Categories
AGENDA NASIONAL

KPN arah semua ketua polis daerah teliti, jaga kebajikan anggota

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengarahkan semua ketua polis daerah di seluruh negara agar menjaga kebajikan serta meneliti secara dekat sebarang permasalahan dihadapi anggota mereka agar ia dapat ditangani lebih awal.

Beliau berkata sekiranya ada anggota dikesan mempunyai masalah, mereka harus diberikan khidmat kaunseling atau bantuan awal bagi mencegah kejadian tidak diingini berlaku.

Mengambil iktibar kejadian seorang anggota polis berpangkat koperal dipercayai menembak mati anaknya berusia tujuh tahun sebelum menembak diri sendiri dalam kejadian di Jalan Widuri 1, Taman Sentosa Jaya, Seremban, Rabu lalu, Abdul Hamid berkata beliau kecewa kerana pihaknya tidak dapat mengesan awal keadaan psikologinya.

“Saya berasa amat kecewa kerana kami tidak dapat mengesan keadaan psikologi anggota polis (detektif) itu. Ini bukanlah pertama kali kes ini berlaku, sebelum ini ada satu kes di Perak, seorang ibu mengunci diri bersama anak-anaknya dan membakar biliknya dalam kuarters polis.

“Selain itu, sewaktu awal Perintah Kawalan Pergerakan ada anggota saya menembak dirinya di sekatan jalan raya kerana dia dikatakan mendengar suara halus menyuruhnya berbuat demikian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata sekiranya seseorang anggota polis menghadapi masalah psikologi dan tidak ditangani, ia amat berbahaya kerana anggota bertugas biasanya dibekalkan dengan senjata api.

“Banyak kes yang sama berlaku di luar negara dan saya akan kaji balik supaya perkara-perkara ini dapat dielakkan dengan intervensi awal,” katanya.

“Selain itu, maklumat yang saya terima daripada Ketua Polis Negeri Sembilan (Datuk Mohamad Mat Yusop) motif anggota polis itu membunuh diri adalah kecewa dan berdasarkan cerita saksi, anggota polis itu mempunyai masalah keluarga…dan ia sungguh tragis jika dia betul menembak anaknya sebelum menembak kepalanya. Bagaimana kes ini berlaku, ia masih dalam siasatan lagi,” katanya.

Abdul Hamid berkata beliau juga mengarahkan Mohamad untuk menyemak kembali sejarah perkhidmatan anggota polis berkenaan di tempatnya bertugas.

Pada Rabu lalu, anggota polis berkenaan bersama anak lelakinya ditemukan maut selepas tembakan dilepaskan, dalam sebuah kereta jenis Proton Wira pada kira-kira 6.42 petang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tarik balik syarat memburu 3,500 lesen senjata api

DENGKIL, 19 OGOS: Kebenaran memburu bagi 3,500 pemegang lesen senjata api ditarik balik, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, penarikan semula lesen berkenaan dibuat bagi menghentikan kegiatan pemburuan haram, yang dilihat semakin berleluasa di negara ini.

“Kami telah mengeluarkan kira-kira 8,500 pemegang lesen senjata api dan daripada jumlah itu, sebanyak 3,500 telah dibatalkan syarat untuk memburu, manakala bakinya akan ditarik balik secara berperingkat.

“Bagaimanapun, syarat menjaga keselamatan kekal jika individu itu mempunyai tanah atau kebun dan mahu menjaga tanamannya daripada diganggu oleh haiwan perosak, kami membenarkan tetapi bersyarat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media Operasi Bersepadu Khazanah di Paya Indah Wetlands, hari ini.

Abdul Hamid berkata, jika mereka ingin menembak haiwan perosak bagi melindungi tanaman, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan balai polis berhampiran.

“Ya, mereka (yang mempunyai lesen senjata api) boleh menembak haiwan perosak tetapi bukan untuk memburu, dan perkara itu perlu dimaklumkan kepada Perhilitan dan balai polis berdekatan, bahawa berlaku kegiatan menembak haiwan perosak,” katanya.

Beliau berkata, penarikan lesen senjata api berkenaan hanya dibuat di Semenanjung Malaysia sahaja, manakala Sabah dan Sarawak dikecualikan.

“Sabah dan Sarawak kami akan melaksanakannya (penarikan lesen senjata api) di kemudian hari, kerana kedua-dua negeri berkenaan mempunyai undang-undang khas memburu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hamid berkata pihaknya juga akan menarik semua lesen pemilikan raifal, yang dikenal pasti senjata api paling kerap digunakan untuk memburu hidupan liar.

Beliau berkata, penarikan lesen raifal itu adalah kerana kebanyakan raifal yang digunakan pemburu hidupan liar telah diubah suai.

“Ia berikutan timbul isu kebimbangan serta kemungkinan senjata api berkenaan, jatuh ke tangan kumpulan pengganas apabila senjata api itu telah diubah suai,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis rampas senjata api tiruan bernilai RM60,000

KOTA KINABALU, 21 FEB: Polis merampas 151 set pelbagai jenis senjata api tiruan dari sebuah premis di kompleks beli-belah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, turut dirampas 283 unit komponen senjata api tiruan berkenaan.

Katanya, nilai rampasan dianggarkan RM60,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 35(1)Akta Senjata 1960.

“Senjata api tiruan itu ditemui di tingkat dua bangunan berkenaan selepas polis membuat pemantauan terhadap suspek selama 15 minit sebelum mengekorinya ke tingkat dua di mana senjata-senjata api tiruan itu ditemui tersimpan dalam kotak,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Berikutan rampasan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai penjaga premis berkenaan.

Habibi berkata, tangkapan dan rampasan itu adalah hasil serbuan polis pada kira-kira pukul 3.30 petang.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak menyimpan, memiliki atau menjual apa-apa senjata api tiruan kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang.

Selain itu, beliau meminta orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya ternampak individu atau kumpulan yang mencurigakan membawa senjata api di tempat awam.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Laporan Audit Negara dedah polis banyak hilang gari, senjata api

Audit-Polis

KUALA LUMPUR, 2OKT: Polis kehilangan 309 unit aset meliputi gari, senjata api dan kenderaan yang bernilai RM1.33 juta, dedah Laporan Ketua Audit Negara hari ini.

Mengikut The Malaysian Insider, aset yang paling banyak hilang daripada 2010 hingga 2013 ialah gari dengan sejumlah 156 unit.

Mengikut statistik yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Logistik itu menyatakan jumlah itu diikuti senjata api dan kenderaan, masing-masing 44 dan 29 unit.

“Pengauditan yang dijalankan mendapati secara keseluruhannya pengurusan aset di Ibu Pejabat PDRM dan tiga IPK yang diperiksa adalah kurang memuaskan.

“Pengurusan aset yang yang tidak teratur dan bersistematik boleh menyebabkan berlakunya kehilangan aset terutamanya senjata api dan gari yang boleh mengancam keselamatan awam,” kata laporan itu.

Antara kelemahan lain ialah kehilangan aset lewat dikesan; kelewatan melapor kehilangan kepada Ketua Jabatan dan Polis; Ketua Jabatan lewat menyediakan Laporan Awal Kehilangan Aset; Jawatankuasa Penyiasat Kes kehilangan aset lewat ditubuhkan; dan Jawatankuasa Kehilangan Aset lewat menyediakan Laporan Akhir.

– The Malaysian Insider