Categories
NASIONAL

SKMM: Frekuensi 5G selamat untuk semua

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Radiasi selular atau teknologi frekuensi radio dalam rangkaian 5G adalah selamat dan tidak berbahaya kepada kesihatan seseorang, termasuk kanak-kanak, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak.

Beliau berkata cerita-cerita menakutkan dan ketakutan ramai terhadap kononnya 5G boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk barah, terutama pada kanak-kanak, adalah mengarut.

“Sudah tentu 5G selamat dan tidak memberi kesan kepada manusia pada tahap mana sekalipun termasuk bagi kanak-kanak di rumah…. 5G tidak boleh memberi kesan kepada molekul kita kerana ia cuma menghasilkan haba,” kata Al-Ishsal ketika ditemu bual dalam program “Breakfast Grille programme” yang disiarkan oleh BFM Radio hari ini.

Beliau berkata ia adalah dapatan satu kajian oleh SKMM dan disahkan oleh pakar mengenai spektrum, Prof Dr Tharek Abd Rahman, yang juga Ahli Suruhanjaya SKMM.

“Bukan sahaja SKMM, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menjalankan kajian sejak lebih 30 tahun lepas terhadap kira-kira 25,000 penerbitan bahan hasil kajian yang secara jelas menyatakan bahawa tiada kesan daripada pendedahan kepada medan elektromagnetik bertahap rendah,” kata beliau.

Diminta mengulas pelan kesalinghubungan SKMM untuk masa depan, beliau berkata suruhanjaya itu telah menyenaraikan tujuh objektif di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) termasuk pakej permulaan jalur lebar talian tetap pada kadar 1 peratus Pendapatan Negara Kasar (PNK / GNI) menjelang 2020 dan ketersediaan kelajuan Gigabit di kawasan perindustrian terpilih menjelang 2020 dan ke semua ibu negeri menjelang 2023.

Beliau berkata objektif lain ialah 100 peratus premis di ibu negeri dan kawasan berimpak tinggi terpillih tersedia dengan capaian minima 500Mbps menjelang tahun 2021, 20 peratus premis di kawasan pinggir bandar dan luar bandar tersedia dengan capaian sehingga 500Mbps menjelang 2022 dan kelajuan purata 30Mbps di 98 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2023)

“Rangkaian gentian melebihi 70 peratus bilangan sekolah, hospital, perpustakaan, balai polis dan pejabat pos menjelang 2022 selain menambah baik liputan mudah alih di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo apabila siap kelak… ia sebuah cita-cita yang besar tetapi kami yakin dapat mencapainya,” kata beliau.

Beliau menambah, adalah menjadi aspirasi kerajaan untuk menjangkau dan memastikan seluruh masyarakat mendapat ketersambungan terbaik termasuk bagi mereka yang tinggal di luar bandar.

“Kita masih mempunyai segmen masyarakat yang masih belum mempunyai walaupun satu sambungan meskipun akses kepada Internet adalah satu perkhidmatan utiliti yang asas… buat masa ini kita mempunyai 870 Pusat Internet terutama di kawasan luar bandar dan kawasan miskin yang memberi manfaat kepada 600,000 rakyat Malaysia.

“Lima puluh tujuh peratus daripada mereka adalah pelajar… Pusat Internet, berdasarkan rekod, telah melahirkan atau membantu sebanyak 16,898 IKS (Industri Kecil dan Sederhana) dan membantu menaikkan gaji mereka,” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penderaan seksual kanak-kanak: SKMM sekat lebih 400 laman

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

CYBERJAYA, 24 APRIL: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat lebih 400 laman sesawang yang mengandungi kandungan penderaan seksual terhadap kanak-kanak sepanjang 2015 hingga 2018.

Ketua Pegawai Sektor Pematuhannya, Zulkarnain Mohd Yassin berkata, kejayaan itu hasil kerjasama dan perkongsian maklumat bersama Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kerajaan Malaysia sudah memulakan beberapa insiatif bagi memastikan persekitaran dalam talian yang selamat bagi kanak-kanak seperti kempen Klik Dengan Bijak.

“Hasil kerjasama dengan INTERPOL dan PDRM, SKMM sudah menyekat lebih 400 laman sesawang yang mengandungi kandungan penderaan seksual terhadap kanak-kanak dari 2015 hingga 2018.

“Tindakan itu diambil di bawah Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia yang melarang pemberian perkhidmatan dan menggunakan aplikasi yang boleh memberikan kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat mengacau, mendera, mengugut atau menggangu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar dan Bengkel mengenai Pengeksploitasian dan Penderaan Seksual terhadap Kanak-kanak (CSEA), hari ini.

Program terbabit berlangsung selama dua hari pada 24 dan 25 April 2019 di Bangunan Lama SKMM dengan kerjasama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF).

Ia bertujuan memberi kefahaman mendalam kepada agensi kerajaan, penguatkuasa undang-undang dan pemain industri sekali gus bersedia mengawal selia dan membuat polisi berkaitan isu terbabit.

Categories
NASIONAL

SKMM: Henti sebar video serangan Christchurch

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang awam supaya tidak berkongsi atau menyebarkan rakaman video berhubung kejadian tembakan yang berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand.

SKMM berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini yang boleh mengundang situasi panik dan marah dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai juga diminta untuk menghormati sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa terlibat.

“SKMM juga akan bekerjasama denga penyedia-penyedia perkhidmatan untuk menurunkan rakaman berkenaan.

“Kita memandang serius perkara ini dan sebarang pihak terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas SKMM, sebarang perkongsian kandungan yang bersifat mengancam dan jelik merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Terdahulu, seramai 49 orang maut dan lebih 20 lagi cedera dalam serangan di dua buah masjid di sini ketika umat Islam bersiap untuk solat Jumaat, lapor CNN.

Dalam kejadian jam 1.40 petang (8.40 pagi waktu Malaysia), dua warga Malaysia tercedera dalam insiden mengejutkan itu, kata Wisma Putra dalam kenyataan petang ini.

Namun, setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkorban dalam serangan di masjid Al-Noor dan Linwood.

Categories
NASIONAL

Al-Ishsal Ishak dilantik Pengerusi SKMM baharu

PUTRAJAYA, 26 SEPT: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Bhd, Al-Ishsal Ishak dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang baharu, untuk tempoh dua tahun, berkuatkuasa 1 Oktober ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dalam kenyataan hari ini berkata Al-Ishsal Ishak merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia dan biasiswa Japan Airlines di Sophia University, Tokyo.

Selepas tamat pengajian, beliau menceburi bidang keusahawanan dalam arena digital dari tahun 1994 sehingga 2008, kata Gobind.

Al-Ishsal kemudiannya menjadi Ketua Pegawai Digital McCann Ericsson Worldgroup; Ketua Pegawai Eksekutif Baraka Telecom; Naib Presiden Kanan, Pemasaran dan Produk di Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad; dan Ketua Kumpulan Ancilliary AirAsia serta pelbagai jawatan pegawai kanan di Tune Group.

Al-Ishsal juga merupakan Pengarah Urusan Asia Tenggara ECO Capacity Exchange Ltd (London) serta pelatih dan perunding untuk Kumpulan Airbus sebelum menyertai Pos Malaysia Berhad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

Selain itu, Al-Ishsal pernah berkhidmat di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan merupakan bekas ahli Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC), kata Gobind.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Telco perlu kemuka cadangan pakej internet sebelum akhir September

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Syarikat telekomunikasi diberi tempoh sehingga 30 September ini untuk mengemukakan cadangan pakej baharu jalur lebar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

“Saya berharap selepas cadangan pakej-pakej baharu dikemukakan kepada SKMM, kita boleh laksanakan dan selepas itu lihat harga jalur lebar turun dan kelajuannya meningkat menjelang hujung tahun ini,” katanya menerusi catatan di laman Twitter rasmi beliau, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa sebelum ini cadangan pakej baharu perlu dikemukakan sebelum 31 Ogos, namun wujud permohonan supaya ia dilanjutkan sehingga dua tahun.

“Kita tolak. Lanjutan diberi kepada 30 September. Ini kerana SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) dilaksana pada 1 September dan perlu selesaikan isu-isu tertentu seperti prepaid (prabayar) dulu. Tiada lanjutan masa lagi diberikan,” katanya.

Gobind Singh turut berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dengan semua syarikat telekomunikasi selepas 30 September.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

SKMM sahkan putus rantaian kepercayaan punca masalah laman sesawang

KUALA LUMPUR, 16 JUN: MYNIC Bhd, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), mengesahkan bahawa rantaian kepercayaan antara pelayan MYNIC dengan Internet Assigned Numbers Authority (IANA) telah terputus.

Siasatan awal kami mendapati pelayan tanda tangan MYNIC mengalami kerosakan dan menyebabkan terputusnya rantaian kepercayaan antara pelayan MYNIC dan IANA , katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, pasukan tindakan pantas MYNIC memberi keutamaan tertinggi untuk memulihkan perkhidmatan terjejas serta memantau keadaan dan mereka telah mendapatkan bantuan daripada syarikat infrastruktur berpusat di Amerika Syarikat, Verisign serta IANA bagi melakukan kerja pemulihan.

MYNIC berkata kejadian itu tidak menyebabkan berlaku sebarang pencerobohan terhadap data dan perkara yang menjadi isu sekarang ialah berkaitan akses kepada perkhidmatan domain MYNIC.

“Kerja pemulihan akan mengambil masa termasuk untuk menyebarluas semula nama domain .my kepada dunia,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saman SKMM, Nuemera, didakwa gagal jamin keselamatan maklumat peribadi pengguna

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 FEB: Saman sivil terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Nuemera (M) Sdn Bhd, berkait satu insiden kebocoran 46.2 juta maklumat peribadi pengguna perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia dibuat oleh Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata saman sivil itu difailkan atas dasar bahawa mereka yang gagal menjamin keselamatan maklumat peribadi rakyat Malaysia.

“Semalam, Selasa 6 Februari, saya mengarahkan peguam saya untuk memfailkan terbabit. Sebagai salah seorang pengguna perkhidmatan telekomunikasi yang terkesand an memandangkan isu ini bersifat berkepentingan awam (“public interest”),

“Dalam era teknologi maklumat ketika ini, keselamatan maklumat peribadi menjadi asas pelbagai interaksi dan transaksi harian kita.

“Umum perlu percaya dan yakin bahawa institusi dan pihak yang diamanahkan menjaga maklumat peribadi kita bertanggungjawab ke atas amanah itu,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Fahmi berkata semestinya kejadian kebocoran 46.2 juta maklumat peribadi yang berlaku pada 2014 itu menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Sebagai contoh, mengapa pihak berkuasa khususnya SKMM yang bertanggungjawab dalam hal ini, serta syarikat Nuemera yang menerima kontrak kerajaan dan diamanahkan mengendali sistem penyahaktifan telefon bimbit PCBS, tidak memaklumkan orang ramai terutama pengguna yang terkesan tentang kejadian ini?

“Hingga ke hari ini, kita tidak diberi penjelasan sebenar bagaimana kecurian ini berlaku,” katanya.

Beliau berkata lebih teruk, rakyat hanya mengetahui berkenaan kejadian itu selepas tiga tahun, malah hingga kini belum ada sebarang tangkapan atau pendakwaan dilakukan.

“Dalam demokrasi matang, apabila skandal sebesar ini berlaku, sudah pasti ada pihak yang mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan kerana kegagalan yang amat besar ini.

“Malah jika didapati sesebuah syarikat gagal menjamin keselamatan maklumat peribadi, mungkin kontrak syarikat tersebut akan dibatalkan,” katanya.

Beliau berharap melalui tindakan saman sivil itu, pelbagai persoalan akan dapat dijawab dan langkah memperbaiki keadaan demi keadilan buat semua rakyat Malaysia.

=EZY=

Categories
NASIONAL

SKMM perlu tetapkan KPI capaian jalur lebar syarikat telco

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 SEP: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menetapkan indeks pencapaian prestasi (KPI) kepada semua syarikat telekomunikasi jalur lebar supaya pengguna menikmati perkhidmatan yang setimpal dengan harga bayaran.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata meskipun kewujudan syarikat telekomunikasi semakin bertambah, namun pengguna masih belum menikmati perkhidmatan setimpal bahkan ia hanya mewujudkan persaingan penawaran harga semata-mata.

Katanya, negara kurang maju seperti Vietnam mampu menyediakan perkhidmatan jauh lebih baik berbanding negara ini.

FOMCA“SKMM perlu serius memastikan setiap syarikat ada KPI khusus untuk mereka capai dan perlu mengikuti kadar capaian yang mereka tetapkan.

“Banyak telco yang mendakwa mereka ‘terlaju di Malaysia’ namun di sesetengah kawasan masih ada masalah rangkaian,” katanya kepada Selangor Kini.

Walaupun syarikat telekomunikasi terpaksa membelanjakan kos tinggi untuk memulakan perkhidmatan jalur lebar, namun Yusof berpandangan budaya monopoli tidak menyumbang kepada peningkatan harga yang dihadapi pengguna kini.

Tegasnya, tawaran harga jalur lebar yang tinggi kepada pengguna bakal menjejaskan usaha penembusan maklumat secara terus seperti yang disarankan kerajaan.

“Keadaan itu juga mengecewakan pengguna yang terpaksa membayar perkhidmatan pada harga tinggi sedangkan syarikat telekomunikasi mengambil pendirian ‘sekadar ada’ tanpa menaiktaraf mutu capaian,” katanya.

-NR-

Categories
NASIONAL

Sekat Sarawak Report tanpa bukti mahu lindungi pemimpin?

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 JUL: Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman Sarawak Report walaupun mengakui siasatan polis belum membuktikan portal itu menyiarkan laporan palsu dilihat sebagai percubaan melindungi pemimpin tertentu.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat berkata, SKMM sepatutnya memberi peluang kepada polis menyelesaikan siasatan terhadap laporan yang disiarkan Sarawak Report terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

SKMM“Kita dalam negara demokrasi, SKMM tidak sepatutnya buat begitu tetapi kena buktikan dahulu adakah laporannya itu menimbulkan huru-hara atau kekacauan baru ambil tindakan.

“Semacam ‘trend’ di negara kita, belum dibuktikan bersalah, dah diambil tindakan. Ini yang tidak betul,” kata Dr Che Rosli ketika dihubungi Selangor Kini hari ini.

Jelas beliau lagi, tindakan seperti ini hanya menyebabkan agensi yang mengawal sebarang kandungan yang disebarkan di internet hilang kepercayaan rakyat.

“Sekarang tiba-tiba sekat terus, nanti rakyat akan kata cuba melindungi pihak tertentu dan kerajaan tak boleh salahkan rakyat kalau rakyat bertanggapan begitu,” kata beliau lagi.

Katanya lagi, SKMM harus menjadi badan bebas dan adil memastikan maklumat sampai kepada rakyat adalah maklumat sahih walaupun melibatkan pemimpin kerajaan sekalipun.

Terdahulu dalam taklimat kepada editor media tempatan, Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yassin mendedahkan laporan Sarawak Report dalam isu skandal 1MDB belum dibuktikan palsu.

Zulkarnain berkata sekatan ke atas laman Sarawak Report hanya langkah pencegahan sementara menunggu siasatan polis selesai.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Lindungi SKMM dari lantikan politik

Oleh: Nik Nazmi Nik Ahmad

Saya merujuk laporan media yang mendakwa seorang ahli politik UMNO, Dr Mazlan Ismail mungkin dilantik untuk menggantikan Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sebelum ini Dr Mazlan pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum lalu dan tewas kepada Anwar Ibrahim.

skmmKontrak Mohamed Sharil tidak disambung dan wujud dakwaan ada rancangan untuk menggantikannya dengan Dr Mazlan.

Akhbar milik UMNO, Utusan telah mengkritik Sharil dan mempromosikan Dr Mazlan secara terbuka.

Jika ini benar, ia adalah satu perkembangan yang tidak sihat.

Ini tidak ada kena mengena dengan kelayakan Dr Mazlan.

Namun, kepentingan awam hanya akan dijaga dengan lebih baik sekiranya badan kawal selia yang penting dipimpin oleh seorang teknokrat.

Ini lebih-lebih lagi kepada badan sepenting SKMM yang mengawal selia media atas talian di Malaysia yang kian memainkan peranan penting.

Adalah penting semua keputusan dan tindakan SKMM dibuat tanpa sebarang keraguan yang dikaitkan dengan kepentingan dan sikap memihak secara politik.

Malah, seorang pengerusi baru yang bakal dilantik nanti mesti meastikan amalan kebebasan bersuara yang banyak dikekang di negara ini terus dihakis.

Oleh kerana itu, saya menggesa pihak bertanggungjawab dalam Kerajaan Persekutuan dan SKMM segera menjelaskan persoalan ini kepada orang ramai.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

EXCO PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI SELANGOR

Categories
NASIONAL SELANGOR

Surendran : Mati Dalam Tahanan, CCTV Bukan Penyelesaian – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 03062013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pegawai Multimedia Pejabat Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Saiful Asraf Idris, dipanggil hadir ke Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) esok, untuk disoal-siasat dipercayai berhubung siasatan suruhanjaya itu terhadap Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

2. Pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di lokap balai polis bukan jalan penyelesaian untuk menangani kes kematian tahanan ketika di bawah pengawasan polis – Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran

Categories
NASIONAL

SKMM Siasat Yassin Isu Siaran RFM – BULETIN 13


 

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 02042013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam memanggil penyanyi dan komposer lagu popular, Yasin Sulaiman sebagai saksi bagi menyiasat stesen Radio Free Malaysia (RFM) merupakan usaha menyekat kebebesan media di negara ini.

2. Tuduhan Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa pelaksanaan Manifesto Rakyat akan melonjakkan defisit ke paras 11.5% dan hutang kerajaan ke paras 62.1% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenarnya membelakangkan fakta prestasi pengurusan ekonomi yang buruk di bawah Umno-BN.

3. Pakar Perlembagaan, Dr Aziz Bari menyifatkan Kerajaan Negeri Sembilan yang ada hari ini tidak ubah seperti memandu kereta yang tamat tempoh insuransnya.

4. Kaum wanita diseru supaya sentiasa bersabar dalam menghadapi rutin hidup sebagai isteri dan Ibu serta perlu berusaha untuk maju dalam usaha meningkatkan pendapatan isi rumah.

Layari http://www.selangorkini.net