Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Tiga rakyat Malaysia antara kes tempatan baharu di Singapura

SINGAPURA, 21 JAN: Tiga rakyat Malaysia merupakan antara empat kes baharu jangkitan tempatan Covid-19 dilaporkan di Singapura, menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH).

Kementerian itu menyatakan yang mereka bekerja di tempat yang sama dengan Kes 59429, seorang lelaki Penduduk Tetap Singapura yang bekerja di BS Industrial & Construction Supply PTe Ltd.

Lelaki itu telah disahkan dijangkiti Covid-19 pada 18 Januari, menurut kenyataan itu dalam data penuh yang dikeluarkan di sini semalam.

Ketiga-tiga mereka merupakan pemegang pas kerja dengan seorang dimasukkan ke Hospital Tan Tock Seng manakala dua ditempatkan di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID).

Dengan tiga kes baharu yang berkaitan dengan Kes 59429, mereka telah mewujudkan satu kluster baharu di sini.

Sehingga tengah hari tadi, Singapura mencatatkan sejumlah 40 kes baharu di mana 36 merupakan kes import dan empat kes jangkitan tempatan, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan kepada 59,197 kes.

Sehingga semalam republik itu telah mengklasifikasikan 2,378 sebagai kes import, 2,311 kes komuniti dan 54,508 kes penghuni asrama pekerja asing.

Dengan kluster baharu berkaitan Kes 59429, ia menjadikan jumlah kluster kini kepada enam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Pelajar Malaysia antara kes import di Singapura

SINGAPURA, 20 JAN: Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan bahawa satu daripada lima kes bergejala import yang dilaporkan di negara republik berkenaan semalam adalah melibatkan seorang pelajar wanita berumur 28 tahun dari Malaysia.

Dilabel sebagai kes 59422, pemegang pas pelajar itu tiba di Singapura dari negara asalnya, menurut kementerian berkenaan dalam data penuh yang dikeluarkan di sini.

Sehingga tengah hari ini, Singapura mencatatkan 26 kes import baharu, dengan 21 daripadanya adalah asimptomatik, manakala lima adalah bergejala.

Republik itu turut melaporkan empat kes baharu jangkitan tempatan Covid-19, dengan dua kes asimptomatik dan dua bergejala.

Keseluruhannya 30 kes baharu dilaporkan di sini pada Selasa, menjadikan jumlah jangkitan kini menjangkau 59,157.

Satu kluster baharu juga dikesan semalam, yang dikaitkan dengan kes 59343 melibatkan seorang lelaki warga China berumur 33 tahun yang bekerja di Golden Bridge Foods Manufacturing Pte Ltd.

Dengan kluster baharu itu, jumlah kluster yang dikesan kini adalah lima.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Dua rakyat Malaysia antara 14 kes baharu Covid-19 di Singapura

SINGAPURA, 19 JAN: Wanita Malaysia berusia 66 tahun adalah satu daripada dua kes jangkitan dalam komuniti yang dilaporkan oleh Singapura pada Isnin.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, warga emas yang juga pesara itu adalah pemegang pas lawatan jangka panjang dan tinggal di negara itu sejak Januari tahun lepas.

Dilabelkan sebagai kes 59,395, wanita berkenaan adalah ahli keluarga kepada kes 59,365, iaitu seorang lelaki warga Singapura berusia 44 tahun yang bekerja sebagai pegawai pentadbiran di Pasukan Polis Singapura, 2 Mowbray Road.

Lelaki berkenaan disahkan positif Covid-19 pada 16 Jan.

MOH memaklumkan wanita berkenaan didapati mengalami gejala jangkitan pernafasan akut (ARI) dan cirit-birit pada 9 Jan lepas dan kehilangan rasa pada 14 Jan, namun belum mendapatkan rawatan.

Setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes 59,365, wanita terbabit dihubungi oleh MOH pada 16 Jan dan menjalani ujian Covid-19 apabila menunjukkan mempunyai gejala.

Setelah ujian wanita berkenaan menunjukkan positif Covid-19 pada keesokannya, pesakit kemudiannya dibawa ke Hospital Tan Tock Seng.

“Ujian menunjukkan dia positif. Bersama dengan gejala Covid-19, ini menunjukkan kemungkinan jangkitan baru-baru ini bermula pada 9 Jan,” menurut MOH.

Wanita itu adalah salah satu daripada kes berkaitan dengan kluster kes 59,280 dengan enam kes disahkan positif.

Kes 59,280 adalah rakan kes 59,365, dilaporkan pada 14 Jan membabitkan lelaki warga Singapura berusia 32 tahun yang bekerja sebagai doktor haiwan di Pasukan Polis Singapura, 2 Mowbray Road.

Sementara itu, seorang lagi warga Malaysia, lelaki berusia 30 tahun adalah antara 12 kes import dilaporkan pada Isnin.

Lelaki berkenaan adalah pemegang permit kerja tiba dari Malaysia didapati tidak bergejala dan dilabel sebagai kes 59,390, menurut MOH.

Setakat tengah hari, Singapura melaporkan 14 kes baharu membabitkan 12 kes import dan dua jangkitan tempatan menjadikan jumlah terkumpul kes Covid-19 di republik itu sebanyak 59,127.

Tiada kes membabitkan asrama pekerja asing.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Warga Malaysia di Singapura antara terima suntikan vaksin Covid-19

SINGAPURA, 17 JAN: Sejumlah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menjadi antara penerima suntikan vaksin Pfizer BioN Tech di negara tersebut.

Mereka yang menerima suntikan vaksin tersebut, kebanyakkan bekerja dalam sektor yang diberikan keutamaan untuk menerima vaksin, di republik itu.

Sebahagian daripada mereka telahpun berkongsikan pengalaman mereka menerima suntikan di laman Facebook Malaysian-Singapore Border Crossers, yang kini mempunyai hampir 82,000 ahli.

Imra Astata Ibrahim yang bekerja dalam sektor marin berkata, beliau menerima suntikan vaksinnya yang pertama pada 13 Januari dan akan menerima suntikan kedua selepas 21 hari.

Ketika dihubungi Bernama, Imra Astata, 40, yang menyewa di Jurong West di sini berkata, beliau tidak teragak-agak untuk menerima suntikan vaksin tersebut bersama 10 lagi rakan dari Malaysia.

Malah, bapa kepada tiga cahaya mata itu berpandangan yang dengan mengambil suntikan tersebut, keadaan akan menjadi lebih mudah untuknya berulang-alik ke Johor seperti sebelum ini.

“Siapa tahu, mungkin akan ada satu persefahaman antara kedua negara, bagi memudahkan pergerakan untuk pekerja yang telah menerima vaksin ini,” katanya.

Imra Astata kembali ke republik itu untuk bekerja pada 24 September 2020, selepas langkah-langkah memperketatkan pergerakan antara kedua-dua sempadan negara itu diperkenalkan pada Mac tahun lepas, bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Ketika ditanya jika terdapat sebarang kesan sampingan selepas penerimaan vaksin tersebut, Imra Astata berkata, sebelum menerima suntikan itu, beliau dan rakan-rakannya dimaklumkan mengenai kemungkinan adanya kesan sampingan.

“Setakat ini, saya dan rakan-rakan masih sihat selepas mengambil suntikan. Hanya pada hari menerima suntikan, saya rasa sedikit kebas dan sakit di tempat suntikan,” kata Astata yang berasal dari Johor.

Kerajaan Singapura memperuntukkan semua rakyat Singapura dan penduduk jangka panjang di negara itu, untuk menerima vaksin sebelum akhir 2021, jika tiada gangguan yang tidak terjangka dalam penghantaran vaksin tersebut.

Singapura menerima penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 pada 21 Disember tahun lepas.

Bagi memastikan ketersediaan vaksin dan membolehkan Singapura mencapai kadar yang lebih tinggi pemberian vaksin kepada penduduk republik itu, vaksin tersebut akan diberikan secara percuma.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura sehingga 12 Januari 2021, lebih daripada 6,200 individu menerima dos pertama vaksin mereka di negara itu.

Menurut MOH, jumlah itu dijangka meningkat dengan banyak dalam minggu yang akan datang, apabila mereka mempertingkatkan lagi operasi pemberian vaksin mereka.

Sejajar dengan saranan daripada Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi Covid-19 untuk mengutamakan vaksinasi kepada kumpulan yang paling berisiko, Singapura memulakan aktiviti vaksinasi kepada petugas bidang kesihatan secara progresif bermula 30 Disember 2020.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Dua rakyat Malaysia antara 33 kes import tidak bergejala di Singapura

SINGAPURA, 14 JAN: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan dua daripada 33 kes import Covid-19 yang tidak bergejala dilaporkan semalam, adalah rakyat Malaysia.

Kedua-dua lelaki yang merupakan pemegang permit kerja tiba dari Malaysia itu masing-masing dilabelkan sebagai kes 5,9230 dan 5,9232, menurut data penuh kementerian yang dikeluarkan pada Rabu.

Setakat tengah hari semalam, republik itu melaporkan sejumlah 38 kes baharu Covid-19 iaitu 37 import dan satu kes penularan tempatan melibatkan penghuni asrama.

Daripada jumlah kes baharu itu, kementerian memaklumkan 34 tidak menunjukkan gejala termasuk kes di asrama dan mereka dikesan daripada pengawasan dan saringan proaktif, manakala empat lagi kes bergejala.

Kesemua kes import termasuk dua rakyat Malaysia berusia 55 dan 44 tahun dikenakan notis duduk di rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.

Dengan angka kes baharu itu menjadikan jumlah jangkitan di negara ini kepada 58,984 kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Rakyat Malaysia antara jangkitan dalam komuniti di Singapura

SINGAPURA, 8 JAN: Wanita Malaysia berusia 43 tahun merupakan antara dua kes jangkitan dalam komuniti yang dilaporkan oleh Singapura pada Khamis.

Menurut Kementerian Kesihatan republik itu, wanita berkenaan bekerja di Azur, Crowne Plaza Changi Airport.

Pada Rabu, Singapura melaporkan satu kes yang diuji positif bagi strain B117 dan dia bekerja di Azur.

Bagaimanapun menurut kementerian itu, wanita berkenaan bekerja menghantar makanan siap bungkus kepada anak kapal serta penginap di hotel dan tidak berinteraksi dengan pelanggan Azur.

Wanita itu menunjukkan gejala ketika bekerja pada 3 Januari lalu dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik dua hari kemudian, kata kementerian itu dalam kenyataannya malam tadi.

Wanita itu diuji bagi Covid-19 dan pada awalnya didiagnos mengalami jangkitan pernafasan akut (ARI), namun keesokannya keputusan ujian menunjukkan dia sah positif Covid-19.

Menurut kementerian itu, siasatan awal juga mendapati wanita tersebut berkemungkinan tidak dijangkiti strain B117.

Sebagai langkah pencegahan, Crowne Plaza Changi Airport akan ditutup selama 14 hari bermula hari ini.

Setakat tengah hari semalam, Singapura melaporkan 33 kes baharu dengan dua jangkitan dalam komuniti dan 31 kes import, menjadikan jumlah terkumpul kes Covid-19 di republik itu sebanyak 58,813 kes.

Menurut kementerian itu, daripada keseluruhan kes baharu tersebut, 30 tidak bergejala dan dikesan menerusi saringan dan pemantauan oleh kementerian, sementara tiga kes lagi bergejala.

Selain itu, sebanyak tiga kluster dilaporkan dengan satu mempunyai kaitan dengan NewOcean 6, kapal tangki bunker yang dioperasikan oleh Palmstone Tankers & Trdg Lte Ltd di Pelabuhan Singapura.

Republik itu sebelum ini melaporkan kluster terakhirnya yang membabitkan sebuah asrama pekerja asing tamat pada 24 November lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Seorang rakyat Malaysia antara 33 kes import baru Singapura

SINGAPURA, 3 JAN: Seorang warga Malaysia berusia 31 tahun merupakan salah seorang daripada 33 kes import Covid-19 di Singapura, menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH).

MOH dalam data penuh yang dikeluarkan lewat Sabtu, melabelkan kes pemegang pas kerja yang tiba dari Malaysia itu, sebagai kes 58,880.

Kementerian itu menyatakan lelaki itu bersama 30 lagi mereka yang tidak bergejala, dikesan menerusi penyaringan dan pemantuan aktif pihaknya, manakala dua lagi merupakan mereka yang bergejala.

“Mereka telahpun diletakkan di bawah Notis Tinggal Di Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura dan telah diuji ketika menjalani SHN atau pengasingan,” menurut kementerian itu.

Sehingga tengah hari Sabtu, republik itu melaporkan 33 kes baru dengan tiada kes melibatkan komuniti mahupun mereka yang tinggal di asrama pekerja, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu kini 58,662.

Sepanjang minggu lepas, tiga lagi rakyat Malaysia merupakan antara kes import Covid-19 yang dilaporkan di negara itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Singapura lapor dua kes jangkitan awal bagi strain B117

SINGAPURA, 31 DIS: Singapura hari ini melaporkan dua kes jangkitan awal yang positif bagi strain B117, satu varian Covid-19 yang berpotensi lebih menular dan kini merebak di United Kingdom (UK), demikian menurut Kementerian Kesihatan republik (MOH) itu.

Menerusi data lengkap yang dikeluarkan di sini, MOH berkata kes pertama itu dilabel sebagai 58811 membabitkan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 40 tahun yang bekerja sebagai juruterbang dengan Singapore Airlines.

Beliau telah melakukan perjalanan ke UK baru-baru ini untuk bertugas selama tiga hari mulai 19 Disember dan menjalani ujian saringan pada 23 Disember sebagai sebahagian daripada Ujian Rutin Berjadual (RRT) bagi kru udara yang sering melakukan perjalanan dan hasilnya adalah negatif bagi jangkitan Covid-19.

Pada 26 Disember lepas, beliau demam dan mendapatkan rawatan perubatan di sebuah klinik umum serta menjalani ujian calitan pada keesokan harinya.

Tiga hari kemudian, hasil ujian itu didapati positif Covid-19 dan beliau dirujuk ke Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

“Keputusan ujian serologi beliau adalah negatif yang menunjukkan kemungkinan terdapat jangkitan semasa. Beliau juga didapati positif jangkitan awal bagi strain B117,” menurut kementerian itu sambil menambah bahawa ujian lanjut akan dilakukan bagi mengesahkan strain itu.

Menurut MOH, kes kedua dilabelkan sebagai 58809 merupakan seorang pemegang pas kerja yang tiba dari UK pada 7 Disember lepas dan diletakkan di bawah Notis Duduk Di rumah (SHN) di sebuah kemudahan yang ditetapkan sejurus tiba di Singapura.

Lelaki berusia 53 tahun dari UK itu menamatkan SHNnya pada 21 Disember namun mula mengalami sakit badan pada keesokan harinya dan gejala Jangkitan Pernafasan Akut (ARI) pada 25 Disember lepas.

“Beliau telah mendapatkan rawatan perubatan tiga hari kemudian dan menjalani ujian calitan bagi Covid-19. Keputusan ujiannya positif pada 29 Disember dan beliau kemudian dirujuk kepada NCID.

“Keputusan ujian serologinya adalah positif dan beliau juga didapati positif jangkitan awal bagi strain B117 serta masih menunggu ujian pengesahan lanjut,” menurut kementerian itu.

Setakat tengah hari, republik itu melaporkan sebanyak 27 jangkitan baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 58,569.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Lelaki Malaysia antara 13 kes positif baharu di Singapura

SINGAPURA, 30 DIS: Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan satu daripada 13 kes import positf Covid-19 di negara republik itu melibatkan lelaki Malaysia berumur 45 tahun.

Kes yang dilabel 58774 itu melibatkan pemegang permit kerja yang tiba dari Malaysia, menurut kementerian berkenaan dalam satu data penuh yang dikeluakan di sini.

Menurutnya lelaki itu bersama dengan sembilan lagi yang merupakan kes asimptomatik, dikesan menerusi saringan proaktif dan survelans, manakala tiga lagi simptomatik.

“Mereka telahpun dikenakan Notis Tinggal Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura dan diuji semasa menjalani SHN atau tempoh pengasingan,” menurut kenyataan kementerian itu.

Sehingga tengah hari semalam, Singapura melaporkan sejumlah 13 kes baharu, tanpa melibatkan sebarang kes dalam komuniti atau penghuni asrama, sekali gus menjadikan jumlah jangkitan di sini kepada 58,542.

Ahad lepas satu daripada lima kes import Covid-19 yang dilaporkan di Singapura disahkan melibatkan wanita Malaysia berumur 23 tahun yang menjalani SHN di sebuah hotel di sini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Wanita Malaysia antara lima kes baharu Covid-19 di Singapura

SINGAPURA, 28 DIS: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan salah seorang daripada lima kes import Covid-19 di negara itu yang diumumkan pada Ahad, merupakan seorang warganegara Malaysia yang sedang menjalani Notis Tinggal di Rumah (SHN) di sebuah hotel.

Menurut MOH, wanita itu dipindahkan ke sebuah fasiliti lain pada 20 Dis apabila kementerian itu melakukan siasatan terhadap 13 kes yang dilaporkan terdahulu, yang menjalani SHN di hotel yang sama pada 22 Okt dan 11 Nov.

Dalam data penuh dikeluarkan MOH lewat malam tadi, pemegang pas kerja yang dilabelkan sebagai kes 58,762 itu, menjalani ujian swab pada 19 dan 21 Dis dan keputusan Covid-19 beliau, adalah negatif.

“Keputusan ujian swab pada 24 Dis pada hujung SHN didapati positif dan beliau dirujuk ke hospital keesokkan harinya. Ujian pengesahan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (NPHL) juga positif,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun kementerian itu menyatakan, sampel kedua yang diambil pada 26 Dis didapati negatif, dan ujian serelogikal juga negatif.

MOH menjelaskan yang siasatan dilakukan bagi memantau beliau yang tidak menunjukkan gejala itu, sama ada kes tersebut berkaitan dengan 13 kes import sebelum ini.

Kementerian itu pada 19 Dis menyatakan 13 kes import tersebut, didapati mempunyai kesamaan genetik yang tinggi, walaupun kes terbabit tiba daripada negara berbeza termasuk Bahrain, Kanada, Indonesia, Myanmar, Belanda, Filipina, Korea Selatan, UAE, UK dan US.

Sehingga tengah hari Ahad, negara itu melaporkan sejumlah lima kes baru, dengan tiada kes melibatkan komuniti ataupun mereka yang tinggal di asrama pekerja, menjadikan jumlah keseluruhan kepada jangkitan di republik itu kepada 58,524.

MOH sehingga kini mengklasifikasikan 1,742 kes sebagai kes import, 2,276 kes komuniti dan 54,506 melibatkan pekerja asing tinggal di asrama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Rakyat Malaysia antara 10 kes import di Singapura

SINGAPURA, 27 DIS: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan satu daripada 10 kes Covid-19 yang diimport di republik itu yang diumumkan semalam (Sabtu) adalah lelaki rakyat Malaysia berusia 64 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia.

Dilabelkan sebagai kes 58757, warga emas yang merupakan pemegang pas lawatan jangka pendek itu telah diasingkan sejurus tiba di Singapura, demikian menurut data penuh kementerian berkenaan yang dikeluarkan, malam tadi.

“Kes 58757 adalah penjaga kepada individu yang sudah menerima rawatan perubatan di Singapura dan telah kembali untuk rawatan lanjut,” menurut kementerian itu.

Lelaki itu dan sembilan kes lain yang diimport semuanya tidak bergejala yang dikesan daripada pemeriksaan dan pengawasan yang proaktif, menurutnya.

Setakat tengah hari Sabtu, republik itu melaporkan sejumlah 10 kes baharu, dengan tiada kes dalam komuniti atau penghuni asrama dengan jumlah jangkitan sebanyak 58,519.

MOH telah mengklasifikasikan 1,737 kes yang dilaporkan sebagai kes diimport, 2,276 kes komuniti dan 54,506 melibatkan penghuni asrama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Singapura terima kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech

ANKARA, 22 DIS: Singapura telah menerima kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Singapore Airlines (SIA).

Ia sekali gus menjadikan Singapura negara Asia pertama yang menerima vaksin keluaran Pfizer-BioNTech.

“Penghantaran kumpulan pertama vaksin Covid-19 ini ke Singapura adalah tonggak penting dalam memerangi Covid-19, dan kami berasa gembira dapat memainkan peranan dalam hal ini.

“Ini juga menunjukkan kesediaan hub perkhidmatan udara SIA dan Singapura bagi tugas yang sangat penting untuk mengangkut dan mengedarkan vaksin Covid-19 ke peringkat antarabangsa,” kata Naib Presiden Kanan Kargo SIA, Chin Yau Seng pada Selasa.

Minggu lalu, Singapura meluluskan vaksin itu dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan ia bakal diberi percuma dan secara sukarela kepada semua warganegara serta penduduk jangka panjang.

Negara ini juga akan mengurangi sekatan berkaitan virus mulai 28 Disember.

Menurut Kementerian Kesihatan, perjumpaan sosial sehingga lapan orang akan dibenarkan, berbanding lima orang ketika ini.

Singapura melaporkan 10 kes baharu Covid-19, termasuk sembilan yang diimport, dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikan keseluruhan kepada 58,403 manakala angka korban setakat ini seramai 29 orang.

-BERNAMA