Categories
SELANGOR

SKMM Siasat Yasin Berkenaan Temubual Bersama Radio Free Malaysia

SKMM Siasat Yasin 01

KUALA LUMPUR 1 APRIL: Penyanyi popular yang juga Duta Angkatan Muda Keadilan (AMK), Yasin Sulaiman dipanggil ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung temubualnya bersama Radio Free Malaysia (RFM) di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur hari ini.

Yasin dirakam kenyataannya oleh Pegawai SKMM, Iqbal Ikhwandi Mat Zin bagi membantu siasatan berkenaan RFM yang didakwa tidak mempunyai lesen dan permit daripada SKMM.

Turut menemani beliau, Ketua AMK, Samsul Iskandar Md Akin di sini hari ini.

Dalam pada itu, Samsul ketika ditemui pemberita menyatakan kehadiran Yasin hanya sebagai saksi bagi membantu siasatan terhadap stesen radio online berkenaan.

Pada 25 Mac lalu, RFM menemubual Yasin berkenaan lagu Reformasi yang dijadikan lagu kempen AMK diseluruh negara dan juga harapan beliau mengenai kebangkitan suara rakyat Malaysia.

Yasin berkata, beliau ditemuramah secara telefon oleh radio yang berpangkalan di London, United Kingdom itu dan tidak mengesyaki radio berkenaan menghadapi masalah seperti yang didakwa SKMM.

“Takda apa sangat pun, saya tak tahu radio ini ada masalah dengan kerajaan ke, empat hari lepas, mereka menemubual saya secara telefon dan bertanyakan mengenai lagu Reformasi dan harapan saya tentang Malaysia,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Yasin dan Samsul berpendapat bahawa kebebasan media mesti diberikan kepada semua pengamal media bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan bukannya menyekatnya dengan pelbagai akta dan undang-undang.

Ketika dilancarkan beberapa minggu lalu, RFM turut menebual beberapa tokoh politik terkenal seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai fitnah yang dikenakan terhadap beliau.

Categories
SELANGOR

Iklan Haram: MPK turunkan 2,000 poster setiap bulan

mpk 4

SHAH ALAM 17 JAN : Sekurang-kurangnya 2,000 keping poster dan papan iklan termasuk iklan sindiket pinjaman wang haram atau ah long diturunkan setiap bulan dalam operasi yang dilakukan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

mpk 2Pemangku Yang Di Pertua MPK, Ehsan Mukri berkata, walaupun kegiatan itu seakan tidak pernah berhenti namun MPK akan tetap meneruskan usaha menurunkan iklan haram itu.

Katanya, pihak MPK akan membawa isu itu ke peringkat yang lebih tinggi antaranya perbincangan bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau berkata ia termasuk mencadangkan nombor yang tertera di iklan itu disekat supaya orang ramai tidak dapat menghubungi pihak yang mempamer iklan.

“Langkah itu dilihat mampu menangani aktiviti tidak bermoral itu selain kerjasama daripada masyarakat setempat untuk melaporkan segera jika terdapat kes meletakkan iklan haram di kawasan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ehsan berkata, pada masa yang sama, MPK akan menjalankan pemantauan dan operasi secara berterusan supaya masalah seperti itu dapat dikawal daripada terus berleluasa.

“Setakat ini, pihak majlis akan membuat melupuskan poster dan iklan ah long haram itu setiap tiga bulan sekali di pusat pelupusan sampah yang terletak di Jeram,” katanya.

mpk 1

 

mpk 3

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBPJ Beri Insentif RM 100 Untuk Tangkap Penampal Iklan Haram

PETALING JAYA 3 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan insentif RM 100 bagi maklumat awam yang boleh membawa kepada penangkapan mana-mana individu atau syarikat yang menampal iklan tanpa kelulusan.

Menurut Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MBPJ, Fauzi Maarop, insentif tersebut merupakan sebahagian daripada kempen ‘OPS BURU’ yang dilancarkan pada Ogos lalu.

Orang ramai boleh menghubungi talian hotline MBPJ di talian 03-79542020 yang beroperasi 24 jam sehari untuk menyalurkan aduan mereka.

“Pihak MBPJ akan bertindak serta merta dan sekiranya pesalah berjaya tertangkap, mereka yang memberi maklumat akan kita beri wang saguhati bernilai RM 100,” jelas beliau dalam satu sidang media di Ibu Pejabat MBPJ pagi ini.

Statistik tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik iklan tanpa permit sejak OPS BURU dilancarkan menyaksikan 52 operasi berjaya dilakukan sehingga 30 September lalu.

Dalam tempoh tersebut, seramai lapan orang telah ditangkap kerana menampal iklan haram. Mereka dikenakan denda maksimum sebanyak RM 1,000.

Manakala 70 premis dikenakan kompaun dan lima sitaan terhadap peralatan seks dilakukan.

Sepanjang Januari hingga September 2012, MBPJ berjaya menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap 100,160 jenis kesalahan papan iklan.

MBPJ turut menjalankan risikan dan sisatan bagi memerangi iklan-iklan penjualan ubat kuat, peralatan seks serta pinjaman ‘along’ yang semakin berleluasa.

MBPJ turut bertindak menghantar laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan pemotongan talian ke atas 70 talian telefon yang terdapat pada iklan bermotifkan seks.

Categories
NASIONAL

Pemuda Pas : Siasat Posting Samakan Nik Aziz Dengan Khinzir

SHAH ALAM, 20 SEPT: Pemuda Pas mengesa kerajaan pusat mengambil tindakan tegas di bawah Seksyen 114A terhadap seorang pengguna laman sosial Facebook yang menghina Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Ini bagi membuktikan yang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serius di dalam menguatkuasakan undang-undang tanpa berat sebelah.

Ketua Penerangan sayap itu mendakwa seorang pemilik akaun di laman sosial Facebook, yang memberi nama ?Idham bin Zulkifli?, menyamakan Nik Aziz dengan seekor babi.

“DPPM melihat kenyataan beliau serta posting yang beliau sebarkan terlalu berniat jahat, biadap serta menghina peribadi Nik Abdul Aziz.

“Individu ini telah merendahkan darjatnya dengan begitu hina sekali sehingga hilang kewarasan, dan kemanusiaan serta adab-adab dalam penulisan beliau,” kata Riduan.

Menurut Riduan, Idham telah bertindak memuatnaikan foto Nik Aziz seolah-olah sedang menghirup kuah bersebelahan dengan foto seekor khinzir sedang minum air.

Foto bertajuk ‘Antara Dua Haiwan ini mana yang lebih sopan?’ itu turut disertakan komen oleh Idham, ‘nampaknya begitulah. Babi tu lebih sopan dari Nik Aziz.?

Baru-baru ini kerajaan pusat telah meluluskan pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan yang memberi lebih kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap perkara hasutan di alam cyber termasuk laman facebook.

Pindaan tersebut dikecam oleh pemimpin Pakatan Rakyat kerana didakwa bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuaran di internet.

Categories
NASIONAL

FB Pemuda Umno Malaysia, AMK desak SKMM, Polis Tidak ‘Double Standard’

SHAH ALAM 27 OGOS : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan bebas berhubung isu kewujudan Facebook ‘Pemuda Umno Malaysia’.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata ia perlu dilakukan secara bebas dan terperinci bukannya ‘double standard’ seperti sebelum ini, di mana jika perkara itu membabitkan pihak Pakatan Rakyat siasatan akan dilakukan segera.

Sebelum ini, laman sosial itu mengundang kontroversi apabila Pemuda Umno Pusat membuat laporan polis selepas terdapat sebaran mesej iaitu mengundi Pakatan Rakyat bermakna memberi sokongan kepada usaha menjadikan Kristian sebagai agama Persekutuan.

“Kedua-dua badan itu bukan sekadar perlu menyiasat sama ada akaun itu palsu atau tidak tetapi juga menyiasat sama ada ia sengaja dilakukan oleh pihak tertentu.

“Oleh kerana ia sudah menjadi suatu kesalahan jenayah yang berbau hasutan, maka perlu mereka mengambil tindakan tegas,” katanya ketika dihubungi.

Shamsul menambah, hal terbabit adalah satu perkara yang dijangkakan akan berlaku selepas pindaan Seksyen 114 A Akta Keterangan 1950.

“Sebab itu kita menentang akta itu dari awal lagi, bagaimanapun Ahli-ahli Parlimen daripada Umno-BN bersungguh-sungguh untuk melaksanakan undang-undang ini tanpa memikirkan kesan yang akan berlaku.

“Jelas sekarang mangsa pertama ialah Pemuda Umno sendiri dan perkara yang agak malang apabila SKMM dan polis tidak menyiasat perkara ini.

“Saya berharap polis tidak ?double standard? dan menyiasat perkara ini dengan sebetulnya jika benar Pemuda Umno tidak bersalah dan tidak tahu menahu tentang kewujudan akaun ini,? katanya.