Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Solat Jumaat berperingkat di Selangor mulai esok, had 12 orang

SHAH ALAM, 14 MEI: Pelaksanaan solat Jumaat di Selangor dibuat secara berperingkat dan terkawal mulai esok bagi mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan jemaah.

Perkara tersebut dimaklumkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Baginda amat prihatin dengan situasi Selangor yang masih berada dalam zon merah dan kuning ancaman Covid-19, malah masih terdapat kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” kata pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, jumlah jemaah tidak boleh melebihi 12 orang dengan hanya pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja dibenarkan termasuk imam, bilal dan siak bertugas.

Mohd Shahzihan berkata arahan tersebut hanya terpakai bagi pelaksanaan solat Jumaat sahaja manakala solat fardhu berjemaah masih lagi mengekalkan tiga orang iaitu imam, bilal dan siak.

“Peringkat pertama membabitkan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, sembilan masjid daerah dan lima masjid diraja manakala peringkat kedua pada 22 Mei membabitkan 24 masjid pengurusan.

“Lain-lain masjid dan surau yang tidak dinyatakan diminta kekal melaksanakan solat Zohor pada hari Jumaat seperti yang dıtetapkan Jais pada 16 April lalu,” katanya lagi.

Petang tadi, kerajaan memutuskan solat Jumaat dan berjemaah boleh dilaksanakan di masjid serta surau terpilih di Wilayah Persekutuan secara berperingkat mulai esok.

Bilangan jemaah pula tidak kurang daripada tiga, tidak termasuk imam dan tidak lebih 30 orang.

Berikut ialah senarai masjid yang diberi kebenaran solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat:

1. Masjid Negeri Selangor
-Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

2. Masjid Diraja Negeri Selangor
-Masjid Sultan Abdul Aziz, Pulau Indah
-Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang
-Masjid Diraja Sultan Ala’eddin, Banting
-Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Petaling
-Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Sepang

3. Masjid Daerah Negeri Selangor
-Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu
-Masjid Jamek As-Solihin, Banting
-Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor
-Masjid Jamek Pekan Kajang
-Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam
-Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang
-Masjid Jamek Raja Tun Uda, Shah Alam
-Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves
-Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Sepang

4. Masjid Pengurusan (naik taraf) Negeri Selangor
-Masjid Bandar Diraja Klang
-Masjid Ara Damansara
-Masjid Seksyen 7, Shah Alam
-Masjid Al-Ikhlas Shah Alam
-Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang
-Masjid As-Salam, Puchong
-Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya
-Masjid Bandar Baru Sungai Buloh
-Masjid Nurul Ehsan, Petaling Jaya
-Masjid Al-Husna, Petaling Jaya
-Masjid Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya
-Masjid Alam Impian, Shah Alam
-Masjid Al-Mustaqim, Ampang
-Masjid Puncak Alam
-Masjid An-Nur Temasya Glenmarie
-Masjid Cyberjaya 10
-Masjid Perodua, Serendah
-Masjid Al-Ridhuan, Ampang Jaya
-Masjid At-Taqwa, Kajang
-Masjid Ar-Rahimah, Rawang
-Masjid Al-Shariff, Batu Caves
-Masjid Nurul Hidayah, Kuala Lumpur
-Masjid Bukit Indah, Ampang
-Masjid Jamek Samadiah, Klang

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

SOP solat Jumaat, berjemaah diketahui Khamis ini

TAPAH, 12 MEI: Tatacara operasi piawai (SOP) bagi solat Jumaat dan solat berjemaah di Masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dijangka diketahui Khamis ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, garis panduan itu akan dibincangkan dan diperhalusi dalam satu mesyuarat bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini.

“Hari ini saya nak bincang, jadi esok masuk mesyuarat Kabinet,” katanya pada sidang media Program Inspirasi Musaadah Ramadan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Dewan Budiman, Kompleks Penjara Tapah, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, pandangan berkenaan kemudiannya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Majlis Raja-Raja dan pihak berkuasa negara.

“Itulah prosedur kita lakukan dan kita sentiasa mengambil cakna terhadap apa yang disarankan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, untuk SOP yang akan kita bina, Insya-Allah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keputusan Perlis membenarkan Solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini, Zulkifli berkata perkara itu tertakluk kepada bidang kuasa negeri masing-masing.

Sementara itu, mengenai solat Hari Raya Aidilfitri beliau berkata, pihaknya juga akan berbincang mengenai perkara itu secara khusus dalam masa terdekat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kebenaran solat di masjid diumum selepas perkenan Agong – PM

SHAH ALAM, 10 MEI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memperhalusi tatacara operasi piawai (SOP) bagi solat berjemaah di masjid, termasuk solat Jumaat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perdana menteri berkata kerajaan akan mengumumkan kebenaran bersolat jemaah di masjid apabila SOP berkenaan dimuktamad dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja selaku Ketua Agama Islam Persekutuan dan negeri-negeri untuk diperkenankan.

“Saya tahu ramai umat Islam rindu untuk ke masjid, terutamanya untuk mendirikan solat Jumaat, solat terawih dan solat lima waktu. InsyaAllah, kita doakan keadaan bertambah baik.

“Tambahan pula banyak kawasan hijau di seluruh negara. Dengan pelaksanaan SOP teratur, saya percaya masjid di kawasan ini bersedia dibuka kepada ahli kariah,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.

Tambah beliau kerajaan juga akan mengumumkan SOP tertentu bagi gereja dan rumah-rumah ibadat bagi penganut agama Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan lain-lain.

“Kerajaan akan mengumumkan SOP tertentu untuk membolehkan saudara-saudari yang beragama bukan Islam mengerjakan ibadat di rumah ibadat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan bincang SOP solat tarawih dan Jumaat esok

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kerajaan akan bermesyuarat esok berhubung tatacara operasi piawai (SOP) solat tarawih dan Jumaat di masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mesyuarat khas menteri-menteri akan membincangkan beberapa perkara termasuk hukum penjarakan sosial daripada sudut agama ketika solat jemaah, lapor Berita Harian.

“Menteri agama akan terbabit dalam mesyuarat ini. Banyak SOP akan dibincang kerana ramai orang bertanya sama ada boleh atau tidak solat tarawih contohnya duduk satu meter di masjid dan pelbagai soalan lagi.

“Jadi kita minta menteri agama tampil dengan SOP dalam menentukan apakah solat Jumaat dan tarawih dibenarkan dengan penjarakan satu meter,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan memberi kelonggaran dalam fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia dilaksanakan secara berperingkat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Solat Jumaat: Umat Islam dirayu kekal patuh arahan PKP, fatwa

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri merayu seluruh umat Islam kekal patuh kepada arahan kerajaan dan fatwa pihak berkuasa agama mengenai larangan melaksanakan Solat Jumaat.

Beliau berkata, walaupun hari ini masuk kali ketiga umat Islam tidak dapat menunaikan solat Jumaat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh kerajaan pada 18 Mac lepas, namun arahan itu diteruskan kerana umat Islam masih berada dalam darurat kesihatan akibat penularan wabak penyakit berjangkit Covid-19.

“Kami merasa risau apabila diberitahu oleh pihak keselamatan terdapat segelintir pihak yang berkeras mahu menunaikan solat Jumaat pada hari ini. Alasan mereka kerana terdapat hadis yang menyebut bahawa sesiapa yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali, maka ia termasuk dalam golongan munafik.

“Kami ingin tegaskan, bahawa apa yang didakwa ini adalah suatu kesalahfahaman yang jelas! Maka, kami katakan golongan yang dicap sebagai munafik itu adalah mereka yang meninggalkan tiga kali Jumaat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran,” tulisnya di Twitternya hari ini.

Zulkifli berkata dalam isu Covid-19, ia wabak penyakit berjangkit dan bersifat maslahah ‘ammah (kemaslahatan umum) yang mana rakyat disuruh untuk kuarantin dan duduk di rumah dan itu yang perlu diutamakan.

“Sesungguhnya kita semua mahu segera keluar daripada kemelut pandemik ini, namun ia memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak terutama diri kita sendiri. Jangan pergi masjid! Solatlah Zuhur berjemaah di rumah atau di tempat masing-masing,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Henti solat Jumaat bantu putuskan rantaian Covid-19

PUTRAJAYA, 19 MAC: Semua masjid di seluruh negara akan menghentikan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, bagi membantu negara untuk memutuskan rantaian virus Covid-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai semalam hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19, solat Jumaat tidak diadakan esok.

“Patuhilah arahan yang dikeluarkan dan gantilah solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah masing-masing, bersama keluarga,” katanya dalam khidmat pesanan awam yang disiarkan di stesen-stesen televisyen hari ini.

Jelasnya arahan tersebut selari dengan langkah yang diambil di beberapa negara Islam lain, seperti Arab Saudi dan Kuwait.

“Hampir keseluruhan bersetuju dalam kes seperti ini dan semua pihak hendaklah mematuhi perintah yang ditetapkan pemerintah.

“Sekali lagi pesan saya, solatlah Zohor di rumah, InsyaAllah ada hikmahnya,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengisytiharkan Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara, bagi mengekang penularan Covid-19.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Sebanyak 110 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 900 kes, dengan negara mencatatkan dua kematian pertama pada Selasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Solat Jumaat di Thailand diganti solat zohor

BANGKOK, 18 MAC: Solat Jumaat di Thailand akan dibatalkan dan diganti dengan solat zohor di rumah setelah mengambil kira situasi semasa Covid-19.

Menurut kenyataan Pejabat Sheikhul Islam Thailand, langkah ini selari dengan keputusan kerajaan untuk mengelak sebarang perhimpunan berskala besar dan menyekat penularan wabak itu.

“Semua aktiviti dan perhimpunan yang membabitkan kehadiran ramai seperti ceramah dan mengaji harus ditangguhkan buat masa ini. Langkah ini akan dikuat kuasa sehingga keadaan pulih,” katanya.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa majlis dan kenduri kahwin harus ditangguhkan atau membenarkan 10 orang sahaja hadir.

Thailand mengesahkan 35 kes baharu jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara itu setakat ini ialah 212.

Selain itu, pihak berkuasa Thailand mula membuat persiapan rapi selepas menjangkakan beribu-ribu rakyat negara tersebut yang bekerja di Malaysia akan pulang susulan langkah Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 31 Mac bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Jurucakap Divisyen ke-4 Tentera Kolonel Pramote Prom-in berkata dianggarkan sejumlah 100,000 rakyat Thailand yang berada di Malaysia akan pulang secara berperingkat sepanjang tempoh perintah kawalan itu.

“Pintu masuk masih dibuka untuk membolehkan rakyat Thailand dan Malaysia pulang ke tanah air masing-masing,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin solat Jumaat di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 31 MEI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer di sini.

Keberangkatan baginda di sambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Mufti Selangor, Dato’ Seri Utama Mohd Tamyes Abd Wahid.

Turut berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sementara itu, khutbah Jumaat bertajuk Zakat Fitrah Pelengkap Ramadan disampaikan Imam 1 Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Ustaz Rijal Yaacop.

Beliau berkata perintah membayar zakat fitrah merupakan satu rahmat kepada umat Islam.

“Melalui zakat fitrah yang diberikan Allah menjanjikan keampunan dan penyucian daripada dosa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa,” katanya.

Selesai solat, baginda dan Tengku Amir turut bersalam dengan orang ramai yang teruja untuk menatap wajah kedua-duanya dari dekat.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Jamek KL

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

Keberangkatan baginda ke masjid yang diiktiraf sebagai warisan kebangsaan itu di sambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Turut berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Selesai solat, baginda dan Tengku Amir turut bersalam-salaman dengan orang ramai yang teruja untuk menatap wajah kedua-duanya dari dekat.

Walaupun, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad terletak di Kuala Lumpur namun ianya mempunyai signifikan kepada sejarah Selangor.

Ini berikutan masjid ini dibina pada 1909 di mana ketika itu Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada Selangor.

Pada 23 Jun 2013, Sultan Sharafuddin berkenan menamakan semula Masjid Jamek Kuala Lumpur kepada namanya sekarang iaitu Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

Categories
NASIONAL

Agong tunai solat Jumaat di Masjid Al-Iman

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 12 APRIL: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mencemar duli berangkat ke Masjid Al-Iman, Kemensah Height, di sini, bagi menunaikan solat Jumaat.

Baginda yang lengkap berbaju melayu hijau zaitun tiba di masjid berkenaan kira-kira 1.15 tengah hari disambut Orang Besar Daerah Gombak yang juga Pengasas Masjid Al-Iman, Dato’ Wan Mahmood Pa’wan Teh termasuk ahli kariah masjid.

Keberangkatan tiba Seri Paduka turut diiringi Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim; Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Ahmad Zawawi Mohd Mughni dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Dato’ Abd Hamid Hussain.

Seri Paduka kemudian menyertai hampir 1,000 jemaah dari sekitar daerah itu menunaikan solat Jumaat diimamkan Imam 1 masjid berkenaan, Ustaz Mohd Sanusi Idris.

Mohd Sanusi dalam khutbahnya bertajuk ‘Hikmah Di Sebalik Infak’ menarik perhatian sidang jemaah bahawa menginfakkan harta untuk beribadah atau mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan tulus ikhlas, tidak akan merasa satu kerugian, kekurangan mahupun kemiskinan.

“Demikianlah kelebihan mereka yang menginfakkan hartanya, mereka yakin akan dijamin oleh Allah SWT dengan pertambahan rezeki yang datang dari sumber tidak diduga.

“Oleh yang demikian, wakaf menjadi satu medium bagi para sahabat Nabi SAW. Amalan berlumba-lumba berwakaf ini adalah kesan daripada didikan Nabi SAW,” katanya.

Khatib turut berpesan kepada umat Islam supaya yakin dengan janji Allah SWT yang akan memberi pahala amalan berlipat ganda dan berterusan kepada penginfak selagi harta itu dapat dimanfaatkan.

Seusai solat, Sultan Abdullah berkenaan menandatangani plak sempena kali pertama menunaikan solat Jumaat di masjid yang dibina pada 31 Oktober 1999 itu.

Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka meluangkan masa bersalaman dengan rakyat jelata yang teruja dengan kehadiran baginda.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin berkenan solat Jumaat bersama rakyat Petaling Jaya

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 2 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan berangkat mencemar duli menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

SULTAN MASJID PJ (1)Turut mengiringi baginda, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan kerabat diraja lain.

Tidak terkecuali, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Selepas solat Jumaat berakhir, baginda mengambil kesempatan meluangkan masa beramah mesra bersama jemaah di masjid berkenaan.

Sultan Sharafuddin turut berkongsi pandangan dengan pengurusan masjid demi kepentingan dan kebaikan semua khususnya umat Islam di Selangor.

Raja Muda Selangor luang masa bersama rakyat di Meru

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menunaikan Solat Jumaat dan meluangkan masa bersalaman bersama jemaah di Masjid Asy Syariff, Meru