Categories
AGAMA AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Solat Jumaat dibenarkan di dewan, ruang dimaksimum

PUTRAJAYA, 3 JULAI: Pelaksanaan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kini diperluaskan dengan memberi kebenaran kepada surau dan dewan yang sesuai untuk mendirikan solat Jumaat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini berkata pelaksanan solat Jumaat juga diperluaskan dengan memaksimumkan penggunaan kawasan atau ruang solat di masjid dan surau Jumaat sedia ada.

“Bagi melaksanakan perkara itu, pihak berkaitan hendaklah mematuhi semua tatacara operasi piawai (SOP) terkini yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Zulkifli berkata semua majlis ilmu yang lazim diadakan di masjid, surau Jumaat dan surau seperti kuliah Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, Dhuha, kelas fardhu ‘ain dan kelas pengajian Al-Quran boleh diadakan bermula minggu ini.

“Ia boleh diadakan dengan syarat SOP dipatuhi berdasarkan keluasan masjid, surau Jumaat atau surau. Pihak jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau bertanggungjawab untuk memastikan semua SOP digariskan, dapat dipatuhi sebaiknya,” katanya.

Bagi pelaksanaan solat berjemaah, Zulkifli berkata berkata pagar masjid, surau Jumaat dan surau disarankan untuk tidak dikunci pada waktu selain daripada waktu solat sebagaimana yang ditetapkan dalam SOP sebelum ini, bagi memudahkan orang ramai menunaikan solat terutamanya bagi mereka yang bermusafir dan penghantar makanan, barangan dan pemandu e-hailing

Zulkifli berkata semua keputusan itu dibuat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menerima resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-7 yang bersidang pada 24 Jun lalu.

Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri.

“Hal ini jelas disebut di bawah Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Maka, dalam melaksanakan perkara tersebut, Muzakarah menyerahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri,”katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Semua masjid, surau di Selangor dibuka untuk solat Jumaat mulai 3 Julai

SHAH ALAM, 1 JULAI: Semua masjid dan surau di negeri dibuka semula mulai 3 Julai bagi melaksanakan solat Jumaat selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda bertitah semua rumah ibadah selain yang diumumkan sebelum ini juga dibuka bagi mendirikan solat fardu berjemaah dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Jumlah kehadiran jemaah di Masjid Negeri, Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya ditetapkan kepada 1,000 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa (AJK).

“Bagi masjid lain maksimum jemaah 500 orang tidak termasuk pegawai dan AJK tertakluk kepada kapasiti masjid,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah jumlah kehadiran bagi surau kebenaran solat Jumaat dan solat fardu pula ditetapkan kepada 40 orang tidak termasuk pegawai dan AJK.

Baginda turut bertitah ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha kekal dilaksanakan di masjid sahaja.

Categories
AGENDA NASIONAL

Solat Jumaat kekal satu sesi, boleh guna perkarangan masjid

SHAH ALAM, 26 JUN: Solat Jumaat dua sesi belum dibenarkan, sebaliknya kelonggaran membabitkan penggunaan ruang di perkarangan masjid, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Bagaimanapun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengurusan masjid perlu mengawal penjarakan sosial dan jemaah digalakkan membawa sejadah sendiri.

“Setakat ini kita belum benarkan (solat dua sesi), selagi tiada pengumuman maka status (tidak dibenarkan) masih kekal. Selain satu per tiga (jemaah) di dalam masjid, kita juga benarkan solat di perkarangan (masjid),” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, beliau berkata duta, pegawai diplomatik dan kakitangan kedutaan warga asing dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau bermula 3 Julai ini.

“Kementerian Luar Negeri akan menghantar nota diplomatik kepada kedutaan berkenaan tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu dipatuhi. Bagi warga asing selain yang disebut, kebenaran masih dalam pertimbangan,” katanya lagi.

Categories
AGAMA AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Jais: Solat Jumaat ikut giliran, bergantung jumlah kariah

SHAH ALAM, 20 JUN: Jemaah yang dapat menunaikan solat Jumaat perlu menunggu giliran berikutnya bergantung jumlah kariah masjid, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mohd Shahzihan Ahmad berkata untuk menunaikan solat Jumaat kali kedua mungkin memakan masa berbulan-bulan bagi memberi peluang kepada pihak lain.

“Sebagai contoh ada seribu jemaah mendaftar untuk solat Jumaat di Masjid Negeri, tetapi masjid dihadkan seramai 250 jemaah sahaja. Jadi 250 jemaah yang telah terpilih tidak akan dipilih lagi pada minggu berikutnya.

Keadaan di pintu masuk Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang ketika orang ramai yang mendapat kebenaran khas menunggu giliran memasuki masjid bagi menunaikan solat Jumaat pada 19 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Mungkin kita dapat peluang sekali sahaja solat Jumaat sampai hujung tahun, jadi saya minta penyelaras masjid bersikap jujur dan tidak memberi kepada orang sama untuk menunaikan solat berjemaah,” katanya kepada SelangorKini.

Shahzihan berkata, mereka yang terpilih menunaikan solat Jumaat akan menerima kad kehadiran selewat-lewatnya pada Khamis.

“Diseru masyarakat Islam di Selangor untuk membuat permohonan solat Jumaat, adalah berdosa jika kita tidak memohon kerana pihak pemerintah telah beri keizinan,” katanya.

Khamis lalu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj membenarkan bilangan jemaah di Masjid Negeri ditambah daripada 40 kepada 250 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa (AJK).

Sultan Selangor menitahkan jumlah jemaah di 38 masjid yang dibenarkan sebelum ini turut ditambah daripada 40 kepada 150 orang manakala masjid di seluruh negeri yang berada dalam mukim zon hijau, bilangan jemaah dihadkan 40 orang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Makin ramai solat Jumaat di masjid terpilih hari ini

SHAH ALAM, 19 JUN: Masjid terpilih meliputi zon hijau di seluruh negeri hari ini melangsungkan solat Jumaat dengan pertambahan bilangan jemaah.

Bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), seramai 250 orang dibenar menunaikan solat, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa.

Jumlah jemaah di 38 masjid yang dibenarkan sebelum ini turut ditambah daripada 40 kepada 150 orang manakala masjid yang berada dalam mukim zon hijau dihadkan kepada 40 orang.

Sementara itu, semua surau di seluruh negeri termasuk Surau Kebenaran Solat Jumaat masih tidak boleh dibuka melainkan tiga pegawai yang dibenarkan untuk melaksanakan solat fardu.

Lebih banyak masjid di seluruh negeri dibuka mulai hari ini untuk mendirikan solat Jumaat dan fardu berjemaah selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda turut menitahkan jemaah mematuhi tatacara operasi piawai Jabatan Agama Islam Selangor khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah sendiri, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jais puas hati pematuhan SOP solat Jumaat

SHAH ALAM, 13 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berpuas hati dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dipamerkan jemaah solat Jumaat di semua 39 masjid di negeri ini semalam, kata pengarahnya.

Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya yakin suasana penuh disiplin dan kesabaran semua termasuk petugas akan mempercepatkan proses pembukaan masjid dan surau secara berperingkat seperti dihasratkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Ada beberapa kes jemaah yang hadir hanya berdasarkan kenyataan umum Menteri di Jabatan Perdana Menteri tentang perkara ini (kehadiran solat Jumaat) yang (hanya) berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan (sahaja) dan tidak tahu perkara sama tidak dibenarkan di Selangor. Bagaimanapun, selepas diterangkan mereka faham dan akur,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata jemaah perlu menunjukkan kad jemputan sebelum dibenarkan masuk ke kawasan masjid dan mendaftar kehadiran dengan mengimbas kod QR disediakan.

Mohd Shahzihan berkata teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Hukum Syarak Menjaga Maslahat Manusia’ karangan Timbalan Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir turut memberikan makna mendalam kepada jemaah.

“Khutbah menjelaskan dengan baik dan tersusun bagaimana pemerintah (ulil amri) berperanan dalam membuat keputusan dalam menghadapi pertembungan tertentu yang kritikal, kaitannya dengan maqasid syariah dan kaedah fiqah diguna pakai dalam membuat keputusan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mufti Selangor: Tidak wajib solat Jumaat jika tiada jemputan

SHAH ALAM,12 JUN: Ahli kariah tidak diwajibkan mendirikan solat Jumaat jika tidak mendapat jemputan atau terpilih untuk menunaikan ibadah itu, kata mufti Selangor.

Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata hukum terhadap ahli kariah juga tidak berdosa dan perlu menggantikan dengan solat zuhur.

“Sebagai umat Islam, kita perlu akur biarpun ketetapan ini amat berat untuk diterima, namun ulil amri bertanggungjawab melaksanakan langkah pencegahan terbaik demi menjaga kemaslahatan umum bertepatan dengan kaedah fiqh.

“Mengambil kira perkembangan terkini wabak Covid-19 yang masih belum ada penawarnya, langkah pencegahan untuk menjaga keselamatan dan nyawa tetap diteruskan berdasarkan prinsip maqasid syariah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru untuk sama-sama berdoa kepada Allah SWT supaya wabak tersebut segera diangkat bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat dengan lebih banyak bilangan masjid yang dibuka.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan bilangan jemaah untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu berjemaah di 39 masjid di negeri ini ditambah daripada 12 kepada 40 orang berkuat kuasa hari ini.

Titah baginda jumlah itu tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid manakala jemaah diberikan kad jemputan.

Categories
AGAMA SELANGOR

Umat Islam di Selangor bersyukur jemaah di masjid ditambah

SHAH ALAM, 12 JUN: Umat Islam di Selangor menzahirkan rasa syukur apabila pelaksanaan solat Jumaat dan solat lima waktu di 39 masjid terpilih di negeri ini ditambah bilangan jemaahnya daripada 12 orang kepada 40 orang mulai hari ini.

Tinjauan Bernama di Masjid Sultan Salahuddin Idris Shah di sini mendapati, keterujaan orang awam untuk kembali menunaikan solat Jumaat selepas hampir tiga bulan ‘bercuti’ dilihat mengelirukan mereka apabila ada yang hadir tanpa ‘kad jemputan’ dikeluarkan oleh masjid terbabit.

Walaupun ‘terkandas’ di pintu pagar masjid negeri itu kerana tidak mempunyai ‘kad jemputan’, namun orang awam akur dengan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) demi mengekang penularan wabak Covid-19.

Seorang peniaga, Ahmad Zamri Mat Said, 49, memberitahu, beliau hadir ke masjid negeri itu dengan harapan dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat hari ini walaupun tidak mempunyai ‘kad jemputan’ tersebut.

“Mungkin saya yang tidak peka dengan pengumuman semalam sebab terlalu teruja nak solat, siap bawa sejadah sendiri…saya tahu nak datang solat Jumaat ni ada SOP tapi tak tahu kena daftar dalam talian,” katanya.

Bagi Mohd Zaimi Faizal, 29, pula memberitahu selepas membaca laporan berita mengenai pertambahan jumlah jemaah bagi solat Jumaat semalam, beliau sanggup menaiki pengangkutan awam untuk ke masjid hari ini untuk menunaikan solat.

“Bila nak masuk, pengawal keselamatan masjid kata kena dapatkan kebenaran dan kad jemputan. Saya memang tak tahu pula kena buat permohonan,” katanya.

Garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor menetapkan umat Islam yang ingin menunaikan solat Jumaat perlu membuat permohonan secara dalam talian menerusi Google Form atau mengisi borang yang disediakan oleh pihak masjid dan sekiranya memenuhi SOP, mereka akan diberi ‘kad jemputan’ tersebut.

Bagi jemaah yang tidak menerima jemputan, mereka perlu menunggu untuk solat Jumaat pada minggu berikutnya dan dilarang hadir ke masjid sebaliknya menunaikan solat zuhur di rumah.

Sementara itu, turut dilihat hadir menunaikan solat Jumaat di masjid negeri hari ini adalah Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, Timbalan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir dan Hakim Syarie Selangor Datuk Mohammad Adib Husain.

-BERNAMA

Categories
AGAMA AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Mufti: Tidak sah solat Jumaat di tempat tanpa kebenaran kerajaan

SHAH ALAM, 1 JUN: Mendirikan solat Jumaat di tempat tidak dibenarkan oleh Kerajaan Negeri tidak sah dan bertentangan dengan enakmen pentadbiran yang sedang berkuat kuasa, kata mufti Selangor.

Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata mereka yang menunaikan solat Jumaat selain tempat ditentukan pemerintah perlu menggantikan (qada) semula dengan solat Zuhur.

Katanya, larangan itu bertepatan dengan Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 (EPAINS 2003) berhubung sekatan penubuhan masjid dan penalti.

“Tiada seorang pun boleh, tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis mendirikan apa-apa bangunan untuk digunakan atau menggunakan atau menyebabkan supaya digunakan mana-mana bangunan bagi perkara yang hanya boleh dilakukan di atau oleh masjid.

“Mana-mana orang melanggar peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Mohd Tamyes berkata terdapat sebilangan kecil umat Islam di negeri ini mendirikan solat Jumaat di premis yang tidak mendapat kebenaran pemerintah (pihak berkuasa) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Mazhab Imam Shafie dalam qaul qadimnya berpandangan bahawa tidak sah menunaikan solat Jumaat tanpa izin ulil amri (pemerintah),” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan Selangor titah tiada solat Jumaat hingga 30 Jun

SHAH ALAM, 1 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan sekatan solat Jumaat dan solat jemaah lima waktu melibatkan orang ramai di masjid dan surau di negeri ini dilanjutkan sehingga 30 Jun ini.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata ia kerana baginda masih bimbang dengan risiko jangkitan Covid-19 jika kawalan dilonggarkan mengakibatkan nyawa rakyat akan turut terancam.

“Justeru itu, dengan perasaan berat hati, baginda memutuskan agar tempoh larangan bagi mengerjakan solat Jumaat dan solat jemaah lima waktu di masjid dan surau dilanjutkan kecuali di 39 masjid yang dibenarkan sebelum ini.

“Namun demikian, semakan semula akan dilakukan selepas minggu pertama Jun dan sekiranya penularan wabak menurun secara konsisten maka pertimbangan akan dibuat bagi membolehkan jumlah jemaah solat Jumaat ditambah dan masjid dibuka lebih awal bagi mendirikannya secara berperingkat khususnya di kawasan zon hijau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 14 Mei lalu, Sultan Selangor berkenan membenarkan solat Jumaat di 39 masjid terpilih dengan jumlah jemaah tidak melebihi 12 orang terdiri kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja susulan penurunan kadar jangkitan Covid-19.

Mohamad Munir berkata Sultan Selangor turut menyeru supaya rakyat terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan mematuhi setiap arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Agama Islam Selangor.

“Ia bagi memastikan keadaan pulih dan umat Islam boleh kembali mengimarahkan masjid,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua bulan tangguh ekoran PKP, solat Jumaat kembali dilakukan

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Setelah lapan minggu solat Jumaat dan solat berjemaah tidak boleh dilakukan di seluruh negara ekoran penularan Covid-19, hari ini umat Islam dibenarkan untuk melaksanakannya secara berperingkat meliputi masjid dan surau terpilih dalam zon hijau.

Pelaksanaan solat Jumaat harus dilakukan berdasarkan tatacara operasi piawai (SOP) digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antaranya mengehadkan bilangan jemaah bagi mengelakkan kehadiran orang ramai secara mengejut untuk melaksanakan solat di masjid.

Di ibu kota, tinjauan Bernama mendapati sejurus tiba di pintu masuk Masjid Negara, pengawal meminta jemaah untuk mengisikan butiran diri selain menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan memasuki pekarangan masjid berkenaan.

SOP sama terus dilaksanakan sejurus tiba di dewan solat dengan jemaah perlu sekali lagi melakukan proses berkenaan.

Di dalam dewan solat, kelihatan beberapa penanda diletakkan setiap satu meter sebagai petunjuk tempat jemaah boleh berdiri menunaikan solat Jumaat.

Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni mengimamkan solat Jumaat dengan mematuhi SOP dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Masjid Negara pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA

Khutbah hanya dibacakan tidak lebih daripada 15 minit dan tiada solat sunat Rawatib Qobliyah dan Ba’diyah dilaksanakan bagi memendekkan tempoh pelaksanaan keseluruhan solat Jumaat.

Di PERLIS, sebanyak 105 buah masjid di negeri itu mula melaksana solat Jumaat bersyarat selepas negeri itu mengeluarkan kebenaran solat Jumaat bersyarat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 8 Mei lalu.

Solat Jumaat juga perlu dilaksanakan dalam tempoh tidak lebih 15 minit termasuk khutbah disertai oleh tidak lebih 12 orang jemaah termasuk imam.

Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini membaca khutbah bertajuk ‘Kesabaran Dalam Menghadapi Musibah’ di Masjid Negeri, Arau yang diimamkan oleh Imam Besar Perlis, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.

Di SELANGOR, tinjauan di tiga masjid sekitar Shah Alam yang dibenarkan untuk dilakukan solat Jumaat mulai hari ini mendapati tiada jemaah dalam kalangan orang awam hadir ke rumah ibadah itu selaras dengan ketetapan yang diambil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) semalam.

Tinjauan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau masjid negeri mendapati hanya satu pintu pagar dibuka untuk membenarkan AJK masjid dan imam masuk namun dikawal oleh penguat kuasa JAIS serta pengawal keselamatan rumah ibadah terbabit.

Jemaah masjid menunaikan solat Jumaat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Masjid Sultan Azlan Shah pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA

Di PERAK, Imam Besar Masjid Sultan Azlan Shah di Ipoh, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan berkata kerinduan untuk mengimamkan solat Jumaat selama hampir dua bulan terubat hari ini.

Beliau bercadang untuk membuat penggiliran jemaah memandangkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) hanya membenarkan 12 orang termasuk imam dan khatib selain ahli jawatankuasa (AJK) kariah masjid untuk solat Jumaat.

Katanya pengiliran itu wajar dipertimbangkan memandangkan terdapat AJK masjid atau surau Jumaat yang telah berumur 60 tahun ke atas dan jika menurut syarat MAIPk, individu pada usia tersebut tidak digalakkan hadir berjemaah.

Di JOHOR, tinjauan di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru mendapati kesemua 12 jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan negeri.

Mereka yang terdiri daripada imam satu, imam dua, bilal, noja serta lapan AJK kariah, perlu melalui dua saringan suhu badan di pintu pagar masjid dan di pintu masuk masjid berkenaan selain mematuhi jarak sosial di dalam masjid.

Imam Tua Masjid Sultan Muhammad II Ahmad Yunoh (kiri) mengimamkan solat Jumaat di Masjid Sultan Muhammad II di Telipot pada 15 Mei 2020. Foto BERNAMA

Di PAHANG, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, antara jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan.

Baginda diiringi kekanda, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser dan adinda Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah tiba di masjid itu pada 1 tengah hari dengan disambut oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan pentadbiran negeri.

Seramai 40 jemaah yang diletakkan dalam kedudukan satu meter antara satu sama lain menunaikan solat Jumaat yang diimamkan oleh Imam 1 Mohd Khalil Mohd Zari dengan khutbah disampaikan Imam Besar Datuk Badli Shah Alauddin.

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha berkata selain masjid negeri, dua lagi masjid di Pahang yang memperoleh kebenaran mengadakan Solat Jumaat hari ini ialah Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, semuanya di Kuantan.

Di KELANTAN, solat Jumaat hari ini dilakukan oleh empat pegawai masjid terdiri daripada imam tua, imam muda, bilal dan siak tanpa kehadiran orang awam.

Tinjauan Bernama di Masjid Sultan Muhammad II di Telipot, Kota Bharu di sini, mendapati jemaah mengikuti SOP termasuklah waktu solat selama 15 minit dan jarak sosial.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 12 jemaah hadir di Masjid Negeri, Seremban bagi menunaikan solat Jumaat sepertimana yang ditetapkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan diketuai Imam Masjid Negeri, Muttaqin Mohd Fakiri.

Beliau menyampaikan khutbah bertajuk “Hidupkan Ramadan Bersama Keluarga’ turut mengingatkan jemaah untuk menggunakan kesempatan Ramadan bagi memperbaiki diri serta ahli keluarga ke arah kehidupan yang lebih bermakna, selesa dan terpelihara keselamatannya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya pegawai, kakitangan masjid, jemaah tertentu dibenarkan solat Jumaat

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata solat Jumaat dan solat berjemaah dalam Zon Hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan yang dibenarkan semula hari ini hanya melibatkan pengerusi, ahli jawatankuasa, pegawai dan petugas masjid, surau Jumaat dan surau terpilih.

Sementara jemaah yang dibenarkan hadir untuk menyertai solat Jumaat dan solat berjemaah akan ditentukan oleh pihak pentadbiran ketiga-tiga tempat ibadat itu seperti yang dimaklumkan kepada beliau oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) .

“Jemaah pula akan ditentukan oleh jawatankuasa masjid atau surau serta yang mendapat jemputan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata senarai masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di Zon Hijau juga akan dimaklumkan Jawi manakala garis panduan lengkap pelaksanaannya boleh didapati di Facebook Jawi.

Pada masa sama, Zulkifli turut menzahirkan rasa gembira apabila melihat masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau dalam Wilayah Persekutuan telah bersedia menerima jemaah bagi Solat Jumaat pada hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Paimuzi Yahya berkata bagi masjid di bawah Jakim, hanya Masjid Negara yang berada dalam zon hijau dan akan memulakan pelaksanaan solat Jumaat, solat berjemaah, solat Tarawih dan solat Sunat Aidilfitri mulai hari ini.

Beliau berkata dua lagi masjid yang berada di bawah pentadbiran Jakim iaitu Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya masih lagi berada dalam zon kuning.

“Pelaksanaan solat berjemaah tersebut hanya dihadkan kepada jemaah yang tidak kurang daripada tiga orang dan tidak melebihi 30 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan masjid serta jemaah yang akan ditentukan oleh pihak pentadbiran masjid,” katanya dalam satu kenyataan

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar merujuk kepada pihak pentadbiran masjid terlebih dahulu dan tidak dibenarkan hadir untuk solat berjemaah atau sebarang aktiviti sebelum mendapat keizinan.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya kehadiran jemaah yang di luar kawalan pihak masjid dan boleh menyebabkan penjarakan sosial yang tidak terkawal. Sama-samalah kita berdoa semoga keadaan negara kita kembali pulih sepenuhnya daripada wabak COVID-19 dan aktiviti di masjid dapat beroperasi seperti biasa,” katanya.

Katanya pelaksanaan solat berjemaah di masjid akan mematuhi semua syarat yang telah dinyatakan melalui garis panduan yang telah disediakan.

– BERNAMA