Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Tidak Pernah Tolak Permohonan Buka Kilang

KLANG 07 NOV : Kerajaan Selangor akan membantu pengusaha yang ditolak permohonan untuk membuka kilang oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) atas alasan tidak cukup bekalan air di Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata Kerajaan Negeri tidak akan menolak mana-mana syarikat atau pelabur baru yang mahu membuka operasi baru di Selangor.

Pengusaha kilang terbabit boleh berjumpa dengan agensi kerajaan negeri untuk mendapat penjelasan sebenar tentang status bekalan air Selangor.

Mereka disaran untuk berjumpa Majlis Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Pusat Pelaburan negeri (SSIC) serta Unit Perancang Ekonomi negeri (UPEN).

“Kalau mahu membuat permohonan untuk membuka kilang, pengusaha kilang boleh berjumpa dengan mereka atau saya sendiri di pejabat.

?Kita boleh beri penjelasan kerana kita mempunyai kajian terperinci.

“Pengusaha kilang tidak perlu berjumpa dengan mana – mana badan bukan kerajaan (NGO) atau Syabas,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Kecemerlangan Pelajar Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis.

Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan mendakwa lebih 1,000 permohonan membuka kilang baru ditolak Syabas atas alasan terdapat krisis air di Selangor.

Dr Xavier berkata kajian yang dibuat oleh Jawatankuasa Air Negeri menunjukkan bahawa dakwaan terdapat krisis air di Selangor adalah tidak tepat.

Categories
NASIONAL

Siasat SUARAM Taktik Balas Dendam Umno-BN

SHAH ALAM 12 SEPT : Tindakan Umno-BN menggunakan agensi kerajaan bagi menyiasat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) adalah taktik balas dendam terhadap NGO itu yang secara aktif mendedahkan beberapa skandal melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Antara skandal didedahkan Suaram adalah kes pembunuhan rakyat Monggolia, Altantuya Shaariibuu serta isu pembelian kapal selam Scorpene yang kini dibicarakan di mahkamah Perancis.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata siasatan dijalankan ke atas Suaram itu adalah satu cara Umno-BN bagi menutup isu sebenar melibatkan Najib yang masa kini mendapat perhatian umum serta masyarakat antarabangsa.

“Ia tindakan terdesak Umno-BN yang mana menggunakan beberapa agensi kerajaan bagi menyiasat Suaram. Malah penafian Suaram mengenai penglibatan spekulator matawang, George Soros menyalurkan dana juga tidak diendahkan.

“Ini pendekatan Umno-BN bagi menimbulkan isu Yahudi terlibat dengan NGO tersebut,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan Pengarah Suaram, Kua Kia Soong sebagai berkata, siasatan demi siasatan yang dijalankan agensi kerajaan ke atas NGO tersebut merupakan satu bentuk salahguna kuasa oleh BN ke atas badan berkenaan.

Antara agensi kerajaan yang terlibat dalam siasatan adalah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM diminta menyiasat Suaram mengenai dakwaan NGO itu menerima dana daripada Soros lebih RM558,500 dalam tempoh 2007 hingga 2010.

Fariz berkata, Umno-BN perlu menghentikan tindakan prejudis itu yang ternyata menyalahi sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Jika Suaram disiasat, kerajaan Umno-BN perlu menjalankan tindakan sama ke atas NGO lain seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Gerakan Jalur Tiga (Jati), Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) dan Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS).

“Semua NGO pro Umno-BN ini tidak harus dikecualikan. Siasatan mesti dilakukan dari mana sumber kewangan diperolehi dan pihak mana yang menyalurkan dana kepada mereka semua,” katanya lagi.