000 keluarga di Sabak Bernam terima bantuan sekolah LZS

SHAH ALAM, 24 DIS: Sebanyak 2,049 keluarga di Sabak Bernam menerima bantuan persekolahan dengan peruntukan RM2,339,110, menurut Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi berkata bantuan dalam bentuk yuran dan peralatan keperluan pendidikan diserahkan kepada 317 keluarga asnaf daripada kategori fakir diikuti miskin (1,719) dan mualaf (13).

“Semoga dengan bantuan ini, anak-anak asnaf mampu mengikuti sesi persekolahan dengan baik dan sempurna.

“Diharapkan satu hari nanti mereka akan berjaya dan dapat mengubah nasib mereka dan keluarga, seterusnya menjadi pembayar zakat di Zakat Selangor,” katanya di Facebook.

Menurut LZS, sumbangan oleh kumpulan agihan zakat diketuai Ketua Operasi Agihan Daerah Sabak Bernam, Azizul Fitry Salam.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kerja ganti injap di Sabak Bernam selesai, bekalan air dijangka pulih 2 pagi

SHAH ALAM, 16 DIS: Kerja penggantian dan pemasangan injap di Jalan Besar Belia serta Parit 13, Sungai Panjang, Sabak Bernam selesai jam 8 malam ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pihaknya berusaha menstabilkan sistem agihan agar pengguna menerima bekalan air jam 8.30 malam ini.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya jam 2 pagi esok,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau juga menasihati pengguna membuka pili dan membiarkan air mengalir seketika sehingga ia jernih sebelum digunakan.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui laman web http://www.airselangor.com, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi pusat perhubungan Air Selangor di talian 15300.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Kerja ganti injap di Sabak Bernam siap 65 peratus

SHAH ALAM, 16 DIS: Kerja penggantian dan pemasangan injap di Jalan Besar Belia serta Parit 13, Sungai Panjang mencapai tahap 65 peratus setakat jam 4 petang.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan menjangka kerja tersebut siap sepenuhnya pada jam 8 malam ini.

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan terkini kerja-kerja berjadual ini dari semasa ke semasa,” kata Elina Baseri.

Beliau berkata penambahbaikan infrastruktur itu bagi memastikan sistem agihan bekalan air di Sabak Bernam pada tahap optimum demi keselesaan pengguna.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui laman web www.airselangor.com, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi pusat perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pengguna di Sabak Bernam dinasihat simpan air, kerja ganti injap

SHAH ALAM, 15 DIS: Pengguna di Sabak Bernam dinasihatkan menyimpan air ekoran gangguan bekalan berjadual di daerah itu bermula esok (Rabu) dan dijangka selama 16 jam, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Menurutnya, kerja penggantian dan pemasangan injap bermula pada jam 10 pagi dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 2 pagi pada 17 Disember (Khamis).

“Pengguna dinasihatkan agar menyimpan air secukupnya untuk kegunaan seisi rumah dan pastikan semua bekas simpanan ditutup,” kata agensi itu menerusi kenyataan di Facebook.

Pada 11 Disember lalu, Air Selangor memaklumkan gangguan bekalan air itu melibatkan 38 kawasan di Sabak Bernam susulan kerja-kerja penggantian enam unit injap di Jalan Besar Belia, Sungai Panjang dan pemasangan seunit injap baharu di Parit 13, Sungai Panjang.

Pelaksanaan kerja penggantian injap di paip agihan itu akan membolehkan sistem pengagihan bekalan air sentiasa berada dalam keadaan optimum.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com atau saluran komunikasi rasmi syarikat itu seperti aplikasi Air Selangor serta media sosial Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Sabak Bernam kembali ke zon hijau

SHAH ALAM, 14 NOV: Sabak Bernam kembali diisytihar sebagai zon hijau selepas merekodkan sifar kes aktif Covid-19, menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS).

Data tersebut menunjukkan Sabak Bernam menjadi satu-satunya daerah di Selangor yang tidak mencatat kes aktif wabak setakat ini.

Dua daerah berstatus kuning iaitu Kuala Selangor yang mengumpul 14 kes aktif dan Hulu Selangor (lima).

Sementara itu, Klang mencatat 582 kes aktif diikuti Hulu Langat (443), Petaling (353), Sepang (223), Kuala Langat (83) dan Gombak (70), menjadikan keenam-enam daerah berkenaan kekal dalam zon merah.

Semalam, Kes Covid-19 di Selangor antara yang tertinggi direkodkan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu dengan 364 jangkitan, tiga daripadanya kes import dari Arab Saudi.

Seramai 143 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sembuh sebanyak 5,424.

Angka kematian akibat pandemik itu kekal 27 orang susulan tiada korban terbaharu dilaporkan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tutup dua jalan rentas daerah di Sabak Bernam

SHAH ALAM, 15 OKT: Dua ‘lorong tikus’ di Sabak Bernam yang digunakan orang awam untuk merentas daerah ditutup bermula semalam selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata penutupan membabitkan laluan bawah jambatan menghubungkan Sabak Bernam dan Teluk Intan serta pusingan U di Bagan Nira.

“Kedua-dua laluan itu kini ditutup menggunakan penghadang konkrit dan pegawai serta anggota polis turut ditempatkan untuk melakukan pemantauan setiap masa,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Tambahnya, sepanjang tempoh PKPB hingga 27 Oktober ini, tiga sekatan jalan raya dilaksanakan iaitu di Sekinchan, Jalan Merbau Berdarah dan Jalan Bagan Nira

Bermula semalam, seluruh Selangor dikenakan PKPB selama 14 hari susulan peningkatan wabak Covid-19.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Ganti 1,177 hektar tanah jika hutan Kuala Langat dimajukan

KUALA LANGAT, 28 SEPT: Selangor menyediakan 1,177.31 hektar tanah sekiranya cadangan untuk memajukan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dilaksanakan.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata penggantian melibatkan Hutan Simpan Sungai Panjang, Sabak Bernam seluas 308.6 hektar, Hutan Simpan Sabak Bernam seluas 606.8 hektar dan hutan di Ampang Pechah, Hulu Selangor.

“Kesemua hutan yang diganti ini sudah mendapat kelulusan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 31 Januari lalu.

“Selain itu, Kerajaan Negeri pada ketika ini turut mempertimbangkan untuk meluluskan sebahagian lagi kawasan penggantian iaitu di Ampang Pechah, Mukim Buloh Telor, Hulu Selangor seluas 190.2 hektar, ia berpotensi menjadi hutan simpan kekal kerana kepelbagaian biodiversiti tinggi,” katanya.

Beliau ditemui ketika Sesi Pendengaran Awam Cadangan Pemansuhan Hutan Simpan Kuala Langat, Mukim Tanjung Dua Belas di Amverton Resort Pulau Carey hari ini.

Loy Sian berkata negeri ini sentiasa mengamalkan prinsip dan dasar terbuka untuk menerima bantahan bagi pertimbangan daripada aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar.

“Justeru, sesi pendengaran awam ini diadakan bagi meneruskan proses penyiasatan awam ke atas cadangan pemansuhan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan saya memohon supaya mereka yang mengemukakan bantahan menggunakan platform ini secara berhemah dan profesional,” katanya.

Hutan simpan itu diwartakan pada 13 Mei 1927 dengan keluasan asal 7,247 hektar tetapi kini keluasannya tinggal 957.6 hektar dan dikelilingi pelbagai pembangunan.

HSKLU ingin dibangunkan susulan kemajuan pesat di kawasan sekitarnya, termasuk projek perumahan Saujana Putra, Lebuhraya Elite, ladang Boh Bukit Cheeding dan Gamuda Cove.

Proses penukaran status tanah dibuat mengikut Seksyen 11 (b) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 yang membenarkan negeri mengeluarkan kawasan hutan simpan jika mendapati ia ada kegunaan ekonomi yang lebih tinggi.

Kerajaan Selangor bagaimanapun perlu menggantikan hutan simpan kekal di tanah lain yang lebih kurang sama saiznya seperti diperuntukkan dalam Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sabak Bernam daerah kedua diisytihar zon hijau

SHAH ALAM, 9 MEI: Sabak Bernam menjadi daerah terbaharu di Selangor dikategorikan sebagai zon hijau susulan tiada pertambahan kes aktif Covid-19 hari ini.

Daerah itu yang mencatatkan sifar kes di semua mukim menjadi kawasan kedua berada dalam zon tersebut selepas Kuala Langat.

“Mukim Pasir Panjang menjadi mukim ke-33 berstatus zon hijau manakala mukim Hulu Langat pula bertambah baik ke zon kuning. Tahniah dan syabas semua,” tulis Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Twitter malam ini.

Lima daerah berada dalam zon kuning iaitu Kuala Selangor (13), Klang (15), Hulu Langat (33), Hulu Selangor (tiga) dan Sepang (satu) manakala zon merah ialah Petaling (62) dan Gombak (79).

Sementara itu, STFC mengingatkan orang ramai untuk mematuhi amalan norma baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai walaupun situasi semakin baik.

Katanya, penjarakan sosial, kebersihan diri, memakai pelitup muka dan mengimbas SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) seharusnya dijadikan tabiat baharu untuk rakyat Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lima keluarga dapat rumah baharu menjelang Aidilfitri

SHAH ALAM, 9 MEI: Lima keluarga di Sabak Bernam boleh meraikan Aidilfitri dengan lebih meriah tahun ini apabila menerima rumah sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam.

LZS dalam hantaran di Facebook memaklumkan sebanyak RM400,000 diperuntukkan bagi membina rumah baharu kepada asnaf fakir miskin di daerah berkenaan.

“Dengan bantuan rumah baru ini, keluarga asnaf tersebut dapat menikmati keselesaan tempat berlindung dan berteduh lebih-lebih lagi dalam suasana Ramadan serta Syawal bakal menjelma.

“Semoga bantuan ini dapat dimanfaat dengan sebaiknya dan meningkatkan lagi rasa syukur serta ketaqwaan kepada Allah SWT,” kata agensi itu.

Penyerahan kunci rumah baharu disempurnakan ketua operasi agihan LZS Sabak Bernam, Azizul Fitry Salam.