Categories
NASIONAL

Petisyen PRU13 : Anwar Gesa Ketua Hakim Negara Campur Tangan

anwar

PETALING JAYA 29 JULAI : Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria untuk campur tangan bagi mempastikan kewibawaan institusi kehakiman di negara ini tidak terus diperlekehkan.

Ini berikutan beberapa kes tertentu yang melibatkan petisyen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu ditolak dengan alasan yang tidak munasabah.

Ketua Umum PKR itu berkata, antara alasan yang diberikan adalah petisyen tidak dikemukakan oleh orang yang terlibat dan fakta kes yang tidak mencukupi.

“Kita semua tahu dalam semua kes, saudara tidak failkan sendiri, tapi peguam, tapi dalam kes ini, digunakan alasan yang saya fikir paling tidak munasabah.

“Kemudian dibangkitkan fakta yang tidak mencukupi, gunakan fakta apa yang ada, cukup atau tidak, beri ruang supaya kes itu diteruskan,” ujarnya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Sebelum ini, petisyen yang difailkan oleh dua calon PKR Pulau Pinang iaitu Muhammad Baktiar Wan Chik (Parlimen Balik Pulau) dan Abdul Halim Hussain (DUN Teluk Bahang) ditolak oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Kedua-duanya diperintah membayar kos, Abdul Halim RM10,000 dan Muhammad Baktiar RM30,000 kepada lawan mereka, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hakim Hadariah Syed Ismail mengeluarkan perintah itu kepada kedua-duanya kerana gagal mematuhi peruntukan di bawah Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kos yang perlu dibayar juga tidak munasabah serta tidak pernah berlaku di dalam sejarah badan kehakiman di negara ini.

“Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah kita, selalunya dalam kes Mahkamah Tinggi RM5,000, paling tinggi RM10,000.

“Kalau di Mahkamah Rayuan RM15,000, paling tinggi RM20,000, jadi apa tujuannya, muslihatnya adalah untuk menggagalkan dan menghalang proses ini dari diteruskan,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Sehingga kini, sebanyak 10 petisyen PRU-13 melibatkan Pakatan Rakyat (PR) ditolak oleh mahkamah tinggi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar : Siasat Akaun Saya, Najib, Muhyiddin dan Mahathir Sekali

SABAK BERNAM 20 JUN : Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kesemua akaunnya, isterinya dan anak-anaknya di samping bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhammad.

Katanya siasatan tersebut akan membuktikan beliau tidak mengawal 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion seperti yang didakwa Umno-BN.

Beliau berkata, selain akaun miliknya, SPRM juga turut siasat akaun anak-anaknya di dalam dan luar negara.

“Itu cerita lama, tahun 1998, apabila keluar cerita mengenai perkara itu, saya tiada masalah. Siasatlah. Siasat akaun saya, isteri dan anak-anak dalam negeri dan luar negara.

“Tetapi siasat juga akaun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhammad.

?Kajilah rekod saya termasuk (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam ceramah Merdeka Rakyat di Stadium Sabak Bernam.

Hadir sama Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, MP Ampang, Zuraida Kamaruddin, MP Kapar, S. Manikavasagam dan Ketua Cabang PKR Sabak Bernam, Badrolamin Baharon.

Turut hadir Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, ADUN Hutan Melintang, S. Kesavan, ADUN Batu Caves, Amirudin Shari dan ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Anwar berkata SPRM dan Kerajaan Pusat hanya mampu mengeluarkan fitnah kerana tidak berani untuk menyiasat akaunnya dan pemimpin Umno-BN.

“Sebelum ini, Badan Pencegahan Rasuah (BPR) yang dikenali sekarang sebagai SPRM sudah menyiasat kes itu serta akaun di Kuala Lumpur, Singapura dan London.

?Laporan mahkamah juga sudah dikeluarkan dan mendapati tiada kebenaran bagi tuduhan itu.

“Mereka ini hanya ulang cerita kerana mereka mahu kita membuang masa, tetapi saya tidak takut,” katanya.

Dakwaan ini dibuat Bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid yang pernah membuat akuan bersumpah mengenai akaun RM3 bilion yang beliau percaya membabitkan Anwar pada 1999.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali dilaporkan tidak menolak kemungkinan kes tersebut pernah dirujuk kepada BPR dan polis ketika itu.