Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan Komuniti Covid-19 percuma bantu keluarga kurang mampu

SHAH ALAM, 17 FEB: Saringan Komuniti percuma Covid-19 yang dilaksanakan Kerajaan Negeri di Seksyen 19 hari ini membantu keluarga kurang berkemampuan dan menjimatkan kos.

Salah sebuah keluarga yang mengambil inisiatif berkenaan ialah Syed Mokhtar Syed Azhar, 40 yang turut membawa isteri dan dua anaknya yang masih bersekolah.

Syed Mokhtar Syed Azhar dan keluarganya menjalani Saringan Komuniti Covid-19 percuma di Dewan Tanjung Seksyen 19, Shah Alam pada 17 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau yang bekerja sebagai pemandu e-panggilan itu gembira apabila saringan percuma berkenaan meringankan beban ketua keluarga sepertinya.

“Disebabkan bekerja sebagai pemandu Grab, setiap hari saya bertemu dengan pelbagai pelanggan tidak kira orang tempatan ataupun warga asing. Setiap kali pulang bertemu keluarga, hati saya jadi risau, mungkin saya juga sudah membawa virus.

“Apabila Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan ada saringan percuma sebegini, saya terus ambil peluang bawa semua ahli keluarga dan buat saringan,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu ibu berusia 32 tahun, Nur Azrida Mohamed Shaari bimbang apabila dirinya menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19, baru-baru ini.

Dia yang tinggal bersama tiga anak lelaki yang masih kecil itu berasa bimbang sekiranya dijangkiti wabak berkenaan.

“Jika saya jalani ujian saringan di klinik swasta, sudah tentu kos akan mencecah sehingga RM200 dan ke atas, sekiranya saya bawa kesemua anak-anak, mungkin harganya lebih dari RM1,000.

“Tetapi dengan saringan percuma yang ditawar Kerajaan Negeri ini, kami sekeluarga menarik nafas lega kerana dapat jimatkan wang dan boleh guna untuk keperluan lain,” katanya.

Wan Khairul Ajib menjalani Saringan Komuniti Covid-19 percuma di Dewan Tanjung Seksyen 19, Shah Alam pada 17 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bagi Wan Khairul Ajib, 38, dari Bandar Saujana Putra secara kebetulan membuat ujian saringan berkenaan selepas membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Seksyen 19.

“Anak saya yang berusia enam tahun membuat pemeriksaan bulanan di klinik kesihatan, kemudian doktor nasihatkan kami ke program saringan terbabit kerana anak saya selesema.

“Oleh sebab percuma, akhirnya kami sekeluarga gunakan peluang yang disediakan Kerajaan Negeri ini. Semoga program sedemikian diteruskan untuk membantu lebih ramai keluarga yang kurang mampu,” katanya.

Kerajaan Selangor melaksanakan saringan Covid-19 berskala besar di beberapa kawasan panas mulai 11 April tahun lepas bagi membendung perebakan selain turut memperkenal saringan secara pandu lalu.

Kaedah tersebut yang pertama di negara ini sebahagian usaha melandaikan keluk wabak dan mengesan lebih banyak kes untuk tindakan susulan dan rawatan.

Semalam, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan ujian itu diteruskan di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang esok (18 Februari) pada waktu sama.

Mereka yang hadir diminta mendaftar di http://screening.selangkah.my bagi melancarkan proses.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah saringan Covid-19 ikuti tanda aras WHO

PUTRAJAYA, 16 FEB: Jumlah saringan Covid-19 bagi ujian RTK-Antigen dan RT-PCR yang dilakukan di seluruh negara masih berdasarkan tanda aras yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bercakap pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan tanda aras analisis ditetapkan ialah antara 10 hingga 30 kes negatif bagi setiap kes positif.

“Tanda aras kita adalah setiap kes yang positif kita perlukan sekurang-kurangnya 10 kes yang negatif jadi kalau kita laporkan sejumlah 2,176 kes positif Covid-19 semalam sepatutnya tanda aras kita 21,760 kes tapi semalam kita berjaya jalankan 41,895 ujian RT-PCR dan RTK-Antigen,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, ketika ini ada 23 makmal swasta dan 13 makmal di universiti yang menjalankan analisis sampel ujian.

Pada masa sama, musim sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini antara faktor jumlah saringan berkurangan ekoran makmal swasta kurang menjalankan ujian saringan Covid-19 kerana jumlah sumber manusia yang terhad dan jumlah orang ramai yang hadir juga menurun.

“Tambahan pula apabila ujian dijalankan yang positif dilaporkan manakala negatif adakalanya tidak dimasukkan dalam sistem lagi iaitu negatif tidak diberi keutamaan untuk dimasukkan ke dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

“Jadi, ia seolah-olah menunjukkan jumlah kes iaitu RT-PCR berkurangan, bagaimanapun kalau kita lihat kes RTK Antigen masih meningkat iaitu hampir 25,000 ujian yang dijalankan,” katanya sambil menambah purata ujian RTK Antigen dan RT-PCR adalah hampir mencecah 41,000.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau tahap kesihatan bekas pesakit Covid-19 dengan melakukan pemantauan jangka pendek, sederhana dan panjang.

– BERNAMA

 

Categories
ADN SELANGOR

DUN Kota Kemuning tawar khidmat saringan Covid-19 serendah RM70

SHAH ALAM, 10 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning menawarkan saringan Covid-19 pada kadar RM70 kepada masyarakat sekitar.

Wakil rakyatnya V Ganabatirau berkata usaha tersebut bagi mengekang penularan wabak di samping mengurangkan beban penduduk.

Jelasnya, program dengan kerjasama empat klinik swasta bermula hari ini sehingga 28 Februari dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

“Kita tahu harga untuk sekali saringan adalah tinggi, justeru mereka yang berminat boleh terus ke klinik atau hubungi untuk sebarang pertanyaan,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini, beberapa wakil rakyat negeri turut mengambil pendekatan sama sebagai salah satu usaha mengawal penularan wabak.

Senarai klinik terlibat ialah:

1.Klinik Metro
No 31, Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning,
40460 Shah Alam, Selangor
03-5131 3459

2.Klinik dan Surgeri Berjaya Park
No 39-G, Jalan Sungai Rasau,
F 32/F Berjaya Park, Seksyen 32,
40460 Shah Alam, Selangor.
03-5888 9938

3.Klinik Pro Medic
40, Jalan Anggerik Vanilla M 31/M, Kota Kemuning,
40460 Shah Alam, Selangor
03-5131 1101

4. Poliklinik Shaik
36-1, No, 8, Jln Anggerik Vanilla BE 31/BE, Kota Kemuning,
40460 Shah Alam, Selangor
03-5122 9030

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wakil rakyat dicadang anjur program saringan Covid-19

SHAH ALAM, 8 FEB: Semua wakil rakyat Selangor dicadang melaksanakan tajaan saringan di kawasan masing-masing bagi mengekang perebakan Covid-19.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor berkata inisiatif tersebut menggalakkan orang ramai yang menetap di lokasi berisiko tinggi serta kurang berkemampuan melakukan ujian.

“Perkara ini ada dibincang menerusi pertemuan Ahli Dewan Negeri (ADN) bersama EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud pada minggu lepas.

“Kita tahu kos melakukan ujian Covid-19 agak tinggi, justeru tawaran serendah RM50 diharap mendorong rakyat untuk melakukan saringan,” kata Elizabeth Wong yang juga ADN Bukit Lanjan kepada SelangorKini hari ini.

Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan berkongsi data terkini dari semasa ke semasa bagi memudahkan tugas wakil rakyat selain memastikan keberkesanan program saringan.

Pada Sabtu, Elizabeth bersama dua lagi wakil rakyat Pakatan Harapan (PAKATAN) iaitu Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menawarkan saringan Covid-19 pada harga serendah RM50.

Inisiatif sama turut dilaksanakan beberapa wakil rakyat negeri sebelum ini.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM sasar tingkat sehingga 200,000 saringan sehari

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti ujian Covid-19 di makmal seluruh negara sehingga 200,000 ujian sehari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, walaupun 68 makmal yang ada ketika ini telah mencapai 100 peratus kapasiti dengan lebih 76,000 ujian sehari, tetapi terdapat makmal swasta, makmal di hospital universiti dan hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh membantu meningkatkan kapasiti ujian.

“Dengan ‘unified command centre’ selain kita boleh gerakkan pesakit ke hospital tersebut adalah penting untuk makmal hospital-hospital ini membantu meningkatkan jumlah ujian kepada 150,000 hingga 200,000 dalam sehari agar lebih banyak sampel dapat kita uji,” katanya dalam sesi libat urus media darurat Covid-19 bersama Ketua Pengarah Kesihatan siri 2/201 secara dalam talian hari ini.

Sesi kali kedua itu turut disertai oleh Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh Datuk Dr C Suresh Kumar, Ketua Unit Virologi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr T Ravindran, Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Dr Hani Mat Hussin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan Perubatan KKM Dr Mohamed Ahsan Mohamed Ismail.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini, kapasiti ujian di hospital universiti adalah 27 peratus, makmal swasta 31 peratus dan makmal di hospital ATM 24 peratus dan kemudahan ini boleh meningkatkan kapasiti mereka sehingga 100 peratus untuk membantu meningkatkan jumlah ujian harian.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan mengenai kelewatan melaporkan kes kumulatif di Selangor baru-baru ini, berpunca dari makmal swasta yang lewat menghantar notifikasi kes positif kepada KKM.

“Apabila pihak swasta tidak menghantar notifikasi kepada KKM, pusat kesihatan daerah tidak mengetahui kes positif dan ia juga menyebabkan kelewatan pengesanan kontak,” katanya.

Bagaimanapun katanya, perkara itu diatasi dengan pekeliling telah dikeluarkan kepada makmal dan hospital swasta untuk segera memasukkan kes ke dalam sistem.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan KKM tidak menggunakan kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) bagi melakukan saringan Covid-19.

“Tidak benar kita tidak gunakan, di Sabah misalnya sebelum ini kita hantar sehingga 200,000 kit RTK-Ag untuk digunakan di sana.

“Socso (Perkeso) juga gunakan sejuta RTK-Ag untuk menyaring pekerja asing, dalam menguji sampel harian juga kita gunakan,” katanya.

Malah, beliau berkata KKM kini dalam proses perolehan 1.36 juta lagi kit RTK-Ag untuk meneruskan usaha saringan Covid-19 di negara ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor laksana saringan pekerja kilang walaupun bidang kuasa terhad

SHAH ALAM, 4 FEB: Kerajaan Selangor terus fokus untuk melaksanakan saringan Covid-19 terhadap pekerja kilang di negeri ini walaupun bidang kuasanya terhad.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu terpaksa diambil ekoran jumlah pekerja yang positif semakin meningkat dan menyumbang kepada kes harian kebelakangan ini.

“Sebenarnya situasi yang berlaku ketika ini kerana kita tidak mengambil pengajaran dari Singapura ketika mereka berdepan gelombang kedua iaitu kes positif meningkat berpunca dari pekerja kilang.

“Oleh sebab itu, kali ini kita fokuskan untuk jalankan saringan di kilang. Walaupun bidang kuasa Kerajaan Negeri agak terhad kerana kilang berada di bawah Kementerian Sumber Manusia, namun kita tetap akan selaraskan program saringan ini dengan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

“Saringan ini dilakukan kerana kita boleh asingkan antara pekerja yang sihat dan yang dijangkiti, sekali gus mengelakkan perebakan wabak berlaku,” katanya ketika program Bicara Covid-19 dan Kesiapsiagaan Negeri menerusi siaran langsung di Facebook.

Turut sama dalam program anjuran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Amirudin menambah pihaknya mahu segera menangani peningkatan kes di kilang berikutan lokasi berkenaan menjadi ledakan besar-besaran kes wabak.

“Ini kerana ada tempat tinggal pekerja ini menyedihkan dan tidak mengikut piawaian antarabangsa.

“Bukan itu saja, peningkatan juga berlaku berpunca daripada kes tertunggak kumulatif yang tidak dilaporkan secara terus,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN tidak arah penyewa kondominium diwajib jalani saringan

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak pernah mengeluarkan polisi atau arahan yang mewajibkan penyewa termasuk penyewa warga asing atau pelawat melakukan ujian saringan Covid-19 untuk memasuki apartment, kondominium atau kawasan perumahan tertutup.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata agensi tersebut tidak menghalang pihak pengurusan kondominium atau kawasan perumahan berbuat demikian bagi menjaga keselamatan penduduk.

“Kawasan perumahan, kondominium atau apartment tertutup adalah kawasan persendirian yang mana pengurusan boleh membuat peraturan di dalam kawasan mereka.

“Malah mereka boleh membuat peraturan menyekat pelawat, contohnya di Sarawak, orang luar tidak dibenarkan melawat rumah-rumah panjang,” katanya menerusi hantaran di Twitter hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian mengenai dakwaan daripada beberapa ahli parlimen yang menyatakan keperluan ujian saringan Covid-19 kononnya melibatkan semua penyewa di kondominium.

Semalam, dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail Sabri berkata tindakan pihak pengurusan kondominium yang mengarahkan penyewa membuat ujian calitan Covid-19 sebelum memasuki unit kediaman adalah dibenarkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Timbalan menteri komunikasi positif Covid-19

PUTRAJAYA, 13 JAN: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin disahkan positif Covid-19 setelah menerima keputusan ujian saringan awal pagi ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh pejabat timbalan menteri itu dalam satu kenyataan yang menyatakan Zahidi menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di Kuala Lumpur dari Pulau Pinang pada Isnin lepas (11 Januari).

Zahidi telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menjalani rawatan lanjut mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Zahidi kini berada dalam keadaan yang stabil dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul. Beliau juga berdoa agar Allah SWT mempermudah urusan semua yang terlibat,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan pejabatnya, Zahidi menjalani ujian saringan Covid-19 pada 25 Disember lepas yang keputusannya adalah negatif.

– BERNAMA

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kontak rapat, bergejala disaran manfaatkan saringan bersasar komuniti di Klang

SHAH ALAM, 2 JAN: Individu kontak rapat kes positif Covid-19 serta bergejala diminta memanfaatkan program saringan bersasar  komuniti di Jalan Batu Unjur 5, Taman Bayu Perdana yang diadakan hari ini dan esok.

Ahli Dewan Negeri Pandamaran berkata program secara percuma itu menawarkan saringan kepada 1,600 individu dalam tempoh berkenaan.

“Jadi manfaatkan peluang ini memandangkan kes di Klang meningkat. Program ini dapat kesan kes positif bagi elak penularan.

“Penduduk yang keluar bercuti, jika pulang awal datanglah membuat saringan. Ini usaha yang sangat berkesan melawan pandemik ini,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Program anjuran Kerajaan Selangor itu memfokuskan penduduk sekitar Taman Bayu Perdana, Taman Sri Andalas, Taman Bayu, Taman Desawan, Taman Desa Utama, Taman Chi Liung, Taman Petaling Indah dan Bandar Bukit Tinggi.

Saringan bermula 9 pagi hingga 4 petang berkenaan dilakukan susulan peningkatan kes sekitar Klang dan semalam sebanyak 206 kes dilaporkan membabitkan 159 di mukim Klang manakala 47 kes di mukim Kapar.

Categories
AGENSI SELANGOR

Petaling catat kes tertinggi di Selangor, majoriti saringan pekerja

SHAH ALAM, 2 JAN: Petaling menjadi daerah tertinggi mencatatkan kes harian Covid-19 dengan 242 kes semalam, lapor Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Menurutnya, pertambahan kes itu berpunca dari saringan pekerja iaitu 217 disaring di mukim Sungai Buloh, tiga di Damansara dan satu di Petaling.

“Sementara itu Hulu Langat mencatatkan 218 kes apabila 120 kes dikesan berlaku di mukim Kajang, Semenyih (50), Ampang (34) dan Cheras (14).

“Daerah ketiga tertinggi kes Covid-19 hari ini ialah Klang dengan 206 kes dengan mukim Klang mencatatkan 159 kes dan mukim Kapar iaitu 47 kes,” kata jabatan itu menerusi kenyataan di Facebook.

JKNS turut memaklumkan Gombak merekodkan kes Covid-19 sebanyak 48 kes iaitu mukim Batu (27), Hulu Kelang (10), Rawang (sembilan) dan Setapak (dua).

Kuala Langat pula dengan 16 kes iaitu mukim Teluk Panglima Garang (lapan) dan Tanjung Dua Belas Satu (lima). Sementara mukim Bandar, Batu dan Tanjung Dua Belas Dua masing-masing dengan satu kes.

Sepang pula dengan 22 kes, Kuala Selangor (13), Hulu Selangor (tujuh) dan Sabak Bernam (empat).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan 776 kes berlaku di Selangor, semalam.

Daripada jumlah baharu itu 311 kes daripada saringan kontak rapat kes positif, 114 kes dari kluster sedia ada dan 351 kes lagi dari lain-lain saringan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Penduduk sekitar Jalan Batu Unjur 5 digesa jalani saringan percuma Covid-19

SHAH ALAM, 1 JAN: Dato’ Menteri Besar menggesa penduduk beberapa perumahan di Klang menjalani saringan Covid-19 yang dijalankan esok dan lusa.

Kawasan terlibat adalah Taman Bayu Perdana, Taman Sri Andalas, Taman Bayu, Taman Desawan, Taman Desa Utama, Taman Chi Liung, Taman Petaling Indah dan Bandar Bukit Tinggi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata saringan secara percuma bermula jam 9 pagi hingga 4 petang diadakan di Jalan Batu Unjur 5, Taman Bayu Perdana.

“Segera daftar di laman sesawang SELangkah agar proses saringan lancar,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Klang menyumbang kepada peningkatan ketara kes Covid-19 di Selangor semalam apabila merekodkan 914 jangkitan.

Perkembangan itu menjadikan Klang kekal sebagai daerah yang mencatat jumlah kes tertinggi untuk tempoh tiga hari berturut-turut.

Selangor melancarkan Saringan Komuniti Covid-19 melalui dua pelaksanaan iaitu pandu lalu dan pemeriksaan ke kawasan komuniti.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Klang catat kes harian tertinggi, banyak libat kluster

SHAH ALAM, 25 DIS: Klang terus merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi sebanyak 128 kes, lapor Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Agensi itu berkata mukim Klang mencatat 74 kes manakala Kapar 54 kes, dengan lebih separuh jangkitan melibatkan 10 kluster yang dikesan di kedua-dua mukim.

“Kes di daerah ini turut dikesan melalui saringan kontrak rapat, saringan pekerja, saringan bergejala dan prapenerbangan,” maklum jabatan itu di Facebook hari ini.

JKNS berkata Hulu Langat merekodkan 95 kes iaitu 48 kes di mukim Kajang, Ampang (27), Cheras (15), Semenyih (empat) dan Hulu Langat (satu).

Sebanyak 59 kes dikesan di Gombak melibatkan mukim Batu (30), Rawang (19), masing-masing empat kes di Hulu Kelang dan Kuang serta dua di Setapak.

“Kuala Selangor pula merekod 56 kes iaitu 55 kes di mukim Ijok manakala satu di mukim Kuala Selangor,” kata agensi itu lagi.

Selain itu, mukim Damansara merekodkan 36 kes, Petaling (11), Sungai Buloh (empat) dan Bukit Raja (tiga) menjadikan jumlah keseluruhan kes di daerah Petaling adalah 54.

Pecahan kes daerah lain melibatkan Kuala Langat (40), Sepang (25) dan Sabak Bernam (empat).

Selangor merekodkan 461 kes baharu hari ini dengan 309 daripadanya melalui kluster dan saringan aktif di lapangan.