Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan percuma mahu cegah kluster ziarah Syawal

HULU LANGAT, 10 MEI: Program Saringan Komuniti secara percuma anjuran Kerajaan Negeri bertujuan mengekang perebakan Covid-19 sempena Syawal, kata Pengurus Klinik Selcare.

Mohd Noor Md Nasir berkata kebimbangan itu bersandarkan fakta sebanyak 80 peratus pesakit Covid-19 yang hadir melakukan saringan sebelum ini didapati tidak bergejala.

“Keputusan Kerajaan Persekutuan memberi kelonggaran ziarah Hari Raya Aidilfitri menimbulkan sedikit kebimbangan tercetus kluster baharu.

“Justeru kita menggesa masyarakat manfaatkan insiatif saringan percuma di setiap DUN,” katanya pada Program Saringan Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua di Dewan Orang Ramai Titiwangsa di sini, hari ini.

Beliau berkata saringan percuma diteruskan di DUN Lembah Jaya (Dewan Lembah Jaya) dan DUN Pandan Indah (Dewan MPAJ) esok.

Pada 4 Mei, Kerajaan Persekutuan mengumumkan ziarah hari raya bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran 15 tetamu.

Ziarah hari raya bagi PKP Bersayarat dan PKP Pemulihan dibenarkan pada 1 sehingga 3 Syawal, masing-masing terhad 20 serta 25 tetamu.

Jumlah tetamu tersebut mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Tiada alasan tolak saringan percuma Covid-19

BANGI, 9 MEI: Masyarakat seharusnya mengambil peluang melakukan saringan Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata tiada alasan untuk mereka tidak berbuat demikian memandangkan insiatif itu diperluas ke seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud

“Tiada alasan untuk mereka tidak mahu membuat saringan memandangkan kita telah melaksanakan program ini secara percuma dan terbuka kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Serbaguna, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi hari ini.

Dr Siti Mariah turut melahirkan kekecewaan apabila wujud segelintir individu ambil sikap tidak acuh dengan keluar ke tempat awam tanpa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal Mazwan Johar

“Saya tidak pasti sama ada mereka ini tidak faham atau degil sedangkan kes semakin mencanak tetapi masih ada yang keluar ke tempat awam membawa kanak-kanak bawah 12 tahun,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal Mazwan Johar menggesa orang awam mengambil langkah pencegahan dengan melakukan saringan Covid-19.

“Saya tahu ada individu yang takut untuk disaring sedangkan jika kita ambil pendekatan melakukan saringan, kita boleh tahu status kesihatan dan tindakan seterusnya jika dijangkiti,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hampir 3,000 daftar saringan percuma di Balakong, Sungai Ramal

BANGI, 9 MEI: Hampir 3,000 individu membuat prapendaftaran saringan percuma Covid-19 menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) hari ini.

Pengurus Klinik Selcare berkata seramai 1,550 individu mendaftar di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Balakong setakat tengah hari tadi, manakala 1,200 di Dewan Serbaguna, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir

“Jumlah pradaftar amat memberangsangkan malahan peningkatan lebih baik berbanding semalam. Kita harap masyarakat tidak melepaskan peluang ini untuk hadir dan buat saringan kerana proses pun tidak lama, memadai hanya tiga minit sahaja,” kata Mohd Noor Md Nasir.

Beliau berkata demikian pada program Saringan Komuniti Covid-19 yang diadakan di Dewan Serbaguna, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi di sini.

Menurutnya, orang ramai mula beratur seawal jam 7.45 pagi sekali gus membuktikan tahap kesedaran semakin baik.

“Anda tidak perlu takut sebaliknya perlu mengambil peluang ini untuk tahu status kesihatan dan pada masa sama kita boleh mengambil langkah berwaspada,” katanya.

Kerajaan Selangor mengadakan program pengawasan bagi mengenal pasti kes aktif Covid-19 di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program saringan dimulakan sekitar Kajang dan Semenyih dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk Sungai Ramal, Balakong digalak sertai saringan percuma esok

SHAH ALAM, 8 MEI: Penduduk sekitar Sungai Ramal dan Balakong digalak menyertai program Saringan Komuniti percuma esok bagi mengesan jangkitan Covid-19.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata saringan diadakan di Dewan Orang Ramai Seksyen 7 dan Dewan Orang Ramai Kampung Baru Balakong bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Pendaftaran boleh dibuat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my,” kongsinya di Facebook.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri bermula hari ini hingga 10 Jun.

Program di bawah fasa mitigasi pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan percuma di Kajang, Semenyih kesan 116 kes Covid-19

SHAH ALAM, 8 MEI: Seramai 116 individu disyaki positif Covid-19 selepas menjalani Saringan Komuniti percuma di Kajang dan Semenyih hari ini.

Pengurus Klinik Selcare memaklumkan jumlah itu merangkumi 85 orang di Kajang manakala 31 lagi di Semenyih.

“Mereka ini antara 1,681 individu membuat saringan komuniti percuma anjuran Kerajaan Selangor bermula 9 pagi hingga 4 petang tadi.

“Jumlah ini merangkumi 1,052 individu di Kajang dan 629 lagi di Semenyih,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika dihubungi.

Beliau turut memaklumkan daripada 1,681 individu yang membuat saringan, seramai 1,422 membuat pendaftaran melalui Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Baki 259 lagi melakukannya secara manual iaitu dibantu oleh petugas Selcare di lokasi,” katanya.

Kerajaan Selangor mengadakan program pengawasan bagi mengenal pasti kes aktif Covid-19 di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program hari ini berlangsung di dua lokasi iaitu di Dewan Cempaka, Saujana Impian, Kajang dan Dewan Orang Ramai Bandar Rinching Semenyih.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kesan kes aktif, penduduk digalak sertai saringan percuma

SHAH ALAM, 6 MEI: Penduduk Pandan Indah, Ampang digalak menyertai saringan Covid-19 secara percuma pada 11 Mei ini bagi mengekang penularan Covid-19.

Wakil rakyatnya Ir Izham Hashim berkata inisiatif untuk mengenal pasti kes secara aktif berlangsung di Dewan Perbandaran Ampang Jaya mulai jam 9 pagi.

“Wabak tersebut masih aktif dalam komuniti kita, oleh itu saya amat galakkan penduduk untuk sertai saringan percuma ini. Jika sudah sertainya, kita sendiri berasa lebih yakin dan selamat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata penduduk juga boleh memilih tujuh lokasi saringan lain sekitar Hulu Langat antaranya
Dewan Orang Ramai Bandar Rinching dan Dewan Orang Ramai Taman Mesra, Kajang pada 8 Mei.

Sementara pada 9 Mei, ujian Covid-19 berlangsung di Dewan Seksyen 7 Bandar Baru Bangi dan Dewan Orang Ramai Kampung Baru Balakong.

“Pada 10 Mei pula di Dewan Komuniti Pandan Mewah, Ampang dan Dewan Orang Ramai Titiwangsa Hulu Langat manakala Dewan Lembah Jaya, Ampang pada 11 Mei,” kata Ir Izham.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu memanfaatkan rakyat Selangor yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bakal pengantin ambil peluang jalani saringan Covid-19 percuma

AMPANG, 29 MAC: Demi mematuhi syarat kebenaran akad nikah, sepasang bakal pengantin tidak mensia-siakan peluang menjalani saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri.

Farid Ashraf Kamarozaman, 24, berkata dia dan pasangan Nik Nur Nasuha Izzati Hashim, 22, perlu membuat ujian itu sebelum melangsungkan perkahwinan Sabtu depan.

Farid Ashraf Kamarozaman

Menurutnya, inisiatif itu menjimatkan kos perkahwinan memandangkan caj saringan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) yang dikenakan di klinik swasta agak membebankan.

“Tatacara perkahwinan sekarang sedikit rumit sebab kena buat saringan dan laporan perlu dikemukakan kepada jurunikah masjid sebelum tarikh akad nikah.

“Kebetulan, ada kenalan memaklumkan Kerajaan Negeri menganjurkan saringan percuma di sini, jadi saya terus ajak bakal isteri untuk turut serta.

“Kami berharap keputusan saringan memuaskan. Kalau diikutkan risau juga kalau positif Covid-19, majlis tidak dapat berlangsung. Bagaimanapun, didoakan semua dipermudahkan,” katanya.

Tumiran Kassim

Terdahulu, pasangan terbabit antara kira-kira 212 individu yang menyertai Saringan Komuniti di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Kampung Pandan semalam.

Bagi pasangan warga emas Tumiran Kassim, 71, dan Noormah Idrus, 64, mereka menjalani saringan itu sebagai langkah berjaga-jaga berikutan wabak Covid-19 mudah menjangkiti golongan berusia.

Tumiran berkata dia terdetik melakukan saringan apabila memikirkan penyakit asma dihidapinya manakala isteri pula darah tinggi.

“Kalau orang lain yang umur sebaya kami pun boleh buat saringan, mengapa tidak kami? Jadi, selepas melihat gegantung program tersebut berhampiran rumah, saya bawa isteri datang,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan Covid-19 percuma di Kampung Pandan hari ini

SHAH ALAM, 28 MAC: Penduduk Kampung Pandan, Ampang dan sekitarnya boleh menyertai Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma yang bermula pada jam 9 pagi ini.

Saringan yang diadakan di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Jalan H, Kampung Pandan akan berlangsung sehingga jam 4 petang.

Program anjuran Kerajaan Negeri mensasarkan 500 individu disaring, justeru penduduk sekitar Pandan Indah, Pandan Mewah, Bandar Baru Ampang, Kampung Pandan dan Taman Kosas digalak menghadirinya.

Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti secara percuma di seluruh Selangor untuk membendung wabak.

Program menyasarkan penglibatan 50,000 penduduk meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selcare cadang buat saringan Covid-19 waktu malam sepanjang Ramadan

KAJANG, 27 MAC: Klinik Selcare bercadang melaksanakan program Saringan Komuniti secara percuma pada waktu malam sepanjang Ramadan ini.

Pengurus Mohd Noor Md Nasir berkata perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat bersama Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) dalam masa terdekat.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir

“Kita kena berbincang lebih lanjut sama ada untuk teruskan (saringan) atau berehat sementara. Jika mahu dilaksana perlu lihat kesesuaian masa dan mungkin pada waktu malam.

“Jika dilakukan waktu malam ia bergantung pada situasi semasa memandangkan solat tarawih di masjid serta surau sudah dibenarkan, jadi kita kena mempertimbang sama ada orang ramai boleh keluar ke saringan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri di Jalan Medan Belimbing, Seri Kembangan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Noor memaklumkan sebanyak 500 sampel kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dijangka diambil melalui saringan hari ini yang dijadual berakhir jam 4 petang.

Menurutnya, sasaran itu mengambil kira kehadiran masyarakat setempat termasuk pekerja industri berhampiran yang mencecah 150 orang setakat jam 12 tengah hari.

“Walaupun bermula jam 9 pagi, tetapi mereka beratur seawal jam 8 pagi untuk menjalani saringan dan ini membuktikan kesedaran masyarakat di sini sangat tinggi.

“Malah, mereka bersedia lebih awal dengan membuat prapendaftaran melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sekali gus membantu mempercepatkan lagi proses saringan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan Komuniti percuma diteruskan di Seri Kembangan hari ini

KAJANG, 27 MAC: Program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri diteruskan hari ini di Jalan Medan Belimbing, Seri Kembangan bagi mencegah penularan Covid-19.

Penduduk dan pekerja industri berhampiran Taman Belimbing, Bandar Damai Perdana, Taman Juara Jaya dan Kampung Baru Balakong mula beratur seawal jam 8.30 pagi untuk menjalani saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Mereka yang hadir mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan menyukat suhu badan.

Saringan dikendalikan 30 petugas kesihatan Klinik Selcare serta dibantu Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret).

Lokasi saringan dikawal ketat anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perwakilan Penduduk Zon 6 bagi memastikan tiada pelanggaran SOP.

Pada 20 Januari, Kerajaan Selangor menerusi Pakej Kita Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan saringan percuma di seluruh negeri untuk membendung penularan wabak.

Antara lokasi penganjuran ialah di Dewan Seksyen 19, Seksyen 7 dan Seksyen 25, Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya; Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam; Dewan Serbaguna MPSJ, Bandar Bukit Puchong dan Taman Batu Tiga, Subang Jaya.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas, kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

1,000 disasar hadir saringan percuma di Kampung Pandan, Seri Kembangan

SHAH ALAM, 24 MAC: Seramai 1,000 individu disasar menghadiri program Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di Seri Kembangan dan Kampung Pandan pada hujung minggu ini.

Pengurus Klinik Selcare berkata saringan diadakan di Jalan Medan Belimbing, Taman Bukit Belimbing pada Sabtu manakala Ahad di Dewan Serbaguna MPAJ, Jalan H Kampung Pandan.

“Kita menyasarkan 500 individu di setiap lokasi, orang ramai disaran memanfaatkan saringan percuma untuk mengekang perebakan Covid-19,” kata Mohamad Noor Md Nasir kepada SelangorKini hari ini.

Pemilihan lokasi program saringan dibuat berdasarkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengenal pasti serta meramal sebaran wabak.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my.

Pada tahun ini sejumlah RM6 juta diperuntuk bagi meneruskan saringan secara percuma di kawasan berkepadatan tinggi serta menyasarkan golongan berpendapatan rendah.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB ajak penduduk Kuala Langat sertai saringan percuma Sabtu ini

SHAH ALAM, 18 MAC: Penduduk sekitar Kuala Langat dijemput menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma pada Sabtu ini.

Dato’ Menteri Besar  Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program yang bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang diadakan di Dewan Orang Ramai Telok Panglima Garang.

“Warga Kuala Langat yang menetap di kawasan berhampiran dijemput untuk menjalani ujian saringan Covid-19 percuma di Dewan Orang Ramai Telok Panglima Garang, pada 20 Mac ini,” tulisnya di Twitter.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my.

Selain di Kuala Langat, saringan serupa diadakan di Dewan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Ahad dalam waktu yang sama.

Sebelum ini, program tersebut dilaksanakan serentak di Dewan Serbaguna MPSJ, Bandar Bukit Puchong dan Taman Batu Tiga, Subang Jaya pada 13 Mac.

Manakala, pada 14 Mac ia diteruskan lagi di Dewan Seroja MBSA Seksyen 27, Shah Alam dan Dewan Serbaguna MPSJ, USJ 7.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.