Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Tidak Pernah Tolak Permohonan Buka Kilang

KLANG 07 NOV : Kerajaan Selangor akan membantu pengusaha yang ditolak permohonan untuk membuka kilang oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) atas alasan tidak cukup bekalan air di Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata Kerajaan Negeri tidak akan menolak mana-mana syarikat atau pelabur baru yang mahu membuka operasi baru di Selangor.

Pengusaha kilang terbabit boleh berjumpa dengan agensi kerajaan negeri untuk mendapat penjelasan sebenar tentang status bekalan air Selangor.

Mereka disaran untuk berjumpa Majlis Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Pusat Pelaburan negeri (SSIC) serta Unit Perancang Ekonomi negeri (UPEN).

“Kalau mahu membuat permohonan untuk membuka kilang, pengusaha kilang boleh berjumpa dengan mereka atau saya sendiri di pejabat.

?Kita boleh beri penjelasan kerana kita mempunyai kajian terperinci.

“Pengusaha kilang tidak perlu berjumpa dengan mana – mana badan bukan kerajaan (NGO) atau Syabas,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Kecemerlangan Pelajar Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis.

Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan mendakwa lebih 1,000 permohonan membuka kilang baru ditolak Syabas atas alasan terdapat krisis air di Selangor.

Dr Xavier berkata kajian yang dibuat oleh Jawatankuasa Air Negeri menunjukkan bahawa dakwaan terdapat krisis air di Selangor adalah tidak tepat.