Categories
SELANGOR

Lebihan Pendapatan SSIC Meningkat Setiap Tahun

laporan auditSHAH ALAM 2 OKT: Jabatan Audit Negara berpuas hati dengan prestasi Selangor State Investment Centre Berhad (SSIC) yang memperoleh lebihan pendapatan tahunan dan lebihan pendapatan terkumpul yang meningkat setiap tahun, dari tahun 2009 hingga 2011.

Jabatan Audit Negara mengambil perhatian SSIC bukan entiti berorientasikan keuntungan tetapi berteraskan perkhidmatan, entiti itu menunjukkan lebihan RM1.08 juta bagi tahun 2011, meningkat dari RM0.11 juta pada 2010, dan RM0.54 pada 2009.

Lebihan pendapatan terkumpul pula mencatatkan peningkatan berterusan sehingga RM1.99 juta (2011), dari RM0.91 juta (2010) dan RM0.80 juta (2009).

“Selain itu, pengauditan yang dijalankan juga mendapati pengurusan aktiviti dan tadbir urus korporat SSIC adalah memuaskan,” menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Pada tahun 2012, SSIC dianggotai oleh 7 orang ahli Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh Menteri Besar dan 6 orang ahli Lembaga Pengarah yang terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, EXCO Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, EXCO Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam Dan Pembangunan Usahawan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) serta Ketua Pegawai Eksekutif SSIC.

SSIC ditubuhkan untuk menjana ekonomi Negeri Selangor dengan meningkatkan kemasukan pelaburan sama ada dari dalam atau luar negara.

Berdasarkan Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dari segi nilai, Selangor menerima jumlah terbesar dalam pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan pada tahun 2012 (RM11.7 bilion), lebih tinggi daripada tahun 2011 (RM8.7 bilion) dan 2009 (RM6.8 bilion).

Selangor terbukti negeri paling popular di kalangan pelabur dengan 252 projek yang diluluskan bagi tahun 2012, pertambahan keatas 263 projek pada 2011 dan 278 projek pada tahun 2009.

Bagi menambah baik prestasi pengurusan aktiviti khusus dalam mencatatkan jumlah pelaburan yang lebih memberangsangkan di Negeri Selangor dan meningkatkan tadbir urus korporat, pihak Audit mengesyorkan SSIC mempertingkatkan usaha dalam membawa industri lain antaranya sektor perkhidmatan dan asas tani sebagai pelaburan baru.

Pihak Audit juga mahu SSIC menyediakan repositori maklumat pelaburan yang lengkap dan kemas kini untuk memudahkan pelabur membuat keputusan pelaburan, dan memperketatkan kawalan dalaman terhadap pengurusan kewangan SSIC.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ketua Audit Negara berpuas hati dengan prestasi SSIC – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 02102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Laporan Ketua Audit Negara berpuas hati dengan prestasi Selangor State Investment Centre Berhad (SSIC) yang memperolehi peningkatan lebihan pendapatan tahunan dan terkumpul pada 2011 berbanding 2009.

2. Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi digesa untuk mengkaji semula cadangan meluaskan peranan dan kuasa Polis Bantuan (PBT) untuk membantu menjaga keamanan di kawasan kediaman dan komersil.

3. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi enggan mengulas permohonan tertunggak Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan pasukan Polis Bantuan (PB) untuk menjaga keamanan di semua wilayah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).