Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk Mentari Court selesai disaring, vaksin diberi elak PKPD berulang

SHAH ALAM, 6 JULAI: Dato’ Menteri Besar bersyukur apabila 9,007 penduduk Pangsapuri Mentari Court PJS 8 yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selesai disaring.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kini seramai 1,553 penghuni bakal diberi suntikan vaksin bagi memastikan mereka tidak perlu melalui PKPD sekali lagi selain penularan wabak dalam komuniti dapat ditamatkan.

“Semalam saya telah meninjau pelaksanaan PKPD di Mentari Court, Daerah Petaling. Pelaksanaan ini amat mencabar kerana penyediaan keperluan kepada hampir 17,000 penduduk.

“Alhamdulillah, semua penduduk yang terlibat telah disaring dan kini fasa seterusnya iaitu pemberian vaksin,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau turut menjelaskan pemberian vaksin di pangsapuri yang dikenakan PKPD sejak 1 Julai lalu adalah yang pertama seumpamanya di negara ini.

“Kita berharap agar model ini dapat dilaksanakan di beberapa kawasan lain mengikut kesesuaian,” tambahnya.

Amirudin juga mengucapkan terima kasih kepada semua petugas dari pelbagai agensi persekutuan dan negeri yang terlibat dalam pelaksanaan PKPD berkenaan.

Semalam, Seramai 1,553 penduduk Pangsapuri Mentari Court menjadi kumpulan pertama dalam negeri ini menerima vaksin jenis Pfizer dalam kawasan PKPD selepas lebih 500 kes Covid-19 dikesan.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu dilaksana bagi memastikan penularan wabak dalam komuniti dapat diputuskan sekali gus mengelak PKPD berulang.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM saring 17,000 penghuni Mentari Court

SHAH ALAM, 5 JULAI: Kira-kira 17,000 penghuni daripada 3,469 unit pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya menjalani saringan Covid-19 hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata saringan di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu itu sebagai langkah membendung penularan wabak.

“Petugas KKM melawat dari rumah ke rumah bagi memastikan semua penghuni menjalani ujian saringan sebagai langkah membendung penularan jangkitan di kawasan perumahan itu.

“Rancangan untuk memberi vaksin kepada penduduk di situ yang dijadual pada Ahad (semalam) terpaksa ditangguhkan sehingga ujian saringan selesai sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Program berkenaan mendapat kerjasama polis, tentera, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling selain pelbagai pihak turut menyumbang barang keperluan harian kepada setiap rumah.

Mentari Court antara lokaliti di Selangor yang dikenakan PKPD sejak 1 Julai lalu. Perintah sama turut dikenakan ke atas Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS dalam tempoh berkenaan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan percuma di DUN Hulu Kelang, Bukit Antarabangsa pada Ahad

SHAH ALAM, 23 JUN: Penduduk sekitar Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa disaran menyertai Saringan Komuniti Covid-19 pada 27 Jun.

Dato’ Menteri Besar berkata program secara percuma dijadual berlangsung di Dewan Serbaguna MPAJ AU5 mulai jam 9 pagi hingga 6 petang.

“Warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Bukit Antarabangsa dan sekitarnya disaran menjalani ujian Covid-19 percuma Ahad ini. Daftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Twitter.

Selepas kejayaan fasa kedua Saringan Komuniti yang disertai 97,565 penduduk, fasa tiga diteruskan ke DUN yang mencatat peratusan kes positif lebih lima peratus.

DUN tersebut ialah Kajang, Bukit Antarabangsa, Sungai Tua, Hulu Kelang, Gombak Setia, Taman Templer dan Seri Setia.

Saringan fasa tiga yang bermula pada 19 Jun menyasar 100,000 individu dengan tumpuan kepada lokasi jangkitan tinggi termasuk kawasan industri dan perkilangan.

Sejak diperkenalkan pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu, Selangor berjaya menyaring hampir 120,000 orang.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Paya Jaras setuju saringan rumah ke rumah, anggap langkah terbaik

SUNGAI BULOH, 26 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras menyokong hasrat Kerajaan Selangor untuk mengadakan saringan dari rumah ke rumah bagi mengekang penularan Covid-19.

Mohd Khairuddin Othman berkata pihaknya juga bersedia menawarkan bantuan bersesuaian untuk memastikan inisiatif tersebut berjalan lancar dan mencapai matlamat.

“Kita alu-alukan saringan melalui kaedah ini. Ia merupakan antara langkah terbaik dan kita sedia membantu,” katanya ditemui pada program Saringan Komuniti di Dewan MBSA Paya Jaras Tengah di sini.

Program pengawasan wabak di kawasan terbabit merekodkan lebih 3,000 peserta yang mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan hadir terus di lokasi.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata ujian Covid-19 dari rumah ke rumah mungkin dibuat sebaik selesai Saringan Komuniti di seluruh negeri pada 10 Jun.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pelaksanaan bergantung kepada jumlah tenaga kerja yang memerlukan antara 60 hingga 70 petugas.

Selangor menjadi negeri pertama memulakan saringan dari rumah bermula April tahun lalu bagi mengesan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan percuma, SELangkah antara usaha Selangor kawal Covid-19

SHAH ALAM, 18 MEI: Program Saringan Komuniti secara percuma di seluruh negeri antara sebahagian usaha Kerajaan Selangor bagi mengawal penularan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha lain termasuk penubuhan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor, aplikasi SELangkah dan Pakej Rangsangan Ekonomi.

“Tidak dinafikan kes di Selangor tinggi namun kadar kebolehjangkitan kita sentiasa bawah kadar nasional dengan usaha berterusan melaksanakan saringan percuma.

“Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha menangani Covid-19 walaupun menghadapi pelbagai kekangan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter.

Beliau turut menyeru penduduk sekitar Sungai Tua menyertai saringan esok di Dewan Seri Siantan dan Dewan Beringin di kawasan Gombak Setia mulai jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Jangan lepaskan peluang untuk menyertai saringan secara percuma esok. Daftar di aplikasi SELangkah, elakkan menjadi pembawa senyap yang mampu menjangkiti ahli keluarga tanpa disedari,” tambah Amirudin.

Kerajaan Selangor mengadakan program pengawasan bagi mengenal pasti kes aktif Covid-19 di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program saringan dimulakan sekitar Kajang dan Semenyih yang memberi peluang kepada rakyat berisiko, pernah menjadi kontak pesakit Covid-19, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selcare sedia saring pelajar IPT pulang ke kampus

HULU KELANG, 18 MEI: Klinik Selcare bersedia membuat saringan Covid-19 ke atas pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang pulang semula ke kampus selepas cuti hari raya.

Pengurusnya Mohd Noor Md Nasir berkata langkah itu bagi mengelakkan penyebaran wabak di kawasan kampus berikutan mereka pulang dari pelbagai kawasan berbeza.

“Kita khuatir ada pelajar datang dari kawasan merah dan jika tidak disaring kita bimbang mereka membawa masuk virus di kawasan itu.

“Sebagai contoh di Kuala Selangor kawasan hijau tetapi apabila pelajar pulang ke kampus ia bertukar menjadi merah jika kita tidak saring mereka dari awal,” katanya ditemui pada program Saringan Komuniti di Dewan Serbaguna MPAJ di sini.

Bagaimanapun, Mohd Noor berkata ujian hanya dibuat mengikut arahan dan keputusan Kerajaan Negeri.

Lebih 100,000 pelajar IPT yang tinggal di kampus pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat antara 7 hingga 12 Mei sempena sambutan Aidilfitri.

Mereka meliputi pelajar universiti awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti selepas mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Tarikh pulang semula ke kampus pula ditetapkan antara 15 hingga 20 Mei.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tolak tanggapan hanya bergejala perlu buat saringan

AMPANG, 12 MEI: Masyarakat harus menolak pemikiran hanya individu bergejala perlu membuat saringan bagi mengesan jangkitan Covid-19, kata pengurus Klinik Selcare.

Mohd Noor Md Nasir menjelaskan tanggapan itu kurang tepat berikutan 80 peratus kes dalam ujian sebelum ini membabitkan pesakit tanpa gejala.

“Persepsi sebegitu tidak tepat dan kita minta semua orang ada kesedaran buat saringan supaya mengetahui status kesihatan diri sama ada menjadi pembawa atau bukan.

“Tujuan saringan diadakan adalah bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat menyertainya dan tidak semestinya yang mempunyai gejala sahaja,” katanya.

Mohd Noor Md Nasir

Beliau ditemui pada program saringan Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan MPAJ Pandan Indah di sini semalam.

Mohd Noor menjelaskan risiko perebakan wabak dalam komuniti meningkat jika individu tanpa gejala bergerak bebas tanpa mengetahui status kesihatan mereka.

“Ia agak merisaukan lebih-lebih lagi apabila sektor ekonomi dibuka, individu tidak bergejala ini akan bebas bergerak dan ulang-alik dari tempat kerja.

“Jadi risiko untuk merebakkan kepada rakan sekerja dan masyarakat di amat tinggi memandangkan individu berkenaan tidak tahu dirinya adalah pembawa senyap,” katanya lagi.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN sejak 8 Mei hingga 10 Jun.

Saringan dimulakan di DUN Kajang dan Semenyih pada 8 Mei, Sungai Ramal dan Balakong (9 Mei) Teratai dan Dusun Tua (10 Mei) sebelum diteruskan di Lembah Jaya dan Pandan Indah semalam.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Program awasi Covid-19 di seluruh negeri mulai 8 Mei

SHAH ALAM, 4 MEI: Kerajaan Selangor mengadakan program pengawasan bagi mengenal pasti kes Covid-19 secara aktif di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program saringan dimulakan sekitar Kajang dan Semenyih dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

“Saringan percuma ini akan dilaksanakan di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) setiap hari meliputi seluruh 56 DUN yang terletak dalam Selangor.

“Program ini akan memberi manfaat dan peluang kepada rakyat yang berisiko, pernah menjadi kontak pesakit Covid-19, bergejala dan bimbang tentang status mereka,” katanya dalam kenyataan.

Amirudin berkata program permulaan Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 Negeri Selangor berikutan kenaikan kes yang tinggi dalam tempoh beberapa minggu.

Beliau menjelaskan situasi kian membimbangkan apabila ada dalam kalangan masyarakat tidak tahu dijangkiti virus kerana tidak bergejala dan sihat.

“Golongan ini amat merisaukan kerana mereka boleh menularkan dan menjangkiti kumpulan berisiko tinggi.

“Diharapkan rakyat akan mengambil langkah proaktif dengan menjalani saringan mengikut tarikh yang ditetapkan dan memainkan peranan untuk mengurangkan wabak Covid-19,” kata Amirudin.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung penularan wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Berikut senarai lokasi DUN dan tarikh Saringan Komuniti Covid-19:

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes pertama mutasi berganda dari India dikesan di Malaysia

SHAH ALAM, 2 MEI: Malaysia merekodkan kes pertama kemasukan varian Covid-19 dari India dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Adham Baba berkata mutasi itu dikenal pasti hasil analisis keseluruhan jujukan genom (WGS), selepas saringan dibuat di pintu masuk utama negara.

Katanya kes mutasi berganda yang difahamkan menyumbang hampir 60 peratus daripada penularan secara besar-besaran di India ketika ini dikesan menerusi seorang warga republik itu.

“Kita mengesan kes pertama varian India, dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1 menerusi kemasukan seorang kerakyatan India apabila melakukan saringan di Lapangan Terbang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya dalam kenyataan seperti dilapor BH hari ini.

Varian mutasi berganda, B.1.617.1 mula ditemui di India pada 27 April lalu dan laporan Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) mendapati ia menular di sekurang-kurangnya 17 negara di seluruh dunia, tiga hari kemudian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan mutasi berganda dari India itu mempunyai kadar pertumbuhan virus Covid-19 yang lebih tinggi, berbanding varian sedia ada di republik berkenaan, sekali gus dikhuatiri menjadi punca utama peningkatan jangkitan secara mendadak.

Sementara itu, Dr Adham berkata beberapa penemuan direkodkan berdasarkan laporan WGS membabitkan 59 genom dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi tempoh dari 24 April hingga semalam.

“Ini termasuk 30 lagi varian membimbangkan (VOC), iaitu 27 varian Afrika Selatan B.1.351 dan tiga varian United Kingdom, UK B.117, malah kita menemui varian mempunyai kepentingan (VOI), iaitu varian dari India, B.1.617.

“Malangnya, laporan IMR ini mengesahkan kes pertama VOC B.1.351 di Perak dan Kelantan, membabitkan kewujudan kluster dengan 10 kes positif di setiap negeri terbabit,” katanya.

Beliau berkata menerusi aktiviti pengesanan, KKM merekodkan tambahan tujuh kes varian B.1.351 dan dua varian UK B.1.1.7 di Selangor.

“Satu kes varian UK B.1.1.7 turut direkodkan di Sandakan, Sabah, membabitkan seorang warga asing, malah ini kes pertama varian dari UK dalam kalangan individu tanpa sejarah perjalanan ke luar negara dan berkemungkinan ia penularan tempatan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Saringan Covid-19 serendah RM50 di DUN Bandar Utama 5-7 Mac

PETALING JAYA, 3 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama menganjurkan saringan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) serendah RM50 kepada 500 penduduk terawal.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata program dengan kerjasama dua klinik swasta bermula 5 hingga 7 Mac ini di Pusat Komuniti Bandar Utama, Jalan BU 3/1, di sini.

“Perkhidmatan itu disediakan dari jam 2 hingga 5 petang. Kita mengalu-alukan orang ramai mengambil peluang ini dan bersama memerangi Covid-19 .

“Usaha ini bertujuan mengekang penularan wabak di samping mengurangkan beban masyarakat untuk membayar ujian saringan yang menelan kos tinggi,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Menurutnya penduduk perlu membawa kad pengenalan atau salinan bil utiliti untuk melayakkan mereka mendapat harga tersebut.

Katanya orang ramai juga berpeluang membuat kaedah saringan secara pandu lalu sejumlah RM70 yang mana memerlukan pra-pendaftaran terlebih dahulu.

“Mereka perlu berdaftar dengan menghantar WhatsApp taip #PKBU ke 012-471 1401 dan membayar sebelum 5 petang esok,” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan ujian itu juga terbuka kepada warga asing dengan kos serendah RM70.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan Komuniti fokus kawasan panas, rumah jagaan warga emas

SHAH ALAM, 21 FEB: Program Ujian Saringan Bersasar Komuniti diteruskan terutama di kawasan berisiko mempunyai jumlah kes positif berpotensi untuk melonjak serta kawasan seperti rumah penjagaan orang tua.

Dato’ Menteri Besar berkata lokasi saringan ditentukan berdasarkan data dan perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Pusat Kesihatan Daerah.

“Di Seksyen 19 Shah Alam baru-baru ini, 729 individu telah disaring. Semalam di Klang, hampir 400 individu telah disaring. Hari ini di Seksyen 7 hampir 600 individu telah disaring.

“Program saringan diteruskan esok (21 Februari) di PJS. Ujian saringan percuma ini adalah usaha menangani Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter malam tadi.

Hari ini, Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma diteruskan di Dewan (MBPJ) Kampung Lindungan PJS 6, Petaling Jaya.

Ujian bersasar anjuran Kerajaan Negeri mulai jam 9 hingga 4 petang menyasarkan penduduk sekitar PJS 5 hingga 10.

Grafik Twitter Amirudin Shari

Sebelum ini, program berkenaan turut dilaksanakan di Seksyen 25, Shah Alam dengan hampir 2,000 individu disaring pada 7 dan 8 Januari.

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di beberapa kawasan panas mulai 11 April 2020 bagi membendung penularan wabak. Turut dilaksana saringan secara pandu lalu.

Kaedah tersebut yang pertama di negara ini sebahagian usaha melandaikan keluk wabak dan mengesan lebih banyak kes terutama golongan berisiko tinggi.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Syarikat kecil guna peluang saringan percuma, jimat kos pekerja

SHAH ALAM, 20 FEB: Syarikat kecil menggunakan peluang saringan percuma yang dilaksana Kerajaan Negeri untuk menjimatkan kos perbelanjaan ketika pandemik Covid-19.

Shah Lehan Matzin

Pengurus Operasi Azam Merdu Sdn Bhd, Shah Lehan Matzin berkata kedudukan kewangan yang tidak menentu ketika ini mendorong beliau membawa pekerja seliaannya ke program saringan komuniti itu.

“Bagi syarikat kecil seperti kami, inisiatif sebegini amat melegakan kerana bayaran ujian Covid-19 di klinik swasta agak mahal.

“Tetapi sekiranya kami tidak menjalankan ujian terhadap pekerja, bimbang pula sekiranya kita tidak tahu sama ada pekerja dijangkiti wabak atau tidak, oleh sebab itu kami amat bersyukur ada program sebegini,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Saringan Komuniti Covid-19 di Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang kelmarin.

Tay Wei Loon

Perkara sama turut dilakukan Penyelia FP Reel Plating Sdn Bhd, Tay Wei Loon yang turut membawa 12 pekerja asingnya menjalani saringan.

“Saya sangat gembira apabila Kerajaan Selangor berbesar hati membantu penduduknya menjalani ujian percuma Covid-19. Semoga bantuan sebegini diteruskan sehingga kita berjaya mendapat vaksin,” katanya.

Mohd Shafiq Sukri

Bukan saja syarikat, malah pekerja seperti Mohd Shafiq Sukri juga menarik nafas lega setelah mengetahui status kesihatannya untuk bekerja.

Menurutnya, tidak dinafikan virus berkenaan sudah berada dalam komuniti membuatkan lebih ramai berjaga-jaga.

“Keadaan sedemikian memaksa saya untuk lebih peka ketika bekerja, jika saya tidak sihat, sudah tentu akan mendatangkan kesan kepada rakan sekerja lain,” katanya.