Categories
SELANGOR

Speaker tolak bahas usul tindakan COMANGO

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 27 NOV : Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh menolak usul yang dibawa Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) bagi membahaskan usul berkenaan bantahan tindakan Gabungan NGO Malaysia (COMANGO).

Hannah berkata, usul berkenaan tidak ada keperluan untuk dibincangkan di peringkat DNS dan usul perlu dibahaskan di peringkat Parlimen.

hannah yeoh pc syabas 02Katanya, DNS kini sedang membahaskan isu belanjawan dan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu fokus terhadap perkara yang berkaitan dengan dasar kerajaan sahaja.

“Saya memberi alasan ini kerana Parlimen adalah tempat paling sesuai membahaskan isu terbabit dan kerana usul berkenaan menggesa Kerajaan Persekutuan.

“Dewan Negeri kita masih dalam aturan mesyuarat membahas bajet. Saya seru semua ADUN Pakatan Rakyat (PR) atau BN menggunakan tempat dan masa sidang dewan untuk perkara yang memang menyentuh kepentingan penduduk di Selangor,” katanya dalam satu sidang media di lobi Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Dalam pada itu laporan Malaysiakini melaporkan usul berkenaan COMANGO yang dibawa Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar juga ditolak Timbalan Yang Dipertua Dewan, Datuk Ronald Kiandee atas alasan tidak perlu disegerakan.

slPelbagai pihak membantah tindakan COMANGO yang mengemukakan laporan mengandungi unsur tidak wajar dalam konteks Malaysia atas nama hak asasi manusia di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland, pada Oktober lalu.

Hannah berkata, DNS tidak perlu memberi maklum balas kepada setiap kenyataan yang dibuat oleh NGO di negara ini.

“Kita dalam usul pembangunan, jadi saya rasa isu seperti ini tidak perlu dipolitikkan dan ia adalah usul untuk membantah tindakan sekumpulan NGO. Setiap hari ada NGO yang buat kenyataan seperti PERKASA dan kalau dewan ingin bagi maklum balas kepada perbincangan dan tindakan mereka, kita tidak ada masa.

“Sidang dewan adalah membahas dasar, membincangkan dasar kerajaan, meluluskan bajet yang menyentuh kepentingan penduduk. Bukan usul ini sahaja yang saya tolak tetapi ada usul daripada ADUN PR pun ditolak kerana tidak sesuai dan bukan mustahak,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kenaikan gaji Exco, ADUN berpandukan JPM, Sarawak

Oleh Siraj Mohd Zaini

SHAH ALAM 27 NOV: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan kenaikan gaji Menteri Besar, Speaker, Timbalan Speaker, Ahli Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkuat kuasa 1 Januari 2014.

Ia dipersetujui sebulat suara ahli dewan yang turut mengandungi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan diluluskan mengikut Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Negeri (Saraan)(Pindaan) 2013.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ia berpandukan kenaikan sama di Sarawak dan gaji Kerajaan Pusat kepada pegawai Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) kendalian Jabatan Perdana Menteri (JPM).

khalid ibrahimBercakap pada sidang DNS), beliau berkata, kenaikan dilakukan selepas mengambil kira peningkatan hasil yang diperoleh Kerajaan Negeri.

“Beban tugas yang dipikul tanpa mengira waktu, keberkesanan melaksanakan tugas dan menunjukkan hasil terus meningkat menjadi pertimbangan,” katanya, menambah kenaikan kali terakhir dibuat pada 2004.

Gaji Menteri Besar berjumlah RM14,175.15 bakal meningkat kepada RM29.250 iaitu pada kadar 106.4 peratus, Speaker Dewan (RM6.109.29 meningkat 268 peratus kepada RM22,500) dan Timbalan Speaker (RM3,327.50 kepada RM15,570).

Bagi saraan Ahli Exco Kerajaan Negeri pula, gaji RM6,109.29 bakal meningkat kepada RM20,250, meningkat 231 peratus.

Melalui Rang Undang-Undang yang diluluskan itu, saraan bagi setiap ADUN mengikut Seksyen 3 juga dipinda, daripada RM6,000 kepada RM11,250 atau kenaikan 87.5 peratus.

Abdul Khalid juga mengingatkan semua pihak berkaitan, kenaikan itu juga menandakan tanggungjawab semua pimpinan tertinggi negeri akan meningkat dan bertambah berat.

– FZL

Categories
SELANGOR

MB umum 1/2 bulan gaji untuk kakitangan Kerajaan Selangor

Oleh Nazli Ibrahim

SHAH ALAM 27 NOV:  Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan bonus setengah bulan gaji kepada semua kakitangan kerajaan Selangor.

Membuat pengumuman itu pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, beliau berkata bayaran akan dibuat pada Januari 2014 melibatkan sejumlah RM14,821,252 kepada 15,643 kakitangan.

DNSAbdul Khalid (PKR-Pelabuhan Klang), berkata pemberian bonus itu ekoran hasil usaha keras kakitangan awam sehingga berjaya mengutip hasil melebihi unjuran Kerajaan Negeri.

“Hasil negeri yang dikutip setakat 27 November 2013 berjumlah RM1,899,018,572 dan jumlah ini 16 peratus lebih dari yang dianggar.

“Saya ucap tahniah dan terima kasih kepada kakitangan negeri yang berusaha keras untuk Selangor. Dan, dengan ini, saya mengumumkan setengah bulan bonus kepada semua 15,643 kakitangan Kerajaan Negeri.

“Ini bermakna pada 2013, kakitangan Kerajaan Negeri mendapat satu setengah bulan termasuk bonus Hari Raya satu bulan yang kita beri pada sambutan Aidilfitri tahun ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kakitangan awam di Selangor supaya secara beransur-ansur menerima konsep kenaikan gaji dan pemberian bonus berdasarkan kecemerlangan prestasi.

– FZL

Categories
SELANGOR

Ketua Pembangkang akui gagal patuhi peraturan Dewan

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 27 NOV: Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Mohd Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) akhirnya mengaku hukuman penggantungannya selama sehari daripada menyertai sidang dewan Jumaat lalu adalah wajar.

Beliau berkata demikian sebagai membalas kenyataan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang mendakwa tindakan menggantung elaun dan menghadiri sidang DNS selama 30 bulan terhadap Datuk Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) ketika memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang DNS sebagai tindakan kejam pentadbiran BN, pada 2004.

sl“Sama seperti saya yang digantung daripada bersidang kerana tidak patuhi peraturan dan arahan Tuan Speaker,” katanya ketika mencelah perbahasan Suee Lim yang membahaskan Rang Undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013, di DNS, di sini, hari ini.

Shamsuddin diarahkan keluar dewan selaras dengan Peraturan Tetap 36 (6) kerana cuba mencelah bagi mempertahankan Halimathon Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) yang mengeluarkan kenyataan bersangka jahat ketika berbahas dalam persidangan DNS, pada 22 November lalu.

Tindakan Shamsuddin itu tidak mematuhi aturan mesyuarat apabila beliau gagal merujuk kepada sebarang pertaturan tetap sidang DNS.

niknazmiSementara itu, Timbalan Speaker DNS, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata beliau sentiasa memberi ruang secukupnya kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada daripada kerajaan atau pembangkang untuk berbahas.

Beliau yang diminta mengulas kejadian itu melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Shamsuddin bertentangan dengan kenyataannya sendiri yang berterima kasih kepada Speaker DNS kerana memberi peluang perbahasan secara adil.

“Selaku Timbalan Speaker, saya kesal perkara seperti ini boleh berlaku tetapi tidak mempunyai pilihan lain,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

91 peratus peruntukan pembangunan berjaya diguna sejak 5 tahun

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 27 NOV : Kerajaan negeri menjelaskan RM3.2 bilion daripada RM3.5 bilion peruntukan digunakan bagi perbelanjaan pembangunan, sejak 2008 hingga 2012.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata 91 peratus peruntukan pembangunan berjaya digunakan sejak lima tahun Pakatan Rakyat (PR) memerintah Selangor.

sidang dun 02Katanya, kerajaan negeri juga memperuntukkan sejumlah peruntukan tahunan bagi setiap jabatan untuk melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan seperti yang dirancang.

Bagaimanapun, terdapat terdapat beberapa jabatan yang tidak mencapai tahap 80 peratus dalam belanja pembangunan.

“Di atas beberapa kekangan antaranya isu berkenaan tanah, utiliti dan sebagainya menyebabkan ada beberapa jabatan tidak mencapai tahap 80 peratus di dalam belanja pembangunan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Dr Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) ketika Sidang Dewan Negeri (DNS), di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, sebanyak RM65 juta diperuntukan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), namun RM45 juta sahaja dibelanjakan membabitkan 69 peratus, pada 2009.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diberikan peruntukan RM123 juta tetapi hanya membelanjakan RM97 juta sahaja iaitu 78 peratus sahaja, manakala, Jabatan Kehakiman dan Syariah (JAKESS) pula RM872,000 dan membelanjakan RM388,740 iaitu 44 peratus, pada 2010.

Jabatan Kerja Raya (JKR) diberi peruntukan RM153 juta dan membelanjakan RM113 juta iaitu 74 peratus dan JAIS juga hanya menggunakan RM66 juta daripada RM110 juta dan JAKESS RM3.1 juta daripada RM12.5 juta, pada 2011.

JAKESS juga hanya membelanjakan RM9.9 juta daripada RM12.5 juta iaitu hanya 79 peratus daripada jumlah peruntukan yang diberikan, pada 2012.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau prestasi perbelanjaan jabatan bagi memastikan sasaran perbelanjaan yang ditetapkan dicapai dan melaksanakan projek yang dirancang.

“Antaranya adalah melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Teknikal Negeri Selangor (JKTNg) dan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Projek Pembangunan Negeri yang dikendalikan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor. Ia bagi membincangkan isu, masalah dan mencari kaedah penyelesaian terbaik bagi memastikan perancangan serta pelaksanaan projek juga program berjalan lancar,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor tawar premium tanah RM1 untuk badan kebajikan

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 27 NOV : Selangor hanya mengenakan bayaran premium tanah RM1 sahaja kepada syarikat atau badan yang menjalankan aktiviti perniagaan untuk kebajikan di atas tanah yang dimiliki.

Premium RM1 dikenakan kepada badan kebajikan bagi tujuan galakan dan memudahkan organisasi terbabit menjalankan aktiviti masing-masing.

sidang dun 21-11-13 - 2Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR-Pelabuhan Klang) berkata, hal itu berbeza dengan perniagaan lain yang menjalankan aktiviti perniagaan demi meraih keuntungan di atas tanah komersial.

“Kita tidak boleh beri diskaun premium tanah secara melulu tetapi perlu ada garis panduan tertentu, kalau tidak semua pihak mahu diskaun.

“Syarikat dan badan yang menjalankan aktiviti kebajikan atau perniagaan yang keuntungannya untuk kebajikan masyarakat Selangor seperti untuk orang kelainan upaya (OKU), maka kita berikan premium sebanyak RM1 sahaja,” katanya ketika menjawab soalan Gan Pei Nei (PKR-Rawang).

Abdul Khalid menjelaskan, bayaran penuh akan dikenakan jika pihak yang ditawarkan pemilikan terbabit menjual tanah kediaman itu ketika menyentuh isu premium sebanyak RM1,000 yang dikenakan terhadap pihak yang ditawarkan pemilikan tanah kediaman.

“Namun, jika pemilik menukar hak milik tanah kepada anak atau waris, tiada sebarang bayaran dikenakan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Insentif RM 100,000 untuk Pejabat Tanah dan Daerah cemerlang

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 26 NOV : Kerajaan negeri menyediakan insentif RM100,000 bagi setiap Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) yang cemerlang dengan hasil kutipan cukai dan premium melebihi 90 peratus.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata insentif itu diberikan sebagai menghargai komitmen dan galakan kepada warga kerja PTD untuk terus meningkatkan pencapaian mereka.

sidang dun 21-11-13 - 2Katanya, Kerajaan negeri turut menyediakan insentif sama kepada warga kerja Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang cemerlang atas kejayaan sama.

“Saya sudah minta Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ketika zaman Barisan Nasional (BN) tetapi masih tidak dilaksanakan dan itu antara sebab kita bekukan lesen pendudukan sementara (TOL).

“Saya akan menyemak semula sama ada nasihat dan arahan ini diterima atau masih terdapat lagi amalan pemberian habuan tanah di luar pengetahuan kerajaan negeri,” katanya.

shuhaimi shafieBeliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Shuhaimi Shafiei (PKR-Sri Muda) sama ada kerajaan negeri masih meneruskan tradisi pemberian habuan tanah seluas 0.405 hektar kepada pegawai yang cemerlang seperti diamalkan ketika pentadbiran BN.

Menjawab soalan berasingan, Abdul Khalid (PKR-Pelabuhan Klang) menjelaskan pemberian peruntukan pengurusan PTD dilakukan mengikut keperluan jumlah warga kerja.

“Oleh kerana itu, kita memberikan jumlah besar kepada Pejabat Daerah dan Tanah Petaling sebab mereka mempunyai warga kerja yang besar, berbanding Pejabat Daerah dan Tanah Sepang,” katanya.

Beliau berkata, PTD digalakkan mengaplikasi penggunaan teknologi maklumat secara proaktif bagi meningkatkan produktiviti warga kerja untuk perancangan jangka masa panjang,.

02Terdahulu, Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) bertanya kepada Abdul Khalid berkenaan terdapat perbezaan peruntukan pengurusan di kalangan semua 12 PTD di Selangor.

Katanya, PTD Sepang hanya memperoleh RM9 juta walaupun cemerlang daripada segi kutipan cukai, berbanding PTD Petaling yang diberikan peruntukan tinggi sehingga RM 13 juta.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB: Lesen TOL dibeku hingga pemilik manfaat tanah

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 26 NOV : Kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk tidak mengeluarkan lesen pendudukan sementara (TOL) sehingga kegunaan tanah itu dimanfaat sepenuhnya bakal pemilik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pemberian TOL tanpa perancangan yang betul akan menyukarkan kerajaan negeri menggunakan tanah itu bagi kegunaan lain seperti pelebaran jalan dan pembinaan parit.

09Beliau berkata, terdapat beberapa kes apabila tanah itu disalah guna pemilik dan diberi kepada pihak lain untuk tujuan penyewaan.

“Terlalu amai orang yang dapat TOL, namun mereka sebenarnya tidak menggunakan tanah itu terutama di kawasan Gombak. Apabila kita beri TOL, ia menunjukkan kerajaan negeri sudah mempunyai komitmen untuk menyerahkan pemilikan tanah.

“Namun, kebanyakan lesen yang diberi itu kemudiannya digunakan untuk tujuan sewa dan menyebabkan perkara ini tidak selesai dan hasilnya untuk negeri sangat sedikit,” katanya ketika sesi perbahasan di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri akan menetapkan beberapa peraturan berkenaan pengeluaran TOL untuk memastikan milikan tanah yang diberikan tidak lagi disalah guna, menjelang 2014.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri akan membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Selangor untuk membiayai pembersihan sampah sarap di kawasan kampung.

“Ini kerana kebanyakan penduduk di kawasan perkampungan adakala tidak membayar kepada PBT untuk mengangkut sampah sarap.”Kita kena duduk bersama untuk melihat bagaimana pembiayaan pembersihan itu dapat dilakukan,” katanyanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor tidak lulus penempatan rizab sungai elak masalah banjir

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 26 NOV : Kerajaan negeri tidak akan meluluskan penempatan di kawasan rizab sungai bagi mengelakkan masalah banjir yang mampu memberi impak sosial kepada penduduk.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri juga akan mengambil langkah memindahkan penduduk yang tinggal di kawasan rizab sungai secara berperingkat.

11Katanya, penduduk hanya akan dipindahkan jika penempatan baru ditetapkan bagi mengelak sebarang masalah lain yang berbangkit.

“Itu adalah salah satu hasil analisa masalah dan cara mengatasi yang dijalankan kerajaan negeri di kawasan penempatan yang berhadapan masalah banjir.

“Kita juga tidak benarkan penempatan dibuat di kawasan tadahan hujan yang lebih tinggi daripada perumahan kerana risikonya lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung perancangan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam menentukan sesuatu penempatan atau kawasan perumahan di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Abdul Khalid (PKR-Pelabuhan Klang) berkata, kerajaan negeri turut memantau rapat pembangunan yang dijalankan supaya selari dengan konsep pelan struktur yang dipersetujui.

“Masalah akan timbul apabila pembinaan dilakukan tidak mengikut ‘structural plan’, pembinaan sebelum pelan itu disediakan dam pembangunan yang dilakukan tanpa kelulusan. Semua pembangunan yang bermasalah dan tidak mengikut pelan berkenaan sedang dalam proses pemulihan,” katanya.

Abdul Khalid berkata, beliau turut berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat bekerjasama dengan Unit Perancangan Negeri (UPEN) serta Pejabat Tanah dan Daerah bagi mencari penyelesaian terbaik mengatasi kesan pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) membabitkan pelan struktur sedia ada.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Gagal turunkan NRW, SYABAS ‘berdosa’ kepada rakyat Selangor

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 26 NOV : Kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menurunkan air tidak berhasil (NRW) kepada 20 peratus seperti termaktub dalam perjanjian konsesi dianggap sebagai ‘dosa’ kepada rakyat Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kegagalan SYABAS bukan berpunca daripada kekurangan peruntukan, tetapi disebabkan kelemahan syarikat konsesi itu merancang dan melaksanakan program penurunan NRW secara berkesan.

09Beliau berkata, hanya 3,900 juta liter sehari (JLH) air yang sampai kepada pengguna berbanding keupayaan sebenar 4,832 JLH oleh 32 loji rawatan air.

“Kegagalan ini menyebabkan kita kekurangan air terawat dan kerajaan negeri berpedapat SYABAS dan syarikat induknya, Puncak Niaga tidak berupaya daripada segi pengurusan serta kekuatan modal untuk menyelesaikan perkara itu.

“Terdapat kebocoran NRW lebih 30 peratus sedangkan dalam perjanjian yang dimeterai antara kerajan negeri dan SYABAS pada 2011, syarikat konsesi itu berjanji untuk menurunkannya kepada 19.98 atau 20 peratus.

“Tetapi apa yang berlaku sekarang, NRW bukan lagi pada kadar 30 peratus tetapi meningkat kepada 33 peratus,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, pengurusan air penting kerana membabitkan hak semua rakyat tanpa mengira pangkat atau fahaman politik terutama air adalah perkara utama dalam kehidupan seharian, bahkan SYABAS berjanji menurunkan NRW melalui peruntukan RM784 juta yang diberikan kerajaan negeri dan turut menerima dana tambahan lebih RM1 bilion untuk melaksanakan perkara berkenaan.

Miter_air_SyabasBeliau berkata, SYABAS juga mempunyai ‘kabel besar’ untuk mendapatkan pinjaman sejumlah RM500 juta tanpa faedah selama lima tahun daripada kerajaan pusat.

“Saya ingin nyatakan bahawa Selangor menghadapi masalah apabila penswastaan air tidak dapat diuruskan dengan cara yang dijanjikan dalam perjanjian penswastaan air oleh SYABAS. Kini, tugas negeri adalah menyelesaikan masalah penyusunan air dan saya akan bawa rakyat Selangor untuk menentang siapa yang tidak benarkan kita menguasai aset mereka,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas berkenaan pembekuan perbelanjaan modal (CAPEX) SYABAS yang sepatutnya digunakan bagi mengganti 8,000 kilometer paip air, Abdul Khalid berkata, tindakan itu diputuskan selepas syarikat konsesi itu didapati tidak berupaya untuk melaksanakannya.

Katanya, pihak Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bersedia memanggil semua ahli dewan daripada Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) untuk menerangkan perkara itu.

“Perkara ini sudah dibincangkan sejak 2006 lagi dan diperakui kerajaan pusat bahawa SYABAS tiada keupayaan. UPEN bersedia memanggil ahli dewan bagi menerangkan perkara ini,” katanya.

-NFN-

 

Categories
SELANGOR

1,422 unit rumah di Bukit Botak siap dibina

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 26 NOV : Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya membina 1,422 unit rumah bagi pembangunan semula perumahan Bukit Botak selepas projek itu gagal diselesaikan pemaju terdahulu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor, Iskandar Abdul Samad, berkata 1,178 nama peserta sudah diterima daripada Pejabat Tanah Gombak untuk tawaran rumah di Bukit Botak. sehingga 31 Oktober lalu.

06“Semua peserta sudah dihubungi dan daripada jumlah itu, seramai 1,156 peserta telah ditawarkan satu unit rumah. Baki 22 peserta lagi akan menerima tawaran dalam masa terdekat,” katanya

Iskandar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Zaidy Abdul Talib (PAS-Taman Templer) berhubung pembangunan rumah kos rendah di Bukit Botak yang terbengkalai sebelum ini ketika Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Sementara itu, 11,085 peserta direkodkan dan 1,447 pemohon berjaya ditawarkan rumah mampu milik dari tahun 2012 hingga 1 November lalu.

“Untuk rumah kos rendah, komposisi kaum Melayu adalah 9,013 orang, Cina (1,100), India (862) dan lain-lain (110). Sementara bagi rumah mampu milik, komposisi kaum Melayu seramai 745 orang, Cina (326), India (375) dan lain-lain (1),” katanya ketika menjawab pertanyaan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) berhubung jumlah pemohon yang berjaya menerima tawaran rumah kos rendah di Selangor.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Teknologi insinerator masih dalam kajian

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 26 NOV : Kerajaan negeri masih menjalankan kajian terperinci berkenaan kesesuaian teknologi insinerator untuk pelupusan sisa pepejal di Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Datuk Teng Chang Khim, berkata beberapa perkara perlu dipertimbangkan, antaranya jenis teknologi yang akan diguna pakai, modul kewangan, kesan jangka panjang kepada sistem terbabit, impak sosial dan impak alam sekitar.

sidang dun 21-11-13 - 1“Dalam hal ini, kerajaan negeri sangat menitik beratkan kepentingan orang awam sebelum keputusan muktamad berkenaan penggunaan teknologi yang lebih baik daripada sistem tapak pelupusan sanitari yang digunakan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dr Abdul Rani Osman (PAS-Meru) berhubung pendirian kerajaan negeri berkenaan sistem insinerator di Selangor, pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Teng berkata, kerajaan negeri turut menjalankan beberapa kajian perbandingan berkenaan tiga sistem pelupusan sisa pepejal seperti kitar semula, pelupusan sanitari dan insinerator.

Katanya, sistem pelupusan sisa pepejal secara sanitari adalah kaedah terendah daripada segi kos pembinaan dan operasi, namun mengundang masalah pencemaran, manakala sistem kitar semula tidak merawat sisa pepejal secara keseluruhan kerana ia hanya sistem sokongan.

“Sistem insinerator pula dapat merawat sisa pepejal sebanyak 90 peratus dan mampu merawat gas beracun hasil daripada pembakaran itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa memandang serius bagi memastikan pembuangan sampah berkurangan dan dapat mewujudkan alam sekitar yang bersih dan hijau.

“Pelbagai program sudah dilaksanakan antaranya “Kempen Kitar Semula”, program ‘3R’ (reuse, reduce, recycle) dan “Hari Tanpa Beg Plastik” pada setiap Jumaat bagi bangunan kerajaan serta setiap Sabtu di seluruh pasaraya negeri Selangor,” katanyanya.

-NFN-