Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SKMM tahan wanita disyaki sebar berita palsu koronavirus

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Seorang wanita ditahan di Kuantan, Pahang kerana disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan koronavirus 2019 (2019-nCoV) di media sosial.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan berkata suspek berusia 28 tahun yang merupakan kerani bank ditahan sekitar 4 petang semalam bagi membantu siasatan berhubung kandungan berita palsu yang dimuat naik di Facebook pada 27 Januari lalu.

“Turut dirampas telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan palsu terbabit,” menurut kenyataan itu.

Suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Menurut kenyataan itu, sejak 28 Januari lalu, SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia menahan enam suspek dipercayai menyebarkan kandungan palsu mengenai koronavirus.

Operasi menahan individu yang disyaki mengedar berita palsu akan diteruskan untuk memastikan penularannya dikawal dan menjamin keamanan serta kesejahteraan rakyat Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Empat lagi ditahan disyaki sebar berita palsu koronavirus

SHAH ALAM 29 JAN: Empat lagi individu ditahan disyaki sebar kandungan berita palsu mengenai penularan wabak koronavirus 2019 dalam operasi berasingan sekitar Melaka, Kedah dan Pahang hari ini, kata Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

SKMM dalam kenyataan medianya berkata operasi dijalankan dengan kerjasama polis di antara jam 11 pagi hingga 5 petang tadi.

Kata mereka yang ditahan adalah seorang tutor sambilan berusia 49 tahun di Alor Setar, Kedah, kerana memuat naik kandungan palsu di laman sosial Facebook miliknya, Sabtu lalu.

“Dua lagi yang ditahan di Melaka adalah pembantu farmasi berusia 25 tahun dan 30 tahun, masing-masing ditahan di Peringgit dan Merlimau, sekitar jam 4 petang selepas disyaki memuat naik berita palsu dalam akaun Facebook mereka Ahad lalu.

“Seorang lagi adalah pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berusia 24 tahun, yang ditahan pada jam 4.15 petang di Kuantan, Pahang, selepas didapati berkongsi kandungan palsu wabak koronavirus 2019 di laman Twitter, kelmarin,” katanya.

Susulan tangkapan semua suspek itu, SKMM merampas empat telefon bimbit; lima kad sim; dua kad memori yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan palsu berkaitan koronavirus 2019 di media sosial.

Kesemua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1988, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Kesihatan senarai 15 berita palsu koronavirus

SHAH ALAM, 29 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini menyenaraikan 15 berita palsu yang tular di media sosial berhubung wabak koronovirus 2019.

Berita yang disebarkan melalui WhatsApp, Facebook dan Twitter antaranya membabitkan suspek pertama virus di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, yang dinafikan jabatan kesihatan negeri.

KPJ Seremban turut menafikan merawat pesakit terkena jangkitan itu di hospital berkenaan.

Sementara itu, dua kes diadukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan dakwaan Mahkota Medical Center, Melaka ditutup kerana berlaku kematian dan satu kes koronovirus di Hospital UIA Kuantan.

SKMM turut menafikan imej virus di bawah kanta berkuasa tinggi adalah koronavirus.

Berita palsu lain termasuk:

  • Kes pertama membabitkan dua pelancong di Hospital Seberang Jaya
  • Kes pertama koronovirus di sebuah hospital swasta Kuantan
  • Seorang warga Wong Tong, China dijangkiti koronovirus di Poliklinik Ayer Keroh, Melaka
  • Seorang pelancong China yang dikesan positif koronovirus bergerak bebas di Tropicana 218 Macalister, Pulau Pinang
  • Lima individu baru pulang dari Wuhan dikuarantin di Hospital Sultanah Nur Zahirah
  • Seorang budak tujuh tahun positif koronovirus di Hospital Likas, Sabah
  • Seorang meninggal dunia selepas mengalami kekejangan dan pengsan di Shah Alam
  • Bapa kepada seorang murid Sekolah Kebangsaan Paka tenat selepas pulang dari Wuhan
  • Beberapa keping gambar didakwa ratusan warga China tiba di Langkawi untuk lari dari koronovirus
  • Menyenaraikan kawasan wabak koronavirus di Selangor serta mengatakan kerajaan menempah wabak free (percuma)

SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia hari ini menahan seorang suspek berusia 34 tahun di Bangi, Selangor yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu di Facebook berhubung wabak itu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SKMM tahan individu sebar berita palsu koronavirus

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang suspek yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu berhubung wabak koronavirus 2019.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, suspek berusia 34 tahun ditahan di kediamannya di Bangi, Selangor pada 4 petang semalam bagi membantu siasatan terhadap satu kandungan yang dimuat naik di Facebook pada 26 Januari lalu.

“Kandungan mengenai koronavirus didapati palsu. Turut dirampas telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik berita palsu di Facebook terbabit.

“SKMM dan PDRM mengambil serius perbuatan ini dan sedang giat mengesan tiga lagi suspek untuk membantu siasatan. Tindakan sewajarnya akan dikenakan kepada mereka yang memulakan, berkongsi dan menyebarkan berita palsu melalui platform media sosial,” tegas suruhanjaya itu.

Suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua­duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

“Tindakan tegas ini salah satu usaha SKMM dan PDRM mengawal penyebaran berita tidak sahih mengenai koronavirus oleh individu tidak bertanggungjawab sehingga mampu mengganggu-gugat kestabilan negara dan ketenteraman awam,” menurut SKMM.

Pada 27 Januari lalu, SKMM dan PDRM memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyebarkan kandungan khabar angin atau berita tidak sahih mengenai koronavirus di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis, SKMM beri amaran sebar berita palsu koronavirus

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita palsu mengenai penularan koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Amaran itu dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyatakan perbuatan itu boleh menimbulkan kekecohan dan kemudaratan kepada kestabilan negara.

“PDRM dan SKMM mengambil serius akan perbuatan ini dan tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu sehingga menyebabkan ketakutan, panik atau kegusaran kepada orang awam,” menurut kedua-dua badan itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Dalam pada itu, PDRM dan SKMM mengenal pasti empat individu bagi membantu siasatan penyebaran berita palsu berkaitan koronavirus.

Pemantauan dua pihak itu juga mendapati media sosial dan pesanan dalam talian menjadi satu platform utama bagi penularan berita palsu mengenai koronavirus.

Menurut kenyataan itu lagi penyebar berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

“Pendakwaan turut boleh dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” menurut PDRM dan SKMM.

Orang awam juga digesa supaya menyemak terlebih dahulu maklumat atau berita mengenai koronavirus sebelum mempercayai atau menyebarkannya, terutama maklumat yang dikeluarkan pihak selain Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sila rujuk kepada sumber rasmi KKM (www.moh.gov.my/) atau badan kesihatan antarabangsa (https://www.who.int/) bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai koronavirus,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

SKMM: 2020 dijangka lebih baik susulan pencapaian progresif

PUTRAJAYA, 1 JAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjangka tahun 2020 lebih baik susulan pencapaian progresif pada 2019 dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif utama strategik yang menyumbang kepada transformasi pendigitalan dan kesalinghubungan di Malaysia.

Antara inisiatif utama pada 2019 termasuk pelancaran Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), pameran teknologi generasi kelima atau 5G Malaysia, pengumuman rangka kerja Identiti Digital Kebangsaan serta peristiwa penutupan siaran TV analog yang bersejarah.

“SKMM dapat melaksanakan program dan inisiatif strategik tersebut walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, hasil usaha dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak berkepentingan termasuk orang ramai,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara kejayaan pada 2019 ialah pelaksanaan Standard Mandatori untuk Harga Capaian (MSAP) yang mengurangkan harga pakej jalur lebar berkelajuan tinggi lebih daripada 40 peratus, melepasi sasaran awal sebanyak 25 peratus.

“Inisiatif ini memberi manfaat kepada jutaan isi rumah dan perniagaan di Malaysia, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” jelas SKMM.

Menurut SKMM, selain MSAP, penyedia perkhidmatan turut menawarkan kelajuan jalur lebar yang lebih pantas pada harga yang sama atau lebih rendah kepada pelanggan baharu dan sedia ada, sejajar dengan wawasan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo untuk kelajuan jalur lebar berganda pada separuh harga.

Pelan dinamik lima tahun NFCP pula dilancarkan pada 19 Sept lepas bagi memantapkan kesalinghubungan digital negara dan memastikan prasarana penting disediakan untuk menawarkan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, mampu milik dan berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia, jelasnya.

Suruhanjaya itu memaklumkan fasa pertama projek NFCP akan dianugerahkan kepada pemegang lesen yang berjaya pada Januari 2020, yang menandakan permulaan pelaksanaan NFCP.

Malaysia, menurut SKMM, telah muncul sebagai peneraju dalam memperkenalkan 5G di rantau ASEAN.

Menurut SKMM, sehingga 30 September lalu, projek demonstrasi 5G membabitkan 55 kes kegunaan di 32 lokasi di enam buah negeri.

“Malaysia berada di landasan yang betul dalam pengkomersialan 5G pada pertengahan tahun 2020, memandangkan peningkatan permintaan untuk kesalinghubungan yang cukup pantas seiring dengan perkembangan ekonomi global,” jelas SKMM.

Pada 2019, inisiatif Identiti Digital Kebangsaan diperkenalkan dan SKMM dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk tampil dengan satu rangka kerja Identiti Digital Kebangsaan yang selamat dan terjamin, membabitkan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan sepanjang tahun.

Suruhanjaya telah melantik firma perunding untuk menjalankan kajian Identiti Digital Kebangsaan yang menyeluruh selama tujuh setengah bulan bermula dari 21 November 2019.

“Kajian ini akan tertumpu kepada penentuan model pelaksanaan yang sesuai, analisis manfaat kos, serta pelaksanaan strategi yang akan memanfaatkan kepentingan bersama dalam kalangan rakyat, perniagaan dan kerajaan,” katanya.

Menurut SKMM, penyempurnaan penutupan siaran TV Analog (ASO) di bawah Projek Digitalisasi Penyiaran Nasional juga satu peristiwa yang bersejarah bagi Malaysia.

“Penutupan ASO terakhir di Sabah dan Sarawak pada 31 Oktober 2019, menandakan peralihan rasmi daripada siaran TV analog tradisional kepada siaran TV Digital Terestrial (DTT).

ASO bertujuan untuk memenuhi kualiti transmisi televisyen yang lebih baik untuk rakyat Malaysia. Kira-kira dua juta dekoder myFreeview percuma telah diedarkan kepada penerima B40 terpilih,” katanya.

Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak dalam kenyataan itu berkata SKMM sedar akan cabaran-cabaran baharu dan perkembangan teknologi pengganggu yang akan memberi impak kepada semua sektor.

“Terdapat banyak lagi inisiatif yang kita sedang laksanakan, umpamanya pelaksanaan projek-projek demonstrasi NFCP dan pengkomersialan 5G menjelang suku ketiga 2020.

“Ini adalah pelan terbesar yang bakal menjadi asas kepada kemaraan negara ke dekad seterusnya dan menjadi teras penting kepada Malaysia untuk kekal berdaya saing dari segi aspek ekonomi, sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

78 peratus akaun media sosial palsu dipadam

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Sejumlah 3,877 akaun media sosial menyamar dikesan dan 78 peratus daripadanya berjaya dipadam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat September lalu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata faktor utama akaun itu dipadam ialah kerana penciptaan akaun palsu untuk tujuan penyamaran.

“Pemadaman akaun media sosial itu mendapat kerjasama pihak penyedia platform media sosial selaras dengan terma dan syarat yang disediakan oleh penyedia platform.

“Selain itu, sebanyak 1,564 pautan dan kandungan yang dipercayai berunsurkan buli siber dikesan oleh SKMM dengan 63 peratus daripadanya berjaya dipadam,” katanya ketika sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang ingin tahu jumlah pemilik akaun media sosial yang telah disekat penggunaannya dan apakah sebabnya.

Sementara itu, Gobind berkata kementerian sedang mengkaji bagaimana undang-undang sedia ada dalam menangani masalah akaun palsu dapat ditingkatkan pada masa akan datang.

“Saya harap pada masa akan datang kita boleh lihat undang-undang baharu selewat-lewatnya dalam pertengahan tahun depan tetapi dalam masa sama penguatkuasaan adalah penting, yang bila ada laporan dibuat orang ramai, tindakan hendaklah diambil dengan segera.

“Kami akan buat pindaan kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dalam masa terdekat. Kita lihat negara dalam rantau ini telah perkenalkan undang-undang baharu yang lebih ketat misalnya Singapura dan Australia,” katanya.

Gobind berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan R.S.N Rayer (PAKATAN-Jelutong) yang ingin tahu bagaimana kerajaan akan mengambil tindakan menangani kebebasan berkongsi maklumat yang semakin meningkat pada masa kini terutamanya yang mempunyai unsur fitnah dan palsu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM: Pelan Gentian Optik sedia kesalinghubungan digital mampan

SHAH ALAM, 3 SEPT: Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bukan projek mega, sebaliknya penting bagi menggariskan strategi, sasaran dan tindakan yang akan memastikan kesalinghubungan digital negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, pelaksanaan NFCP berpandukan kepada dua turus utama membabitkan siri projek infrastruktur yang akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat.

Katanya, ia dijangka akan dibiayai secara komersial oleh pemegang lesen Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkaitan.

“Projek infrastruktur ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ke seluruh negara menggunakan pelbagai teknologi yang antara lain merangkumi gentian optik, teknologi tanpa wayar dan satelit.

“Kos keseluruhan sebanyak RM21.6 bilion juga adalah jumlah anggaran, yang berkemungkinan besar akan berubah apabila NFCP ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, SKMM turut menafikan Opcom akan menjadi penerima manfaat terbesar projek NFCP.

Katanya, NFCP terdiri daripada pelbagai projek infrastruktur, termasuk projek komersial yang dibiayai oleh pemegang lesen sendiri.

“Projek ini juga akan mempertimbangkan penggunaan teknologi berbeza, justeru tidak ada satu syarikat khusus yang menyediakan teknologi khusus boleh menjadi penerima manfaat terbesar daripada NFCP.

“Pihak kerajaan mahupun SKMM tidak akan menetapkan penyedia teknologi kerana perkara ini akan diputuskan oleh pihak pemegang lesen, justeru tidak tepat untuk menamakan Opcom sebagai penerima manfaat terbesar NFCP,” katanya.

Pada 28 Ogos lalu, jemaah menteri bersetuju memperuntukkan RM21.6 bilion bagi pelaksanaan NFCP bermula 2019 hingga 2023.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, NFCP akan mencapai kelajuan purata 30Mbps di 98 peratus kawasan berpenduduk dan ketersediaan rangkaian gigabit di kawasan perindustrian terpilih menjelang 2020 dan semua ibu negeri menjelang 2023.

Categories
NASIONAL

SKMM sambut baik pakej khas untuk OKU

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH LAM, 21 JUN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyambut baik pengumuman Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berhubung pelaksanaan pakej khas komunikasi untuk golongan orang kelainan upaya (OKU), semalam.

Pengerusinya, Al-Ishsal Ishak berkata, penawaran pakej khas komunikasi pada harga berpatutan itu akan memberi manfaat kepada golongan terbabit.

Katanya, ia membolehkan mereka menikmati manfaat kelebihan ekonomi digital, sekali gus menggalakkan penggunaan internet untuk meningkatkan perniagaan mereka.

“Sebanyak tujuh syarikat telekomunikasi utama iaitu Celcom, Digi, Maxis, TM, Time Dotcom, YTL dan U Mobile menawarkan pakej ini yang merangkumi pemberian diskaun antara RM10 sehingga RM15 untuk perkhidmatan mudah alih serta diskaun RM10 sehingga RM44 untuk perkhidmatan talian tetap.

“Bagi menikmati pakej terbabit, mereka perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti kad pengenalan dan kad OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarkat.

“Manakala bagi keluarga yang mempunyai anak OKU, mereka layak menikmati pakej khas dengan mengemukakan dokumen bahawa mereka adalah penjaganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Al-Ishsal berkata, proses pendaftaran untuk pakej khas itu hanya boleh dilakukan di cawangan penyedia perkhidmatan dan tiada penalti dikenakan untuk beralih dari kontrak sedia ada ke pakej khas berkenaan.

“Sebanyak 572 pusat internet di seluruh negara kini dilengkapi komputer, perisian dan aplikasi khas, sekali gus membolehkan golongan berkenaan mempunyai capaian perkhidmatan komunikasi dalam meningkatkan taraf hidup juga menjalankan aktiviti seharian mereka dengan mudah.

“Penawaran pakej khas komunikasi ini untuk golongan berkenaan menunjukkan komitment berterusan kerajaan dalam membela nasib rakyat khasnya golongan OKU,” katanya.

Categories
NASIONAL

SKMM bakal ambil tindakan pihak sebar kandungan lucah

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak memuat naik, menyebar atau berkongsi kandungan berunsur lucah di internet.

Suruhanjaya itu dalam kenyataannya berkata perkara berkenaan selari dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan pihak yang didapati melanggar undang-undang ini boleh dikenakan penjara selama setahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

“Pihak SKMM akan menyiasat kes penyebaran kandungan berunsur jelik dan lucah serta akan menyekat laman sesawang yang didapati menyebarkan kandungan berkenaan,” katanya.

Kenyataan itu berkata, kerjasama dengan pihak pengendali landasan seperti Facebook turut diambil untuk memastikan kandungan lucah tersebut tidak tular.

Suruhanjaya itu juga akan terus mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam memantau penyebaran kandungan yang menyalahi peruntukan undang-undang negara.

“Pihak SKMM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

SKMM terbit dua garis panduan baharu

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 21 MEI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerbitkan dua dokumen baharu, iaitu Garis Panduan Penggabungan & Pengambilalihan serta Garis Panduan Pembenaran Tingkah Laku, pada Jumaat lalu.

Pengerusinya, Al-Ishsal Ishak berkata, garis panduan itu bertujuan meningkatkan ketelusan, sekali gus memberi penjelasan kepada pihak industri berhubung pendekatan SKMM ketika menilai proses penggabungan dan pengambilan serta pembenaran tingkah laku sesebuah syarikat telekomunikasi yang akan mengurangkan persaingan dalam pasaran komunikasi.

Katanya, industri komunikasi dan multimedia adalah satu komponen kritikal yang menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara.

Oleh demikian, dasar yang memastikan industri itu sentiasa kompetitif dan berpandangan jauh akan memberi kesan signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, katanya.

“Usaha penggabungan dan pengambilalihan membolehkan syarikat tempatan meningkatkan kecekapan dalam skala dan skop lebih besar serta memudahkan mereka mendapat peluang kepada teknologi serta pasaran baharu, namun ini juga bermakna mereka menangkis persaingan seterusnya membawa kepada dominasi pasaran.

“Sebagai pengawal selia sektor komunikasi dan multimedia, penting bagi SKMM mempertimbangkan antara membenarkan syarikat untuk menjalankan strategi peniagaan mereka dan memberi keutamaan kepada pulangan pemegang saham.

“Dan pada masa sama, perlu memastikan pasaran bersifat dinamik dan kompetitif bagi melindungi produk serta perkhidmatan yang ada demi pengguna juga peniagaan yang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Garis panduan terbabit boleh dimuat turun daripada laman sesawang SKMM pada pautan https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/Guidelines-on-Merger-and-Acquisitions.pdf dan https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/Guidelines-on-Authorisation-of-Conduct.pdf.

Categories
NASIONAL

SKMM: Netizen dinasihat peka catatan cenderung bunuh diri

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Pengguna media sosial dinasihat lebih prihatin dan peka kepada sebarang catatan di media sosial yang dilihat cenderung ke arah tindakan membunuh diri bagi mengelak insiden seperti di Sarawak, semalam, berulang.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata laporan perlu dibuat terus kepada polis dan kepada anggota keluarga dan sahabat handai individu yang terlibat.

Laporan terhadap sebarang kandungan jelik, sumbang ataupun menjurus kepada buli siber, juga boleh terus dibuat secara atas talian menerusi e-mel [email protected] atau WhatsApp SKMM di talian 016-2206 262, menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, seorang remaja perempuan ditemui mati dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di tempat letak kereta di MJC, Batu Kawa, Kuching dipercayai selepas memuat naik status “Really important, Help me to choose D(Death) or L (Life)”di “Instagram Story” yang mendapat undian 69 peratus untuk D.

SKMM berkata pihaknya bersedia memberi apa-apa bantuan daripada segi teknikal jika diperlukan pihak polis yang kini sedang menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti sama ada undian di Instagram tersebut mempunyai unsur-unsur subahat.

“Untuk makluman, di bawah Seksyen 305 Kanun Keseksaan adalah menjadi kesalahan untuk menyubahati perlakuan kesalahan membunuh diri oleh orang berumur kurang daripada 18 tahun. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun dan dikenakan denda,” kata suruhanjaya berkenaan.

SKMM menasihatkan mereka yang berhadapan masalah kemurungan untuk mendapatkan bantuan kaunseling dan emosi daripada kumpulan sokongan seperti The Befrienders yang boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected], perjumpaan secara terus mahupun talian hotline 24 jam di 03-7956 8145.

SKMM turut mengingatkan pengamal media supaya lebih peka dengan penyiaran gambar atau visual mangsa dalam laporan mereka bagi menjaga privasi dan perasaan kaum keluarga yang terlibat.

-BERNAMA